SMAHADZIR
KONIA mataku jelas melihat, telinga fasih menangkap butir kalimat, namun halkum diborgol kejur. Yusha sugul sebam di pinggir katil, sesekali mengesat air mata yang jujuh. Pembedahan baru selesai setelah metanephrine dan catecholamine dilakukan - paras vanillylmandelic acid (VMA) dalam air kencing tinggi. Medula buar merembes hormon catecholamines akibat ketumbuhan kelenjar adrenal. Hipertensi melebihi 140/90.
“Maaf
Cik Yusha! Kami sudah cuba sedaya upaya tapi Tuhan lebih menyayangi dia!”
Satu
suara gelincir lirih. Doktor Ikram separuh memujuk - antara pakar perubatan dan
endokrinologi, berwajah pudar melimpah simpati.
Aku
melihat Yusha diam. Anak bongsu yang cukup setia menemani sepanjang aku
dimasukkan ke sini. Mata dulu laksana kejora gemilang, kini bergenang, melontar
jelu kepadaku. Di kelenjar adrenal bergegar dengan pesta dekah riang phaeochromocytoma, rakus membaham sajian
mesiu spironolactone. Glomerulnefritis
geliang geliut berdansa di bengkakan arterisklerosis, menyanyi sihir merdangga
mencokot renal artery stenosis.
“Urghhhh!
Sial kalian!!! Penyakit celaka penyebab aku kehilangan segala kenikmatan
duniawi!!” Meledak hamburan makian, namun ketawa terus bingar dan pesta dansa
tetap miang bergelinyau. Phaeochromocytome
mengilai menyergah juzuk badaniah, glomerulnefritis
menggelinyang kemabukan ghairah memokah dinding jasadiah.
“Manusia
cupar! Ini sunan al-kawn! Waktu
senang waktu susah, sama saja! Memang kau manusia kuffar, tidak berpegang kepada tauhid uluhiyyah!!”
“Hei...
hei...! Hentikan omelan itu. Aku jelak, aku bingung!!”
“Jelak
kerana tidak mahu mengaut ilmu. Bingung kerana jahil lalu tidak beriman dengan
hukum takdir putusan Allah. Mudarat atau manfaat tidak akan berlaku tanpa
sebab!”
“Aghhhh!!!”
Suasana
ilam-ilam, lampu mengintai malas, jendela bilik dikitar angin dingin, wad kelas
A bilik nombor 3 galak menyendat hidung dengan aroma spironolactone.
Yusha
gelisar. Kerudung jerau nyalar dilingkar ke leher serba cabuh. Alam luar buar
berkabut, seakan melilau mencari bulan di tengah ketukan sepi. Ayah di sisi
tetap kejur dipeluk renjisan cahaya lampu temaram.
Dari
atas katil, aku lihat melalui kaca empat segi kecil di pintu, Yusman dan
Yusmizal menjengul. Sebam wajah, kalut menolak lawang pintu dan tercangip
menerpa. Yusha meluru memeluk Yusman. Ada geru berbaur sendu. Yusmizal tunduk
dan mengelus wajahku, penuh kasih.
“Lihat,
betapa kasih dan sayangnya anak-anakmu! Sayang, bibir mereka muflis kalimah
syahadah. Lidah mereka naif dengan Fatihah,” sinis phaeochromocytoma menggasak mengusik kuping. “Sebentar lagi kau
akan dibawa pulang ke banglo mewah pinggir bukit,”
“Errrr,
bila ayah meninggal?” Yusman mencerlus.
“Lebih
kurang lima belas minit yang lalu, bang!” sugul Yusha belum berubah.
“Hei,
tak perlu cepat pulang! Aku belum puas!” glomerulnefritis
gesit melahap dinding renal artery
stenosis, rakus memburai perut arterisklerosis.
Penyakit
celaka! Kaki kananku spontan terhayun. Aku tersenyum melihat glomerulnefritis mengutip serpihan
mukanya, berkecai beraduk buakan darah. Namun lidah jalang dan gigi runcingnya
cepat pula menggerumis juxtaglomerular
apparatusku.
Sialan!!
Geruan bingar sewaktu tapak kakiku melanyak kepalanya. Hormon aldosteron berbusa-busa, renin
berlambakan di lantai hiperaldosteron
primer. Hei, siapa lagi mahu merasa penanganku? Semua diam.
Selamat
tinggal wad kelas A nombor 3. Mercedez mahal dipandu Yusmizal menderu membelah
malam. Angin berbunga gelombang. Aku bingkas ke sisi Yusha tepian tingkap,
melihat kunang-kunang kota raya di bawah percikan malas bulan dan ilam langit.
Menunda-nunda mengejarku. Ada aroma serbat ijajil mencumbu di kerlipannya yang
galak. Tegunku cepat terpantul. Perca-perca selamat tinggal rengsa bertabur di
celah dua sayap gepengnya yang jarang dan mudah lopong.
“Selamat
tinggal segala kenangan indah bersama kalian!” Lambaian sayu bertingkah tangis
jelu mengasak-ngasak langking malam.
Banglo
mewah bentuk Edward putih asmaradanta sergam pinggir bukit sesak dengan orang
ramai. Masing-masing menanti jenazah. Semua nampak sugul. Rengsa terhenyak dari
wad kelas A nombor 3 lenyap kala ditandu ke ruang tamu. Angin berkisar dari
putaran kipas antik di siling. Lelahku melayah di celah aroma sendu
sanak-saudara yang berselerak. Terpelosok di tengah onggok jelu sahabat taulan
yang berkecamuk.
“Kasihan!
Baru dua bulan isterinya meninggal, kini dia pula menyusul!”
“Sakit
apa?”
“Khabarnya,
lemah jantung! Pengsan di ekuestrian kala mendengar berita saham merudum!”
“Sudah
kehendak-Nya!!” keluhan redha berbaur simpati himpang di mana-mana.
“Hei,
bacaan asing apa itu bersipongang mengusik tidur pagi?” Pertanyaan sentak
menggelincir dari perabot-perabot antik disambut gelengan keras permaidani
cantik. Lebar belangah dinding dan siling.
Jelas
bukan suara Britney Spears dengan Crazy atau Baby One More Time
atau Mouseketeer. Tidak juga If I Let You Go atau Swear It
Again dari Westlife. Apalagi suara-suara R&B dari N’Sync, Five, 98
Degree, No Mercy, 911, Code Red dan entah apa-apa lagi yang nyalar diputar jiwa
remaja Yusha. Asing sungguh. Bacaan apa itu?
Jantung
bergetar melonjak hipertensi ke takah 148/98, membuak catecholamines membanjiri medula. Terhinggut-hinggut phaeochromocytoma dan glomerulnefritis menonggang adrenal.
Gerahku akas menyengat. Penyakit haram jadah!! Ini bukan gelanggang ekuestrian!
“Ini
malam belasungkawa!” Angin kitaran kipas menjinjing jawapan dari pokok-pokok di
luar banglo. “Memang kalian asing dengan kalimah suratul Ikhlas dan Yassin!”
Masing-masing
tercengang. Phaeochromocytoma dan glomerulnefritis tercenung mengusap
bekas sergapan tapak tanganku di pipi mereka seraya menonong mencerlung diri
mengatur langkah ke bilik bacaan di tingkat dua.
“Masuklah!”
Tombol pintu senyum. “Harta-harta tinggalanmu sedang dibedak-bedak!” menokok
sinis. Memerlip-merlipkan tubuh tembaganya. “Terlalu gesit?”
“Itu
mangli!” Mengirai pula ketawa sinis. “Harta itu berhala zaman canggih. Manusia
sanggup gadai akal untuk membeli harta! Begitulah anak-anak miskin didikan
agama!” Disambut hamburan ketawa, lebih sinis lebih bingar. Dinding, lantai,
siling, perabot, buku-buku dan semuanya terbahak-bahak, santak menyusul sedak.
Babi sial!! Kalian ketawakan aku ye? Nanti...
nanti bulldog aku akan mengajar
kalian seperti dia memburaikan perut kucing kurap kedengking itu tempoh hari.
Miauuu!!
Haiwan
jelek melidi itu meluru rengsa menyelongkar tong sampah belakang dapur. Gelojoh
melahap apa saja hasil buangan yang berselerak. Aku mendidih. Celaka!!
Bagaimana kau masuk ke sini hah? Bunuh dia ‘Mr. Ugly Face’! Bunuh kucing kurap
itu! Mahu kalian jadi begitu? Atau mencirit pukang seperti mereka dua hari
sebelum itu?
“Siapa
mereka di pintu besar sana? Apa mereka buta huruf dengan notis beware of dog depan pintu besar?” Aku
menjegil besar ke arah tukang kebun.
“Err...
mereka peminta sedekah dan sekumpulan anak-anak yatim!”
“Sial!! Untuk apa mereka ke mari?”
“Mahu...
mahu minta derma ikhlas, tuan!”
“Ada
mereka tunjukkan permit kutip derma?” Aku mengelus-elus belakang bulldog yang galak menderam lebih-lebih
lagi kala melihat tukang kebun menggeleng lemah.
Huh,
aku mendengus kuat. “Ramai penipu suka ambil kesempatan dari orang kaya macam
aku! Tidak ada permit kutip derma, bermakna nak menipulah tu!”
Tidak
sukar untuk mengajar penipu-penipu itu. Siulanku mudah difahami bulldog. Hasilnya, senyumku murup lebar
melihat gelandangan capik jembel itu terhegeh-hegeh mengheret kaki untutnya.
Jeritan anak-anak yatim itu bingar cempera. Hah, mahu kalian begitu? Mahu?
Semua
diam. Masing-masing menggeletar. Hmmm, tidak rugi aku memelihara anjing hodoh
garang itu, mengusapnya saban pagi, memandikannya setiap hari dan menatangnya
bagai minyak yang penuh. Banyak jasanya padaku.
Langking
malam kian pudar. Aku masih melilau sekitar sebelum ke pembaringan menyarati
detik ke lahud. Melihat-lihat harta-harta kesayanganku buat akhir kali. Pawagam
mini yang selalu menghiburkan. Kereta-kereta mewah yang selalu menggunungkan
takah banggaku. Pakaian mahal yang selalu melebarkan lautan riakku. Dan
segalanya yang melangitkan aku.
‘Sesungguhnya
Kami menjadikan apa yang ada di muka bumi ini sebagai perhiasan baginya kerana
Kami hendak menguji mereka, siapakah antaranya yang lebih baik amalnya.’ (surah
Al Kahfi ayat 7).
Pagi
suam sudah menjengul, mengendap lawang hari. Mentari malu-malu mengintai dan
lunak menyapa di celah jendela. Kain batik Jawa panjang segera kusingkap,
bingkas dan merungut melihat rumput permaidani depan banglo lunyai diinjak kaki
pelawat. Jahanam! Semakin ramai. Mereka mengendong bungkusan-bungkusan takziah.
Getol tangan Yusmizal, Yusman dan Yusha menyambut hadiah-hadiah itu.
“Hei,
usah berlengah! Kau akan dimandi, diwuduk dan dikafankan!” Seperti angin aku
ditolak ke satu pojok.
“Kenapa
perlu itu semua, hah?” Gagal membendung pertanyaan, air mendidih, membuak-buak
dalam baldi-baldi plastik melekat di mata.
“Batas
di antara seseorang itu dengan kekufuran ialah meninggalkan solat. Tubuhmu
terlalu jijik. Seluruh anggotamu bergelumang bejat kohong! Tak pernah diilir
dengan air wuduk! Kau akan dikafankan sebagai selimut di alam lahud!”
Onggok-onggok
asap berkelun bergumpal-gumpal. Wap panas menyelinap ke rongga-rongga roma. Ada
suara ketawa keriangan di luar banglo. Pokok-pokok, daun-daun, batang-batang,
dahan-dahan, ranting-ranting - semuanya bertepuk tangan.
“Haram
jadah kaliannnnnn!!”
“Aku
antara jisim pembina jasad insaniah. Tanah, air, api, angin. Tugasku membasuh
mulut cuparmu yang sarat dengan maki-hamun, sumpah seranah. Kaki yang getol
menyepak haiwan kelaparan tidak berdosa. Tanganmu yang kikir, nyalar menolak
pertolongan manusia daif. Seluruh anggotamu yang berselopiang dengan
kemungkaran!”
Dunia
gesit cabuh. Angin bergulung-gulung, membalun mulutku. Tanah bergumpal-gumpal
menghenyak kakiku. Api berkalung-kalung merentung tanganku. Air berpusar-pusar
mengkitar-kitar seluruh anggotaku. Akar kemanusiaanku berterbangan,
mengecai-ngecai separuh dari daging yang melekat di tulang jasadiah. Aku tidak
berdaya mengutip serpihan-serpihan daging itu yang terlantun dan berselerak di
sana sini.
“Kau
senasib Qarun. Tidak pernah mengingati Allah, kufur nikmat, sibuk dengan
harta!” Jasad mulai belayar di atas rumput-rumput hijau yang memalingkan muka.
Begitu jijik melihat aku.
“Kau
akan bersama Firaun. Terlalu kikir dengan kekayaan!” Muka tanah menjulur
onak-onak runcing menanti untuk memamah tapak kakiku.
“Kau
akan bertemu dengan Haman. Terpedaya dengan harta dunia!” Kucing kurap
kedengking memuntahkan sisa-sisa makanan yang diselongkar dari tong sampah
belakang banglo. “Nah, ambil kembali makanan basimu yang aku makan dulu!
Manusia asyi! Manusia kikir!!!
Bakhilllll!!!”
“Kami
pasangan yamassamu!” Sepanjang jalan berlajur perempuan pelbagai bangsa,
mendukung anak-anak kecil mungil persis wajahku. Mereka tanah subur, penyemai
zuriatku di serata pelosok dunia - Hong Kong, London, New York, Manila, New
Delhi, Paris, Bali, Denmark, LA...
“Kau
akan bersahabat dengan Ubai bin Khalaf. Kekayaanmu tidak dihabisi pada jalan
yang diredhai!” Seorang tua gelandangan capek menempik. “Nyah kau ke saqar dengan ego, bongkak, riak, angkuh,
bakhil, kikirmu!” Berbaur tingkahan anak-anak yatim, berderet dan bersiaga di
pintu masuk banglo. Berketul batu kerikil di tangan masing-masing. Merejam
mukaku sebaik tanduan melintasi mereka. Pesta sorak sorai dedaunan,
bunga-bunga, batang-batang, ranting-ranting, dahan-dahan dan segenap warga alam
bersipongang. Riang dan suka.
Celakaaaaa!
Mereka bergembira dengan kematianku?
Sabda
Junjungan: ‘Apabila anak Adam meninggal dunia maka putuslah semua amalannya
kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah (sedekah yang keka, ilmu yang memberi
manfaat dan anak soleh yang mendoakan dia.’
“Sudah
terputuslah hubungan kau dengan dunia fana, anak-anak kesayangan, sahabat
handai, rakan taulan dan segala kenikmatan yang nyalar kau kecapi. Tinggal
semua!”
Diam.
Bungkam. Khali. Kejur
“Mana
anak-anak soleh yang akan mendoakan aku? Ke mana harta-hartaku yang meruah
limpah selama ini dibelanjakan? Ke mana pula ilmu yang ada di dadaku ini telah
disalurkan? Aurghhhhhhh!!!!!!!!! Aku muflis segalanya!”
Lawang
lahud lebar bolong, menganga, menghimpit dan menghenyak. Mengecai seluruh muka,
daging-daging dan tulang temulangku. Lidahku tercaing, bibirku berserpihan
melontar batang-batang gigi yang nyalar membuang gizi lawwamah, melahap asyik makanan mazmumah.
Arterisklerosis menggelepar, renyuk renal artery stenosis, lunyai juxtaglomerular apparatus. Memburai
lenyap glomerulnefritis, lupus tuntas
phaeochromocytoma dilahap rakus
ular-ular besar, kala-kala gabai, lipan-lipan raksasa yang menggelinyang dari
lubang-lubang lahud.
Hanya
setagal menyatukan jasadiah kepada azali. Aku melayang-layang mencari jihat.
Entah di mana.
Sekonyong-konyong
awan bergumpal-gumpal dibalun wayu lalu membentuk kalimat az zilzal -
wamanyya’mal miskholazarrotin syarrayyaroh.
Buruj
berjatuhan.
Langit
insyiqaq.
Aku???
Tiada ulasan:
Catat Ulasan