SMAHADZIR
ILMU itu memang penting bagi manusia. Dengan ilmulah
manusia mengenal Tuhan. Dengan ilmulah manusia berakhlak. Dengan ilmulah
manusia beribadah. Dengan ilmulah manusia membina tamadun dan peradaban. Dengan
ilmulah manusia membangun dan berkemajuan. Dengan ilmulah manusia memburu
dunia. Dengan ilmulah manusia memburu akhirat. Malahan ilmulah yang membezakan
antara manusia dengan makhluk-makhluk yang lain.
Manusia berlumba-lumba untuk mencari ilmu kerana dengan
ilmu manusia boleh jadi pemimpin. Dengan ilmu, manusia boleh jadi kaya. Dengan
ilmu, manusia disanjung dan dihormati. Dengan ilmu, manusia boleh mengawal,
menjajah dan memperalatkan manusia lain. Dengan ilmu manusia boleh dapatkan
kekuatan, pengaruh dan pengikut.
Namun begitu, kalau ilmu tidak dikendalikan dengan betul,
ia boleh mendatangkan mudarat. Ia boleh memakan diri. Manusia boleh jadi rosak
dan keseluruhan tamadun dan peradaban manusia boleh musnah.
Dalam usaha mencari ilmu, Imam Al-Ghazali telah
menetapkan bahawa yang dahulu mesti didahulukan dan yang kemudian mesti
dikemudiankan. Mencari ilmu mesti mengikut tertibnya. Ada keutamaan dan
prioritinya.
Tertib di dalam mencari ilmu ini penting sekiranya kita
mahukan natijah yang baik dari ilmu itu sendiri. Kalau tertib ini tidak dijaga
dan dilanggar, ilmu boleh memudaratkan dan merosakkan. Berikut adalah tertib
susunan ilmu oleh Imam Al-Ghazali:
1. Ilmu fardhu ain.
2. Ilmu fardhu kifayah.
3. Ilmu sunat.
4. Ilmu harus.
5. Ilmu haram.
Fardhu Ain
Ilmu fardhu ain ialah ilmu yang wajib dipelajari oleh
setiap individu yang mukalaf. Kalau tidak, maka seseorang itu berdosa. Ia
khususnya melibatkan ilmu agama yang merangkumi:
·
Ilmu tauhid atau
usuluddin
·
Ilmu feqah
·
Ilmu tasawuf atau
akhlak
Ilmu fardhu ain ini bolehlah dianggap sebagai ilmu
pendidikan. Ilmu ini ialah asas bagi agama seseorang. Ia mengenalkan manusia
kepada Tuhannya. Ia membina peribadi dan akhlak melalui pengabdian diri dan
ibadah kepada Tuhan.
Ilmu fardhu ain ini terutama tauhid dan usuluddin wajib
diselesaikan dahulu bagi anak-anak kita sebelum mereka diberi ilmu-ilmu yang
lain seperti ilmu fardhu kifayah, ilmu sunat atau harus. Ini sesuai dengan
sebuah hadis: Maksudnya: Awal-awal agama ialah mengenal Allah s.w.t.
Kalau Allah s.w.t. sudah dikenali, maka Allahlah yang
akan mengisi hati dan jiwa anak-anak itu. Allahlah yang akan menjadi matlamat
hidup mereka. Allahlah yang akan menjadi perkara utama di dalam apa sahaja yang
mereka lakukan.
Kalau Allah s.w.t. tidak dikenali, mana mungkin mereka
akan dapat berbuat sesuatu kerana-Nya. Kalau Allah s.w.t. tidak dikenali,
apakah yang akan mendorong anak-anak kita untuk berbuat sesuatu kebaikan,
selain dari dorongan nafsu dan duniawi semata-mata atau untuk mendapat pujian,
glamour dan sebagainya.
Kalau Tuhan tidak dikenali, apakah yang akan menghalang
anak-anak kita dari terlibat dengan maksiat, jenayah, pergaulan bebas, zina,
rogol, bohsia, bohjan, black metal,
budaya punk, gangsterism dan
sebagainya. Apakah yang akan menghalang anak-anak kita dari mengangkat Tuhan
yang lain sebagai Tuhan mereka atau dari meyakini ideologi-idelogi dan
isme-isme ciptaan manusia atau dari menjadi sekularis, komunis, sosialis, free
thinker atau terus menjadi ateis.
Jika Allah s.w.t. sudah mereka kenali dan jiwa anak-anak
diisi penuh dengan akidah dan ketauhidan, maka mereka akan selamat ke mana
sahaja mereka pergi dan dalam apa sahaja yang bakal mereka tempuh dan pelajari.
Mereka akan ada imuniti atau pelalian dari segala macam kekeliruan dan
kesesatan, juga dari segala macam pengaruh, dugaan dan pancaroba.
Setelah Allah s.w.t. dikenali, anak-anak akan menggunakan
segala ilmu dan kemahiran yang mereka pelajari, untuk berbakti kepada Allah
s.w.t. dan untuk berkhidmat kepada sesama manusia, dan bukan untuk membuat
kerosakan dan kemaksiatan di muka bumi ini.
Fardhu Kifayah
Bukan semua ilmu agama itu fardhu ain hukumnya. Ada yang
fardhu kifayah. Contohnya ilmu Hadis, ilmu tafsir dan sebagainya. Ilmu fardhu
kifayah ialah ilmu yang wajib bagi sesuatu masyarakat. Mesti ada di kalangan
anggota masyarakat tersebut yang mempelajarinya, barulah ahli masyarakat yang
lain akan terlepas dari dosa.
Ilmu fardhu kifayah termasuklah juga ilmu-ilmu akademik
seperti perubatan, kejuruteraan, perindustrian, perdagangan, pertanian,
ketenteraan, perakaunan dan sebagainya. Ilmu agama lazimnya dinamakan ilmu akhirat.
Ilmu akademik pula dinamakan ilmu dunia. Ada sesetengah pihak cenderung untuk
menamakan ilmu akademik ini sebagai ilmu sekular. Ini sebenarnya kurang tepat.
Sekular atau tidaknya sesuatu ilmu itu bergantung kepada
tujuan penggunaan dan matlamat pengamalnya dan bukan kepada jenis ilmu itu
sendiri. Ilmu sekular ertinya ilmu yang khusus digunakan untuk tujuan dunia
semata-mata tanpa ada apa-apa kaitan langsung dengan akhirat. Ilmu agama
sekalipun, kalau tujuan penggunaan dan matlamatnya adalah untuk dunia
semata-mata seperti untuk dipuji, disanjung, dimuliakan, untuk mendapat kerja
dan jawatan dan sebagainya, maka jadi sekularlah ilmu itu.
Sebaliknya, kalau ilmu dunia digunakan dengan tujuan
untuk berbakti dan mendapat keredhaan Allah s.w.t. dan menepati pula
syarat-syarat sebagai suatu ibadah, maka ia tidak boleh dianggap sebagai ilmu
sekular kerana ada nilai akhiratnya.
Ilmu Sunat Dan Ilmu Harus
Kalau sudah ada ahli masyarakat yang mempunyai ilmu
fardhu kifayah yang cukup, maka bolehlah ahli masyarakat yang lain mempelajari
ilmu yang sunat atau yang harus. Ilmu-ilmu yang sunat termasuklah ilmu bahasa,
sejarah dan seumpamanya. Ilmu yang harus pula termasuklah ilmu melukis, sastera
dan sebagainya. Sepertimana yang disebut di atas tadi, ilmu yang harus ini juga
kalau menepati syarat-syaratnya maka ia juga boleh menjadi ilmu yang bernilai
Akhirat.
Ilmu Haram
Ilmu yang haram ialah ilmu yang ditegah kita
mempelajarinya seperti ilmu sihir.
Perlunya Mengikut Tertib
Antara sebab rosaknya masyarakat dan anak-anak muda kita
hari ini ialah kerana mencari ilmu yang tidak mengikut tertibnya. Sebelum
mereka mengenal Tuhan dan sebelum jiwa mereka diisi dengan akidah dan
ketauhidan melalui pendidikan fardhu ain, mereka didedahkan dengan ilmu-ilmu
akademik yang tidak mengandungi apa-apa nilai pendidikan atau tarbiah.
Di samping itu, mereka juga terdedah kepada berbagaibagai
pengaruh liar seperti rock, metal, rap, dadah, pergaulan bebas dan sebagainya,
sama ada di dalam mahupun di luar sekolah. Disebabkan jiwa mereka kosong,
pengaruh-pengaruh tersebut terus meresap masuk ke dalam hati mereka.
Mereka tidak disediakan untuk menghadapi pengaruhpengaruh
jahat seperti ini. Mereka tidak diberi imuniti atau pelalian dari
pengaruh-pengaruh yang merosakkan ini. Kita biasanya sibuk memberikan anak-anak
kita suntikan imuniti atau pelalian dari berbagai-bagai penyakit seperti batuk
kokol, difteria, polio dan cacar, tetapi kita ambil ringan tentang kerosakan
akidah, akhlak, peribadi dan kemanusiaan mereka. Walhal kerosakan akidah dan
akhlak ini Neraka padahnya.
Ilmu dunia itu sifatnya seperti pisau. Kalau digunakan
untuk kebaikan maka baiklah jadinya. Kalau dihalakan kepada kejahatan maka
jahatlah jadinya. Segala bentuk ilmu dunia boleh dijadikan modal atau alat
untuk berbuat baik ataupun untuk berbuat jahat.
Oleh itu untuk mengelak dari berlakunya kerosakan dan
bala bencana, manusia yang hendak diberi ilmu dunia ini mestilah dari kalangan
orang-orang yang baik, yang kenal dan beriman kepada Tuhan, yang berakhlak dan
yang bertanggungjawab. Kalau tidak, mereka akan gunakan ilmu, kepandaian dan
kemahiran mereka untuk membuat kerosakan, untuk memutar belit, untuk menipu dan
untuk memuaskan hawa nafsu mereka. Lagi banyak ilmu dan kepandaian yang ada
pada mereka, lagi besarlah kerosakan yang akan mereka lakukan.
Sepertimana yang berlaku kepada anggota-anggota
keselamatan seperti polis dan tentera, perkara utama yang ditekankan dan
dididik sebelum mereka dibenarkan memegang senjata api ialah disiplin dan tata
tertib. Hanya dengan disiplin dan tata tertib barulah senjata api di tangan
anggota-anggota keselamatan itu dapat digunakan untuk menjaga keamanan dan
mempertahankan kedaulatan negara.
Kalau orang yang tidak ada disiplin diberi senjata api,
ini sangat berbahaya. Begitulah juga orang yang mempunyai banyak ilmu dunia
tetapi jahat dan tidak kenal Tuhan. Mereka ini juga berbahaya.
Justeru itu, tertib dalam mencari ilmu seperti yang
digariskan oleh Imam Al-Ghazali ini perlu dititikberatkan. Ia perlu diserapkan
ke dalam sistem pendidikan kita. Anak-anak mesti mengenali Tuhan terlebih
dahulu sebelum mereka mengenali perkara-perkara lain. Barulah mereka tidak
mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang menyeleweng.
Barulah segala ilmu yang dipelajari dapat dijadikan alat
untuk berbakti dan meninggikan kalimah Tuhan. Kalau tidak, manusia akan
menggunakan ilmu untuk kejahatan dan untuk melawan Tuhan. Lebih dahsyat lagi,
mereka akan ‘menyembah’ dan bertuhankan ilmu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan