SMAHADZIR
DARI Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: Rasululah
s.a.w. telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak
menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: Sesungguhnya tidak ada fitnah
(kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa
oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah s.w.t. ada mengingatkan kaumnya
tentang Dajjal.
Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat
yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu.
Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku
adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku,
maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnYa Allah akan menjaga
orang-orang mukmin.
Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam
dan Irak. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba
Allah., wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu
ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada
umatnya.
Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai
nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku
sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat
sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah s.w.t. tidak cacat,
bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu
tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau
buta huruf.
Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan
neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka,
yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah
dia meminta pertolongan kepada Allah s.w.t. dan hendaklah dia membaca pangkal
surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar
Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.
Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang
Arab: Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama
meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?
Orang Arab itu akan berkata: Tentu. Maka syaitan pun
datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan
suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: Wahai anakku, ikutilah dia,
sesungguhnya dialah Tuhanmu.
Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia
bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: Lihatlah
apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia
semula. Dengan izin Allah s.w.t. orang mati tadi hidup semula. Kemudian
Laknatullah Alaih itu bertanya: Siapa Tuhanmu?
Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman,
menjawab: Tuhanku adalah Allah s.w.t., sedangkan engkau adalah musuh Allah
s.w.t. Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah s.w.t. dan dia termasuk orang
yang paling tinggi darjatnya di syurga.
Kata Rasulullah s.a.w. lagi: Di antara tipu dayanya juga
dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh
bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk
ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang
baik dan mereka tidak me-ngakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian
itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.
Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya
kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang
demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.
Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak
didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat
ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak
pinggiran Makkah dan Madinah.
Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di
luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu
orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di
Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah
menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.
Dalam hadis yang lain, di antara fitnah atau tipu daya
yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka
mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu
tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka.
Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya.
Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh
langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan
tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka
subur.
Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang
pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak
amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai.
Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w. ada
bersabda: Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal
nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada
waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali.
Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing
kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang
paling banyak lari ketika itu.
Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah
membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi.
Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah
r.a. mengatakan: Pernah satu hari Rasulullah s.a.w. masuk ke rumahku ketika aku
sedang menangis. Melihat saya menangis beliau bertanya: Mengapa menangis? Saya
menjawab: Ya Rasulullah s.a.w., engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya
takut mendengarnya.
Rasulullah s.a.w. berkata: Seandainya Dajjal datang pada
waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia
datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat.
Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w.
bersabda: Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil
tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari
terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu
hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa.
Ada yang bertanya: Ya Rasulullah s.a.w., tentang hari
yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?
Rasulullah s.a.w. menjawab: Ukurlah berapa jarak solat
yang lima waktu itu.
Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: Akulah
Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu
bermaksud menahannya?
Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu
hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.
Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu,
dia berkata kepada manusia: Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu
berjalan?
Mereka semua menjawab: Ya, kami ingin.
Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan
satu hari begitu cepat berjalan.
Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda: Akan
keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka
selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat
puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah s.w.t. mengutus Isa bin
Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas’ud dan kemudian membunuh Dajjal
itu.
Dan menurut ceritanya setelah munculnya Dajjal hampir
semua penduduk dunia menjadi kafir, yakni beriman kepada Dajjal. Menurut
ceritanya orang yang tetap dalam iman hanya tinggal 12,000 lelaki dan 7,000
kaum wanita. Wallahu A’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan