Ahad, 31 Disember 2023

pantun: PUISI TRADISI WARISAN BANGSA


Pohon terasi di hujung desa,
Dedaun nangka jatuh ke laman;
Puisi tradisi warisan bangsa,
Menjadi pusaka zaman berzaman.
 
Dedaun nangka jatuh ke laman,
Tersekah dahan di tanah rata;
Menjadi pusaka zaman berzaman,
Lambang kemegahan budaya kita.
 
Tersekah dahan di tanah rata,
Sarang kelicap tepian taman;
Lambang kemegahan budaya kita,
Jangan lenyap ditelan zaman.
 
Sarang kelicap tepian taman,
Lebah tualang di dahan markisa;
Jangan lenyap ditelan zaman,
Lestari terjulang maruah bangsa.
 
Dengung lelawi terbang di kuala,
Masak di julai buah bidara;
Puisi tradisi perkasakan semula,
Khazanah bernilai milik negara.
 
Masak di julai buah bidara,
Batu kawi dibuat acuan;
Khazanah bernilai milik negara,
Puisi tradisi wadah perpaduan.
 
Batu kawi dibuat acuan,
Buatan tangan hiasan istana;
Puisi tradisi wadah perpaduan,
Di bawah naungan wawasan perdana.
 
Buatan tangan hiasan istana,
Pucuk cemara menjulang angkasa;
Di bawah naungan wawasan perdana,
Negara sejahtera rakyat sentosa.
 
Pucuk cemara menjulang angkasa,
Sayur sawi dicampur lada;
Negara sejahtera rakyat sentosa,
Puisi tradisi megah di persada.
 
Kain diberus di sisi kanan
Cantik dasi bercorak rerama;
Media harus mainkan peranan
Semua organisasi turut bersama
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan