Khamis, 17 Oktober 2013

Solat Membersihkan Dosa

SMAHADZIR


DIRIWAYATKAN daripada Hazrat Abu Hurairah r.a katanya, “Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jika sebatang anak sungai mengalir di hadapan pintu rumah salah seorang daripada kamu dan dia mandi di dalam sungai itu sebanyak lima kali sehari, pada pendapat kamu masih adakah lagi kekotoran (pada badannya)?

Para sahabat menjawab, “Tidak akan tertinggal sedikit pun kekotoran,”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Maka demikianlah juga solat lima waktu, melalui solat Allah s.w.t. akan mengampunkan dosa,” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Hazrat Jabir r.a katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Perumpamaan solat lima waktu ialah seperti seseorang yang mandi di sebatang sungai yang dalam yang mengalir di hadapan rumahnya sebanyak lima kali sehari,” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Keterangan

Air yang mengalir adalah suci daripada kekotoran. Lebih dalam air itu maka lebih jernih dan lebih bersih air tersebut. Oleh itu, dalam hadis di atas disebutkan keadaan air sungai yang mengalir dan ke dalaman sungai itu. Jika air yang digunakan untuk mandi itu bersih maka badannya akan menjadi bersih. Demikianlah juga solat yang ditunaikan dengan memelihara adab maka solat itu akan membersihkan dosa. Perkara yang terkandung dalam banyak kedua-dua hadis di atas juga terkandung dalam banyak hadis yang diriwayatkan oleh sahabat yang berlainan dengan lafaz-lafaz yang berbeza.

Diriwayatkan daripada Hazrat Abu Sa’id Al-Khudri r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Solat lima waktu ialah kafarah (penghapus dosa) di antara dua waktu solat,” Yakni dengan berkat solat, semua dosa-dosa kecil yang dilakukan di antara satu solat dengan satu solat yang lain akan terampun. Kemudian Baginda s.a.w. bersabda yang mafhumnya, umpama seseorang yang bekerja di dalam sebuah kilang miliknya. Oleh itu terlekatlah debu dan kekotoran pada badanya.

Di antara kilang dan rumahnya terdapat lima batang sungai. Apabila dia balik ke rumah dari kilangnya, dia akan mandi di setiap batang sungai itu. Begitulah keadaanya dengan solat lima waktu, apabila berlaku kesalahan dan kesilapan di antara dua waktu solat makan melalui doa dan istighfar yang dipohon semasa bersolat, Allah s.w.t. akan mengampuni keseluruhan dosa tersebut.

Tujuan Nabi s.a.w. memberi perumpamaan seperti ini ialah untuk memberi kefahaman tentang satu perkara iaitu Allah s.w.t. meletakkan kekuatan pada solat untuk menghapuskan dosa. Oleh sebab dengan perumpamaan sesuatu perkara boleh difahami dengan lebih jelas maka Baginda s.a.w. telah menjelaskan perkara ini melalui berbagai-bagai perumpamaan.

Sekiranya kita tidak mengambil manfaat daripada rahmat Allah s.w.t., kasih sayang-Nya, kemurahan-Nya, keluasan keampunan-Nya dan limpah kurnia-Nya maka tiada sesiapa yang rugi melainkan diri kita sendiri. Sepatutnya kita dihukum dan menerima akibat yang buruk daripada Tuhan Yang Maha Berkuasa, Raja Yang Maha Adil kerana melanggari perintah-perinta-Nya, melakukan dosa, menyimpang daripada perintah-Nya dan cuai dalam melaksanakan perintah-Nya.

Namun betapa agungnya kemurahan Allah s.w.t. yang masih menunjukkan jalan untuk kita mendapat keampunan-Nya. Jika kita masih tidak mengambil manafaat daripada peluang ini, maka itu adalah di atas kejahilan kita. Allah s.w.t. melalui rahmat-Nya dan kasih sayang-Nya sentiasa memberi peluang untuk menganugerahkan pemberian-Nya.

Dalam sebuah hadis disebutkan bahawa seseorang yang tidur dengan niat untuk bangun mengerjakan solat tahajud tetapi tidak terjaga maka dia mendapat pahala solat tahajud dengan percuma walaupun pada ketika itu dia dalam keadaan tidur (At-Targhib). Betapa malangnya dan ruginya kita jika tidak merebut pemberian dan kurnian daripada zat Allah s.w.t. yang begitu luas kurnianya.

Diriwayatkan daripada Hazrat Abu Uthman r.a katanya, “Saya bersama Hazrat Salman r.a di bawah sepohon pokok. Beliau memegang sebatang dahan kering dari pokok tersebut, lalu menggoncang-goncangkan dahan tersebut sehingga daun-daun pada dahan itu gugur. Kemudian beliau berkata kepada saya, “Wahai Abu Uthman, mengapa kamu tidak bertanya sebab saya berbuat begini?”

Saya bertanya, “Beritahulah mengapa kamu berbuat begitu?”

Beliau menjawab, “Beginilah yang dilakukan oleh Rasululullah s.a.w. di hadapan saya semasa saya bersama-sama Rasululullah s.a.w. di bawah sepohon pokok. Baginda s.a.w. telah mengambil sebatang dahan kering dari sepohon pokok lalu melakukan sebegini sehingga semua daun gugur.

Kemudian Baginda s.a.w. bertanya kepada saya, “Salman, mengapa kamu tidak bertanya sebab saya buat begini?” 

Sahutku, “Beritahulah mengapa tuan berbuat begitu?” 

Baginda s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya apabila seorang Islam mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian dia menunaikan solat lima waktu maka gugurlah dosa-dosanya seperti gugurnya daun-daun ini,” Kemudian Baginda s.a.w. membaca ayat yang berikut yang ertinya: ‘Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada ketika-ketika yang berhampiran dengannya daripada waktu malam. Sesungguhnya amAl-amal kebaikan itu (terutamanya solat) itu akan menghapuskan dosa. Perintah-perintah Allah s.w.t. yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang yang ingin mendapat peringatan’ (Surah Hud, Ayat 114) (Hadis riwayat Iman Ahmad, Nisai dan Tabarani)

Hazrat Abu Zar r.a berkata, “Suatu ketika Rasululullah s.a.w. keluar pada musim sejuk semasa daun-daun gugur, lantas Baginda s.a.w. memegang dahan dari sebatang pokok maka daun-daun tersebut mulai gugur dengan lebat dari dahan tersebut.

Baginda s.a.w. bersabda, “Wahai Abu Zar,”

Saya menyahut, “Saya ya Rasululullah,”

Kemudian Baginda s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang Islam menunaikan solat untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t., dosanya gugur seperti gugurnya daun-daun ini dari pokok,” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Keterangan

Pada musim sejuk banyak sekali daun yang gugur sehingga kadang-kadang tiada sehelai daun pun yang tertinggal pada sesetengah pohon. Inilah yang merupakan mafhum daripada sabdaan Nabi s.a.w. iaitu solat yang dilaksanakan dengan ikhlas akan menghapuskan semua dosa sehingga tidak ada satu dosa pun yang tertinggal.

Walau bagaimanapun, satu perkara perlu diberi perhatian iaitu rumusan daripada kajian yang mendalam daripada para alim ulama berdasarkan Al-Quran dan hadis menyatakan bahawa hanya dosa kecil sahaja yang akan terampun melalui solat dan amalan-amalan kebaikan yang lain. Dosa besar tidak terampun tanpa bertaubat.

Oleh itu, di samping mengerjakan solat, kita hendaklah juga mengambil berat untuk bertaubat dan beristighfar dan janganlah mencuaikan perkara ini. Lainlah jika Allah s.w.t. mengampun dosa besar seseorang dengan limpah rahmat-Nya.

Diriwayatkan daripada Hazrat ‘Abdullah bin ‘Umar r.a katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Islam dibina atas lima (rukun). Bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain Allah s.w.t. dan Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa pada bulan Ramadhan,” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keterangan

Kelima-lima perkara di atas merupakan asas Islam yang unggul dan rukun yang penting. Dalam hadis ini, Nabi s.a.w. mengibaratkan Islam sebagai sebuah khemah yang ditegakkan oleh lima batang tiang. Tiang tengah ialah kalimah syahadah, sementara keempat-empat tiang di empat penjuru khemah itu merupakan empat lagi rukun Islam yang lain. Tanpa tiang tengah khemah tersebut tidak boleh ditegakkan sama sekali.

Jika khemah itu ada tiang tengah dan salah satu daripada empat tiang tadi tidak ada maka khemah itu masih dapat ditegakkan tetapi penjuru yang tiada tiang itu akan cacat dan condong. Setelah mengetahui sabdaan Nabi s.a.w. yang tersebut, kini marilah kita sama-sama menyemak diri kita sejauh manakah teguhnya khemah yang telah kita dirikan itu dan rukun Islam yang manakah telah dapat kita jaga dengan sempurna?

Sebenarnya kelima-lima rukun Islam tersebut amat penting sehingga dijadikan sebagai asas Islam. Sebagai seorang Islam, kita sangat perlu mengambil berat terhadap kesemua rukun Islam itu tetapi amalan yang terpenting sesudah iman ialah solat.

Hazrat ‘Abdullah bin Mas’ud berkata bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Amalan manakah yang paling disukai oleh Allah s.w.t.?”

Baginda menjawab, “Solat,”

Saya bertanya lagi, “Selepas solat apa pula?”

Jawab Baginda s.a.w. “Berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa,”

Saya bertanya lagi, “Selepas itu apa pula?”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jihad,”

Mulla ‘Ali Qari rah. berkata bahawa hadis ini menjadi dalil bagi pendapat ulama yang menegaskan bahawa solat adalah amalan yang paling afdal selepas iman. Pendapat ulama tersebut dikuatkan lagi dengan sebuah hadis sahih yang berbunyi “Sebaik-baik amalan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. adalah solat,”

Tentang solat yang merupakan amalan paling afdal antara semua ibadat yang lain, diterangkan dengan jelas dalam banyak hadis sahih. Antara hadis tersebut ada yang terkandung dalam kitab ‘Jamiu’ Saghir’ seperti yang diriwayatkan oleh lima orang sahabat iaitu Hazrat Thauban, Hazrat Ibnu ‘Amr r.anhuma, Hazrat Salamah, Hazrat Thauban, Hazrat Abu Umamah dan Hazrat ‘Ubadah r.a.

Diriwayatkan daripada Hazrat Ibnu Mas’ud r.a dan Hazrat Anas r.a bahawa amalan yang terbaik ialah mengerjakan solat tepat pada waktu solat. Diriwayatkan juga daripada Hazrat Ibnu ‘Umar r.anhuma dan Hazrat Ummi Fardah r.anha bahawa amalan yang paling baik ialah solat pada awal waktu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA