SMAHADZIR
MUTAKHIR
ini kebiasaannya pengguna yang menjadi mangsa akan ditawarkan pelaburan dalam
skim yang memberikan pulangan lumayan dan jaminan tinggi seperti pelaburan emas,
pelaburan wang dan pelaburan berbentuk sijil dividen. Pada mulanya,
syarikat-syarikat ini dapat memberi pulangan dalam bentuk wang atau dividen
kepada pelanggannya tetapi lama-kelamaan mereka tidak mampu untuk membuat
pembayaran kepada semua yang terlibat (skim piramid). Maka berlakulah penipuan
pelaburan kepada pelanggan.
Syarikat-syarikat pelaburan ini melakukan kesalahan kerana
mengambil deposit wang tunai tanpa mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh Bank
Negara Malaysia. Ada antara syarikat-syarikat ini yang sedang disiasat,
manakala ada pula yang telah diambil tindakan oleh Bank Negara Malaysia, yang mana
aset-aset syarikat dan akaun-akaun bank dibekukan kerana menjalankan skim
pelaburan tanpa lesen.
Pengguna diingatkan supaya berwaspada dan tidak mudah
terpedaya dengan tawaran-tawaran yang tidak munasabah daripada mana-mana
syarikat, hanya kerana ingin cepat mendapat keuntungan. Pengguna perlu membuat
semakan atau rujukan dengan pihak Bank Negara Malaysia terlebih dahulu sebelum
melibatkan diri dengan mana-mana skim pelaburan untuk menentukan sama ada syarikat-syarikat
terlibat mempunyai lesen yang sah atau tidak.
Menurut statistik, seramai 57,766 orang telah menjadi mangsa
penipuan pelaburan dalam Skim Kepentingan dan Skim Kutu bagi tempoh 2010 hingga
Oktober 2012. Dalam tempoh itu juga, sebanyak 66 kes yang ada kaitan dengan
skim cepat kaya telah diambil tindakan undang-undang. Tindakan tersebut dibuat
di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993, Akta Syarikat
Malaysia 1965 dan Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971. Antara punca orang
ramai mudah terlibat dalam skim cepat kaya ialah sikap tamak kerana dijanjikan
pulangan yang lumayan dalam masa yang singkat. Selain itu, pengaruh daripada
kawan-kawan, rakan sekerja dan saudara-mara serta kemudahan mendapatkan
pinjaman peribadi daripada institusi kewangan.
Di negara kita, banyak kes penipuan pelaburan yang melibatkan
segolongan pengguna telah dilaporkan oleh akhbar tempatan. Ini tidak termasuk
kes-kes yang tidak diketahui dan yang tidak dilaporkan dan terlepas daripada
pemantauan akhbar. Antara kes penipuan pelaburan melibatkan pengguna tempatan
yang pernah dilaporkan ialah:
1. Pelaburan Skim Cepat Kaya
Pelaburan
Skim Cepat Kaya adalah antara kes terhangat yang sering dipaparkan oleh media
tempatan. Penganjur pelaburan skim cepat kaya sentiasa mencari peluang dan
kesempatan untuk menipu pengguna dan sikap tamak yang tidak berkesudahan adalah
antara faktor utama yang telah digunakan oleh penganjur-penganjur ini untuk
mengekploitasi pengguna. Meskipun pelbagai tindakan dan usaha telah dijalankan
oleh pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia dalam membanteras dan
menyedarkan pengguna agar tidak terbabit di dalam pelaburan skim cepat kaya, namun
pengguna masih terjebak dan terpengaruh dengan penganjur-penganjur skim yang
menawarkan skim pelaburan yang kononnya dapat menjana pulangan yang lumayan
dengan cepat daripada jumlah pelaburan yang kecil dan tanpa risiko.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya mengambil
inisiatif bagi memastikan diri mereka tidak tertipu dengan skim-skim pelaburan
cepat kaya dengan mengambil langkah berjaga-jaga. Antara langkah-langkah yang
boleh diambil oleh para pengguna ialah:
i.
Semak dahulu dengan pihak berkuasa sebelum melabur
Walaupun
individu yang memperkenalkan skim pelaburan ini mungkin kelihatan jujur dan boleh
dipercayai, pengguna jangan terburu-buru membuat keputusan untuk melabur.
Siasat pelaburan tersebut dengan terperinci dan semak dengan pihak berkuasa
terlebih dahulu. Orang yang memperkenalkan skim pelaburan tersebut mungkin juga
turut sama tertipu dengan mempercayai bahawa skim pelaburan tersebut adalah sah
di sisi undang-undang.
ii.
Ingat, skim pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa selalunya akan
memakan diri sendiri
Jangan
tertipu dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa atau keuntungan
yang telah ‘dijamin’ tanpa melibatkan sebarang risiko. Sedarlah bahawa semakin
tinggi pulangan sesuatu pelaburan, semakin tinggilah risiko yang perlu
ditanggung. Jaminan keuntungan besar dengan risiko kecil adalah contoh jelas
penipuan dalam pelaburan.
Antara
modus operandi yang biasa digunakan
bagi memperdaya orang ramai untuk melabur dalam pelaburan haram ini adalah
seperti berikut:
a. Menjanjikan Pulangan Yang Tinggi Bagi Setiap Pelaburan
Kecil
Bagi
setiap pelaburan yang dibuat, dijamin akan mendapat keuntungan yang tinggi.
Contohnya 10% sebulan. Pihak penganjur sentiasa menabur janji manis untuk terus
membayar pulangan yang tinggi sama ada dalam bentuk janji-janji faedah, pulangan
atau keuntungan. Walaupun nama dan bentuk aktiviti berkenaan mungkin berbeza di
antara satu sama lain namun tujuan utamanya tetap untuk cuba mengaburi
pelabur-pelabur yang lain supaya tertarik dengan tawaran pelan pelaburan tanpa
had dan tanpa riskio dengan jaminan keuntungan yang lebih banyak dalam masa
yang singkat.
b. Menggunakan Penglibatan Orang Yang Berpengaruh Atau
Mempunyai Kedudukan Dalam Masyarakat
Sejak
kebelakangan ini, penganjur pelaburan skim cepat kaya telah menarik beberapa
orang yang berpengaruh atau mempunyai kedudukan dalam masyarakat seperti pegawai
kerajaan, pegawai beruniform, guru, ustaz, imam dan lain-lain lagi, sebagai
pelabur. Penganjur pelaburan skim cepat kaya ini telah mengeksploitasi
penglibatan orang yang berpengaruh atau mempunyai kedudukan dalam masyarakat
bagi memberi gambaran seolah-olah skim sedemikian telah diluluskan oleh pihak
Kerajaan untuk menarik pelabur-pelabur lain.
c. Mengeluarkan Surat Kuasa Palsu
Penganjur
pelaburan skim cepat kaya telah bertindak dengan lebih berani, iaitu menipu
atau mengelirukan orang ramai dengan mengatakan bahawa mereka telah mendapat
kelulusan yang diperlukan dari pihak berkuasa dengan menunjukan surat kuasa
palsu. Dengan surat kuasa palsu ini, ramai telah terjebak dalam skim cepat kaya
tersebut.
d. Memberi Jaminan Tiada Risiko
Penganjur
pelaburan skim cepat kaya sentiasa memberi jaminan bahawa keuntungan dari
pelaburan dan pulangan modal adalah dijamin dan tidak berisiko. Mereka akan
menunjukkan beberapa orang pelabur yang telah berjaya mendapat keuntungan hasil
dari pelaburan tersebut.
e. Membuat Pelaburan Dalam Perniagaan
Penganjur
pelaburan skim cepat kaya sering mengatakan bahawa mereka melaburkan wang
pelabur di dalam syarikat ternama di dalam dan luar negara. Antaranya dalam
perniagaan emas, hartanah, lembu atau kambing, pelancongan, perhotelan dan
sebagainya.
f. Membuat Pelaburan Dalam Koperasi
Sejak
akhir-akhir ini, penganjur pelaburan skim cepat kaya telah cuba menarik pelabur
baru melalui penubuhan koperasi, di mana mereka berselindung di bawah penubuhan
koperasi untuk memperdaya pelabur.
2. Pelaburan Saham Emas Syarikat Virgin Gold Mining
Corporation (VGMC)
Baru-baru
ini, seramai 7,000 hingga 8,000 pelabur, sebahagian besar pengguna tempatan, dilaporkan
telah melabur dalam skim pelaburan saham emas Virgin Gold Mining Corporation
(VGMC) Singapore. Berdasarkan jumlah minimum 2,000 saham yang perlu dilabur dan
harga sekitar AS$1.70 ($2.10) sesaham, ini bermakna jumlah pelaburan minimum
yang sudah dipindahkan kepada firma itu telah mencapai $33.6 juta. Syarikat itu
mencetuskan tengkarah apabila ia gagal memberi pelabur dividen disebabkan
keputusan syarikat membuat Tawaran Awam Awal (IPO).
3. Program Pelaburan Roll Over
Sekitar
500 pelabur tempatan difahamkan telah terjebak dalam skim pelaburan palsu yang
dijalankan secara senyap-senyap dan melibatkan pelaburan bernilai hampir $1
juta. Dinamakan Program Roll Over, pelaburan itu dikendalikan orang tengah, yang
juga merupakan seorang peniaga, menerusi syarikat rawatannya di Golden
Landmark.
4. Pelaburan Firma Dagangan Emas Genneva
Firma
Dagangan Emas Genneva merupakan satu skim perniagaan emas yang boleh dibeli
balik daripada pelanggan. Genneva disiasat oleh Jabatan Ehwal Perniagaan (CAD)
kerana gagal memberikan wang dan emas yang dijanjikan kepada pelanggan mereka. Sejak
diperkenalkan pada 2008, Genneva telah menarik 10,000 pelanggan di Singapura
dan dianggarkan 25-30 peratus pelanggannya terdiri daripada orang Melayu. Di
akhir kontrak, Genneva membeli balik emas pada harga asal yang dibayar oleh pelanggan.
Namun, syarikat itu menjual emas kepada pelanggan pada kadar premium 20-30
peratus di atas harga pasaran.
5. Pelaburan Firma Perunding Cara Hutang Reliance Credit
Consultancy
Beberapa
orang pelanggan tempatan yang menghadapi masalah hutang meruncing, semakin
bertambah beban hutang kewangan mereka setelah mereka mendapatkan khidmat firma
perunding cara milik pasangan tempatan. Firma itu awalnya bersetuju menawarkan
khidmat berunding dengan bank-bank bagi menghuraikan masalah hutang-hutang
mereka. Namun setelah membayar wang kepada syarikat perunding cara hutang itu, bank-bank
masih menuntut bayaran hutang dan mendesak para pelanggan yang terjebak
melunaskan bayaran mereka.
6. Pelaburan Chique Gelerie
Satu
lagi kes penipuan pelaburan yang hangat ialah penjualan beg berjenama melalui
rangkaian sosial Facebook, Chique Gelerie, milik peniaga tempatan. Chique
Gelerie, yang menjual beg berjenama, dipercayai tidak memulangkan sehingga $120,000
kepada lebih 400 pelanggan, selepas gagal mengirim tempahan mereka.
7. Pelaburan Internet
Internet
bertindak sebagai suatu alat bantuan terbaik untuk para pelabur, di mana ia
membenarkan mereka mendapatkan peluang-peluang penyelidikan pelaburan yang
mudah dan murah. Namun Internet juga merupakan alat bantuan yang terbaik bagi fraudsters (golongan penipu). Oleh
kerana itu, para pengguna perlu berfikir dua kali sebelum melaburkan wang
melalui pelaburan Internet.
Internet membenarkan individu-individu atau syarikat-syarikat
untuk berkomunikasi dengan kumpulan pengguna yang besar tanpa perlu menghabiskan
masa, usaha dan duit yang banyak. Sesiapa sahaja boleh menemui beribu pengguna
lain dengan membina laman web di Internet, mengepos pesanan ke papan buletin online, menyertai diskusi secara
langsung dalam ruang chat atau
menghantar e-mel secara kumpulan.
Adalah mudah bagi fraudster
tersebut menghasilkan pesanan yang kelihatan benar dan boleh dipercayai. Tetapi
adalah agak mustahil bagi pelabur-pelabur atau pengguna-pengguna untuk
membezakan yang mana satu fakta dan yang mana satu fiksyen.
a. Newsletter (Surat Berita) Pelaburan Online
Beratus-ratus
newsletter pelaburan online telah muncul di Internet sejak
kebelakangan ini. Kebanyakannya seperti menawarkan maklumat percuma yang tidak
berat sebelah tentang sesuatu syarikat terkemuka atau mengesyorkan ‘stok
pilihan bulanan.’ Sementara newsletter
pelaburan online yang sah boleh
membantu para pelabur atau pengguna mengumpulkan maklumat yang berharga, namun
terdapat juga sebahagiannya merupakan alat bagi penipuan.
Sesetengah syarikat membayar individu
untuk menulis newsletter pelaburan online tentang wang tunai atau sekuriti
supaya ‘mendesak’ atau mengesyorkan stok mereka kepada para pelabur. Walaupun
ia tidak menyalahi undang-undang, undang-undang sekuriti persekutuan
menghendaki mereka mendedahkan maklumat tentang siapa yang membayar, jumlah
bayarannya dan jenis pembayaran yang dilakukan. Tetapi kebanyakan fraudster atau penipu itu gagal untuk
berbuat demikian. Sebaliknya, mereka menipu tentang pembayaran yang diterima, kebebasan,
status penyelidikan dan rekod kerja. Penyamaran surat berita mereka sebagai
sumber maklumat yang tidak berat sebelah, yang mana sebenarnya mereka akan
memperolehi keuntungan yang tinggi sekiranya mereka dapat meyakinkan para pengguna
untuk membeli atau menjual sesuatu stok yang tertentu.
Beberapa newsletter online juga telah menipu dengan mendakwa bahawa mereka
telah membuat penyelidikan secara bebas ke atas semua stok profil mereka
sendiri. Yang lain pula menyebarkan maklumat palsu atau mempromosikan stok-stok
yang tidak bernilai. Dan bagi yang lebih jahat pula, kadangkala mereka
menggembar-gemburkan stok-stok mereka, sehingga dapat menaikkan harga stok
mereka dengan kenyataan-kenyataan yang tidak berasas dan kemudiannya menjualkan
pegangan tersebut pada harga yang tinggi dan mengaut keuntungan yang besar.
Untuk para pengguna tahu membezakan yang baik dan yang buruk,
di bawah ini ada panduan-panduan untuk memeriksa surat berita yang sahih:
b. Papan Buletin
Papan
buletin online sama ada newsgroups, usenet atau papan buletin
berlandaskan web, telah menjadi tapak forum yang semakin terkenal bagi golongan
pelabur berkongsi maklumat. Papan buletin biasanya mengemukakan ‘jalinan’ yang
terhasil dari himpunan pesanan yang banyak berkaitan pelbagai peluang pelaburan
yang ada.
Sementara beberapa pesanan mungkin
betul, namun kebanyakannya adalah palsu dan mungkin juga komplot penipuan. Fraudsters atau para penipu kerap ‘melobi’
sesebuah syarikat atau berpura-pura mendedahkan maklumat ‘dalaman’ tentang
pengumuman akan datang, barangan terbaru, atau kontrak-kontrak yang
menguntungkan.
Dan para pengguna juga tidak akan
tahu secara pasti dengan siapakah mereka berurusan atau sama ada mereka boleh
dipercayai atau tidak kerana kebanyakan papan buletin membenarkan pengguna
menyembunyikan identiti sebenar di sebalik beberapa nama samaran. Orang yang
mendakwa bahawa mereka adalah pemerhati bebas yang mana telah menjalankan
penyelidikan terperinci ke atas sesebuah syarikat mungkin juga sebenarnya orang
‘dalam’ syarikat tersebut, pemegang saham tertinggi, atau wakil promosi
berbayar. Seseorang itu dengan mudah boleh menghasilkan ilusi minat yang
meningkat ke atas sesebuah stok yang kecil dan tidak terkenal dengan mengepos
beberapa rentetan pesanan di bawah beberapa nama samaran yang berbeza.
c. ’Spam’ (Pembanjiran) E-mel
Oleh
kerana ‘spam’ - e-mel sampah - e-mel adalah murah dan mudah untuk dihasilkan, fraudsters semakin kerap menggunakannya
untuk mencari pelabur bagi skim pelaburan palsu atau untuk menyebarkan maklumat
palsu mengenai sesebuah syarikat. ‘Spam’ juga membenarkan pihak tidak
bertanggungjawab tersebut mensasari lebih ramai pengguna yang berpotensi
daripada cara cold calling (e-mel secara rawak) atau mass mailing (e-mel secara banyak).
Dengan menggunakan program bulk e-mel,
spammers boleh menghantar pesanan
peribadi kepada beribu-ribu malahan berjuta-juta pengguna Internet pada
satu-satu masa.
Kesimpulan
Dewasa ini, ramai
pengguna yang menjadi mangsa penipuan pelaburan yang menyebabkan kerugian
besar. Pengendali skim-skim sebegini lazimnya menarik perhatian mangsa mereka
dengan jaminan pulangan tinggi dan meyakinkan pengguna untuk melabur wang yang
akhirnya akan hilang begitu sahaja. Pengendali sebegini akan sentiasa
memperbaiki skim penipuan lama untuk mengelakkan daripada ditangkap. Oleh itu, pengguna
dinasihatkan agar berhati-hati terhadap sebarang tawaran yang menjanjikan
sesuatu yang indah khabar dari rupa.
Pengguna
juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan
pulangan tinggi dengan risiko yang rendah selain memberikan jaminan bahawa
jumlah pokok pelaburan akan dipulangkan. Selain itu, pengguna juga dinasihatkan
supaya merujuk kepada agensi berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau
individu menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang
kelihatan menarik tetapi tidak diberikan lesen oleh pihak berkuasa.
Selain
itu pengguna juga dinasihatkan supaya menghindari sebarang pelaburan yang
menjamin keuntungan tetap atau tinggi bagi satu pelaburan kecil.
Berhati-hatilah terhadap syarikat yang menjanjikan keuntungan besar atau
menunjukkan prestasi cemerlang dalam satu tempoh masa yang pendek. Anda mesti
ingat bahawa setiap pelaburan melibatkan risiko dan ‘risiko tinggi, pulangan
tinggi!’ Ambil langkah berhati-hati, terutama jika pelaburan itu kononnya akan
memberi pulangan tinggi dengan risiko yang rendah atau tiada risiko langsung.
Berhati-hati
juga dengan pelan yang menumpukan kepada membayar anda untuk melatih orang lain
dan bukannya membayar anda kerana menjual produk atau perkhidmatan. Perkataan
yang menjadi kunci utama untuk mengingatkan anda supaya berhati-hati ialah downline atau ‘piramid’.
Jangan
sekali-kali bersetuju menyertai apa-apa ‘peluang’ dalam keadaan mendesak,
umpamanya, ‘tempoh untuk anda menyertai skim ini amat terhad’ atau ‘beli
sekarang, jika tidak, anda akan menyesal’. Ingatlah, jika perniagaan itu sah,
ia akan tetap wujud esok, minggu hadapan, bulan hadapan atau tahun hadapan.
Memang
mustahil untuk anda memenangi sebarang hadiah atau wang yang banyak jika anda
tidak masuk sebarang pertandingan. Begitu juga, mustahil bagi sesuatu
pertandingan yang sah di sisi undang-undang untuk meminta bayaran wang
pendahuluan sebelum menyerahkan hadiah wang. Jika anda menerima panggilan yang
mengatakan bahawa anda telah memenangi satu hadiah dan anda perlu mengirim
sejumlah wang ke sebuah negara asing bagi membolehkan anda menuntut hadiah
tersebut, letakkan telefon. Jangan buang masa dan tenaga untuk melayan
panggilan begini.
Anda
perlu bersikap ragu-ragu mengenai sebarang panggilan telefon yang tidak
dijangka mengenai pelaburan daripada jurujual atau syarikat luar pesisir yang
tidak kenali. Jika pemanggil itu mengaku sebagai wakil peniaga syarikat broker
saham atau penasihat pelaburan yang dilesenkan oleh pihak berkuasa di luar
negara, minta nama pihak kawal selia asing berkaitan yang melesenkan syarikat tersebut
dan layari tapak webnya yang biasanya mempunyai senarai mereka yang berdaftar
dan dilesenkan. Anda mesti sentiasa memeriksa bukti kelayakan individu yang
dilesenkan dengan pihak berkuasa berkenaan sebelum menyerahkan wang.
Pastikan
anda mendapat rekod prestasi syarikat tersebut. Juga, mintalah maklumat
bertulis mengenai produk pelaburan dan perniagaan itu, serta risiko yang
terbabit dalam pelaburan tersebut. Baca dengan teliti prospektus atau laporan
tahunan syarikat itu sebelum membuat pelaburan.
Jangan
berikan sebarang maklumat kewangan atau peribadi sebelum anda memastikan
kesahihan syarikat itu. Jangan
takut bertanya soalan. Malah, lebih banyak soalan yang anda kemukakan, lebih
baik lagi. Minta penjelasan mengenai apa-apa perkara yang anda tidak fahami.
Walau bagaimanapun, jangan terima bulat-bulat semua maklumat yang diberikan.
Siasat sendiri. Jika anda memerlukan bantuan untuk membuat penilaian terhadap
pelaburan tersebut, pergilah kepada mereka yang boleh memberikan nasihat secara
bebas dan profesional, contohnya wakil peniaga berlesen, penasihat pelaburan,
peguam atau akauntan. Sentiasa
memeriksa tapak web pihak pengawal selia, contohnya, tapak web Suruhanjaya
Sekuriti, untuk mendapatkan maklumat mengenai amaran untuk pelabur, atau
senarai syarikat-syarikat perantara berlesen.
Jika
ragu-ragu, jangan melabur. Mengapa mesti meletakkan wang dalam risiko jika anda
tidak mendapat maklumat sepenuhnya mengenai syarikat, jurujual atau ejen, atau
pelaburan tersebut? Ingatlah, jika sesuatu janji itu nampak macam mustahil
boleh dilaksanakan, kemungkinan besar memang mustahil boleh direalisasikan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan