SMAHADZIR
IBNU QAYYIM AL-JAWZIYYAH (691/1292 - 751/1350) bukanlah
tokoh yang asing dalam kalangan orang Islam, tetapi ramai yang tidak tahu
pemikiran dan sumbangannya dalam falsafah ekonomi Islam. Ibnu Qayyim banyak
membincangkan konsep kekayaan dan kemiskinan, ekonomi dan zakat, konsep faedah,
riba al-fadi dan riba al-nasiiah, dan mekanisme pasaran.
Ibnu Qayyim atau nama asalnya Shams al-Din Abu ‘Abd Allah
Muhammad bin Abu Bakr bin Sa’ad, lahir pada 7 Safar 691 H bersamaan 9 Januari
1292 M di Damsyik. Beliau meninggal dunia pada tahun 751 H/1350 M di tempat
yang sama. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan ilmu pengetahuan.
Ayahnya merupakan guru pertama yang mengajar Ibnu Qayyim tentang ilmu-ilmu asas
Islam termasuk ilmu al-fara’id.
Sebenarnya, beliau telah menuntut pelbagai bidang
pengajian dengan beberapa orang ulama terkenal pada waktu remajanya. Antara
guru beliau ialah Qadi Sulayman bin Hamzah (711 H/1311 M), Shaykh Abu Bakr (718
H/1318 M), al-Majd al-Tunisi (718 H), Abu al-Fath al-Ba’li (709 H), al- Saffi
al-Hindi (715 H), al-Taqi al-Sulayman, Abu Bakr bin ‘Abd al-Da’im (718 H), Abu
Basr bin al-Shirazi (723 H), ‘Isa al-Mut’im (719 H), Isma’il Maktum (716 H),
dan Ibnu Taymiyyah (661 - 728/1263 - 1328).
Antara bidang pengajian yang dipelajari daripada mereka
ialah tafsir Al-Quran, hadis, usul al-feqah, dan feqah. Kesungguhan dan
ketekunan Ibnu Qayyim mempelajari ilmu dan pelbagai bidang, akhirnya menjadikan
beliau terkenal sebagai seorang tokoh dalam bidang feqah, usul al-feqah,
tafsir, bahasa Arab, ilmu kalam, dan hadis. Malah menurut Ibnu ‘Imad, Ibnu
Qayyim merupakan seorang yang alim dalam bidang tasawuf.
Ibnu Qayyim sangat terkenal sebagai seorang tokoh ilmuwan
pada zamannya dan dapat menguasai pelbagai bidang ilmu. Beliau merupakan salah
seorang faqih yang mempunyai autoriti dalam Mazhab Hambali. Ada sesetengah
Ulama Sufi menggelarkannya sebagai sufi agung. Beliau juga mempunyai
personaliti dan peribadi yang baik yang amat sukar ditandingi oleh orang lain
yang semasa dengannya.
Ibnu Kathir (774 H/1373 M), salah seorang anak muridnya
pernah menyatakan bahawa Ibnu Qayyim kuat beribadat dan peribadinya disukai
oleh orang ramai pada waktu itu. Antara lain Ibnu Kathir menulis, ‘Aku tidak
pernah melihat pada zaman kami ini, orang yang kuat beribadat seperti Ibnu
Qayyim. Apabila sembahyang, sembahyangnya begitu lama. Beliau memanjang
rukuknya dan juga sujudnya.’
Selaku seorang ulama yang terkenal, Ibnu Qayyim telah
didampingi oleh ramai orang yang berguru dan mempelajari pelbagai bidang ilmu
dengannya. Antara anak muridnya yang masyhur ialah Ibnu Kathir tokoh dalam ilmu
hadis dan sejarah, Zayn al-Din Ibnu Rajab al- Hambali (795H/1397M) seorang
tokoh dalam Mazhab Hambali, dan Ibnu Hajar al-’Asqalani (852H/1449M) seorang
tokoh hadis yang tidak asing lagi.
Menurut penyelidikan Dr. ‘Iwad Allah Jad Hijazi penulisan
Ibnu Qayyim dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan berjumlah 66 buah. Penulisan
itu ada yang berjilid-jilid, ada yang tebal dan ada yang kecil serta ringkas.
Dalam bidang tafsir Ibnu Qayyim menulis kitab al’Tibyan fi Iqsam al’Qur’an, Tafsir al Muuawwizatayn, Tafsir Surah
al’Fatihah yang terdapat di awal kitab Madarij
al-Salikin, dan lain-lain lagi.
Dalam bidang hadis, Ibnu Qayyim menulis kitab-kitab
seperti Tahdhib al-Siman oleh Abu Dawud,
al-Wabilal Sayyab min al-Kalam al-Tayyib, dan sebagainya. Dalam bidang
feqah dan usul feqah beliau menyumbangkan kitab-kitab seperti, Ilam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-’Alarum,
al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyysah al-Shar’iyyah, al-Solah wa Ahkam Tariqiha,
Tuhfah al-Mawdud bi-Ahkam al-Mawlud, Bayan al-Dalil ‘An Istighna’ al-Musabaqah
‘an al-Tahlil, al-Tahlil Fima Yaaill wa Yaarum min Libas al-Harir, dan
sebagainya.
Dalam bidang tasawuf Ibnu Qayyim menulis yang antaranya,
kitab-kitab Madarij al-Salikin, Rawdah
al-Muhibbin wa Nuzhah ai-Mushtaqin, al-Fawa’id li Ibnu Qayyim, ‘Uddah
al-Sabirin wa Dhakhirah al-Shakirin, Taraq al-Hijratayn wa Bab al-Sa’adatayn,
dan sebagainya. Dalam bidang kalam dan falsafah Ibnu Qayyim menulis beberapa
kitab seperti, Shifa’ a-’Alil fi Masa’il
al-Qada’ wa Al-Qadar wa al-hikmah wa al-Ta’lil, Kitab al-Ruh, Hadi al-Arwah ila
Bilad al-Afrah, dan Miftah dar
al-Sa’adah wa Manshur Wilayah al-’Ilm wa al-Iradah.
Dalam bidang sejarah, beliau menulis kitab Zad al-Ma’ad fi Hady Khayr al-’Ibad.
Ibnu Qayyim juga menulis al-Tibb
al-Nabawi, Talbis Iblis, al-Jawab al-Kafi ‘an Lima Sa’ala ‘An al-Dawa’
al-Shafi, dan lain-lain lagi. Ibnu Qayyim dalam penulisannya juga telah
menyentuh beberapa perkara berkenaan dengan falsafah ekonomi Islam iaitu konsep
manusia Islam (homo islamicus) dan
manusia bukan ekonomi (non homo
economicus), konsep keadilan dan nilai-nilai etika dalam ekonomi, aktiviti
ekonomi, kerjasama dan pembahagian buruh, pemilikan harta kekayaan oleh
individu, dan peranan kerajaan dalam ekonomi.
Dalam hal ini, Ibnu Qayyim menggariskan asas kepercayaan
Islam bahawa setiap manusia bertanggungjawab membimbing diri sendiri ke arah
menjadi hamba Allah yang baik dan Allah s.w.t merupakan sumber pedoman dan
petunjuk.
Dalam pengajian ekonomi, manusia digambarkan sebagai
makhluk yang sifat, gelagat, dan tindakannya mementingkan diri sendiri, tamak,
haloba, dan menjadikan keuntungan sebagai asas penting dalam semua jenis
aktiviti ekonomi. Jadi, setiap manusia bertanggungjawab terhadap perbuatannya
dan Allah s.w.t menjadi pedoman dan petunjuk ke arah jalan yang betul.
Selain itu, Ibnu Qayyim menekankan bahawa hidup di dunia
ini merupakan ujian dan cubaan daripada Allah s.w.t. Ujian yang dikenakan
kepada manusia itu boleh sama ada dalam bentuk anugerah harta kekayaan ataupun
diberikan kehidupan yang susah. Anugerah kekayaan kepada seseorang tidak
bermaksud Allah s.w.t sayang kepadanya.
Demikian juga ujian kemiskinan tidak bermaksud Allah
s.w.t benci kepada seseorang. Harta kekayaan yang dimiliki oleh manusia
bukanlah bererti hidup ini penuh dengan kesenangan. Ibnu Qayyim juga ada
menyentuh soal keadilan yang merupakan teras semua aspek dalam kehidupan.
Menurut Ibnu Qayyim, keadilan merupakan objektif dan matlamat utama Syariah.
Hal ini demikian adalah kerana Syariah itu mengandungi keadilan, keberkatan,
dan kebijaksanaan.
Perkara yang bercanggah dengan keadilan akan menukarkan
keberkatan dan kebajikan kepada laknat dan kejahatan, dan daripada
kebijaksanaan kepada sesuatu yang tidak berfaedah kepada Syariah.
Sehubungan dengan itu Ibnu Qayyim menjelaskan nilai-nilai
etika yang baik seharusnya diamalkan oleh orang Islam dalam kegiatan ekonomi
mereka. Antara nilai etika yang baik ialah kepatuhan kepada Allah s.w.t,
ketaatan kepada agama, sifat baik, jujur, dan benar. Apabila nilai etika
tersebut diamalkan dalam kehidupan seharian terutamanya dalam kegiatan ekonomi,
akan menjauhkan nilai-nilai jahat seperti pembohongan, penipuan, dan korupsi.
Selanjutnya beliau menjelaskan bahawa akibat daripada
sifat semula jadi yang suka berbohong akan menyebabkan kejayaan tidak tercapai
dalam kehidupan. Apabila keadaan ini berlaku, kehidupan perekonomian akan cacat
termasuk juga aspek-aspek lain dalam kehidupan. Dalam perkataan lain,
pembohongan memberi impak yang besar dalam kehidupan orang-orang Islam.
Memandangkan akibat yang besar daripada ketidaktaatan dan
kejahatan sosial, Ibnu Qayyim ada menulis bahawa kesan-kesan dosa akan membawa
kepada tidak baik dan dikutuk. Dosa-dosa ini mencacatkan jasad dan roh manusia
yang merosakan kehidupan di dunia ini dan selepas mati.
Sifat-sifat yang negatif seperti pembohongan, penipuan,
dan pengeksploitasian serta ketidakjujuran mendorong kepada keadaan yang tidak
tenteram dalam kehidupan masyarakat. Akan berlaku huru-hara, kecurigaan,
ketidakstabilan, dan kekecewaan dalam kalangan masyarakat. Apabila semua
perkara ini berlaku, kegiatan ekonomi akan menguncup.
Sebaliknya nilai-nilai etika yang diamalkan dalam
masyarakat akan menyuburkan suasana keyakinan dan jaminan keselamatan dalam
masyarakat. Pada masa yang sama, masyarakat akan bekerjasama dalam proses
pengeluaran dan kestabilan ekonomi. Dalam perkataan lain pengeluaran
barang-barang dan perkhidmatan akan meningkat, dan masyarakat akan hidup mewah.
Selain itu, Ibnu Qayyim menganjurkan campur tangan
kerajaan dalam pemilikan harta kekayaan individu jika individu berkenaan
menggunakan harta kekayaan berkenaan pada jalan yang bertentangan dengan faedah
masyarakat. Dalam hubungan ini, Ibnu Qayyim telah memetik sepotong hadis
Rasulullah s.a.w. mengenai seorang hamba (harta) yang dimiliki bersama
olehbeberapa rakan kongsi (tuan) yang hendak dibebaskan oleh salah seorang daripada
tuannya, sedangkan tuan-tuan yang lain tidak bersetuju dengan pembebasan
tersebut.
Dalam kes ini Rasulullah s.a.w. memutuskan harga yang
adil dan rakan-rakan kongsi yang lain diminta menerima bahagian masing-masing.
Selepas itu, hamba berkenaan telah dibebaskan. Hadis ini menjadi asas pada Ibnu
Qayyim dalam menentukan peraturan bahawa sesuatu harta yang tidak boleh
dibahagikan dan dimiliki bersama boleh dijual jika salah seorang daripada para
pemiliknya berhasrat untuk menjualnya.
Jelas, beberapa aspek dalam falsafah ekonomi Islam yang
dihuraikan oleh Ibnu Qayyim tersebut merupakan antara prinsip dan teras ekonomi
Islam yang membezakannya dengan falsafah ekonomi konvensional.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan