SMAHADZIR
DIKISAHKAN dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali
bahawa pada suatu hari Nabi Isa a.s berjalan di hadapan seorang pemuda yang
sedang menyiram air di kebun. Bila pemuda yang sedang menyiram air itu melihat
Nabi Isa a.s berada di hadapannya maka dia pun berkata, “Wahai Nabi Isa a.s,
kamu mintalah dari Tuhanmu agar Dia memberi kepadaku seberat semut Jarrah
cintaku kepada-Nya.”
Berkata Nabi Isa a.s, “Wahai saudaraku, kamu tidak akan
terdaya untuk seberat Jarrah itu.”
Berkata pemuda itu lagi, “Wahai Isa a.s, kalau aku tidak
terdaya untuk satu Jarrah, maka kamu mintalah untukku setengah berat Jarrah.”
Oleh kerana keinginan pemuda itu untuk mendapatkan
kecintaannya kepada Allah s.w.t., maka Nabi Isa a.s pun berdoa, “Ya Tuhanku,
berikanlah dia setengah berat Jarrah cintanya kepada-Mu.”
Setelah Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun berlalu dari
situ. Selang beberapa lama Nabi Isa a.s datang lagi ke tempat pemuda yang
memintanya berdoa, tetapi Nabi Isa a.s tidak dapat berjumpa dengan pemuda itu.
Maka Nabi Isa a.s pun bertanya kepada orang yang lalu-lalang di tempat
tersebut, dan berkata kepada salah seorang yang berada di situ bahawa pemuda
itu telah gila dan kini berada di atas gunung.
Setelah Nabi Isa a.s mendengat penjelasan orang-orang itu
maka beliau pun berdoa kepada Allah s.w.t., “Wahai Tuhanku, tunjukkanlah
kepadaku tentang pemuda itu.”
Selesai sahaja Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun dapat
melihat pemuda itu yang berada di antara gunung-ganang dan sedang duduk di atas
sebuah batu besar, matanya memandang ke langit.
Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda itu dengan memberi
salam, tetapi pemuda itu tidak menjawab salam Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa
berkata, “Aku ini Isa a.s.”
Kemudian Allah s.w.t. menurunkan wahyu yang berbunyi,
“Wahai Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan manusia, sebab dalam
hatinya itu terdapat kadar setengah berat Jarrah cintanya kepada-Ku. Demi
keagungan dan keluhuran-Ku, kalau engkau memotongnya dengan gergaji sekalipun
tentu dia tidak mengetahuinya.”
Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak
menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu.
1. Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah s.w.t., tetapi dia
mencintai dunia.
2. Orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal, tetapi dia ingin mendapat
sanjungan dari manusia.
3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakannya, tetapi tidak
berani merendahkan dirinya.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Akan datang waktunya
umatku akan mencintai lima dan lupa kepada yang lima:
1. Mereka cinta kepada dunia. Tetapi mereka lupa kepada akhirat.
2. Mereka cinta kepada harta benda. Tetapi mereka lupa kepada hisab
3. Mereka cinta kepada makhluk. Tetapi mereka lupa kepada Al-Khaliq.
4. Mereka cinta kepada dosa. Tetapi mereka lupa untuk bertaubat.
5. Mereka cinta kepada gedung-gedung mewah. Tetapi mereka lupa kepada kubur.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan