SMAHADZIR
RASANYA sukar sekali mencari kata-kata untuk kurangkai-rangkai
menjadi sebuah cerita. Sudah satu jam sejak waktu subuh memudar. Aku duduk di
hadapan komputer di dalam bilikku. Biasanya aksara-aksara yang menghampiriku.
Aku hanya tinggal mengumpulkannya saja. Menyatu-nyatukannya menjadi
kalimat-kalimat. Dan, menggiringnya menjadi sebuah cerita. Entahlah, mungkin
terlalu banyak hal yang ingin kutulis, sehingga tidak satu ceritapun yang mampu
kuselesaikan. Baru kumulai menggarap satu idea, idea yang lain mengusik
keinginanku. Tidak mampu kukendalikan!
“Seburuk
apapun hasilnya, sebuah cerita harus tuntas digarap, sebelum penulis ingin
melangkah kepada cerita yang lainnya,” begitu nasihat seorang sasterawan
ternama yang tulisannya dimuatkan dalam sebuah majalah sastera.
Tetapi
sukar sekali kuterapkan ketika ini. Idea-idea itu menjejal ruang di kepalaku.
Berputar-putar seperti gasing. Ini membuatku pening. Sementara tidak cukup aksara
yang mampu kurangkai-rangkai untuk menyelesaikannya.
Ah!
Kumatikan komputerku. Kutinggalkan bilikku. Mungkin televisyen mampu sedikit
menyegarkan otakku?
“Artis
A bercerai dengan artis B,” kubalikkan channel
televisyen.
“Artis
B bercinta dengan artis C,” kutukarkan channel
televisyen.
“Artis
A memiliki hubungan dengan artis D,” kupicit punat ke channel televisyen lain.
“Artis
D mengugut akan menceraikan artis C, padahal mereka belum menikah!” Pulak?
Kupadamkan
televisyen. Kufikir, berita-berita itu tidak akan membantuku sama sekali. Untuk
beberapa ketika aku seperti kejang. Mundar-mandir hadapan belakang. Warawiri
tidak karuan. Dan, kepalaku menjadi sendat kerananya. Yongyat... libang libu...
Aku
balik semula ke bilikku. Kukemaskan cadar di atas katil. Kubaringkan tubuhku di
atasnya. Mataku baru dua jam terpejam ketika azan subuh membangunkanku.
Kedua-dua rakanku masih terlelap di bilik masing-masing. Ketika bangun subuh
tadi, kedua-duanya baru kembali dari tempat kerja. Mereka pemuzik. Yang satu
gitaris sebuah kugiran yang biasa memainkan lagu-lagu pop 50-an dari sebuah
kafe ke sebuah kafe lain, hampir setiap malam. Yang seorang lagi, kreografer
yang banyak menghabiskan waktunya di studio milik Raja Dangdut. Mereka seperti
seekor kelelawar yang mencari makan di kegelapan malam, dan kembali ke sarang
ketika pagi menjelang.
‘Huuuuaaaahhhhh!’
Mengantuk. Mataku terpejam. Tertidur.
Matahari
telah menuntaskan pendakiannya ke tiang tertinggi hari, duduk di hujung awan,
sinar matanya tajam menghujam ke bumi, cahayanya menyelinap melalui celah tirai
jendela bilikku yang terbuka. Panas!
‘Hayyaalashsolaaaaahhh!!!’
Suara muadzin bersaing dengan jerit sorak kanak-kanak yang bermain di lorong
sebelah rumah sewaanku. Kubuka mata. Beranjak ke bilik mandi. Kubasuh tubuh.
Wuuuiiih... segaaaarrr! Kulihat pintu bilik kedua-dua rakanku masih rapat.
Selepas solat zuhur, perutku mulai
berkeroncongan. Cacing-cacing di dalam perutku bertingkah lagaknya para rakyat
marhaen yang berdemontrasi menuntut apa saja demi kebaikan diri. Menimbulkan
suara ‘krukuk krukuk krukuk’ di dalam perutku. “Ah! Begini nasib jadi orang
bujang!” aku bersenandung, menyinis nasibku yang nyaris menyentuh umur tiga puluh
lapan tetapi masih lagi belum berkahwin. Nasib, nasib... mana ada perempuan
yang mahu dengan lelaki yang penghasilannya hanya cukup buat beli nasi bungkus!
Tetapi
aku amat bersyukur dengan apa yang sudah kudapati. Ini hanya persolaan pilihan
hidup. Dan, aku harus berani menanggung konsekuensinya. Menjadi penulis. Di
negara ini, profesyen itu masih dipandang sebelah mata.
“Kamu
tidak akan menjadi kaya dengan menjadi penulis!” begitu pendapat rakan
pemuzikku. Tidak apa buatku. Untuk menjadi bahagia, tidak harus menjadi kaya.
Tetapi aku akui, kadang-kadang kekayaan mampu membeli kebahagiaan. Namun,
penderitaan boleh juga bermula dari kekayaan. Gajah mati meninggalkan gading,
harimau mati meninggalkan belang, penulis mati meninggalkan karya. Aku hanya
seorang lulusan sekolah menengah. Setidak-tidaknya, aku tidak menyia-nyiakan pelajaran
yang pernah diberikan guru-guru Bahasa Melayuku dulu. Dan, aku cukup bahagia dengan
pilihanku.
“Sepinggan
nasi putih, sayur kangkung dan sekeping tempe goreng berlada.”
“Minumnya?”
“Air
kosong.”
“Sejuk?”
“Suam.”
Beberapa
ketika kemudian pelayan warung nasi itu menghidangkan pesanan di depanku.
Tersenyum. Aku membalas senyumnya.
Kupandang
hidangan di depanku. Benar-benar membangkitkan selera. Lebih-lebih lagi makan
sambil angkat kaki. Irama lagu Melayu kedengaran mengalun dari loud speaker peniaga kaset dan CD, yang
dibuka maksimum.
Aku
makan dengan lahap. Yeah, beginilah hari-hariku, makan di sebuah warung nasi di
pinggiran landasan kereta api dekat stesen. Aku suka menghabiskan waktu di
tempat itu. Baca buku sambil minum kopi. Atau, duduk di stesen dengan rakan-rakan
senasibku, sambil mengamati hiruk-pikuk kehidupan yang berlangsung di tempat
itu.
Biasanya,
kata-kata mampu berhamburan begitu saja dari alam bawah sedarku. Kalau aku sedang
‘miskin’, aku sering ikut rakan-rakan senasib mendendangkan lagu Melayu dari
satu gerabak ke gerabak lainnya. Tidak sia-sia aku memiliki rakan pemuzik. Mereka
mengajarku banyak perkara tentang gitar. Berkat tunjuk ajar mereka, aku cukup
fasih memainkan alat muzik yang satu itu. Yeah, lumayan juga buat isi perut.
Tetapi hari ini tidak kulihat rakan-rakan senasibku di stesen itu.
Petugas
stesen mengumumkan kedatangan kereta api dari arah utara, melalui alat pembesar
suara. Sayup-sayup terdengar derap langkah roda besi menggilas landasan semakin
mendekat. Bakal-bakal penumpang segera berdiri dari tempat duduk masing-masing.
Aku ikut berdiri. Aku tidak tahu kenapa aku ikut berdiri. Tetapi biar saja
kakiku menentukan langkahnya sendiri kali ini.
Kereta
api berhenti di stesen. Orang ramai berebut ke pintu. Kakiku membawa aku ke
dalam gerabak yang tidak terlalu sesak, tetapi tidak wajar pula dikatakan lengang.
Tujuan? Entah. Aku berdiri tidak jauh dari pintu. Kereta api bergerak
perlahan-lahan meninggalkan stesen. Irama lagu Melayu kedengaran semakin sayup
sebelum menghilang dari pendengaranku. Berganti dengan suara peniaga apa saja
yang bersahutan di dalam gerabak itu.
Seorang
lelaki berkemeja lengan panjang warna merah genggang berdiri di sebelahku,
memuntahkan sampah nikotin dari mulutnya yang hitam. Aku terbatuk-batuk, berusaha
memberikan isyarat kepadanya bahawa aku merasa terganggu dengan asap rokoknya.
Lelaki yang kukira usianya hampir sebaya denganku itu, hanya melirik sekilas.
Seperti ekzos lori balak, mulutnya yang hitam menyemburkan asap bertubi-tubi.
Mengepul. Mengepung wajahku. Kulihat matanya sinis melirik ke arahku. Aku
merasa tidak mahu terbatuk-batuk lagi.
Kereta
api bergegar. Memperlambatkan kelajuannya. Sebuah stesen jelas di hadapan.
Lelaki berkemeja lengan panjang warna merah genggang di sebelahku berjalan ke hadapan
pintu. Seorang perempuan gemuk yang - sebelum lelaki itu berdiri di hadapan
pintu bersedia untuk turun - berdiri di sebelahnya menyedari bahawa beg
tangannya telah koyak tersiat dan mendapati dompet duitnya lenyap. Perempuan
tersebut sudah mencurigai - sejak sebelum dia mendapati beg tangannya koyak
tersiat bahawa itu semua adalah kerja lelaki berkemeja lengan panjang tersebut.
Kereta
api belum berhenti sewaktu perempuan gemuk itu menjerit lantang seraya menuding
ke arah lelaki berkemeja lengan panjang yang sudah bersedia hendak melangkah
turun.
“Pencuri!!!
Penyeluk sakuuuuu!!! Tangkap diaaa!!!!!!”
Berpasang-pasang
mata segera menancap ke wajah lelaki tersebut. Wajahnya pucat serupa mayat. Dia
sedia melompat dari atas kereta api, namun dibatalkan. Seorang lelaki tiba-tiba
menarik tubuhnya kembali ke dalam gerabak. Beberapa orang penumpang turun, beberapa
orang penumpang yang lain pula naik. Sejurus kemudian kereta api mulai bergerak
meninggalkan stesen. Lelaki yang telah mencuri dompet duit perempuan gemuk tadi
dikerumuni.
Waktu
seolah-olah berhenti.
“Kurang
ajar! Belasah dia!!!”
“Bunuh!”
“Habiskan
dia! Menyusahkan orang saja!!”
“Pakai
lawa tapi pencurii!!!!!!”
Entah
siapa yang bersuara.
Buk!
“Aduhhh!”
Bukkk!
“Maafkan
aku!!!”
Bukkkk!!
“Maafkan aku!!!”
Bukkkk!
“Tolong ampunkan akuuuu...”
Crooootttt!
Darah
mengalir dari kepalanya.
Jreb!
Pisau
menancap di perutnya.
Bukkkk!
Bukkkk!
Bukkkk!
Bukkkk!
Darah!
Darah!! Darah!!!
Menoda
di mana-mana.
Lelaki
itu tumbang. Tersungkur bersimbah darah. Masih diinjak-injak. Tidak bergerak.
Mati? Masih diinjak-injak.
Orang
ramai masih menjerit-jerit:
“Kurang
ajar! Belasah dia!!!”
“Bunuh!”
“Habiskan
dia! Menyusahkan orang saja!!”
“Pakai
lawa tapi pencurii!!!!!!”
“Humbankan
saja keluar... biar dia mampus!!”
Lempar
ke luar?! Hiiiiyyy... aku berasa ngeri membayangkan hal itu.
Sejurus
kemudian dua orang lelaki memegang tangannya. Dua orang lelaki lagi memegang
kakinya. Dan keempat-empat lelaki itu menyeret tubuhnya ke hadapan pintu.
Mengangkatnya. Mengayun-ayun tubuh lelaki berkemeja lengan panjang warna merah
genggang tersebut. Mengambil langkah. Beberapa orang penumpang menjerit-jerit
sambil menutup mata. Beberapa orang penumpang lagi sekadar melopong. Beberapa
orang penumpang pula berusaha mencegah. Selebihnya hanya menjadi penonton saja.
Dan
aku? Aku tidak menyebelahi mana-mana pihak. Keempat-empat lelaki itu masih mengayun-ayun
tubuh lelaki berkemeja yang bersimbahan darah dan sudah kaku itu. Mungkin dia
sudah pengsan atau mati? Tidak seorangpun yang dapat memastikannya. Tetapi semua
orang yang berada di gerabak itu tahu, apa yang akan terjadi sewaktu
keempat-empat lelaki itu mulai menghitung: “Satu, dua, ti...”
Handphone di poket seluarku
bergetar. Aku terhenyak. Tersedar. Lelaki berkemeja lengan panjang warna merah
genggang masih berdiri di sebelahku. Mulutnya yang hitam masih saja mengepulkan
sampah nikotin ke udara. Perempuan gemuk yang berdiri di sebelahnya
terbatuk-batuk kerananya. Sedang lelaki itu masih saja tidak peduli. Padahal,
penampilannya kelihatan sangat terpelajar.
Kuterima
panggilan. Suasana gerabak amat bising. Sukar aku mendengar perbualan rakanku
yang bekerja di bahagian penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kupasang telinga
tajam-tajam. Dia bertanya bila aku akan menyerahkan naskhah-naskhah antologi
cerpenku. Seharusnya, kelmarin aku sudah menyerahkannya.
Kukatakan
kepadanya, aku hanya perlu menyiapkan sebuah cerpen lagi untuk melengkapi. Dan,
kukatakan juga kepadanya, aku baru saja menyelesaikan sebuah cerita yang baru
kutulis di kepalaku. Ceritanya tentang seorang lelaki berkemeja lengan panjang
warna merah genggang, yang dituduh penyeluk saku oleh seorang perempuan gemuk
yang berdiri di sebelahnya, di dalam sebuah gerabak kereta api yang sedang
bergerak.
Padahal
lelaki itu tidak mencuri dompet duitnya. Atau, dia menyiat beg tangan perempuan
tersebut. Para penumpang yang berada di dalam gerabak itu tidak seorangpun yang
berminat mengambil tahu. Mereka lebih tertarik untuk segera melenyapkan lelaki
yang kelihatan sangat terpelajar itu. Sampai mati? Mereka tidak juga merasa
perlu mengambil tahu apakah lelaki itu sudah mati sebelum mereka menghumbannya
dari atas gerabak kereta api yang sedang berjalan.
“Cerita
yang menarik, kan?” kataku kepadanya. Dan, dia sangat menyukainya. Sampai di situ
perbualan kami terputus.
“Tiketnya,
encik?”
“Ups!!”
Alamak, aku terlupa membeli tiket!
“Tiketnya,
encik?”
Aku
segera menyeluk poket seluar panjangku. Kucapai beberapa helai ringgit di situ.
Kuambil sehelai lalu kuselitkan di genggaman petugas itu.
“Apa
ini?”
“Tiket,
encik!”
Petugas
itu tersenyum. Aku mengelus dada. Lega. Tetapi kemudian, dia mengembalikan baki
yang kuberikan ke tanganku. “Di stesen berikut kamu harus turun untuk membeli
tiket!” Setelah berkata begitu, dia meneruskan tugasnya memeriksa tiket para
penumpang yang lain.
Ah,
ternyata masih ada orang yang jujur. Aku meringis. Malu. Kereta api berhenti di
sebuah stesen. Aku teragak-agak mahu turun untuk membeli tiket. Mungkinkah
petugas itu tidak akan kembali meminta tiket dariku? Entah. Tetapi aku malu
dengan kejujuran petugas tersebut. Jadi kuputuskan untuk turun membeli tiket,
sebelum aku berpindah ke kereta api yang menghala ke arah Kuala Lumpur. Aku
ingin segera kembali ke rumahku. Aku sudah tidak sabar ingin menumpahkan cerita
yang baru saja kutulis di kepalaku ke dalam komputer, sebelum dicetak dan
kuserahkan kepada rakanku yang bekerja di bahagian penerbitan Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Para
penumpang berebut pintu. Aku segera melompat turun dari gerabak kereta api.
Dan, pada ketika yang sama, aku mendengar suara orang menjerit lantang.
“Penyeluk sakuuuuuu!!! Pencuriiiiiii!!!!!”
Semua mata memandang ke arahku. Memandangku?
Seorang perempuan gemuk berdiri di mulut pintu, menuding ke arahku. Ke arahku?!
“Ups!”
Kulihat
lelaki berkemeja lengan panjang warna merah genggang melangkah tergesa-gesa meninggalkan
stesen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan