SMAHADZIR
“UNTUK berjaya sebagai seorang
usahawan, perlu tanam banyak ‘benih’. Dalam dunia perniagaan sekarang, kejayaan
bukan hanya bekerjasama dengan syarikat-syarikat besar yang terdapat di tahap
paling atas piramid tetapi mencari seseorang yang mungkin tidak terkenal pun,
tetapi mempunyai idea-idea yang boleh menolong memajukan perniagaan. ‘Lonely
Boy 15’ - budak belasan tahun yang tidak siapapun tahu tetapi boleh mencipta apps, idea-idea tak masuk akal dan bijak
dengan media sosial. Carilah mereka ini seramai boleh untuk memajukan
perniagaan dengan dunia media sosial sekarang ini.”
Kata-kata Guy Kawasaki itu menjadi jamung pencerah untuk Azhar
meneruskan hasratnya berniaga secara online.
Siapakah ‘Lonely Boy 15’ bagi Azhar. Tak lain tak bukan ialah Amir, anak bapa saudaranya sendiri, bekas graduan
Universiti Selangor (UNISEL) jurusan multimedia. Dari Amir-lah Azhar banyak
belajar tentang internet atau dunia maya.
“Sebenarnya kamu nak jual apa, Har?” soal Amir ingin tahu.
“Aku cadang nak jual kerepek daun kesum ,” jawab Azhar bersahaja.
“Ni tentu kerepek buatan emak kamu, kan?”
Azhar tersengih. “Setakat ni hanya emak aku saja yang buat kerepek
ni, Amir! Orang lain belum lagi…”
“Bagus, Har! Kalau kita buat sesuatu yang orang lain tak buat, bermakna
tak adalah persaingan,” balas Amir seolah-olah memberi sokongan kepada Azhar.
“Sebab itulah aku pilih kerepek daun kesum ni sebagai produk
jualan aku di internet. Lagipun, kerepek daun kesum buatan emak aku ni sedap
dan belum ada orang jual lagi di mana-mana,”
“Tak kisahlah apapun yang kamu nak jual,” balas Amir. “Yang
penting kamu perlu pastikan adakah orang yang mencari kerepek daun kesum di
internet. Kalau ada, berapakah jumlah carian sehari atau sebulan untuk kerepek daun
kesum tu. Siapakah peniaga lain yang menjual kerepek daun kesum secara online? Website atau peniaga manakah yang kerap tersenarai bila kamu buat
carian di internet. Mampukah kamu saingi mereka? Apakah strategi kamu untuk
menyaingi mereka? Dan macam-macam lagi. Selepas tu kamu kena buat strategi
pemasaran.”
“Semuanya aku dah buat, Amir! Strategi
pemasaranpun aku dah buat,” ujar Azhar. “Aku juga dah merekabentuk iklan ringkas bagi tujuan pengedaran di
kawasan tempat tinggal kita tu. Dalam iklan tu, aku terangkan mengenai
khidmat penghantaran secara percuma untuk tempahan di sekitar kawasan kita. Aku
sasarkan setiap kawasan rumah dengan penghantaran serendah RM5.00 dan paling
murah berbanding tempat lain. Buat permulaan, aku sasarkan target hanya di kawasan kita dulu. Aku jual kerepek daun kesum saja.
Masa penghantaran untuk kawasan kejiranan pula bergantung kepada masa yang
ditetapkan oleh pelanggan. Perkhidmatan aku dalam bentuk SMS, whatsapp dan telefon,”
“Wau... strategi yang bagus! Aku yakin kamu akan berjaya, Har!” Amir meluahkan kekagumannya mendengar strategi pemasaran Azhar. “Lepas ni luaskan pula media iklan supaya
pasaran kamu lebih besar. Untuk perniagaan di internet aku cadangkan
kamu guna teknik blogging ketimbang
buat website. Kamu boleh rekabentuk wordpress blog hampir serupa laman web. Kamu
boleh juga guna wordpress untuk buat
lebih dari itu. Aku cadang kamu guna wordpress
berbanding blogger sebab platform wordpress lebih canggih. Terma-terma yang ada juga nampak lebih
komersial untuk digunakan bagi menampakkan sifat profesional perniagaan kamu
tu,”
“Itu akan aku fikirkan kemudian, Amir!” balas Azhar. “Buat
permulaan ni aku nak guna facebook, whatsapp dan instagram dulu.”
* * *
Berita tentang
rancangan Azhar mahu menjual kerepek daun kesum secara online telah gah diperkatakan oleh orang-orang kampung dan kawasan
taman perumahan sekitar yang mengenalinya. Ada yang memberi semangat dan tidak
kurang juga yang mencebek. Yang tidak pernah rasa kerepek daun kesum pula
seolah-olah tak sabar lagi ingin membuat tempahan.
“Apa? Azhar nak jual kerepek daun
kesum secara online?” Karim bagaikan
tidak percaya dengan berita yang cagun di telinganya. “Kalau kawan-kawan
sepejabat saya tahu, malulah saya mak... adik seorang Pegawai Bank jual kerepek
daun kesum secara online,”
“Kenapa kamu nak rasa malu pula? Bukannya adik kamu tu mencuri?” balas Mak Piah
sedikit kurang senang. “Nabi kitapun berniaga, apa yang nak dimalukan?”
Karim terdiam dengan kata-kata emaknya namun setagal kemudian dia bersuara
juga, “Errr, tapi... boleh berjaya ke jual kerepek daun kesum secara online? Dia yakin ke perniagaan jual kerepek
daun kesum tu boleh maju? Kepada siapa dia nak jual? Dah ada ke pasarannya?”
Pelbagai pertanyaan ditujukan tetapi hanya kepada Mak Piah. Waktu itu Azhar
tidak ada di rumah.
“Manalah emak tahu, Karim! Kamu
tanyalah sendiri dengan adik kamu tu! Dia yang beria-ria benar nak jual kerepek
daun kesum secara online!” ujar Mak Piah.
“Emak tak halang?”
“Eh, nak halang buat apa? Apa
salahnya dia nak cari duit secara halal?” balas Mak Piah.
“Buat apa pilih kerepek daun kesum ?
Siapa yang nak makan kerepek daun kesum tu? Lainlah kalau dia jual tudung
muslimah ke, jubah ke, kasut atau peralatan sukan ke, buku ke, kitab agama ke, pakaian
kanak-kanak ke, barangan kemas ke, perabot ke, produk kecantikan ke? Mak tak
terfikirkah soal tu?”
“Kamu tanyalah dia sendiri, Karim!
Mak tak tahu menahu dan emak juga tak pernah tanya semua tu! Yang emak tahu,
adik kamu tu nak usahakan perniagaan kerepek daun kesum secara online. Katanya, dia tahu apa yang dia nak
buat!”
Karim diam dan selepas itu dia
menjadi anak Mak Piah yang sering pulang ke kampung walaupun sebelum ini jarang
benar berbuat demikian walaupun jarak tempat tinggalnya dengan kampung sekitar
40 km sahaja kecuali musim cuti hari am atau hujung bulan.
Pagi ini Karim pulang lagi biarpun
baru minggu lepas dia pulang bersama Mazniah dan dua orang anak mereka. Kali
ini Karim kelihatan bersungguh-sungguh benar. Dia pulang bersendirian. Tidak
seperti selalu, pulang dengan Mazniah dan anak-anak mereka.
Mak Piah tahu, baliknya anak
sulungnya itu kali ini adalah untuk ‘berperang mulut’ habis-habisan dengan anak
bungsunya. Mak Piah arif benar sikap Karim yang suka membanggakan diri dengan
kerjayanya sebagai Pegawai Bank itu. Kononnya, tarafnya sebagai pegawai bank
akan jatuh jika orang tahu adiknya Azhar hanya bekerja sebagai peniaga kerepek daun
kesum .
“Kenapa tak bawa Mazniah dan
anak-anak kamu sama?” tanya Mak Piah sebaik sahaja Karim keluar dari kereta
Honda HRV-nya.
“Saya pulang sekejap saja, mak!”
“Eh, apa halnya? Tergesa-gesa sangat
mak tengok!”
“Saya rasa tak puas hati selagi tak
dapat gambaran yang sebenar dari Azhar, mak!”
“Baguslah kalau begitu! Tapi, janganlah
kamu bergaduh pula adik-beradik dek soal kerepek daun kesum tu!” Mak Piah
bagaikan memberi ingatan.
Karim diam dan sekadar angguk.
Sejurus kemudian dia bergegas ke dapur dan mencapai gelas lalu menuang air. Karim
meneguk seteguk dua kemudian meletakkan semula gelas itu di atas meja.
“Mana Azhar, mak?” tanya Karim.
“Entah! Katanya nak ke perpustakaan kampung. Agaknya ke situlah dia,” ujar
Mak Piah bersahaja.
“Mana emak tahu dia ke sana?” tanya Karim
ingin pasti.
“Selalunya, di situlah tempat dia
habiskan masanya!”
Karim mendengus kuat. Sejurus
kemudian dia segera keluar dari ruang dapur lalu turun ke tanah. Resah dan
risau juga Mak Piah melihat gelagat anak sulungnya itu.
“Kamu nak ke mana pula tu, Karim?”
laung Mak Piah. Kala itu Karim sudah berada di hujung halaman.
“Nak cari Azhar, mak!”
Mak Piah sekadar menggeleng-gelengkan
kepala. Dia hanya memerhatikan langkah Karim yang agak gesit itu menuju ke arah
perpustakaan desa yang letaknya sekitar sepelaung saja dari rumah.
Sebagai seorang emak yang
melahirkan, Mak Piah dapat merasakan yang Azhar bercita-cita besar ingin
mengubah nasibnya. Apalah yang mampu dia lakukan hanya dengan sijil SPM yang
dimilikinya jika dia terus bekerja makan gaji dengan orang. Dalam zaman terlalu
ramai graduan yang tidak mempunyai pekerjaan, Azhar terpaksa bersaing pula
dengan mereka. Sudah tentulah orang-orang sepertinya akan lebih sukar lagi
untuk maju. Lantaran itulah Azhar berhasrat berniaga sendiri.
“Mak, saya bercadang nak berniaga sendiri. Sampai bila saya harus jadi kuli
orang. Kalau saya terus menjadi kuli orang, hidup saya tak akan berubah, mak!”
ujar Azhar suatu ketika dulu kepada Mak Piah.
“Kamu nak berniaga apa, Azhar?”
tanya Mak Piah ingin tahu.
“Belum tahu lagi, mak! Sekarang ni
saya sedang memikirkan tentang produk yang saya nak jual tu. Lepas ada produk
yang saya nak jual, saya kena fikirkan pula platform apa yang saya nak guna. Saya bercadang nak berniaga secara online. Jadi saya kena pilih platform atau channel pemasaran... facebook, instagram, twitter, blog,
email, minisite dan banyak lagi…”
Mak Piah gesit saja terkebil-kebil
mendengar istilah-istilah dunia maya yang diperdengarkan oleh Azhar.
“Mak tak usahlah terkebil-kebil
begitu,” ujar Azhar sembari tersengih. “Zaman sekarang ni semua orang berniaga
guna internet. Kita tak perlu ada kedai, tak perlu banyak modal nak mulakan
perniagaan...”
“Habis, kamu tak nak bekerja di
syarikat Puan Julia lagi?”
“Bukan begitu, mak!” ujar Azhar.
“Buat sementara ni memang saya nak bekerja dengan Puan Julia tu! Saya nak kaut
ilmu pengetahuan tentang perniagaan melalui online
dan juga pengalaman darinya. Selepas semuanya ada dalam dada saya, barulah saya
nak usahakan sendiri. Saya nak berjaya macam Puan Julia. Saya yakin mak, kalau
dia boleh berjaya kenapa tidak saya? Yang penting ada kemahuan, keyakinan,
kerajinan, wawasan dan juga percaya kepada kebolehan diri sendiri!”
“Kamu ada ke modalnya, Har?” tanya
Mak Piah seraya mengesip-ngesipkan matanya.
“Ada menanglah ada, mak! Tapi, tak
banyak. Buat sementara ni, saya nak bekerja kumpul modal dulu. Kemudian buat perniagaan
tu secara kecil-kecilan...” jelas Azhar bersungguh-sungguh.
Mak Piah mengeluh panjang. “Suka
hati kamulah, Har! Emak ikut saja apa yang kamu fikirkan baik untuk masa depan
kamu!”
Sesungguhnya Mak Piah tidak tahu,
bagaimana rupanya perniagaan online
yang hendak dilakukan oleh Azhar. Selepas perbualan singkat itu, dia tidak
pernah bertanya lagi kepada Azhar. Azharpun tidak pernah membuka mulut. Tetapi
Mak Piah tahu, Azhar lebih banyak berbincang dengan Amir.
Barangkali, dari Amir-lah Azhar
beroleh sokongan semangat di samping dari majikannya sendiri iaitu Puan Julia,
pengusaha jus delima dan makanan sejuk-beku yang berjaya itu. Malah, menurut
perkiraan Mak Piah, boleh jadi juga Amir dan Puan Julia yang telah membuka
jalan kepada Azhar supaya berniaga secara online
itu.
Mak Piah tidak mahu menghalang
cita-cita Azhar. Ini bukanlah bermakna dia tidak berlaku adil kepada Karim.
Tetapi Mak Piah lebih memikirkan nasib Azhar jika hendak dibandingkan dengan Karim.
Karim sudah beroleh jawatan besar di Kuala Lumpur dan apa yang dia tahu, gaji anak
sulungnya hampir mencecah empat ribu lima ratus sebulan. Yang masih
terkial-kial adalah Azhar, anak bongsu. Dengan bekerja sebagai penghantar
makanan sejuk-beku di samping membantu Puan Julia dalam soal pemasaran online, berapalah sangat gaji Azhar.
Namun begitu, satu sifat yang
terpuji pada Azhar ialah suka berjimat cermat. Di samping membantu Mak Piah
menangani ekonomi rumahtangga, Azhar juga pandai mengendalikan soal
kewangannya. Dia jarang berbelanja besar, pakaiannya jenis murahan dan tidak
terikut-ikut dengan gelagat remaja-remaja lain yang kebanyakannya lebih suka
berfoya-foya, bergaya dan melahu ke sana ke mari tanpa tujuan.
Sejak dahulupun memang Mak Piah
bersimpati dengan nasib yang telah menimpa Azhar. Azhar terpaksa menamatkan
persekolahannya setakat tingkatan lima saja yakni selepas SPM. Mak Piah tidak
mampu lagi meneruskan pengajian Azhar biarpun anaknya itu masih berminat untuk
belajar. Kebetulan waktu itu suami Mak Piah baru saja kembali ke rahmatullah. Ayah kepada Karim dan Azhar
itu meninggal dunia kerana mengidap penyakit kencing manis. Sudahlah hasratnya
ke pusat pengajian tinggi terbantut, Azhar terpaksa tinggal sahaja di kampung.
Bukannya Mak Piah tidak membenarkan Azhar ke bandar seperti rakan-rakannya yang
lain tetapi Azhar sendiri yang tidak sanggup meninggalkan Mak Piah berseorangan
di kampung.
Azhar lebih suka bekerja berhampiran
dengan kampung meskipun kawan-kawannya yang lain sudah ke bandar-bandar besar
seperti Ipoh, Johor Bharu, Kuala Lumpur, Seremban dan juga Pulau Pinang. Ada
yang bekerja di kilang dan tak kurang juga bekerja dengan kerajaan. Mak Piah
tahu, Azhar tidak dapat merasa ini semua. Malah anaknya itu kelihatan tertekan
dengan nasib yang tidak menyebelahinya. Mak Piah dapati Azhar cuba mengelak
daripada bertemu dengan rakan-rakannya kalau mereka balik bercuti di kampung.
Ini kerana dia tidak mampu bergaya seperti mereka.
Mengenangkan hakikat itu, seboleh-bolehnya Mak Piah mahu mempertahankan hasrat
Azhar berniaga sendiri itu. Sudah banyak kali Karim menghalang hasrat murni Azhar
mahu berniaga. Kononnya, dunia perniagaan memerlukan modal yang banyak, pasaran
yang besar dan macam-macam lagi alasan yang mampu melemahkan semangat.
“Kamu tak kasihankah tengok adik
kamu tu, Karim?”
“Eh, apa yang saya kata ni satu kenyataan,
mak!”
“Itu emak tahulah tapi kalau dia
perlukan modal, kamu bantulah dia...”
“Dia nak berniaga apa mak? Mak ingat
senang ke nak berniaga? Mana Azhar nak cekau duit buat modal? Mak ingat sikit
ke nak pakai duit…”
“Itu mak tak tahulah! Yang mak tahu,
Azhar benar-benar nak berniaga sendiri. Dia tak nak makan gaji lagi...”
“Mak tak usahlah dengar cakap dia!
Pelajarannya tak tinggi, manalah dia tahu selok belok perniagaan, pemasaran, kunci
kira-kira dan macam-macam lagi. Saya yakin, dia akan dikelentong dek orang.
Akhirnya, abukpun tarak!”
“Kamu hina adik kamu sendiri, Karim!”
“Saya tak hina dia, mak! Tapi, ini
satu kenyataan. Azhar tak ada pelajaran yang tinggi…”
“Dia tak ada pelajaran tinggi sebab
kamu juga, Karim!”
Karim terteguk-teguk air liur.
Terkedu kemudiannya.
“Kerana nak biayai pengajian kamu di
universitilah yang menyebabkan pengajian adik kamu tu terbantut… dia bukannya
tak pandai atau tak nak sekolah tapi terpaksa kerana emak tak mampu!”
Mak Piah masih ingat semuanya. Memang
perkara itulah yang sedikit sebanyak telah menghantui fikiran Karim selama ini
dan mungkin buat selama-lamanya. Dia memang tidak mudah melupakan pengorbanan Azhar
sehingga dia berjaya meneruskan pengajian di universiti. Kalau Azhar meneruskan
pengajian sebaik tamat SPM dulu, barangkali pengajiannya juga mungkin terganggu.
“Nasib seseorang tu dah ditentulah
Tuhan, mak! Kenapa emak nak ungkitkan lagi soal tu?” Karim seolah-olah kurang
senang dengan kata-kata emaknya.
“Mak bukan ungkit, Karim! Tapi emak
nak ingatkan kamu supaya bantu-bantulah adik kamu tu jika dia perlukan
pertolongan. Duit kamupun dah banyak, kan Karim! Mak dengar, gaji yang kamu
dapat tiap-tiap bulanpun makan tak habis. Ditambah pula dengan gaji Mazniah,
kamu dah cukup senang, Karim!” Mak Piah sekadar mengingatkan.
“Sekadar cukup makan saja, mak!” Karim
bersahaja.
“Jangan bohong dengan mak, Karim!
Kamu memang dah cukup senang kan? Duit kamu dalam bankpun dah banyak, kan?”
“Emak jangan tanyalah soal duit
dalam bank. Lagipun, duit banyak gunanya, mak! Mak bukannya tak tahu, zaman
sekarang ni memerlukan duit. Berjalan setapakpun nak pakai duit!”
“Semua orang tahu fasal itu, Karim!
Semua orang perlukan duit tapi jangan sampai jadi hamba duit. Err, tak cukupkah
gaji kamu suami isteri tu! Banyak mana lagi yang kamu mahu?”
Pastinya Karim tidak mampu menjawab
soalan tersebut. Itulah senjata Mak Piah dalam usaha mengelukan lidah Karim.
Selebihnya Mak Piah akan mengagung-agungkan pengorbanan Azhar.
Namun segala ngeluyur benak Mak Piah
gesit berkecai kala Karim terjengul di muka pintu. Jelas muka anak sulungnya
itu merah padam dengan peluh memercik di dahi. Mak Piah membiarkan sahaja Karim
berehat sekejap. Kemudian Mak Piah mengajak Karim ke dapur. Ketika itu dia
sudahpun menghidangkan minuman petang berupa karipap dan sukun goreng bersama
seteko kopi di atas meja di ruang tersebut.
“Err, ada kamu jumpa dengan Azhar di
perpustakaan tu?” Mak Piah meluahkan pertanyaan sebaik kopi dari teko
dituangkan ke dalam sebiji cangkir di hadapan Karim.
Karim sekadar mengangguk namun lemah
dan kelihatan rengsa.
“Ha, dia buat apa di situ?”
“Entahlah! Saya tengok dia sedang
berbincang dengan Amir,”
“Kamu
tak tanya dia?”
“Tak... saya tak nak ganggu,”
“Dia tahu kamu datang cari dia?”
“Dia nampak saya... dia tersengih dan
mengangguk saja!”
“Barangkali dia berbincang tentang
perniagaan kerepek daun kesum online yang
dia nak buat tu agaknya,”
Karim tidak bersuara sebaliknya
bersahaja mengunyah sukun goreng namun matanya agak tajam melirik ke arah Mak Piah.
Mak Piah pula tersenyum sahaja dengan gelajat anak sulungnya itu. Tetapi dari
riak muka Karim, dia tahu anak sulungnya itu kecewa benar dengan kesungguhan Azhar
mahu berniaga kerepek daun kesum secara online
tersebut. Rupanya keazaman adiknya itu bukannya main-main.
“Kenapa kamu nampak resah saja, Karim?”
soal Mak Piah sewaktu melihat Karim asyik saja melihat jam di pergelangan
tangan.
“Kejap lagi saya nak balik, mak!”
jawab Karim.
“Eh, bukankah kamu bercuti? Mak
ingat kamu nak tinggal dua tiga hari di sini!”
“Siapa kata saya bercuti, mak? Saya
pulang sekejap saja!”
“Habis, bila kamu nak balik?”
“Lebih kurang pukul lima petang
nanti!”
“Kalau begitu kata kamu, sampaikan
salam emak kepada Mazniah dan anak-anak kamu tu,” kata Mak Piah.
“Insya-Allah, mak!”
Benarlah seperti yang dikatakannya.
Lebih kurang jam lima petang, Karim meninggalkan pekarangan rumah dengan wajah
yang sedikit pudar. Mak Piah tidak tahu apa yang berkitar di dalam fikiran Karim
dan dia juga tidak mahu halang cita-cita Azhar. Itulah yang sebenarnya paling
disenanginya.
“Eh, mana abang Karim, mak?”
pertanyaan Azhar itu membuatkan Mak Piah kemamar sejenak. Sambil terpisat-pisat
dia melihat Azhar sudah berdiri di ambang pintu.
“Dia dah balik ke?” tanya Azhar
lagi.
“Hmm, abang kamu dah balik!”
“Kenapa balik cepat sangat? Tak
sempat saya nak bersembang panjang dengan dia!”
“Agaknya dia merajuk dengan kamu tak?”
“Eh, sebab apa nak merajuk dengan saya pula?” Azhar sedikit kehairanan.
“Sebab kamu tak layan dia di perpustakaan tadi!”
“Saya bukannya tak nak layan cakap
abang mak, tapi saya sedang sibuk berbincang dengan Amir tentang pasaran online. Saya bercadang nak bersembang
panjang lebar dengan abang malam ni! Sebab itulah saya tak cakap apa-apa dengan
dia tadi!” jelas Azhar.
Mak Piah tidak berkata apa-apa. Azhar
pula terus melangkah ke dapur. Di situ dia meneguk secawan kopi, menjamah dua
keping sukun goreng kemudian duduk di kerusi mengadap muka tingkap yang terkuak
lebar. Angin petang yang menderu segar sedikit menyejukkan badannya yang masih berpeluh.
Peluh juga kelihatan merenik di dahinya. Sejurus kemudian Mak Piah turut
melabuhkan punggung di hadapan Azhar.
“Tiga hari lagi saya nak mulakan perniagaan
saya tu, mak! Esok saya bercadang nak ke bandar untuk beli bahan-bahan yang
diperlukan untuk buat kerepek daun kesum seterusnya saya juga dah dapat
pembekal daun kunyit. Pembekal tu dah janji nak hantar daun kunyit ke rumah
kita seminggu sekali,” jelas Azhar.
“Siapa yang nak bantu kamu goreng kerepek
daun kesum tu?” Mak Piah ingin tahu.
“Emaklah... emaklah yang akan membantu saya. Kerepek daun kesum tu emak
yang akan goreng. Saya bantu apa yang patut. Buat sementara ni saya akan
belajar buat kerepek daun kesum dari emak. Bila saya dah pandai, saya sendiri
yang akan buat kerepek daun kesum tu tapi emak perlu pantau supaya rasanya
dapat dikekalkan. Kerepek daun kesum ni resipi asli emak, buatan emak memang
sedap dan saya yakin pelanggan yang makan kerepek daun kesum buatan emak tak
akan beralih kepada kerepek orang lain,”
Mak Piah tersengih mendengar pujian Azhar. “Siapa yang nak beli kerepek daun
kesum kamu tu?” soalnya setagal kemudian.
“Setakat ni saya dah ada lima puluh orang pembeli, mak! Mereka dah buat
tempahan melalui whatsapp,” jawab Azhar.
“Jadi kita kena buat lima puluh bungkus... banyak tu...”
“Ya, mak!” cantas Azhar cepat. “Ni baru hasil dari iklan yang saya buat
dalam facebook. Insya-Allah, pelanggan
kita akan bertambah bila iklan melalui blog
yang sedang saya usahakan ni siap nanti,”
“Kalau permintaan terlalu banyak, emak tak mampu nak goreng kerepek tu,”
ujar Mak Piah.
“Itu mak jangan bimbang. Jika pelanggan kita dah terlalu ramai, saya akan
ambil pembantu untuk tolong kita,”
“Mak doakan semoga kamu akan
berjaya, Azhar!”
Azhar mengangguk senang, “Terima
kasihlah, mak! Hanya doa dari emak yang saya harapkan!”
* * *
Pagi Ahad tenang.
Kabus sudah lama menghilang diserap cahaya matahari yang menerjah agak panas
dari pundak langit. Ceridau unggas-unggas hutan sekitar jalan yang dilalui Azhar
hingar seperti ghalib.
Pagi ini selepas menunaikan solat
fardu Subuh, Azhar mulai bergerak membuat penghantaran kerepek daun kesum yang
ditempah oleh pelanggan. Dengan motosikal Kriss Modenas 110cc-nya, Azhar menempuh
jalan-jalan berliku, lorong-lorong sempit, kesesakan kenderaan dan juga
simpang-siur para pekerja kedai, kilang dan juga warga asing.
Hari pertama memulakan khidmat penghantaran kerepek daun kesum kepada para
pelanggan memang amat meletihkan. Di samping terpaksa meredah pelbagai halangan
di atas jalan dan lorong, Azhar juga terpaksa menghadapi pelbagai kerenah
pelanggan. Ada pelanggan yang kurang puas hati dengan cara pembungkusan yang
kononnya tak cantik, ada yang mencebek kerana lambat menerima tempahan walaupun
hanya satu atau dua minit saja lambatnya, dan tak kurang juga yang membatalkan
tempahan pada saat-saat akhir dengan alasan yang pelbagai. Namun semangat Azhar
tidak mudah cair dengan semua dugaan tersebut.
Bagi Azhar, itu adalah kendala atau hambatan kecil yang harus dihadapinya.
Selagi ada sabar dan tawakal, pasti ada kejayaan, kalau orang lain boleh buat, kenapa
dia tidak boleh melakukan perkara yang sama. Puan Julia merupakan idola Azhar
ketika ini. Dia ingin berjaya seperti bekas majikannya itu.
Setahu Azhar, produk jus delima Puan
Julia sudah mencecah pasaran seluruh pelosok negara. Selain menjual jus delima
secara online, Puan Julia juga
menjual makanan sejuk-beku. Semua itu merupakan wang masuk kepada Puan Julia. Cara
itulah yang akan dilakukan oleh Azhar sekarang.
Sekali-kali Azhar tidak menyesal memilih kerepek daun kesum sebagai
sumber rezekinya. Baginya, kerepek daun kesum adalah satu snek yang berkhasiat.
Daun kunyit juga sudah sinonim dengan dapur di Malaysia dan telahpun digunapakai
sejak zaman berzaman. Seiring dengan transformasi pemakanan rakyat Malaysia, Azhar
berasa wajar untuk mengolah semula daun herba tradisi ini supaya sesuai dengan
citarasa moden. Kerepek daun kesum Azhar ini
masih mengekalkan khasiat semulajadi yang terdapat sejak lama dan pada masa sama
mempunyai aroma menarik dan kerangupan menyelerakan menjadikannya makanan
ringan yang enak dimakan tidak mengira waktu.
Azhar
yakin, perniagaan kerepek daun kesum ini adalah satu perniagaan
yang sangat tinggi prospeknya. Tidak semua pelanggannya ingin keluar dari rumah
untuk mencari kerepek daun kesum yang dijual di pasaran. Lagipun, kerepek daun
kesum agak sukar ditemui di pasaran. Lantaran itulah Azhar yakin perniagaannya
akan berjaya. Cuma masa saja yang menentukan.
Alhamdulillah, lebih kurang beberapa minggu saja berita tentang perkhidmatan online kerepek daun kesum Azhar sudah
tersebar seperti angin. Masuk bulan ketiga, tempahan sudah mulai meningkat dari
100 bungkus kepada 150 bungkus seminggu.
“Kita kena upah orang bungkus kerepek
daun kesum kita, Azhar!” ujar Mak Piah malam itu sebaik dia dan Azhar selesai
menjamah makanan malam.
“Iya, kerepek daun kesum kita
sekarang sudah ditempah oleh kakitangan pejabat swasta dan juga kerajaan, mak,”
balas Azhar. “Saya rasa, saya juga perlu cari pembantu untuk menghantar kerepek
tu. Saya tak mampu nak buat seorang. Lagipun, saya akan cuba memasuki pasaran
di kedai-kedai runcit. Kalau berjaya, sudah pasti tempahannya semakin banyak,”
“Kamu buatlah apa yang baik untuk
perniagaan kamu, Azhar! Mak sokong saja,” ujar Mak Piah memberi perangsang kepada
Azhar.
Lebih kurang enam bulan selepas itu,
perniagaan kerepek daun kesum online milik
Azhar sudah mula menampakkan pengembangan pesatnya. Seorang pembekal kerepek tiba-tiba
menawarkan satu peluang baru kepada Azhar asalkan Azhar sanggup membekalkannya
20,000 bungkus kerepek daun kesum setiap bulan untuk diedarkan ke seluruh
Malaysia. Tawaran ini diterima Azhar dengan perasaan yang sungguh resah kerana ketidakmampuannya
menggoreng dan membungkus kerepek daun kesum sebanyak itu setiap bulan. Setakat
ini Azhar hanya mempunyai dua orang pembantu saja, seorang dalam urusan
pembungkusan dan seorang lagi dalam urusan penghantaran. Untuk menyediakan 20,000
bungkus kerepek daun kesum memerlukan sekurang-kurangnya 10 orang pekerja
kecuali Azhar mampu membeli sebuah mesin penggoreng dan pembungkus secara
moden. Harga mesin penggoreng dan pembungkus itu mencecah RM40,000.00, tidak
mampu disediakan oleh Azhar.
Malam itu wajah Azhar agak muram. Sebaik selesai solat Isya, dia termenung
di ruang tamu sambil menyandarkan badannya ke dinding. Gelagatnya dapat dikesan
oleh Mak Piah.
“Kenapa dengan kamu ni, Har? Macam
orang mati bini saja!” tanya Mak Piah lalu melabuhkan punggungnya di hadapan Azhar.
“Tak ada apa-apa, mak!” ujar Azhar
acuh tak acuh.
“Hai, tak kan tak ada apa-apa!” Mak Piah
sedikit tersenyum. “Kamu ni berangan nak kahwin agaknya?”
“Tak adalah, mak! Takkan saya nak
kahwin pula! Hidup saya sendiri masih terumbang-ambing, bagaimana nak bagi anak
dara orang makan?” jawab Azhar.
“Habis, yang kamu termenung tu,
kenapa?” Mak Piah ingin mencungkil.
“Saya memikirkan soal perniagaan
saya ni, mak!” ujar Azhar polos.
“Kenapa?” tanya Mak Piah tercolek
ingin tahu.
“Baru-baru ni saya dapat tawaran
dari seorang pembekal kerepek di Kuala Lumpur. Dia minta kita bekalkan 20,000
bungkus sebulan. Inlah yang saya sedang fikirkan ni...”
“Apa yang susahnya? Kita buat
sajalah untuk dia,” Mak Piah bersahaja.
“Tak sanggup saya, mak!” balas Azhar
waras. “20,000 bungkus tu bukannya sikit, mahu terlucut tangan kita dari
bahu...”
Biji mata Mak Piah gesit terbeliak. Baru dia sedar bahawa untuk menggoreng
dan membungkus 20,000 bungkus kerepek daun kesum itu bukannya mudah. “Habis,
apa cadangan kamu?” soalnya setagal kemudian.
Azhar tidak menjawab sebaliknya mengeluh. “Inilah agaknya yang dikatakan hambatan
untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya!” ujarnya lirih.
“Sabarlah, Har! Emak yakin, masalah
ni akan berjaya juga kamu atasi dan mak tak putus-putus berdoa kepada Tuhan
semoga kamu akan berjaya!” ujar Mak Piah dalam usaha mententeramkan hati Azhar.
Azhar kembali mengukirkan sebuah
senyuman untuk ibunya.
“Eh, abang kamu janji nak balik
petang Jumaat ni,” ujar Mak Piah lagi cuba mengalih tajuk perbualan.
Azhar tersengih. “Baguslah, lagipun
memang abang dah lama tak balik! Err, mana emak tahu?”
“Dia ada telefon emak tadi!” jawab
Mak Piah.
“Dia balik seorang atau dengan Kak
Mazniah sekali?”
“Entahlah! Mak rasa tentu dia akan
balik bersama keluarga,”
“Entah-entah dia nak suruh saya
hentikan perniagaan kerepek daun kesum online
saya tak?” Azhar sekadar menduga.
“His, tak baik kamu berburuk sangka
dengan abang kamu!” Mak Piah gesit menjegilkan biji matanya ke arah Azhar.
“Manalah tahu, mak!”
“Mak tak yakin yang abang Karim kamu
tu nak buat macam tu lagi,” ujar Mak Piah. “Lagipun, takkanlah dia tergamak nak
ganggu periok nasi adiknya sendiri!”
Malam itu, Azhar agak gelisah dengan
berita kepulangan abangnya. Dia bimbang abangnya itu akan kembali mengungkit
soal malu beradikkan seorang penjual kerepek daun kesum online. Kalaulah kali ini emaknya termakan kata-kata Karim,
bermakna Azhar akan kehilangan tempat untuk mencagunkan wawasan masa depannya
di bidang perniagaan online.
* * *
Pagi Sabtu
yang ceria dan segar. Hari untuk Azhar bercuti dari menghantar kerepek daun
kesum tempahan pelanggan. Kabus masih berkelun di sekitar rumah. Ceridau unggas
cagun berselerak. Masing-masing keluar dari sarang untuk mencari rezeki
kurniaan Tuhan.
Sebaik selesai bersarapan pagi, Azhar
sudah mengatur langkah ke pejabat Puan Julia. Tujuannya pagi itu ialah untuk
menceritakan masalah yang dihadapinya. Ketika itu Karim masih belum bangun
lagi. Cuma Mazniah saja yang sudah bangun untuk membantu Mak Piah di dapur.
“Masalah ni boleh diselesaikan, Har!”
ujar Puan Julia tenang sebaik mendengar luahan masalah Azhar. “Saya cadangkan
kamu ke pejabat Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan
Sederhana (SMIDEC). SMIDEC ni agensi Kerajaan utama yang bertanggungjawab
menyelaras pembangunan industri kecil sederhana (IKS). Selain menawarkan
khidmat nasihat berkaitan pembangunan industri, agensi ni juga menyediakan
program latihan dan pembangunan untuk orang ramai dan pengusaha IKS,”
Azhar mengeluh rengsa. Sudah pasti memakan masa yang lama
untuk berurusan dengan SMIDEC bagi menyelesaikan masalahnya. Yang dibayangkannya
sekarang ialah cita-cita dan wawasan masa depannya. Apakah cita-citaku ini akan
berkubur di sini sahaja?
Dalam
perjalanan pulang pelbagai rasa menghenyak ruang dadanya. Rasa kecewa begitu
menggelodar. Di atas kerusi di ruang beranda rumahnya dilabuhkan punggungnya
dengan riak wajah yang pudar.
“Hai, apa yang kamu menungkan tu?”
Tiba-tiba satu suara mencerlus dari
arah belakang Azhar. Gesit dia menoleh. Tertancaplah abangnya Karim di muka pintu
menghala ke beranda. Mendadak pula perasaan Azhar semakin tertekan persis ada
sebatang beluti menghempap kepalanya.
“Apa yang kamu menungkan, Har?”
tanya Karim lagi lalu perlahan-lahan menghampiri Azhar.
“Err, tak ada apa-apa, bang!” agak
gugup Azhar bersuara.
“Takkan tak ada apa-apa!” Karim
tersenyum manis. “Abang tahu, kamu ada masalah!”
Azhar diterpa rasa serba salah
hendak menjelaskan perkara yang sebenar kepada abangnya.
“Tak usahlah kamu nak sembunyikannya lagi dengan abang. Emak dah ceritakan
segala masalah kamu pada abang,” jelas Karim setagal kemudian. Nada suaranya
tenang dan mesra.
Azhar terkesip-kesip biji matanya.
Sejurus kemudian dia bersuara untuk mendapatkan pandangan abangnya, “Err,
bagaimana pendapat abang kalau saya panjangkan masalah saya ni ke pejabat SMIDEC?”
“Untuk apa?” tanya Karim.
“Untuk dapatkan bantuan mesin
penggoreng dan pembungkus kerepek daun kesum saya tu?” ujar Azhar.
Karim tersenyum tenang, “Tak
payahlah, Har! Abang rasa kamu tak payahlah minta bantuan dari SMIDEC,”
“Tapi... macam mana dengan tawaran dari pembekal kerepek 20,000 bungkus
sebulan tu?” Azhar berasa amat rugi jika menolak tawaran tersebut. Sudah pasti
tawaran yang serupa tidak akan datang lagi jika dia menolaknya sekarang.
“Terima saja tawaran tu, Har!” tegas
Karim polos.
“Kalau terima tawaran tu, bermakna
saya terpaksa beli mesin penggoreng dan pembungkus moden, bang!” ujar Azhar
sungguh-sungguh.
“Masalah tu kecil saja, Har! Kita
beli saja mesin penggoreng dan pembungkus yang kamu perlukan tu,” tenang Karim
mencerluskan suaranya.
“Tapi... harga mesin tu mahal, bang!
Mana saya ada duit nak beli dua buah mesin tu,” Azhar mencegatkan hakikat kemampuan
dirinya.
Karim mengangguk-angguk bagaikan
faham. “Abang sungguh bangga ada seorang adik yang mahu berusaha begini. Abang
tahu, Har ada semangat juang yang tinggi, ada wawasan masa depan yang jelas,
ada jati diri, ada kemahuan, ada kerajinan, iltizam dan sebagainya dan abang
rasa bersalah jika tak bantu adik abang,”
Senyuman Azhar mengembang lebar
lebih-lebih lagi kala belakangnya ditepuk berkali-kali oleh Karim.
“Lepas ni kamu jangan risau lagi
soal mesin penggoreng dan pembungkus kerepek daun kesum tu,” ujar Karim
seterusnya. “Yang penting kamu teruskan perniagaan kerepek daun kesum online ni sehingga berjaya. Abang nak
lihat kamu jadi seorang usahawan online
yang mampu mencecah pasaran global. Kebetulan abang kenal dengan seorang
pembekal daun kunyit, abang dah hubungi dia sebaik emak bagitahu yang kamu nak
bekal 20,000 bungkus kerepek daun tu sebulan. Dia dah bersetuju nak jadi
pembekal daun kunyit kepada kamu selagi kamu mahu. Err, abang juga dah
berbincang dengan Kak Mazniah kamu soal mesin penggoreng dan pembungkus kerepek
tu. Dia dah bersetuju. Kami akan membantu kamu. Abang akan hulurkan modal untuk
kamu beli mesin penggoreng dan pembungkus kerepek yang kamu perlukan tu.
Besarkan lagi kawasan edaran kerepek daun kesum kamu,” tambahnya lagi panjang
lebar.
Azhar seakan terkedu mendengar
penjelasan abangnya itu. Serasa bagaikan bermimpi namun tanpa disedari kedua-dua
tangannya gesit memeluk abangnya sambil menitiskan air mata gembira. “Terima
kasih, bang!” hanya itu saja yang mampu dicetuskan dari bibirnya.
“Sudahlah,
Har! Mari kita ke dapur dulu makan apa yang ada sebelum kita pergi beli mesin yang
kamu perlukan tu!” ujar Karim lalu merangkul bahu Azhar penuh
kemesraan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan