Syed Mahadzir Syed Ibrahim
Sufyan Ats-Tsaury memberi nasihat kepada seorang pemuda
ahli ibadah: ‘Wahai pemuda, ambillah sesuatu dari dunia untuk badanmu dalam hal
yang memang kamu harus mengambilnya, dan ambillah akhiratmu untuk hatimu.’
Yakni sibukkanlah dirimu mengingati akhirat.
Betapa mudahnya konsep Islam dan betapa adil
perlakuannya. Sesungguhnya seorang mukmin mengambil kenikmatan dunia sekadar
mencukupi keperluannya yang mendesak, menyibukkan hatinya untuk memikirkan
tempatnya di akhirat, melihat kehidupan hakikinya di negeri abadi dan tiada
menyibukkan hatinya dengan harapan-harapan dunia dan rakus terhadapnya, kerana
dia tahu bahawa dunia adalah fana dan akan sirna.
Namun ternyata kebanyakan manusia lebih
mengutamakan dunianya dan lupa akan akhiratnya, sebagaimana yang difirmankan
Allah s.w.t: ‘Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi.
Sedangkan kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.’ (surah Al-A’la:
16-17)
Ada juga segelintir manusia yang tenggelam
dalam memikirkan akhirat belaka, zuhud terhadap dunia, berpaling dari dunia
secara total hingga tidak mahu bekerja dan meninggalkan urusannya. Kedua
kelompok ini sama-sama jauh dari manhaj pertengahan yang diserukan oleh
Islam.
Dari sini maka harus senantiasa diingatkan
tentang bahaya ghuluw baik dalam memandang aspek dunia ataupun aspek
akhirat, kerana wasathiyah adalah ciri khas Islam, sebagaimana
difirmankan Allah s.w.t: ‘Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah s.w.t
kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu
dari dunia.’ (surah Al-Qashash: 77)
Adapun ajaran yang dianggap zuhud
namun ekstrim hanyalah warisan para pengikut tasawuf yang radikal, jauh dari manhaj
Al-Kitab dan As-Sunnah. Pada abad ketiga hijriyah, muncul Muhammad bin
As-Sammak, penasihat terkenal pada zaman pemerintahan Harun Ar-Rasyid yang
mewarisi Dawud bin Nushair Ath-Tha’i yang tingkat kezuhudannya sampai pada
menjauhi kehidupan dunia, bersikap keras dalam memperlakukan dirinya sendiri.
Penasihat tersebut mengucapkan pujiannya:
‘Wahai Dawud, kamu telah memenjarakan diri di rumahmu seorang diri, tiada yang
kamu ajak bicara dan duduk bersamamu. Aku tidak tahu manakah dua perkara yang
lebih berat bagi kamu? Apakah menyendiri di rumah hingga bertahun-tahun dan
berbulan-bulan, ataukah meninggalkan makan dan minum, kamu tidak minum dan
merasakan kesegarannya? Tidak ada pintu di rumahmu, tidak ada tempat tidur di
bawahmu, tidak tersedia sedikit pun air sejuk di dalamnya dan tidak ada sesuap
makan pun untuk dimakan tatkala pagi dan petang. Apakah kamu tidak menyukai air
yang sejuk, makanan yang enak dan baju yang halus? Benar, sebenarnya kamu
menyukainya, akan tetapi kamu berzuhud terhadapnya kerana seruan yang di
hadapanmu dan kamu mengharapkannya.’
Kita mungkin hairan dengan kekuatan iradahnya
dan tingkat kezuhudannya, akan tetapi kita tidak mengamalkan kezaliman tersebut
terhadap diri kita sendiri, kerana hal itu termasuk melewati batas dalam
menghindari dunia dan meninggalkan kenikmatan yang baik-baik, hingga tidak mahu
dengan air yang sejuk atau tempat tidur yang nyaman. Akan tetapi yang dilakukan
oleh orang yang tawasuth, maka dia akan mengambil dunia bagi badannya
dan mengambil akhirat bagi hatinya.
Itulah yang difahami Islam dan konsep yang
diajarkannya, yang memberikan kelapangan bagi manusia dan tidak mempersempitkan
sesuatu yang longgar. Itulah timbangan yang teliti, memerlukan keluasan
pemahaman, kepekaan bashirah serta kekuatan iradah dan istiqamah
di jalan yang benar.
Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan