SMAHADZIR
TERSEBUTLAH kisah ada sebuah negeri Ninuwi namanya, di
mana setiap rumah penuh dengan berhala yang disembah dan hampir setiap
penduduknya hidup dalam kejahilan, kegelapan, kesesatan dan berbagai hal yang
jauh dari kebenaran. Kepada mereka itulah Nabi Yunus diutus Allah s.w.t
untuk menyingkapkan kegelapan dan membawa cahaya terang. Untuk membimbing akal
dan fikiran mereka, agar dapat memikirkan alam yang luas bukan hanya alam yang
sempit, agar dapatlah mereka menginsafi bahawa berhala itu adalah barang buatan
yang tidak ada gunanya disembah, yang harus disembah adalah Allah s.w.t yang
menjadikan bumi dan langit, bulan, matahari dan segalanya.
Mereka terkejut mendengar keterangan baru
itu, yang memang bertentangan dengan apa yang sudah menjadi tradisi kehidupan
mereka turun temurun; iaitu menyembah dan memuja batu-batu yang berupakan
patung atau berhala. Mereka bukan hanya terkejut saja, tetapi kerana sudah
menjadi tabiat pula bagi mereka, bahawa mereka tidak akan tunduk menurutkan
kata seseorang yang dianggapnya bukan raja dan bukan bangsawan, tidak mempunyai
kekayaan dan kekuasaan apa-apa, tetapi hanya orang biasa saja.
Mendapat Tentangan
Sebagaimana nasibnya semua Nabi dan Rasul, demikian
jugalah nasib dan pengalaman yang dialami oleh Nabi Yunus. Baginda ditentang
dan didebat orang dengan berbagai-bagai tentangan dan debatan. Dengan sabar dan
tahan hati, dengan lunak dan budi yang tinggi, Nabi Yunus menghadapi mereka.
Bukan sebulan dua, tetapi sampai bertahun-tahun pula, namun mereka tetap
mengengkari akan ajakan Nabi Yunus.
Kerana keengkaran yang tidak boleh ditawar-tawar
ini, Nabi Yunus mulai bimbang, kalau-kalau mereka itu akan mengalami pula seksa
dan azab Allah s.w.t, sebagaimana yang telah dialami oleh bangsa-bangsa yang
terdahulu dari mereka. Hal ini dikemukakan Nabi Yunus kepada mereka: ‘Aku bimbang
kalau seksaan Allah s.w.t turun atas kamu sekalian, kerana keengkaran kamu yang
tidak boleh ditawar-tawar ini dan tidak seorang juga yang dapat menghindarkan
dirinya dan seksaan Allah s.w.t itu, selain orang yang dikehendaki Allah s.w.t iaitu
orang-orang beriman dan tunduk kepada ajaran Allah s.w.t.’
Lucu dalam pendengaran telinga mereka
peringatan Nabi Yunus yang demikian itu. Kerana semua itu mereka anggap hanya
omong kosong belaka. Mereka menjawab peringatan ini dengan kesombongan: ‘Kami
tidak akan tunduk kepadamu, kami tidak takut akan seksa Tuhanmu itu.
Datangkanlah siksa itu kalau engkau memang benar.’
Nabi Yunus tidak dapat menahan sabarnya
lagi. Hatinya marah tidak terhingga, harapannya putus sama sekali. Nabi Yunus
berjanji tidak akan berhubungan dan berkata lagi di hadapan mereka. Nabi
Yunus lalu berjalan, bertolak meninggalkan kampung dan bangsa yang engkar itu. Baginda
pergi merantau ke negeri lain, dengan hati yang kesal dan putus asa.
Tidak lama dan belum jauh perjalanan Nabi
Yunus dari negeri itu, turunlah seksa Allah s.w.t atas penduduk negeri yang
sombong dan bongkak itu. Mula-mula hawa panas meningkat tinggi, kerananya warna
kulit mereka berubah ketika itu juga, menjadi hodoh serta banyak cacat-cacatnya.
Derita hawa panas semakin meningkat tinggi lagi, sehingga mereka merasakan
benar pedihnya seksaan itu. Mulai timbul di hati, rasa takut dan mereka mulai
percaya akan kata-kata Nabi Yunus itu memang benar. Sekarang mereka menjerit-jerit
mencari Nabi Yunus, ingin bertaubat serta ingin menurut perintahnya. Mereka
teringat akan azab dan seksa yang pernah diturunkan terhadap kaum Nabi Nuh,
terhadap bangsa Ad dan Tsamud. Mereka ingin bertaubat dan menurut akan segala
ajaran Nabi Yunus. Tetapi sayang, Nabi Yunus sudah pergi dan tidak seorang pun
mengetahui ke mana perginya baginda.
Minta Taubat Dan Keampunan
Hawa makin meningkat juga panasnya. Kaum ibu sudah tidak
menghiraukan lagi anak-anak mereka sendiri, begitu juga keadaan kambing dan biri-biri
sama-sama tidak diladeni lagi, lembu dan unta pun demikian juga keadaannya.
Baik manusia mahupun binatang, masing-masing memikirkan nasibnya sendiri.
Tatkala itulah mereka minta taubat dan
ampun sehebat-hebatnya kepada Allah s.w.t yang pernah diajarkan Nabi Yunus
kepada mereka yang pada waktu itu mereka tolak. Kerana taubat dan kehendak
itu benar-benar keluar dan hati mereka, taubat yang ikhlas, segera Allah s.w.t
menghentikan seksaan yang telah diturunkan itu.
Mereka kembali hidup dalam keadaan biasa,
aman dan tenteram. Mereka menginginkan agar Nabi Yunus segera kembali kerana
mereka merasa rindu kepada baginda dan pelajaran Nabi dan Rasul, sebagai guru
dan kalau perlu akan mereka angkat menjadi raja mereka. Tetapi Yunus tidak
kembali. Baginda berjalan terus-menerus dengan hatinya yang kesal dan kecewa.
Sesudah lama berjalan, akhirnya Nabi Yunus
tiba di pinggir laut, di tepi sebuah pantai. Tampaklah olehnya sekelompok
manusia yang sedang bersiap untuk belayar menyeberangi lautan luas itu dengan
sebuah kapal. Nabi Yunus minta agar diizinkan turut menumpang dan bersama-sama
belayar. Sebagai tetamu, Nabi Yunus mereka sambut dengan penghormatan dan
kemuliaan. Permintaan Nabi Yunus mereka kabulkan, apalagi setelah terbukti Nabi
Yunus adalah seorang yang baik budi serta halus tutur bahasanya. Penghormatan
terhadap Nabi Yunus semakin bertambah sehingga baginda benar-benar menjadi tetamu
yang paling terhormat di kalangan mereka.
Kapal belayar dengan lancarnya mengharungi
lautan luas akhirnya hilanglah tepi pantai dan pandangan mata. Mereka tiba di tengah-tengah
lautan luas yang tidak bertepi. Dengan takdir Allah s.w.t, di tengah-tengah
lautan yang luas itu, kapal tersebut dilanda gelombang yang sangat tinggi,
gulung menggulung, seperti gunung-gunung yang sedang berkejar-kejaran, seolah-olah
hendak menyerang bahtera kecil yang sedang mereka kayuh.
Hati para penumpang berdebar hebat,
bahaya maut menghadang mereka. Tidak ada jalan lain yang dapat menghindarkan
diri dan bahaya lautan itu selain dengan mengurangi muatan kapal. Semua barang
muatan pun segera dilemparkan ke luar kapal, tetapi kapal masih dalam bahaya,
sehingga terpaksa harus mengurangi muatan lainnya, iaitu muatan yang berupakan
manusia.
Tetapi siapakah di antara mereka yang
harus dilemparkan ke laut, untuk menjaga keselamatan jiwa orang yang ramai itu?
Untuk ini, tidak dapat hanya dengan cara ditunjuk belaka. Akhirnya mereka
mengadakan undian, untuk menentukan siapa yang harus berkorban demi keselamatan
jiwa lainnya. Mereka rela menjalankan korban jiwa dilemparkan ke laut, bila
takdir menentukan demikian dengan undian itu.
Undian Untuk Nabi Yunus
Setelah undian dilangsungkan, maka jatuhlah pada
nama Nabi Yunus. Tetapi kerana Nabi Yunus adalah tetamu yang terhormat yang
harus mereka pelihara dan menjaganya bersama-sama, maka mereka tidak sudi
menjalankan keputusan undian terhadap diri Nabi Yunus tatkala itu. Mereka tetap
mengadakan undian yang kedua kalinya. Tetapi kali yang kedua ini pun, undian
itu jatuh pada Nabi Yunus juga. Timbul keyakinan dalam hati Nabi Yunus, bahawa
jatuhnya undian yang berulang dua kali atas dirinya itu, adalah hal yang sangat
luar biasa dan mungkin ini mengandungi rahsia yang luar biasa juga.
Dengan demikian, Nabi Yunus tidak suka
undian itu diulang ketiga kalinya. Baginda minta supaya ketetapan undian yang
sudah berlangsung dua kali itu dijalankan. Baginda sendiri bersedia untuk
dilemparkan ke dalam laut, sedia untuk ditelan oleh gelombang yang datang
mengganas itu. Mungkin ini sebagai peringatan Allah s.w.t atas dirinya, yang
telah meninggalkan kewajibannya sendiri menghadapi kaumnya dengan berputus asa
dan berhijrah sebelum ada perintah Allah s.w.t untuk berhijrah.
Sesudah mengucapkan selamat tinggal dan
selamat jalan kepada semua penumpang dan kawan-kawan sekapal, Nabi Yunus lalu
melompat ke tengah-tengah gelombang besar itu, menyerahkan nasibnya kepada Allah
s.w.t.
Ikan besar yang sedang berenang dekat
tempat itu, mendapat wahyu dari Allah s.w.t untuk menelan Nabi Yunus dengan
syarat, ikan itu tidak akan memakan daging Nabi Yunus dan tidak akan merosakkan
tulang temulangnya, kerana baginda itu adalah Nabi Allah yang mulia, seorang
Nabi yang sudah mengambil keputusan dan diserang putus asa. Hal itu dijalankan
Nabi Yunus untuk menebus kesalahan dan keputusasaannya sendiri.
Nabi Yunus ditelan oleh ikan besar itu,
masuk ke dalam perutnya dengan selamat, tidak kurang suatu apa pun. Kemudian
ikan besar itu berenang ke sana ke mari di tengah gelombang yang besar, kadang-kadang
ke permukaan lautan dan kadang-kadang pula sampai ke dasar laut yang jauh di
bawah.
Gelap di bilik gelintin, dengan perasaan
yang tidak dapat dibayangkan dengan pena. Tetapi baginda rela, baginda sabar dan
tabah untuk menebus kesalahan-kesalahannya dan selalu berdoa, mudah-mudahan Allah
s.w.t mengampuninya dan Allah s.w.t sudi menurunkan rahmat yang lebih besar
atas diri dan bangsanya. ’Tidak ada Allah s.w.t selain Engkau, Maha Suci
Engkau, ya Tuhanku, dan sungguh aku ini orang yang sudah aniaya terhadap diriku
sendiri.’
Demikianlah ucapan Nabi Yunus di dalam
perut ikan yang gelap gelita itu. Doa dan permohonan Nabi Yunus itu didengar
oleh Allah s.w.t, kerana Allah s.w.t Maha Mendengar akan doa hamba-Nya, di mana
saja hamba-Nya itu berdoa kepada-Nya. Ikan diwahyukan Allah s.w.t untuk
memuntahkan tetamu yang ada dalam perutnya itu ke atas daratan di tepi pantai.
Keadaan Nabi Yunus sebaik keluar dari ‘kapal selam’ yang berjiwa itu sangat luar
biasa, badannya kurus kering, lemah longlai dan tidak mempunyai daya
lagi.
Tumbuh Sepohon Yaqtin
Dengan rahmat Allah s.w.t atas diri Nabi Yunus, di
tempat baginda terdampar itu, lalu tumbuh sepohon yaqtin yang berbuah dan berdaun rimbun. Buahnya lalu dimakan oleh
Nabi Yunus dan di bawah naungan daunnya yang rimbun itulah Nabi Yunus
berlindung dari terikan panas matahari.
Berhubung dengan kejadian atas diri Nabi
Yunus mi, Allah s.w.t dengan tegas membukakan rahsianya dengan firman-Nya surah
as-Saffat, ayat I 144: ‘Kalau bukanlah dia (Yunus), yang sebelumnya banyak
menyebut nama Allah s.w.t (ibadat), nescaya dia akan tetap tinggal di perut
ikan itu sampai hari kiamat.’
Jadi nyatalah bahawa yang menyebabkan baginda
dapat tetap hidup dalam perut ikan selama tiga hari tiga malam, tanpa udara,
makanan dan minuman itu, adalah lantaran zikir dan ibadat yang banyak
dilakukannya sebelum kejadian itu. Zikir dan ibadat itulah yang dapat menjadi
udara, makanan dan minumannya. Sungguh beruntunglah manusia yang dalam
hidupnya banyak melakukan zikir dan ibadat terhadap Allah s.w.t, Allah Rabbul
Alamin.
Lama kelamaan Nabi Yunus menjadi sihat
dan kuat kembali dan mulai merasakan keenakan hidup di tengah udara yang
cukup. Baru saja Nabi Yunus dapat duduk dan berdiri, perintah Allah s.w.t
datang berupa wahyu kepadanya: ‘Kembalilah engkau sekarang juga ke kampung
halamanmu kerana bangsamu sedang menunggu pimpinanmu. Mereka sudah beriman
semuanya dengan keimanan yang suci murni. Mereka sudah membuang segala berhala
dan patung yang selama ini mereka puja dan sembah. Mereka sedang bersusah payah
mencari engkau, tetapi tidak bertemu.’
Nabi Yunus kembali ke kampung halamannya,
bertemu dengan sanak saudaranya dan bangsanya. Nabi Yunus lalu sujud bersimpuh
memuji dan menyembah Allah s.w.t, diikuti oleh seluruh keluarga dan bangsanya
yang sudah bertaubat dan sedar itu. Dengan merekalah Nabi Yunus hidup
dalam keadaan yang aman dan tenteram, merupakan suatu masyarakat manusia makmur
dan diredhai Allah s.w.t.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan