Syed Mahadzir Syed
Ibrahim
Abu Al-Ala Al-Maududi
telah mentarifkan ibadah daripada segi bahasa dan istilah di dalam bukunya Asas-asas
Islam seperti berikut:
1. Bahasa: Merendah
diri, tunduk, patuh dan taat.
2. Istilah: Taat,
tunduk, patuh dan merendah diri kepada Allah s.w.t.
Jelasnya, ibadah
ialah pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Al-Quran menjelaskan
bahawa ibadah sebagai ubudiyyah dan ketaatan. Firman Allah: ‘Wahai
orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang
telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu
hanya beribadat kepadanya.’ (Al-Baqarah:1-2)
Hubungan Akidah Dan
Ibadah
Bila seseorang itu
telah mempunyai akidah yang kukuh maka:
1. Hidupnya hanyalah
untuk beribadah kepada Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya: ‘Dan tidak Aku
ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.’ (Adz-Dzariyat:
56) Perintah dalam ayat ini adalah perintah untuk beribadat kepada Allah s.w.t
semata-mata, menghambakan diri dengan sepenuhnya kepada Allah s.w.t dan hikmah
diciptakan jin dan manusia.
2. Menolak segala
kepatuhan dan ketaatan yang selain dari ketaatan kepada Allah s.w.t. Firman
Allah: ‘Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Rasul pada tiap-tiap umat
(untuk menyerukan): Sembahlah Allah s.w.t dan jauhilah thaghut.’
(Al-Nahl:36) Thoghut ialah semua yang disembah atau yang dipatuhi selain Allah.
Membina kehidupan di dunia menurut peraturan-peraturan Allah.
Ruang Lingkup Ibadah
Dalam Islam
Islam amat istimewa
hingga menjadikan seluruh kegiatan manusia sebagai ibadah apabila diniatkan
dengan penuh ikhlas kerana Allah s.w.t demi mencapai keredhaan-Nya serta
dikerjakan menurut cara-cara yang disyariatkan oleh-Nya.
Islam tidak
membataskan ruang lingkup ibadah kepada sudut-sudut tertentu sahaja. Seluruh
kehidupan manusia adalah medan amal dan persediaan bekalan bagi para mukmin
sebelum mereka kembali bertemu Allah s.w.t di hari pembalasan nanti. Hakikat
ini ditegaskan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran: ‘Dialah yang telah
mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan
kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa
(membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).’
(Al-Mulk:2)
Oleh itu ruang
lingkup ibadah dalam Islam sangat luas. Ia adalah seluas tempoh hayat seseorang
Muslim dan kesanggupan serta kekuatannya untuk melakukan apa saja amal yang
diredhai oleh Allah s.w.t dalam tempoh tersebut.
Pembahagian Ibadah
Umum Dan Khusus
Ibadah terbahagi
kepada dua iaitu khusus dan umum:
Ibadah Khusus
Merupakan
perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung di dalam
Rukun Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan beberapa amalan khusus
seperti tilawah Al-Quran, zikir dan seumpamanya. Ianya bersifat taufiqiyyah,
iaitu dilaksanakan menurut garis-garis yang ditunjukkan oleh Rasulullah
sallallahu alaihi wasallam dan berhenti setakat sempadan yang telah ditentukan
oleh syara dan sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah s.a.w tanpa
boleh ditambah atau dikurangkan atau membuat sebarang perubahan terhadapnya.
Sabda Rasulullah s.a.w: ‘Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku
sembahyang.’ (Sahih Bukhari)
Ibadah Umum
Segala perkara atau
amalan selain daripada kumpulan ibadah khusus di atas yang dilakukan
semata-mata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Ini termasuklah seluruh
perbuatan manusia dalam kehidupan sehariannya.
Syarat Amal Untuk
Mendapat Status Ibadah
Yusuf Al-Qardhawi di
dalam bukunya Ibadah Dalam Islam telah memberikan syarat-syarat supaya
sesuatu itu mendapat status ibadah, iaitu:
1. Amalan-amalan yang
dikerjakan itu mestilah bersesuaian dengan hukum Islam dan tidak bercanggah
dengan hukum tersebut.
2. Amalan tersebut
dilakukan dengan niat yang baik atau kerana Allah s.w.t.
3. Amalan tersebut
mestilah dilakukan dengan seelok-eloknya bagi menepati sabda Rasulullah s.a.w:
‘Sesungguhnya Allah SWTsuka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu
kerja dengan memperelokkan kerjanya.’ (Muslim)
4. Ketika membuat amalan
tersebut, hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syarak dan ketentuan batasnya,
tidak menzalimi orang lain, tidak khianat, tidak menipu, tidak menindas orang
lain dan merampas hak-hak orang.
5. Tidak mencuaikan
ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat, dan sebagainya dengan melaksanakan
ibadah-ibadah umum.
Salah Faham Terhadap
Pengertian Ibadah
Ibadah dalam Islam
adalah berlainan sama sekali dengan konsep dan amalan agama-agama lain atau
kepercayaan-kepercayaan lain. Ianya bukan perbuatan mengasingkan diri, ianya
juga tidak terbatas kepada tempat-tempat tertentu sahaja atau hanya dilakukan
melalui perantaraan orang-orang tertentu.
Konsep-konsep seperti
ini tidak wujud di dalam syariat Islam. Namun demikian pengaruh konsep asing
ini telah dapat juga meresap ke dalam kehidupan sebahagian besar daripada
masyarakat Islam. Oleh itu timbullah pelbagai tanggapan terhadap ibadah.
Ada yang menganggap
ibadah itu hanya tertumpu kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja, terdapat
juga di kalangan umat Islam yang mengaku beribadah kepada Allah, tetapi
tindak-tanduknya menunjukkan bahawa ia melaksanakan ubudiyyah kepada
sesuatu yang lain daripada Allah s.w.t.
Malah terdapat juga
orang yang berpendapat bahawa ruang lingkup ibadah itu tidak ada kaitan
langsung dengan urusan masyarakat, terutamanya dalam bidang politik dan
pemerintahan. Semua ini adalah tanggapan-tanggapan yang amat salah.
Hikmah Dan Falsafah
Ibadah
Solat
Dalam solat jelas
tergambar ibadah lisan dengan membaca ayat-ayat Al-Quran, bertakbir, bertasbih
dan berdoa. Demikian juga dengan ibadah perbuatan dengan berdiri, duduk, ruku
dan sujud. Terdapat di sana ibadah akal dengan berfikir, dan merenung makna
Al-Quran. Di sana terdapat ibadah hati dengan ikhlas, khusyuk mencintai Allah s.w.t
dan merasakan Allah SWTsenantiasa memerhati dan mengamati amal hamba-Nya.
Solat juga menjadikan
seseorang itu benar-benar menyedari kedudukannya sebagai hamba Allah s.w.t.
Setiap kali dia bertakbir, maka ia mengingatkan dirinya tentang kebesaran Allah
s.w.t. Rasa takut dan berharap terhadap Allah s.w.t yang ditanam oleh ibadah
solat ini akan memimpin di dalam seluruh hidupnya hinggakan seluruh
tindak-tanduknya dipengaruhi oleh sifat-sifat yang terkandung di dalam solat
tersebut.
Zakat
Zakat bereti kesucian
dan kebersihan. Ini bererti kesucian dan kebersihan jiwa seseorang mukmin tidak
mungkin dapat dicapai tanpa dia memberikan hak saudara-saudaranya yang miskin
terhadap harta bendanya melalui zakat. Oleh itu di dalam Islam zakat adalah
satu asas persaudaraan Islam. Ia melenyapkan sikap mementingkan diri sendiri
yang selalu menjadi punca kelemahan sesuatu masyarakat. Zakat adalah di antara
asas penting bagi penubuhan sebuah masyarakat Islam yang bertakwa.
Puasa
Matlamat utama puasa
ialah supaya kita menjadi orang yang bertakwa kepada Allah s.w.t. Sebagaimana
firman-Nya: ‘Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.’
Dalam ibadah puasa,
orang-orang beriman dilatih supaya bersedia untuk berkorban demi untuk
kepentingan Islam melalui menanggung kesusahan, kelaparan, kedahagaan dan
keletihan. Puasa yang disyariatkan sebulan penuh bertujuan untuk meningkatkan
dalam diri mukmin daya juang, keikhlasan dan sifat konsisten (istiqamah)
yang mana kesemuanya akan menambahkan ketakwaan kepada Allah s.w.t.
Haji
Allah s.w.t telah
berfirman: ‘Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya
mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan
menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan
(dan ceruk rantau) yang jauh.’ (surah Al-Hajj:27)
Seseorang Mukmin yang
telah melalui seluruh proses haji ini akan kekal bersama-sama pengalaman
melaksanakan ibadah tersebut. Hinggakan kesannya tidak akan hilang selama bertahun-tahun.
Malahan hatinya akan sentiasa rindu untuk terus berkunjung semula ke Tanah Suci
demi untuk mencurahkan rasa kecintaannya kepada Allah s.w.t di Baitullah.
Kepentingan Ibadah
Dalam Membina Ummah
Tiang-tiang ibadah
mengembangkan kebaikannya kepada seluruh ruang lingkup kehidupan manusia
sehingga manusia dibanjiri dengan kebaikan dan kemanfaatan melaluinya. Solat
yang benar-benar khusyuk akan mempengaruhi seluruh kehidupan seseorang itu
sehingga ia merasakan jijik untuk dan benci untuk melakukan sebarang kejahatan
dan kemungkaran.
Sebagaimana firman
Allah s.w.t: ‘Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan
kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya
sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya
mengingati Allah s.w.t adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan
(ingatlah) Allah s.w.t mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.’ (surah Al-Ankabut:
45)
Roh yang dibawa oleh
sistem zakat pula mengembangkan daya kerja yang tinggi di kalangan orang-orang
beriman. Orang yang benar-benar beriman menganggap bekerja dan menambah rezeki
adalah dengan satu tujuan sahaja iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t
dengan mengeluarkan sebahagian daripada pendapatan yang diperolehi ke jalan
Allah s.w.t iaitu dengan memberikan sedekah dan membayar zakat dan jihad
fisabilillah.
Tujuan utama puasa
pula ialah untuk mewujudkan takwa kepada para mukmin. Puasa yang mengukuhkan
sifat takwa di dalam jiwa mukmin akan menjadikan seseorang itu ikhlas dengan
sepenuh hatinya dalm melaksanakan segala perintah Allah s.w.t, sanggup
melakukan tugas-tugas yang berat dalam mentaati Allah s.w.t dan lebih
mengutamakan kepentingan umat Islam daripada kepentingan peribadinya.
Manfaat haji yang
besar adalah dorongan bagi seluruh umat Islam mengukuhkan kesatuan Muslim.
Kesatuan umat Islam merupakan tunjang kekuatan yang paling utama yang dapat
memimpin umat manusia.
Kesimpulannya, setiap
ibadah itu jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan dapat melahirkan
ummah yang kuat, bersatu dan diredhai oleh Allah s.w.t.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan