SMAHADZIR
IMAM AHMAD bin Muhammad bin Hambal. Beliau adalah Imam
yang keempat dari fuqahak Islam. Beliau memiliki sifat-sifat yang luhur dan
tinggi. Ahmad bin Hambal dilahirkan di Baghdad pada bulan Rabiul Awal tahun 164
Hijrah. Beliau termasyhur dengan nama datuknya Hambal, kerana datuknya lebih
masyhur dari ayahnya.
Ibnu Hambal hidup dalam keadaan miskin, kerana ayahnya
hanya meninggalkan sebuah rumah kecil dan tanah yang sempit. Beliau terpaksa
melakukan berbagai pekerjaan. Beliau pernah bekerja di tempat tukang jahit, mengambil
upah menulis, menenun kain dan kadangkala mengambil upah mengangkat
barang-barang orang. Beliau lebih mementingkan makanan yang halal lagi baik dan
beliau tidak senang menerima hadiah-hadiah.
Ketika ia masih berumur 14 tahun, Ahmad bin Hambal telah
belajar mengarang dan menghafal Al-Quran. Beliau bekerja keras dalam menuntut
ilmu pengetahuan. Sebagai seorang ulama yang sangat banyak ilmunya, Ibnu Hambal
pun seorang yang teguh imannya, berani berbuat di atas kebenaran.
Dia tidak takut bahaya apa pun terhadap dirinya di dalam
menegakkan kebenaran itu. Kerana Allah s.w.t. memang telah menentukan bahawa
setiap orang yang beriman itu pasti akan diuji keimanannya. Termasuk juga para
nabi dan rasul yang tidak pernah lepas dari berbagai ujian dan cubaan.
Ujian dan cubaan berupa fitnah, kemiskinan, seksaan dan
lain-lainnya itu selalu akan mendampingi orang-orang yang beriman apalagi orang
yang menegakkan kebenaran. Demikian juga halnya dengan Imam Hambali, terlalu
banyak bahaya yang dihadapinya dalam berjuang menegakkan kebenaran agama. Ujian
itu datangnya bermacam-macam kadangkala dari musuh kita dan dapat juga timbul
dari kawan-kawan yang merasa iri dengan kebolehan seseorang.
Imam Hambali berada pada zaman kekuasaan kaum Muktazilah
yang berpendapat bahawa Quran itu adalah makhluk. Pendirian ini begitu kuatnya
di kalangan pemerintah, sehingga barangsiapa yang bertentangan pendirian dengan
pihak pemerintah tentu akan mendapat seksaan.
Sebelum Al-Makmun ini, yakni pada zaman sultan Harun
Al-Rasyid, ada seorang ulama bernama Basyar Al-Marisy berpendapat bahawa Quran
itu adalah makhluk. Baginda Harun Al-Rasyid tidak mahu menerima pendapat
tersebut. Bahkan terhadap orang yang berpendapat demikian akan diberi hukuman.
Kerana ancaman itu akhirnya Basyar melarikan diri dari Baghdad.
Sultan Harun Al-Rasyid pernah berkata: “Kalau umurku
panjang dan masih dapat berjumpa dengan Basyar nescaya akan kubunuh dia dengan
cara yang belum pernah aku lakukan terhadap yang lain?” Selama 20 tahun lamanya
Syekh Basyar menyembunyikan diri dari kekuasaan Sultan.
Tetapi setelah Sultan Harun Al-Rasyid meninggal dunia,
kemudian diganti dengan puteranya Al-Amin barulah Syekh Basyar keluar dari
persembunyiannya. Kembali ia mengeluarkan pendapatnya itu, bahawa Quran itu
adalah makhluk. Al-Amin juga sependirian dengan ayahnya tidak setuju dengan
pendapat tersebut. Ia mengancam berat terhadap orang yang mengatakan Quran itu
makhluk.
Kemudian kepala negara pindah lagi ke tangan saudara
Al-Amin iaitu Al-Makmun. Pada zaman pemerintahan Al-Makmun inilah pendapat
tentang Quran itu makhluk mula diterima. Al-Makmun sendiri telah terpengaruh
dan ikut berpendapat demikian. Pada suatu kali oleh Al-Makmun diadakan
pertemuan para ulama besar, untuk membincangkan hal itu, tetapi para ulama tetap
berpendapat bahawa Al-Quran itu adalah makhluk. Al-Makmun mengharapkan supaya
pendapat itu diterima orang ramai.
Pada masa itu satu-satunya ulama yang keras berpendirian
bahawa “Al-Quran itu bukan makhluk?” Hanyalah Imam Hambali. Secara terus terang
ia berkata di hadapan Sultan: “Bahawa Al-Quran bukanlah makhluk yang dijadikan
Allah s.w.t., tetapi ia adalah Kalamullah.”
Imam Hambali satu-satunya ulama ketika itu yang berani
membantah, sedangkan yang lainnya diam seribu bahasa. Kemudian ia ditangkap dan
dihadapkan ke hadapan baginda. Ia dipanggil bersama tiga orang ulama yang
lainnya, iaitu Imam Hassan bin Muhammad Sajah, Imam Muhammad bin Nuh dan Imam
Ubaidah bin Umar.
Kedua ulama di antara mereka sama menjawab dan
membenarkan pendapat baginda sementara Imam Hambali dan Imam Muhammad bin Nuh
dengan tegas menjawab bahawa Quran itu bukanlah makhluk. Keduanya lalu
dimasukkan ke dalam penjara. Setelah beberapa hari dalam penjara datang surat
dari Tharsus yang meminta supaya keduanya dibawa ke sana dengan dirantai.
Kedua ulama tersebut betul-betul dirantai kedua kaki dan
tangannya dan ditunjukkan di hadapan orang ramai. Kemudian dibawa ke Tharsus,
sesampainya di sana keduanya dimasukkan ke dalam penjara. Kerajaan mempunyai
seorang ulama besar bernama Ahmad bin Abi Daud, yang pandai berbicara namun
lemah dalam pendirian.
Terhadap Imam Hambali mereka minta supaya dihukum dengan
hukuman yang seberat-beratnya. Baginda raja menerima usulan tersebut. Lalu Imam
Hambali dihadapkan depan raja dan ditanyakan tentang pendiriannya. Namun ia
tetap menyampaikan pendiriannya bahawa Al-Quran itu ialah Kalamullah bukan
makhluk. Dan ia menegaskan lagi bahawa ia tidak akan berubah dari pendiriannya
itu.
Akhirnya terjadilah persidangan yang dipimpin oleh
baginda sendiri. Kemudian baginda memanggil Imam Hambali dan berkata: “Atas
nama saya sebagai kerabat Nabi Muhammad s.a.w. saya akan memukul engkau
beberapa kali, sampai engkau membenarkan apa yang telah saya benarkan, atau
mengatakan seperti yang saya kata?” Kerana Imam Hambali masih tetap dengan
pendiriannya, maka baginda memerintahkan kepada perajuritnya untuk memukul Imam
Hambali.
Ketika cambuk yang pertama singgah di punggung beliau,
beliau mengucapkan “Bismillah.” Ketika cambuk yang kedua, beliau mengucapkan
“La haula walaa quwwata illaa billah” (tiada daya dan kekuatan apa pun kecuali
izin Allah s.w.t). Ketika cambuk yang ketiga kalinya beliau mengucapkan
“Al-Quran kalaamullahi ghairu makhluk” (Al-Quran adalah kalam Allah s.w.t.
bukan makhluk). Dan ketika pada pukulan yang keempat, beliau membaca surah
At-Taubah ayat 51.
“Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami
melainkan apa yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. bagi kami.”
Sehingga seluruh badan beliau mengalir darah merah.
Akhirnya beliau dimasukkan ke dalam penjara kembali. Pada suatu hari ketika
Imam Hambali dibawa ke Kota Anbar dengan tangan yang terbelenggu, seorang yang
alim bernama Abu Jaafar Al-Anbari menghampiri beliau. Imam Hambali bertanya
kepadanya: “Hai Abu Jaafar apakah engkau susah melihat keadaanku?”
“Tidak wahai Imam, engkau adalah pemuka umat, kerana umat
manusia ada di belakangmu. Demi Allah, bila engkau mahu menjawab bahawa Quran
itu makhluk, pastilah umat akan mengikutimu, dan bila engkau tidak mahu
menjawab, maka umat juga tidak mahu menjawab seperti apa yang ingin engkau
jawab Bila engkau tidak mati dibunuh orang, pasti engkau juga akan mati dengan
cara yang lain. Maka janganlah engkau mahu menuruti kehendak mereka.”
Mendengar kata-kata Jaafar itu beliau mencucurkan air
mata dan berkata: “Masya-Allah! Masya-Allah! Masya-Allah! Kemudian beliau pun
dikunjungi oleh bekas penjahat bernama Abdul Haitsam Al-Ayyar dan berkata
kepada beliau: “Wahai Imam, saya ini seorang pencuri yang didera dengan
beribu-ribu cambukan, namun saya tidak mahu mengakui perbuatan saya, pada hal
saya menyedari bahawa saya salah. Maka janganlah Imam gelisah dalam menerima
dera, sebab engkau dalam kebenaran.”
Ketika Khalifah Al-Makmun meninggal dunia pada tahun 218H
(833 M) setelah memerintah 20 tahun lamanya, yang mengganti beliau ialah
saudaranya yang bernama Ishaq Muhammad bin Harun Al-Rasyid yang bergelar dengan
Al-Muktashimbillah. Sebelum Khalifah Al-Makmun meninggal dunia beliau telah
berpesan kepada bakal penggantinya itu bahawa faham Al-Quran itu makhluk harus dipertahankan.”
Kebijaksanaan kerajaan yang menyeksa para ulama yang
tidak sependirian dengan faham kerajaan itu atas dasar hasutan seorang ulama
kerajaan yang bernama Kadhi Qudhoti Ahmad bin Abi Daud (Daud). Ulama inilah
yang memberikan usulan kepada Al-makmun bahawa jika Imam Ahmad bin Hambal tetap
tidak mahu mengikuti bahawa Al-Quran itu makhluk hendaklah dihukum dengan
hukuman yang berat.
Setelah kerajaan dipegang oleh Al-Muktasim ulama Ahmad
bin Daud masih tetap menjadi qadi kerajaan. Pada suatu hari Qadi kerajaan ini
cuba mengadili Imam Hambali dengan melakukan perdebatan akhirnya Ahmad bin Daud
kalah kerana tidak dapat mengemukakan alasan yang lebih kuat. Walaupun demikian
Imam Hambali tetap dimasukkan kembali ke dalam penjara.
Pada bulan Ramadhan pengadilan terhadap Imam Hambali
diadakan lagi. Khalifah Al-Muktashim bertanya: “Al-Quran itu adalah baru,
bagaimana pendapat anda.”
“Tidak! Al-Quran adalah kalam Allah s.w.t., saya tidak
sejauh itu membahasnya kerana di dalam Al-Quran dan hadis tidak disuruh
membahas soal tersebut,” jawab beliau.
Beliau dicambuk sampai berdarah, pada hal ketika itu
bulan puasa. Baginda berkata: “Kalau kamu merasa sakit dengan pukulan ini, maka
ikutilah saya, dan akuilah bahawa Al-Quran itu makhluk, supaya kamu selamat.”
Penderaan pun terus berlangsung, sehingga beliau terasa
bahawa tali seluar yang menutup auratnya putus dan hampir turun ke bawah.
Beliau pun mengangkatkan mukanya ke atas sambil berdoa: “Ya Allah!, atas namaMu
yang menguasai Arsy, bahawa jika Engkau mengetahui bahawa saya adalah benar,
maka janganlah Engkau jatuhkan penutup aurat ku.” Ketika itu pula seluar beliau
yang akan jatuh itu naik ke atas kembali sehingga aurat beliau tidak jadi
terlihat oleh orang ramai.
Penyeksaan terhadap beliau itu baru berakhir setelah
selesai Maghrib. Para hakim dan orang- orang hadir kemudian berbuka puasa di
hadapan beliau. Sementara beliau dibiarkan saja tidak diberi sesuatu makanan
untuk berbuka. Demikianlah seterusnya, pada hari yang kedua pun beliau masih
tetap didera sampai seluruh badannya mencucurkan darah. Pada hari ketiga beliau
masih tetap didera sehingga pengsan.
Setelah Al-Muktashim meninggal dunia ia diganti dengan
puteranya Al-Watsiq. Pada masa ini banyak penganiayaan dilakukan terhadap para
ulama. Khalifah Al-Watsiq inilah yang memancung leher ulama terkenal yakni
Ahmad bin Naser Al-Khuza’i. Kepala Ahmad bin Naser digantung dan diletak
tulisan yang berbunyi: “Inilah kepala Ahmad bin Naser yang tidak mahu mengakui
bahawa Al-Quran itu makhluk, maka Tuhan memasukkan Ahmad bin Naser ke dalam
neraka, kepala ini menjadi peringatan bagi mereka yang memalingkan dirinya dari
kiblat.” Demikianlah tulisan yang diletakkan dekat leher Ahmad bin Naser.
Kemudian Khalifah Al-Watsiq meninggal dunia dan
digantikan dengan saudara beliau yang bernama, Al-Mutawakkil. Pada masa inilah
dicabut tentang faham muktazilah dan diadakan pembebasan terhadap semua ulama
yang ditahan, termasuk Imam Ahmad bin hambal. Sementara itu Imam Hambali
setelah dibebaskan beliau diberi hadiah sebanyak l0,000 dirham, namun hadiah
tersebut beliau tolak. Kerana dipaksa untuk menerimanya, akhirnya beliau terima
dan dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.
Pada hari Jumaat tanggal 12 Rabiul Awal tahun 241 H atau 855
M beliau meninggal dunia yang fana ini dengan tenang dalam usia 77 tahun.
Setelah mendengar wafatnya beliau, seluruh Kota Baghdad menjadi gempar jenazah
beliau disembahyangkan lebih dari 130, 000 orang muslimin. Demikian berakhirnya
riwayat seorang penegak kebenaran dan meninggikan ilmu pengetahuan, setelah
melalui berbagai seksaan dan penganiayaan. Semoga mereka yang berjuang pada
jalan Allah s.w.t. menjadi kekasih Allah s.w.t., yang selalu mendapat
keberkahannya dan keredhaan-Nya.
Banyak lagi mereka yang berjuang pada jalan Allah s.w.t.
akhirnya menerima ujian dan cubaan dengan berbagai penganiayaan dan seksaan.
Firman Allah s.w.t. ertinya: ”Apakah manusia itu mengira bahawa
mereka dibiarkan saja mengatakan. “Kami telah beriman, sedang mereka tidak
diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka,
maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia
mengetahui orang-orang yang dusta.” (surah Al-Ankabut: 2-3)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan