Khamis, 21 Disember 2023

GETAR RASA SEORANG PEJUANG

SMAHADZIR

“MENULIS lagi?”

          Munshi menggeleng.

          “Kali terakhir aku baca tulisan kamu dalam Pelita Bahasa lebih lapan tahun lalu. Kenapa berhenti menulis? Perjuangan harus diteruskan.”

“Perjuangan apa lagi, Non? Aku dah tua. Lepas pencen guru, aku giat buat bengkel penulisan kreatif di ‘taman bahasa’ yang aku dirikan di tanah milik aku. Aku cuba didik anak bangsa jadi penulis. Aku mahu mereka perjuangkan bahasa Melayu melalui penulisan seperti yang kita buat dulu,”

“Kamu berjaya?”

“Tidak, aku kesal...”

“Zaman dah berubah, Munshi! Sekarang universiti dah berjaya lahirkan ramai penulis hebat,”

“Aku bangga dengan kehadiran penulis sekarang. Tapi, yang aku kesalkan ialah soal bahasa Melayu, soal memartabatkannya seperti yang kita perjuangkan dulu!”

“Apa yang kamu kesalkan lagi?”

Kita hanya ada satu bahasa saja, Non... bahasa Melayu. Kesan globalisasi paling kritikal dan zalim adalah terhadap bahasa dan budaya sesuatu bangsa,”

Shahnon gesit ketawa. “Itu rupanya kebimbangan kamu..”

“Jangan ketawakan aku, Non! Barangkali kamu masih belum sedar, globalisasi boleh menyebabkan kepupusan sesuatu bahasa!”

Shahnon terus ketawa.

“Aku sayangkan bahasa Melayu. Aku tak sanggup lihat warisan dan budaya bangsa ni pupus ditelan sejarah!”

“Siapa yang tak sayangkan bahasa Melayu, Munshi? Seperti kamu, aku juga turut sama-sama berjuang memartabatkan bahasa Melayu satu ketika dulu,”

“Habis, kenapa kamu tak sebimbang aku? Kenapa kamu tak setakut kehilangan bahasa Melayu seperti aku?”

“Sekarang ni dah banyak program kebahasaan dan kesusasteraan, Munshi! Ada kempen membaca, perkhemahan sastera, pertandingan debat, sayembara puisi, deklamasi sajak, pertandingan berbalas pantun, syarahan, sayembara menulis cerpen, puisi dan banyak lagi...”

“Aku tak nafikan... tapi program tu dilaksanakan sebagai satu rutin. Falsafah, semangat dan tujuannya tak benar-benar dapat dihayati khalayak,”

Shahnon terdiam. Matanya terkesip-kesip.       

“Kita mungkin kaya aktiviti, tapi kurang semangat yang dapat membakar perasaan cinta, kasih-sayang mendalam terhadap bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan,” ujar Munshi. “Falsafah dan wawasan sebalik pelaksanaan program mungkin tak diterangkan dengan jelas atau tak benar-benar meresapi jiwa peserta, penganjur dan pelaksanaannya,”

“Jangan prejudis, Munshi!”

           “Aku bukan prejudis, Non! Aku dah tua. Aku melihat secara orang tua. Perlu satu sasaran jelas, strategi, pendekatan dan program-program baru. Penting kita jadi realistik, letakkan keutamaan, sedar hakikat bahasa Melayu tak ada pembela lain selain dari bangsa Malaysia,”

Shahnon mengeluh berat.

Khali. Taman bunga pinggiran bandar raya canggih tenang. Meja simen bulat. Munshi duduk mendepani Shahnon, sahabat karib yang sudah lama tidak ditemui. Mereka sama-sama pejuang bahasa suatu ketika dulu. Musim bersilir sendalu. Bunga-bunga kertas murup cantik. Munshi jelu dalam hati mengenangkan, impian dan harapan silam dirasanya kecundang. Amat mencabuh perasaan.

          Sejarah perjuangan kita selama puluhan tahun mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa ilmu, bahasa perantara, bahasa perpaduan... dahpun berjaya. Aku lihat, tak ada apa yang perlu kita risaukan lagi. Pengisian dan pendaulatannya menjadikan kedudukan bahasa Melayu selangkah demi selangkah ambil tempat penting dalam pembinaan bangsa Malaysia,”

“Tapi aku masih kecewa dengan sikap segelintir masyarakat...”

Shahnon terkebil-kebil. “Kenapa dengan mereka?”

“Tak ada keprihatinan tinggi terhadap penggunaan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan. Err... mungkin pada kamu kecil tapi bagi aku besar kesannya..”

“Apa yang kamu maksudkan?”

“Pelbagai kesalahan bahasa terpampang di papan-papan tanda, memperlihatkan sikap tak bertanggungjawab untuk memelihara, membina, mengembang dan memajukan bahasa kebangsaan. Macam mana nak daulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran negara, bahasa utama di tempat awam dan bahasa citra bangsa, kalau soal ini tak diberi perhatian berat...”

          Shahnon diam. Suasana jadi hening, perlahan-lahan menghantar Munshi ke dimensi silam.

“Aku akan jadikan tanah ini ‘taman bahasa.’ Di sini akanku dirikan sebuah pusat melatih pencinta bahasa. Pencinta bahasa akan berkumpul di sini, dalam hubungan akrab, satu keluarga penuh cinta memartabatkan bahasa Melayu di puncak gemilang...”

Tolang tinggi dua pemelok dikapak lagi. Sudah dua hari usaha menumbangkan tolang terakhir itu dikerjakan. Sekitar kawasan sudah benderang. Sebaik tolang itu tumbang, kerja-kerja memerun reba kering akan bermula. Di situ akan didirikan sebuah rumah papan bagi melatih penulis menjadi pejuang yang akan terus berjuang mendaulatkan bahasa ke mercu dunia. Dia akan menamakan kawasan itu sebagai ‘taman bahasa’. Dia mahu anak cucunya tidak melupakan bahasa ibundanya itu.

“Rehat dulu bang! Abang tu guru, bukannya petani sepenuh masa! Balik makan dulu!!!” suara keloi Saripah dari arah dangau membuatkan dia gesit melangut ke langit. Tidak sedar matahari telah mencanak rembang.

           Munshi menyeka peluh dengan julai seputar. Batang kapak teras nyatuh disandarkan ke banir merbau. “Lepas asar nanti boleh sambung balik…,” bisik hatinya namun sejurus kemudian dia mengubah keputusan, “Ah, tinggal sikit saja lagi. Lebih baik teruskan!” Ulu kapak gesit dicapai, ayunan kuat hinggap lagi di batang tolang.

          “Huh, berangan lagi!” Shahnon menggeleng. “Sejak kita bertemu, aku tengok kamu asyik berangan saja. Kadang-kadang mencemek, tersenyum. Apa hal kamu ni, Munshi?” Direnung wajah tua Munshi. Ingatan silam berjela rakan lama seperjuangan itu tempiar bubar.

Munshi mengerisin, menggaru-garu kepala gondol berceracak uban renek sementara mata jatuh pada bunga-bunga kertas sekitar taman. Di sini tidak ada tolang, nyatuh, merbau, seperti dalam ingatan cabuh. Di sini, cuma ada bunga-bunga berkembangan cantik. Di depan sana ada papan-papan tanda, bahasanya ‘rojak’.

          Munshi mengeluh berat. Sekilas melihat wajah Shahnon. Suasana semi damai dengan hubub manja silir sendalu menerbangkan kembali ingatannya ke wilayah purba. Sekolah Melayu atap rumbia, tempat dia mengajar. Bukit Tolang. Saripah. Harapan dan impian.

          Aku gagal melaksanakan cita-cita murniku itu, Saripah! Kehancuran impian telah mengurungku dalam rintihan, pagutan kecewa, diledak jelu. Segalanya merakamkan kepiluan dibentuk oleh gegar kenyataan. Amat getir sekali mendepani hakikat ini. Lebih-lebih lagi dalam mengharungi usia tua begini. Apakah yang dapat aku lakukan lagi apabila sudah bergelar si tua? Aku bukan seorang sasterawan. Bukan seorang pejuang bahasa yang diagung-agungkan setara Juara Akademik Fantasia. Aku hanya si tua kerdil terhenyak oleh hasil perjuangan sia-sia.

Zaman sudah jauh berubah. Gesit dan lancar. Anak-anak kita seolah-olah bukan lagi anak Melayu yang sayangkan bahasanya. Bahasa harian bukan lagi bahasa Melayu tetapi bahasa Inggeris, kononnya lebih moden, lebih bergaya elit.

“Apa ada pada bahasa Melayu, ayah? Zaman sekarang bukan macam zaman ayah dulu. Sekarang zaman moden. Semua orang perlu fasih berbahasa Inggeris. Kalau tidak akan ketinggalan,”

          “Ayah tahu itu, Rashid! Kita perlu belajar bahasa asing, bukan sekadar bahasa Inggeris, bukan kerana ia bahasa lebih maju atau lebih baik budayanya, tapi untuk dapat ilmu dan maklumat yang terkandung dalamnya. Kita juga perlu belajar bahasa Mandarin kerana negara China semakin penting peranannya di pentas ekonomi dan politik serantau, malah dunia. Tapi, penggunaan bahasa asing ni berbentuk semasa, ikut keperluan dan kita belajar untuk satu tujuan khusus,”

          “Kalau ayah dah tahu, kenapa ayah tak suka anak cucu ayah bercakap bahasa Inggeris? Ini bahasa dunia, ayah! Zaman sekarang, kalau tak tahu berbahasa Inggeris, kita akan dipandang hina. Lagipun, apa gunanya kita belajar bahasa Inggeris kalau tak mahu mempraktikkannya dalam kehidupan seharian...”

Bukan itu saja. Soal ‘taman bahasa’ yang aku usahakan dulu juga menjadi kemarahan anak-anak kita, Saripah!

“Semua orang kata ayah gila nama! Profesor bahasa tak bertauliah!”

“Kamu juga kata begitu?”

          “Saya malu ayah! Bapa seorang pegawai bank, yang dulunya seorang pejuang bahasa, kini masih lagi mahu memperjuangkan bahasa. Konon bahasa Melayu belum lagi dimartabatkan. Apa lagi yang ayah mahukan? Bahasa Melayu dah jadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi negara, bahasa pengantar ilmu seperti ditetapkan oleh Perlembagaan. Lagi, dah berapa ramai ‘taman bahasa’ ayah lahirkan pejuang dan pencinta bahasa seperti ayah impikan?” Begitu marah Arshad, anak lelaki keduanya itu. Faridah isterinya bersahaja membelek akhbar tapi raut wajah mencerminkan sokongan.

Munshi mengeluh berat. Mati suaranya dengan kata-kata yang diluahkan Arshad.

“Cukuplah, Munshi! Orang tua macam kita ni tak elok melamun. Jom kita jalan-jalan!” ngeluyur benak cempera lagi. Shahnon memegang tangannya, seperti ingin menghela. Namun dilepaskan, bimbangkan rakannya itu tidak suka.

          “Kamu nak ajak aku ke mana?” Munshi bertanya, mata mengesip. “Di sini kan bagus. Ada bunga, taman, rama-rama. Anginpun tak henti-henti bertiup!”

          “Di sini aku macam tunggul. Kamu asyik melengung! Cakap berapi-rapi, lepas tu melengung.. cakap lagi, lepas tu melengung lagi,” Shahnon tersengih. Anak mata seperti memujuk.

          “Baiklah!” Munshi mengalah akhirnya lalu perlahan bangun. Pinggang tua dipicit-picit. Sengal kebas rasa menyengat.

“Kamu lihat tu, Munshi! Negara kita sekarang ni dah berubah benar. Tak macam zaman kita dulu! Dulu kita tulis pakai mesin taip, sekarang dah pakai komputer. Zaman globalisasi... zaman ICT...” Shahnon bersuara bangga. Mata dilemparkan ke bangunan-bangunan tinggi menjulang awan.

“Itulah yang menakutkan aku,” balas Munshi.

Shahnon tersentak kecil. “Apa yang kamu takutkan lagi?”

“Penekanan pada ICT era globalisasi dan liberalisasi ni bermakna penggunaan bahasa Inggeris jadi semakin penting dan tak dapat dielakkan,” tegas Munshi.

“Itu hakikat tak boleh dinafikan, Munshi! Kita harus redah globalisasi bukan larikan diri,”

“Aku tak suruh kamu lari...”

“Habis tu? Yang kamu takut bahasa Inggeris jadi lebih penting tu, kenapa?”

Aku bimbang, suatu hari nanti jika generasi akan datang tak ada kesedaran, kerja keras, pendekatan betul, kesatuan hati, kerjasama sesama mereka dan fokus tepat, bahasa kita mungkin hanya tinggal sejarah,” Munshi mengeluh berat.

Shahnon menggeleng. Rakannya itu tak habis-habis dengan keresahan dan kebimbangan. “Tak usahlah difikirkan lagi perkara tu, Munshi!” seperti memujuk. “Kita dah sampai depan masjid!” Tangan Munshi dihela duduk atas bangku kayu bawah pokok angsana rendang. “Di sini teduh. Anginpun banyak. Kamu boleh melengung puas-puas!”

          “Kamu macam marah,” Munshi ketawa kecil.

          “Pelik ya! Kamu tak macam orang lain. Akupun tua juga. Sejak tua ni, aku buang semua ingatan aku pada zaman silam. Tapi, kamu…” Shahnon mengerutkan keningnya yang memang sudah berkedut seribu.

          “Zaman silam kita tak sama, Non! Begitu juga dengan kenangan dan impian masa muda. Tentu berbeza!”

          “Sudahlah, Munshi! Tak usah dilayan sangat perasaan tu!” Shahnon mencerlus seperti memujuk.

          Berjenak Munshi terdiam. “Mungkin benar kata kamu… aku terlalu banyak melayan perasaan,” dia mengiyakan kata-kata Shahnon setagal kemudian. Pandangan sayu dilemparkan jauh-jauh ke halaman masjid. Dua tiga orang jemaah warawiri menikmati kesegaran angin petang.

          Suasana hening. Kesiur angin galak membelai. Pokok-pokok bunga kertas dan daun-daunnya menari-nari, lembut, sekali-sekala getar kasar. Bunga-bunga kering angsana terus melayang rontok, bertambun atas tanah.

          Azan maghrib berkumandang dari menara masjid. Munshi mengeluh dalam. Dipandang kiri kanan. Mentari sudah lama tenggelam. Lembayung senja bagai menyentap-nyentap hatinya. Hati seorang pejuang terhenyak sepertinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan