SMAHADZIR
TERSEBUT bahawa Nabi Noh dan pengikut-pengikutnya yang terdiri dari orang-orang
yang beriman telah diselamatkan Allah s.w.t dari bahaya maut. Semua musuh
mereka yang terdiri dari orang-orang kafir yang jahat, seluruhnya sudah musnah.
Orang-orang beriman yang selamat ini, setelah berhenti banjir dahsyat itu, di
bawah pimpinan Nabi Noh semakin tebal iman mereka, semakin percaya kepada Nabi
Noh dan ajarannya. Mereka tidak berhenti-henti mengucap syukur dan beribadat
menyembah Allah s.w.t yang telah menyelamatkan mereka. Makin terasa sampai sedalam-dalamnya
dalam jiwa raga mereka akan kebesaran Allah s.w.t dan kekuasaan-Nya.
Demikianlah berjalan beberapa abad pula lamanya. Manusia hidup dalam rukun dan
damai, iman dan takwa, senang, tenang dan bahagia sekali.
Mula Melupakan Ajaran Nabi
Terdahulu
Tetapi beberapa abad kemudian, anak cucu atau
keturunan mereka, mulalah melupakan ajaran Nabi Noh dan nenek moyang mereka
yang beriman itu. Mungkin kerana kurangnya penerangan atau pengaruh penghidupan
yang semakin meningkat, pengaruh ekonomi, keinginan-keinginan dan keperluan,
ditambah lagi oleh tipu daya Syaitan dan Iblis yang selalu menggoda dan
memperdayakan mereka. Akhirnya seluruh manusia menjadi lupa sama sekali kepada Allah
s.w.t Pencipta yang diajarkan Nabi Noh dan nenek moyang mereka orang beriman
dahulu.
Setelah mereka berkembang biak menjadi
manusia ramai, hidup berselerak atau bertaburan di segenap pelosok, yang
berjauhan dan berdekatan, menjadi berbagai-bagai suku kaum dan bangsa, antara
satu sama lain sudah tidak kenal mengenal lagi, masing-masing golongan, suku
dan bangsa berkembang menurut adat kebiasaan atau tradisi masing-masing. Yang
satu ingin lebih kaya, lebih kuat dari yang lain. Akhirnya yang kaya memeras si
miskin, dan yang kuat menindas yang lemah.
Bersamaan dengan lenyapnya keimanan
terhadap Allah s.w.t, lenyap pulalah ketenteraman dan keselamatan, kebahagiaan
dan kesenangan hidup. Lalu timbullah berbagai-bagai maksiat, kejahatan,
kepercayaan yang sesat dan menyesatkan. Bila mereka sudah kacau dan tidak selamat
lagi, kembalilah mereka ingin menyelamatkan diri masing-masing. Kerana mereka
sudah lupa kepada Allah s.w.t, maka mereka tercari-cari cara memperoleh
keselamatan dan ketenteraman. Akhirnya mereka buat pula patung berhala, dan patung-patung
itulah menurut para pemuka mereka yang dapat menyelamatkan mereka dari segala
kesusahan dan bahaya. Akhirnya patung atau berhala itu mereka hormati, mereka
mengagungkannya, mereka puji lalu sembah. Dan patung-patung itulah ‘tuhan’,
kata mereka.
Sejarah sepeninggalan Nabi Noh berulang
kembali, dengan ulangan yang sama tidak ada perbezaan sama sekali. Bangsa ‘Ad,
begitulah namanya satu kaum yang paling derhaka pada zaman itu, hidup di negeri
Ahqaf, antara Yaman dan Oman sekarang ini, di wilayah negeri Arab juga.
Bangsa ‘Ad ini termasyhur sekali kerana
besar tubuh badannya dan kuat tenaganya. Hidup di tanah yang subur, tumbuh di
situ berbagai tumbuh-tumbuhan, mengalir di situ sungai-sungai dan mata air. Masing-masing
mempunyai kebun yang luas, hasil bumi yang berlipat ganda banyaknya. Dengan
kekayaan yang melimpah ruah itu, mereka dapat membuat rumah dan istana tempat
tinggal masing-masing.
Kerana kebahagiaan hidup yang berlimpahan
itu, mereka lupa akan asal usul kejadian mereka, mereka tidak tahu dari mana
asalnya segala nikmat dan rahmat yang berlimpah ruah tersebut. Akal mereka
hanya sampai ke batu-batu yang mereka buat dan lukis sendiri berupa patung-patung.
Kepada batu-batu itulah mereka berterima kasih atas semua nikmat dan rahmat,
dan kepada batu itu jugalah mereka minta tolong bila ditimpa kesusahan dalam
hidup dan penghidupan mereka.
Bukan hanya sesat diri mereka bahkan
akhirnya mereka menyebarkan kejahatan di permukaan bumi yang penuh rahmat itu.
Si kuat di antara mereka menyeksa yang lemah, yang besar menganiaya anak kecil,
sehingga keselamatan dan kebahagiaan hanya dimiliki oleh beberapa golongan
manusia saja di antara mereka, iaitu mereka yang kuat dan berani saja. Sedang
orang yang lemah dan tidak punya kekuasaan, hidup menderita, dengan derita yang
tidak terperikan lagi.
Nabi Diutuskan Sebagai
Penyelamat
Diutus Tuhan kepada mereka seorang dari bangsa ‘Ad
itu sendiri, Nabi Hud namanya. Seorang yang lapang dada, berbudi tinggi,
pengasih dan penyantun, penuh dengan kesabaran. Diajarkan kepada kaum ‘Ad itu
akan Allah s.w.t yang sebenarnya, iaitu Allah s.w.t. Sedang batu-batu yang
mereka sembah dan cintai itu tidak ada kekuasaan apa-apa. Tidak dapat memberi
manfaat atau mudarat, tidak mempunyai kuasa untuk berbuat apa-apa. ‘Allah
s.w.t-lah yang selayaknya disembah dan dipuja, kerana Allah s.w.t-lah yang
menjadikan kamu dan memberi kamu rezeki, yang menghidupkan dan mematikan kamu,
yang membentangkan bumi tempat berpijak, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan
mendatangkan berbagai-bagai nikmat yang kamu gunakan,’ kata Nabi Hud kepada
mereka.
Seperti manusia pada zaman Nabi Noh,
seruan dan ajaran Nabi Hud ini tidak dihiraukan oleh masyarakat ‘Ad, mereka
membantah dengan membangga-banggakan kekayaan dan kepintaran mereka sendiri.
Diperingatkan pula oleh Nabi Hud, bahawa semua orang yang sudah mati itu nanti akan
dihidupkan kembali di Alam Akhirat, akan diperhitungkan kejahatan dan
kebaikannya. Mana yang jahat akan diseksa dan mana yang baik akan dibahagiakan
dalam Syurga yang disediakan Allah s.w.t.
Ajaran ini lebih mereka ejek lagi dengan
berkata: ‘Manakan boleh orang yang sudah mati dan hancur menjadi satu dengan
tanah akan dapat hidup kembali. Hidup hanya di dunia ini saja, senang dan susah
hanya di muka bumi saja.’
Diperingatkan Hud seksa yang pernah
diturunkan Allah s.w.t terhadap manusia engkar pada zaman Nabi Noh. Mereka
tidak percaya. Itu adalah cerita bohong yang diada-adakan saja, atau berita
dongeng yang diada-adakan oleh Hud, kata mereka.
Bahkan Hud dianggap mereka orang yang
terlalu bodoh. ‘Apa kelebihan engkau berbanding kami?’ kata mereka kepada Hud. ‘Engkau
makan sebagaimana kami makan juga, engkau minum sebagaimana kami minum juga,
engkau hidup seperti kehidupan kami, tidak ada bezanya sedikit pun,’ kata
mereka selanjutnya. ‘Kenapa engkau mengatakan diutus Allah s.w.t? Kenapa engkau
saja yang diutus Allah s.w.t? Kami pun berhak diutus Allah s.w.t itu!
Perkataanmu itu adalah bohong semata-mata,’ kata mereka kepada Hud.
Hud terus mengajak mereka, walaupun
mendapat sambutan dingin dan juga tentangan dari mereka yang engkar itu.
Demikianlah dari masa ke semasa, tahun ke tahun, beratus tahun pula lamanya.
Hanya sedikit sekali yang menurut ajarannya itu.
Ternyata juga, bahawa memang mereka tidak
mahu beriman, mereka tidak mahu berhenti dari berbuat derhaka dan jahat, mereka
hanya berbuat apa yang mereka kehendaki belaka dengan tidak mempedulikan sesiapa
pun. Sifat takbur mereka sudah demikian hebat, sehingga tidak dapat dibendung
lagi, sehingga masyarakat ketika itu lantaran itu menjadi kacau bilau, porak
peranda, sehingga tidak ada orang yang merasa selamat lagi, selain orang-orang
yang kuat dan berkuasa saja. Sedang semua mereka tidak juga mahu menurut ajaran
Nabi Hud itu.
Bukan Awan Rahmat
Pada suatu hari terbentanglah di langit awan hitam
yang panjang, melintang di tengah-tengah langit. Hampir semua mereka ke luar
rumah menoleh ke arah awan yang agak ganjil itu. Akhirnya mereka berkata: ‘Itulah
awan panjang, menandakan sebentar lagi hujan akan turun untuk menyiram tanam-tanaman
kita, memberi minum kepada binatang-binatang ternakan kita.’
Tetapi Nabi Hud berkata kepada mereka: ‘Itu
bukan awan rahmat, tetapi awan yang membawa angin kencang yang akan menewaskan
kamu sekalian, angin yang penuh dengan azab seksa yang sepedih-pedihnya.’
Sejurus kemudian angin dahsyat
berhembusan, luar biasa hebatnya. Binatang ternakan mereka yang sedang
berkeliaran di padang pasir, kecil besar turut terbang disapu bersih oleh angin
entah ke mana perginya. Mulalah mereka takut dan berlompatan lari masuk ke
dalam rumah masing-masing, yang merupakan bangunan dan istana yang kuat dan
kukuh itu. Mereka tutup segala pintu, untuk berlindung diri. Mereka gunakan
segala kekuatan tubuh mereka yang kuat dan besar itu untuk mempertahankan pintu
dan rumah-rumah mereka itu agar jangan diterbangkan angin.
Tujuh malam dan lapan hari lamanya angin
dahsyat itu bertiup sehebat-hebatnya. Jangankan manusia dan binatang-binatang
serta tumbuh-tumbuhan, batu yang besar yang berupakan gunung pun lenyap bersama
angin, lebih-lebih lagi patung yang mereka sembah selama ini. Demikianlah
jadinya manusia kuat yang takbur itu.
Firman Allah s.w.t: ‘Tidaklah Allah s.w.t
akan mencelakakan satu negeri dengan satu petaka, sedang penduduknya berbuat baik-baik.’
Hairan, Nabi Hud dan para pengikutnya
tetap di rumah saja, dengan tidak merasakan sedikit juga akan bahaya angin
ribut yang begitu dahsyat selama se minggu berturut-turut itu. Akhirnya Nabi
Hud berpindah tempat kerana negeri itu sudah menjadi padang jarak padang terkukur.
Baginda berpindah ke Hadhramaut, di mana baginda hidup hingga tiba masa
wafatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan