SMAHADZIR
ABU LAITS AS-SAMARQANDI adalah seorang ahli fiqah yang mahsyur.
Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi
yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya
mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi
itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, “Esok engkau
dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau
dikehendaki berbuat:
1. Apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah,
2. Engkau sembunyikan,
3. Engkau terimalah,
4. Jangan engkau putuskan harapan,
5. Larilah engkau daripadanya.”
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya
menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar
berwarna hitam. Nabi kebingungan sambil berkata, “Aku diperintahkan memakan
pertama aku hadapi, tetapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat
dilaksanakan.”
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan
hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu
mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi pun mengambilnya
lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu.
Dia pun mengucapkan syukur ‘Alhamdulillah’.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu
pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya
disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan
mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu
terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali
berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, “Aku telah melaksanakan
perintahmu.” Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi
itu, mangkuk emas itu keluar semula dari tempat ia ditanam. Ketika dia sedang
berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor
burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, “Wahai Nabi Allah
s.w.t., tolonglah aku.”
Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu
dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan
keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil
berkata, “Wahai Nabi Allah s.w.t., aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu
sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku.”
Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang
keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk
menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil
pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu.
Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi
dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalananya. Tidak
lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia
pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan
hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke
rumahnya.
Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia
berkata, “Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang
diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini.”
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah s.w.t.
bahawa:
1. Engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit
tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka
marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
2. Semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan
nampak jua.
3. Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat
kepadanya.
4. Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu
kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
5. Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah
dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah.”
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita
semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku
dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap
hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata
hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan
menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti
ada seorang hamba Allah s.w.t. akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah
dikerjakannya.
Lalu dia bertanya, “Wahai Allah s.w.t., sesungguhnya
pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu.”
Maka berkata Allah s.w.t., “Ini adalah pahala orang yang
mengata-ngata tentang dirimu.”
Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang
kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita
sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia
benar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan