SMAHADZIR
TERSEBUTLAH dalam sejarah bahawa di kalangan Bani
Israel suatu ketika dulu ada seorang yang sudah tua umurnya dan telah dapat
merasakan sendiri, bahawa dalam waktu yang tidak lama lagi, beliau akan
meninggalkan dunia yang fana ini. Orang tua itu adalah orang tua yang soleh,
tidak menghiraukan kekayaan dunia, sehingga kehidupannya boleh dikatakan
sederhana sekali, tidak ada yang dipunyainya, kecuali seorang anak yang masih
muda dan seekor lembu yang sangat disayanginya.
Berwasiat Kepada Anaknya
Setelah terasa olehnya, bahawa ajalnya sudah dekat,
lalu anaknya itu dipanggil. Beliau berkata dan berwasiat kepada anaknya:
‘Anakku, aku akan pergi meninggalkan engkau untuk selama-lamanya dan engkau
akan tinggal sendirian menjadi yatim piatu, kerana ibumu sudah meninggal dunia
terlebih dahulu. Tidak ada pula peninggalanku untukmu, kecuali lembu seekor.
Peliharalah lembu itu sehingga besar. Aku doakan kepada Tuhan, agar hidupmu
mendapat perlindungan-Nya.’
Setelah orang tua tersebut meninggal
dunia, maka tinggallah anak itu seorang diri dengan seekor lembu, sebagai harta
pusaka peninggalan bapanya. Lembu itu sesuai dengan wasiat bapanya, dijaganya
dengan baik dan selalu beliau memohon pertolongan serta perlindungan dari Allah
s.w.t.
Tidak jauh dari tempat itu, di kalangan
Bani Israel itu juga, terdapat pula orang tua. Berbeza dengan orang tua yang
sudah meninggal dunia itu, kerana orang tua ini adalah orang yang kaya-raya,
mempunyai harta benda yang amat banyak, yang tidak ada tolok bandingannya dalam
masyarakat tatkala itu.
Orang ini pun hanya mempunyai seorang
anak juga. Kepadanyalah semua harta benda peninggalan (pusaka) itu harus
diserahkan, bila dia sudah meninggal dunia nanti. Tetapi orang tua itu
mempunyai beberapa orang anak saudara dan keluarga pula, yang kesemuanya
menginginkan harta yang akan ditinggalkan itu. Namun menurut aturan ketika itu,
selagi ada anak, orang lain tidak mendapat bahagian dari harta peninggalan
tersebut. Akhirnya timbullah nafsu dan fikiran jahat dalam hati mereka, untuk
mendapatkan harta sebanyak itu. Mereka semuafakat akan membunuh anak yang
berhak itu dan sudah tentulah mereka akan didapati tidak terlibat dalam
pembunuhan tersebut, akan menuntut kepada Nabi Musa supaya menghukum
pembunuhnya. Akal busuk ini segera dijalankan dengan teratur sekali, sehingga
tidak seorang pun yang dapat mengesan rahsianya.
Begitulah, dengan cara yang sangat teliti
sekali, pembunuhan terhadap anak itu mereka lakukan, sehingga seorang manusia
pun tidak ada yang mengetahuinya, siapa sebenarnya yang menjadi pembunuh.
Keesokan harinya dengan berpura-pura sedih dan dalam keadaan berkabung atas
kematian sepupu yang tercinta itu mereka bersama-sama datang ke tempat Nabi
Musa untuk mengadukan tentang pembunuhan kejam itu agar dapat menutupi
kejahatan yang mereka lakukan sendiri. Malah mereka menuntut kepada Nabi Musa;
agar pembunuhnya segera ditangkap dan dihukum dengan hukuman yang
seberat-beratnya.
Menyembelih Seekor Lembu
Walau bagaimanapun Nabi Musa menyelidiki kejadian
yang gelap ini, masalahnya masih tetap gelap juga, tidak dapat diketahui, siapa
sebenarnya yang menjadi pembunuhnya. Akhirnya Nabi Musa berdoa kepada Allah
s.w.t tentang masalah gelap ini. Allah s.w.t lalu memerintahkan kepada Nabi
Musa, agar kepada semua orang yang datang mengadu itu, diwajibkan menyembelih
seekor lembu dan dengan lembu yang disembelih itu, Nabi Musa diperintahkan
Allah s.w.t untuk memukul orang yang sudah mati terbunuh itu. Dengan cara ini
orang yang sudah mati itu akan hidup kembali dan dapat menceritakan sendiri
siapa yang telah membunuhnya. Lalu Nabi Musa memerintahkan kepada mereka supaya
menyembelih seekor lembu.
Sungguh ganjil sekali perintah itu
menurut pandangan mereka, sebab tidak ada hubungannya dengan tuntutan. Mereka
berkata: ‘Apakah engkau hendak mempermainkan kami?’ Dengan tegas dijawab oleh
Nabi Musa: ‘Aku berlindung diri kepada Allah s.w.t, bahawa aku akan menjadi
orang bodoh.’
Entah kerana masih belum percaya, entah
kerana engkar terhadap perintah ini, mereka menjawab lagi kepada Nabi
Musa: ‘Tanyakan kepada Tuhanmu, lembu yang bagaimanakah yang dimaksudkan
Allah s.w.t itu?’
Nabi Musa kembali berdoa dan bertanya
kepada Allah s.w.t, lembu yang bagaimanakah yang dimaksudkan Allah s.w.t dalam
perintah tersebut. Setelah Allah s.w.t menerangkan keadaan lembu yang
dimaksudkan itu, lalu Nabi Musa menyampaikan keterangan Allah s.w.t itu kepada
mereka dengan berkata: ‘Allah s.w.t mengatakan, lembu itu adalah lembu yang
tidak tua dan tidak pula muda, iaitu pertengahan antara tua dan muda.
Kerjakanlah apa yang diperintahkan Allah s.w.t itu!’
Kembali mereka meminta, agar Nabi Musa
kembali berdoa dan bertanya kepada Allah s.w.t, tentang bagaimana warna lembu
yang dimaksudkan itu. Setelah Nabi Musa berdoa dan bertanya kembali kepada
Allah s.w.t, maka diterangkan Allah s.w.t tentang warna lembu itu, lalu oleh
Nabi Musa sampaikan pula kepada mereka: ‘Bahawa Allah s.w.t berkata, iaitu
lembu yang berwarna kuning dengan warna yang cemerlang dan dapat menggembirakan
orang yang melihatnya.’
Dengan jawapan ini, mereka masih bertanya
lagi dengan menyatakan, bahawa mereka masih ragu-ragu, mereka minta supaya Nabi
Musa berdoa dan bertanyakan kepada Allah s.w.t sekali lagi, bagaimana yang
benar-benar dimaksudkan oleh Allah s.w.t itu. Nabi Musa berdoa dan bertanya
lagi kepada Allah s.w.t, serta mendapat jawapan juga. Segera Nabi Musa
menyampaikan apa yang diterangkan Allah s.w.t itu kepada mereka: ‘Iaitu lembu
yang tidak jinak untuk digunakan membajak sawah dan pengangkut air dan harus
yang bersih, tidak ada belang warnanya sedikit pun.’
Dengan persoalan yang terus menerus
terhadap apa yang mula-mula diperintahkan Allah s.w.t kepada mereka, akhirnya
mereka diharuskan mencari lembu yang banyak sekali syaratnya. Beberapa hari
lamanya mereka berjalan ke sana ke mari untuk mencari lembu seperti yang
diterangkan itu, tetapi tidak mereka Berjaya mendapatkannya. Sukar sekali
mencari lembu yang berwarna kuning serta cemerlang, apa lagi harus bersih yang
tidak ada belangnya sama sekali, ditambah pula harus yang tidak jinak,
sedangkan umumnya lembu sudah biasa digunakan orang untuk membajak atau
mengangkut air.
Terbukalah Rahsia
Sesudah bersusah payah mencari, akhirnya mereka
menemui juga seekor lembu yang memenuhi syarat-syarat yang ditentukan itu,
iaitu seekor lembu pusaka yang diwariskan oleh orang tua soleh kepada anaknya
yang masih kecil serta yatim piatu, sebagaimana diterangkan dahulu. Oleh kerana
lembu ini lembu pusaka yang dipelihara dengan pemeliharaan yang luar biasa
pula, maka anak ini tidak mahu dan tidak mempunyai keinginan sama sekali untuk
menjualnya, apa lagi lembunya itu akan dibeli orang untuk disembelih
pula.
Tetapi kerana ini adalah perintah Allah
s.w.t, maka dengan cara yang bagaimana pun lembu itu harus mereka peroleh.
Akhirnya kerana untuk keperluan menjalankan perintah Allah s.w.t, anak itu pun
rela juga menjual lembunya, tetapi harus dibeli dengan harga yang tinggi,
kerana memang hanya lembu yang seekor itulah kekayaannya di atas dunia ini.
Setelah lembu itu mereka beli, lalu
disembelih, lidahnya segera diambil oleh Nabi Musa, lalu menuju ke tempat orang
yang mati terbunuh itu yang sudah lama dikuburkan. Setelah disuruhnya
membongkar kuburan itu, mayat itu pun lalu dipukul oleh Nabi Musa dengan lidah
lembu, mayat itu pun hidup kembali. Maka ditanyakan kepadanya, siapa yang
membunuhnya. Mayat itu menunjukkan bahawa yang membunuhnya adalah mereka yang
datang mengadu kepada Nabi Musa tersebut. Dengan kejadian ini, terbukalah
rahsia selama ini dan tersimpul pula berbagai-bagai pengajaran dan peringatan
yang sangat tinggi nilai serta harganya, untuk orang-orang yang percaya kepada
Allah s.w.t.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan