Jumaat, 18 Oktober 2013

Matlamat Seorang Hamba

SMAHADZIR


“MATLAMAT orang-orang muqarrobin ialah Allah s.w.t. Mereka memburu Allah s.w.t. Dapat Allah s.w.t. dapat semuanya. Hilang Allah s.w.t. hilanglah semuanya. Allah s.w.t. sumber keselamatan bahkan Allah s.w.t. itu segala-galanya. Mereka menagih cinta dan kasih sayang Tuhan. Mereka sangat takut dan bimbang kalau tersisih dari cinta dan rahmat Tuhan.”

Sudah menjadi tabiat hamba sukakan nikmat dan bencikan kesusahan. Manusia akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan nikmat dan akan juga berusaha sedaya upaya untuk mengelak dari kesusahan. Manusia suka pada yang baik dan benci pada yang buruk. Manusia sukakan berita gembira dan takutkan ancaman seksa. Dalam mendidik manusia, Allah s.w.t. ambil kira perkara ini.

Sebab itu dalam kita berdakwah, kita disyaratkan supaya menyampaikan tabsyir (berita gembira) dan tanzir (berita buruk). Ini perlu supaya manusia terdorong untuk membuat kebajikan dan akan takut untuk membuat kemungkaran. Ini sudah cukup untuk mengawal orang-orang yang beriman supaya mereka berbakti kepada Allah s.w.t. dan menjauhi larangan-Nya.

Di dalam Al-Quran sendiri penuh dengan tabsyir dan tanzir.allah janjikan pahala bagi orang-orang yang beriman dan yang beramal soleh. Allah s.w.t. ancam orang-orang yang ingkar dan derhaka dengan dosa. Allah s.w.t. janjikan orang-orang yang taat dengan Syurga dan segala macam keindahan dan nikmat-Nya. Dan Allah s.w.t. ancam orang-orang yang ingkar dengan Neraka dan segala macam seksaan-Nya. Bagi orang-orang soleh, mereka sangat cintakan Syurga dan sangat takutkan Neraka. Perasaan cintakan Syurga ini mendorong mereka untuk berbuat sebanyak-banyak ibadah dan kebajikan. Perasaan takutkan Nereka pula mengawal dan menghindarkan mereka daripada berbuat maksiat dan kemungkaran.

Namun demikian, keadaan seperti ini tidak berlaku kepada orang-orang muqarrobin (orang-orang yang hampir dengan Tuhan). Orang-orang muqorrobin tidak mengaitkan ibadah dan amal kebajikan mereka dengan pahala atau Syurga. Mereka juga tidak mengelakkan diri dari membuat maksiat dan kemungkaran atau dasar takutkan dosa dan Neraka. Dalam apa yang mereka lakukan dan usahakan, ia bersabit terus dengan Allah s.w.t.

Pendorong bagi mereka beribadah dan membuat sebanyak-banyak kebajikan dan penghalang yang menghindar mereka dari terlibat dengan maksiat dan kemungkaran ialah semata-mata cinta dan takut mereka kepada Allah s.w.t. itu sendiri. Soal pahala dan dosa dan soal Syurga dan Neraka tidak terlintas di dalam fikiran dan hati mereka.

Matlamat orang-orang muqarrobin ialah Allah s.w.t. Mereka memburu Allah s.w.t. Mereka mahu mempunyai dan memiliki Allah s.w.t. Dapat Allah s.w.t. dapat semuanya. Hilang Allah s.w.t. hilanglah semuanya. Allah s.w.t. sumber keselamatan bahkan Allah s.w.t. itu segala-galanya. Mereka menagih cinta dan kasih sayang Tuhan. Mereka sangat takut dan bimbang kalau tersisih atau terpinggir dari cinta dan rahmat Tuhan. Bagi mereka, Syurga dan Neraka itu hanyalah makhluk ciptaan Tuhan seperti mereka juga dan tidak layak dijadikan matlamat.

Orang-orang muqarrobin juga tahu bahawa Syurga itu terlalu mahal untuk dibeli dengan amal ibadat dan pahala. Tidak ada siapa yang dimasukkan ke Syurga kerana pahala dan amalan mereka. Tidak juga Rasulullah s.a.w. sendiri. Manusia dimasukkan ke Syurga semata-mata kerana rahmat Allah s.w.t. Justeru itu sepatutnyalah manusia berusaha untuk mendapatkan cinta dan rahmat Allah s.w.t. kerana inilah jalan keselamatan. Memburu Syurga belum tentu akan menghasilkan rahmat dan kasih sayang Tuhan. Tanpa rahmat dan kasih sayang Tuhan, apalah ertinya kehidupan dan kewujudan ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan