SMAHADZIR
RASA
takutku kepada malam bermula sejak kecil lagi. Kebetulan aku hidup di sebuah
kampung serba dhaif, serba kekurangan dan jauh dari proses modenisasi kota.
Kampungku tidak mempunyai bekalan elektrik yang membuatkan suasana malam akan
lebih menyeramkan.
Waktu malam dirasakan suatu ketika yang
cukup merimaskan, gelisah, resah, terkurung, terbelenggu dan sebagainya di mana
aku tidak dapat bergerak bebas baik di dalam rumah apalagi di halaman. Aku
tidak dapat bermain-main dengan rakan-rakan sebaya terutamanya ‘menggetah’
burung yang amat kugemari itu.
Pelita minyak tanah yang dipasang di
rumahku hanya berupaya menerangkan satu kawasan kecil saja. Ini membuatkan
keadaan menjadi temaram, kusam, kelam dan biji mataku nyalar saja ditipu oleh
pelbagai bayangan rupa hodoh dan menakutkan kepunyaan hantu yang bersembunyi
sebalik pintu, tiang, almari, dapur, di bawah pangkin, katil, dalam bilik tidur
dan sebagainya.
Boleh dikatakan, aku amat takut
walaupun disuruh oleh ayah atau ibu ke dapur untuk mengambil sesuatu. Ketika
itu seluruh tubuhku akan menggigil kerana merasakan seolah-olah ada hantu yang
berada di sampingku walau ke mana aku pergi.
Kala tidur pula, aku akan mencari
ruang di celah-celah ketiak ibu atau ayah biarpun adik kecilku sering merengek
kerana kebebasannya terganggu. Aku tidak pedulikan itu semua. Yang penting aku
dapat tidur di sisi ayah atau ibu kerana takutkan hantu malam.
Setelah aku akil baligh, perasaan
seram dan geman kepada malam masih melepa erat kendatipun tidak sehebat waktu
masih kecil. Aku mencari-cari sebab kenapa aku menjadi takut dan seram kepada
malam sedangkan sejak kecil aku tidak pernah bertemu atau terserempak dengan
apa-apa lembaga pada waktu tersebut.
Aku tidak pernah bertemu dengan
sebarang hantu yang amat kutakuti itu. Aku juga tidak pernah terkelih sebarang
kelibat yang menggerunkan. Aku terfikir sendiri, apakah kerana mainan perasaan
yang sememangnya takut lantaran nyalar ditakut-takutkan oleh ayah, ibu dan
orang-orang kampung lain dengan omongan seperti iblis, syaitan, hantu, polong,
pelesit, hantu raya, jerangkong, langsuir dan sebagainya?
“Ya!” kata ayah. “Makhluk-makhluk
halus itu dari golongan jin jahat lagi merosakkan.”
“Err, bagaimana ayah tahu?” soalku.
“Hadis Bukhari dan Muslim ada
meriwayatkan, dari Jabir bin Abdullah. Beliau berkata bahawa Rasulullah SAW
telah bersabda: “Matikanlah lampu-lampu itu pada malam hari ketika kalian
tidur. Tutuplah pintu-pintu, ikatlah mulut-mulut geriba, tutuplah makanan dan
minuman,” jelas ayah memulakan mukadimah penceritaannya.
Aku mengangguk dan mendengar dengan
teliti.
“Dalam sebuah riwayat lain,
ditambahkan, “Peluklah bayi-bayi kalian pada waktu tengah hari kerana jin
berkeliaran dan menyambar pada waktu tersebut,” jelas ayah.
Sejurus kemudian ayahpun menerangkan
bahawa dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW telah memerintahkan kita melakukan
lima perkara sebelum menutup hari dengan tidur. Ini sebuah langkah antisipasi
demi mengelakkan dari berlakunya kemaslahatan terhadap diri dan keluarga. Lima
perkara tersebut sekiranya dilaksanakan, akan menjauhkan kita dari sebarang
musibah lebih-lebih lagi kala sedang nyenyak atau sewaktu usai tidur.
“Apakah lima perkara yang Junjungan
arahkan supaya perlu kita laksanakan itu, ayah?” soalku ingin tahu.
“Pertama: padamkan semua lampu,” jelas
ayah.
“Kenapa?” tanyaku dengan dahi
berkerut. “Kenapa kita perlu tutup semua lampu sewaktu hendak tidur?”
“Barangkali ada antara kita yang suka
atau selesa tidur dalam suasana terang-benderang,” jelas ayah. “Kalau tidur
dalam suasana gelap gelita, diri akan berasa tak selesa, lemas atau rimas. Ada
yang berasa macam tidur dalam gua. Ada yang berasa nafas mereka tak senormal
ghalib. Namun, alangkah baiknya kalau semua ruang dalam rumah kita dalam
keadaan off. Biar keadaan gelap-gelemat atau biar dalam keadaan gelintin
pekat setiap juzuk. Sekiranya terang-benderang, akan lebih memudahkan
sese-orang yang berniat jahat jadi tambah tertarik setelah menyaksikan kekayaan
yang begitu menggoda nafsu mata mereka.”
“Kita ni orang miskin, ayah!” tukasku
mencegatkan hakikat kehidupan kami. “Mana ada harta kekayaan yang mampu menarik
minat orang jahat?”
Ayah tersenyum nipis. “Orang jahat tak
semestinya berniat nakkan harta kekayaan saja. Mereka bukan sekadar nak mencuri
atau menyamun saja. Kamu mesti ingat itu.”
“Habis, apa yang mereka mahukan lagi
ayah?” soalku.
“Boleh jadi mereka ada niat nak
merogol atau membunuh?” ujar ayah agak tegas dan waras. “Kalau melihat
seseorang tu sedang tidur dalam keadaan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat
mereka terutamanya orang perempuan, tentulah mereka akan menceroboh masuk ke
dalam rumah untuk melunaskan niat jahat mereka. Selepas itu, mereka akan
membunuh pula kerana takut rahsia mereka terbongkar yang boleh menyebabkan
mereka dibawa ke muka pengadilan untuk menerima hukuman dari perbuatan yang
telah mereka laksanakan.”
“Benar juga kata ayah,” ujarku mulai
faham. “Lagi?”
Ayah tersenyum senang. “Kedua: tutup
pintu,” ujarnya. “Meskipun kita sangat letih atau ada pembantu rumah yang boleh
diharap untuk melakukan kerja-kerja itu, kita tetap juga mesti memeriksa setiap
pintu dan tingkap sebelum tidur supaya tertutup dan dikunci rapi.”
“Kenapa ayah?”
“Selain mengantisipasi datang atau
masuknya orang-orang jahat yang akan merugikan kita seperti yang telah ayah
jelaskan tadi, juga untuk menjaga kemungkinan masuknya binatang-binatang
berbisa seperti ular, kala jengking, lipan dan sebagainya ke dalam rumah.
Binatang-binatang ini kalau sudah menggigit, boleh membawa maut kalau lambat
diberi rawatan,” ujar ayah.
Aku sekadar mengangguk.
“Yang ketiga dan keempat pula, kita
mesti menutup teko, mengikat geriba atau menudung semua mangkuk, pinggan,
gelas, cawan, periuk, belanga atau bekas-bekas lain yang berisi makanan serta
minuman,” tegas ayah.
“Kenapa kita harus berbuat begitu?”
soalku tak dapat ditahan-tahan.
“Sebabnya, sewaktu kita sedang tidur
nyenyak, itulah waktu paling selesa bagi tikus, cicak, lipas, kelkatu atau
serangga-serangga lain melaksanakan tugas mereka terutamanya di dapur. Jadi,
dengan menutup semua bekas tersebut, tak dapatlah serangga-serangga tu hinggap,
jilat, pijak, merayap dan meninggalkan kuman yang boleh membawa penyakit atas
makanan atau minuman kita. Serangga-serangga ni sangat kotor. Kaki mereka
dipenuhi pelbagai kuman atau virus pembawa penyakit. Kita harus berjaga-jaga
supaya mereka tak membiakkan kuman-kuman berpenyakit tu dalam makanan kita.”
“Yang kelima pula ayah?”
“Yang kelima, kita mesti melindungi
setiap ahli keluarga kita dari sebarang bahaya malam,” ujar ayah.
“Maksudnya?”
“Maksudnya, kanak-kanak kecil macam
kamu ni jangan dibiarkan terlalu bebas terutama jika hendak berkeliaran pada
waktu malam.”
“Kenapa pula tak boleh?”
“Malam terlalu banyak mengundang
bahaya yang tidak terjangkakan,” tegas ayah. “Tambahan kanak-kanak kecil macam
kamu ni masih belum mampu menduga apalagi nak menjaga diri sendiri atau
mengelakkan diri daripada musibah yang mungkin diwujudkan oleh bahaya-bahaya
tersebut.”
“Contohnya, ayah?”
“Contohnya, jika kamu berkeliaran pada
waktu malam, berkemungkinan besar kaki kamu akan tersandung akar kayu,
tunggul-tunggul kayu, batu-batu di jalan, terpelosok ke dalam lubang, tersepak
kepala atau badan ular yang berbisa, terpijak kala jengking atau juga tersentuh
lipan yang bisanya boleh membawa maut dalam sekelip mata.”
Aku mengangguk-angguk faham. Dengan
penerangan ayah itu, jelaslah kepadaku betapa larangan ayah ibu supaya tidak
berkeliaran pada waktu malam mempunyai banyak kebaikan tersirat kendatipun
objek-objek yang digunakan oleh mereka untuk menakutkan aku ialah hantu atau
syaitan yang hodoh lagi menyeramkan.
Sejak itu, barulah aku mengerti bahawa
ugutan takut oleh ayah dan ibu kala aku masih kecil dulu ada asasnya
tersendiri. Jin dan syaitan memang suka berkeliaran terutama pada waktu malam.
Makhluk ciptaan Allah SWT ini mampu menyelinap ke dalam kaca-kaca televisyen
yang ada di setiap rumah manusia. Anak-anak yang tidak diawasi akan mudah
dialpakan menyebabkan kerja lebih berfaedah seperti membaca buku-buku pelajaran
atau menyiapkan kerja-kerja sekolah yang diberi guru akan terbengkalai.
Secara logiknya, banyak kerja maksiat
atau perbuatan-perbuatan jahat mungkin berlaku pada waktu malam. Barangkali
kerana pelakunya lebih selesa menyempurnakan niat busuk mereka kerana kegelapan
malam berupaya menutup pandangan mata orang ramai dari melihat perbuatan salah
yang mereka lakukan. Tentu saja syaitan telah melindungi mereka dari
penglihatan orang ramai lalu mereka akan berasa tidak terganggu. Bukankah
syaitan itu suka kepada kerja-kerja yang dimurkai-Nya?
Walau bagaimanapun, aku tetap
mengakuri kata-kata ayah ini supaya sentiasa beringat dan berwaspada kala
menjelang malam. Sebaik senja berlabuh, berhati-hatilah! Biarpun ayahku sudah
jadi gemulah lebih sepuluh tahun lalu, kata-katanya tetap erat melepa di dasar
nubari. Aku panjangkan kata-kata berupa peringatan dan nasihat yang amat
berguna itu kepada anak-anak, kepada isteri, seluruh ahli keluarga, anak-anak
jiran dan sesiapa saja serta nyalar menekankan perhatian kepada malam baik
dalam soal keselamatan diri, rumah tangga mahupun dalam ibadat kepada Allah SWT.
Berhati-hatilah kerana malam berupaya
mengundang pelbagai peristiwa yang sukar hendak diramalkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan