Syed Mahadzir Syed
Ibrahim
MANUSIA itu adalah
sebuah komuniti. Demikian firman Allah s.w.t dalam Al-Quran surah Al-Baqarah:
208. Pernyataan Allah s.w.t itu semakin terbukti ketika para pakar dan
masyarakat antarabangsa menyedari bahawa kita umat manusia ini satu dan berada
dalam satu kawasan yang disebut dunia. Tidak ada lagi ‘barat’ dan ‘timur’. Tetapi manusia sebagai pembentuk
tamadun masih tetap saja memunculkan dakwaan itu bahkan cenderung diselubungkan
di sebalik istilah-istilah baru, seperti modernisasi.
Istilah tamadun
kembali mencuat ke permukaan tatkala Samuel P. Huntington mengeluarkan buku
yang diberi judul The Clash of Civilization and The Remaking of World (1996).
Buku tersebut banyak mengalami penentangan para pakar lain, ketika antara lain,
beliau menyatakan bahawa tamadun umat manusia pada masa depan akan mengalami
halangan oleh kerana faktor agama.
Persaingan masyarakat
dunia dalam segala segi berkembang secara dinamis, bukan hanya secara
kuantitatif tetapi telah mengarah kepada kualitatif. Kerananya, siapa yang
ingin unggul dan akan menjadi pemenang dalam persaingan itu maka dialah yang
akan ‘menguasai’ dunia. Tidak terkecuali masalah tamadun yang masih
terkotak-kotak ke dalam paradigma lama melalui istilah ‘tamadun timur’ dan
‘tamadun barat’.
‘Timur’ umumnya
didakwa sebagai Islam sementara ‘barat’ didakwa sebagai bukan Islam. Maka
persoalan yang sering cagun ke hadapan ialah, apakah masih relevan untuk
membezakan lebih-lebh lagi mempertentangkan keduanya, ketika masyarakat di
belahan dunia mana pun semakin menyatu ke dalam suatu kehidupan yang oleh para
pakar disebutnya sebagai The Global Village.
Dalam usaha
memperolehi pengertian dasar dan luas tentang apa itu tamadun, maka terlebih
dahulu perlu kita pelajari kaitan langsung antara Islam dengan bahasa Arab.
Kata tamadun yang lazim dipakai oleh masyarakat kita dewasa ini sesungguhnya
berasal dari bahasa Arab, ia berasal dari kata adab. Tetapi erti dan makna adab
itu sendiri tidaklah sama pengertiannya dengan culture dan civilization
dalam bahasa Inggeris. Itu pun masih juga mengandungi kontroversi di kalangan
para pakar.
Kata adab itu sendiri
bererti mengandungi ‘tamadun’ atau
‘kebudayaan’. Untuk melacak bagaimana nisbat (relasi dan relevan)
antara tamadun dengan kebudayaan, boleh kita kutip dalam kitab suci Al-Quran.
Di sana akan kita temui kata-kata (1) tsaqafat
(h) yang terulang sebanyak enam kali dalam bentuk kata kerja yang bererti
‘mendapatkan’ atau ‘menjumpai’ (lihat selanjutnya dalam surah Al-Baqarah: 191,
Ali ‘Imran: 112, Al-Nisa: 91, Al-Anfal: 57, Al-Ahzab: 61, Al-Mumtahanah: 2).
Kemudian hadharat
(h) yang bererti ‘ada di tempat’. Kata hadharat (h) atau hadhir
dalam bahasa Arab juga dipakai oleh masyarakat Malaysia menjadi ‘hadir’ bagi
seseorang yang menunjukkan kewujudannya dalam suatu acara, terutama di dalam
kelas, kuliah, atau majlis. Jadi, baik tsaqafah atau hadharah
keduanya merujuk dan menunjukkan semangat yang sama yakni ‘keadaan sesuatu’,
atau ‘ada di sini’, ‘sekelompok manusia’, ‘boleh didapati’, ‘dijumpai’, atau
‘orang-orang yang menetap’.
Selain itu, untuk
mengetahui apa yang dimaksudkan dengan ‘kaum yang menetap’ di dalam bahasa
Arab, boleh difahami melalui istilah Ahl al-Hadhar atau Al-Hadhar
yang keduanya mengandungi satu pengertian ‘orang kota’. Sedangkan lawan kata
keduanya adalah Ahl al-Badawah atau Al-Badawi yang bererti ‘orang
kampung’ atau ‘orang gurun’.
Dalam hubungannya
dengan kata dan istilah di atas, maka ada satu hal yang tidak boleh kita
hindari bahawa kesemuanya mempunyai hubungan dengan kata Arab lainnya iaitu madinah,
madaniyyah, atau tamaddun. Kerana ketiga-tiganya mengandungi pengertian
tempat, peradaban, atau tamadun itu sendiri.
Lantaran itu, adalah
menarik untuk menghubungkan masalah ini dengan ada apa di sebalik inisiatif
atau gagasan mengapa Rasulullah s.a.w menggantikan nama Kota Yatsrib dengan
Madinah al-Munawwarah atau Madinah al-Rasul.
Dengan adanya
pengertian dasar seperti terungkap di atas, boleh dikatakan bahawa tamadun
dalam sistem ajaran Islam mengajar umat manusia untuk beradab atau bertamadun,
dan berbudaya atau berkebudayaan sesuai dengan kehendak Allah s.w.t. Untuk
mewujudkan itu semua sudah tentu pangkal tolaknya adalah ajaran Islam itu
sendiri di mana landasan utamanya adalah iman dan takwa untuk mencapai
keredhaan Allah s.w.t.
Tamadun Global
Dengan pesatnya
perkembangan sains, teknologi, dan informasi, dewasa ini sebenarnya sudah tidak
ada lagi dominasi tamadun timur dan atau tamadun barat. Yang sekarang ini
terjadi adalah, siapa yang mneguasai sains, teknologi, dan informasi maka
merekalah yang akan mempengaruhi dan
‘menentukan arah’ perjalanan masyarakat global.
Maka, yang segera
atau cepat diusahakan untuk diraih dan diwujudkan oleh umat Islam ialah adanya
kemampuan yang berkualiti tinggi dari umat sehingga memiliki kemampuan untuk
berinteraksi dan berkomunikasi secara sihat dalam pluralisme kultural
masyarakat global.
Tentu yang menjadi
cabaran kita ke depan ialah bagaimana agar umat Islam mampu memenangi
persaingan dan penguasaan informasi global itu? Bagi umat Islam, sebagaimana
dijelaskan oleh Ziauddin Sardar (1988), informasi hanya akan bererti bila ia
berada di dalam kerangka pengetahuan tentang masyarakat dan melahirkan
keselarasan hidup. Dan pencapaian keselarasan hidup itu hanya akan mungkin bila
masyarakat Muslim menjadi produk dan pengguna dari informasi itu sendiri.
Dalam perspektif
ajaran, Islam membenarkan dan mengakui adanya pluralisme tamadun. Sebab
pluralisme tersebut adalah sesuatu yang sunnatullah. Bahkan pluralisme
seharusnya mampu memperkaya umat Islam untuk dijadikannya sebagai sarana dalam
mengembangkan tugas atau missi ketuhanan dan kemanusiaannya.
Persoalannya ialah
apakah umat Islam mampu menugaskan diri dalam komuniti umat sebagai yang
diisyaratkan oleh Allah s.w.t dalam Al-Quran, antara lain, ‘Dan demikian (pula)
Kami telah menjadikan kamu (umat manusia) umat yang adil dan pilihan agar kamu
menjadi saksi atas perbuatan mansia.’ (surah Al-Baqarah: 143).
Dalam pergumulan
tamadun itulah terjadi persaingan dan perlumbaan bahkan pertarungan untuk
saling menjatuhkan dan meminggirkan, bukannya saling melengkapi dan
memperbaiki. Dari segi dasar dan ajaran mengenai bagaimana tamadun itu,
sebetulnya tidak ada masalah. Masalahnya ialah seberapa jauh kemampuan umat
Islam merespon dan merekayasa masyarakat dunia agar sesuai dengan ajaran yang
diyakininya.
Dengan semangat fastabiq
al-khayrat dan khayra ummat maka umat Islam harus mempertaruhkan
nilai-nilai ajaran yang diyakininya. Adanya pertarungan nilai-nilai kehidupan
yang dianut oleh masyarakat global, menurut Spranger memang setiap manusia
dituntut secara moral memiliki tanggungjawab untuk memperjuangkannya. Itulah
sebabnya, gaya hidup manusia dalam memperjuangkan itu semua dikategorikan oleh
para pakar ke dalam enam jenis dominan iaitu:
1. Pertama, manusia
teoretis. Nilai utama bagi manusia teoretis ialah pencarian kebenaran. Kerana
usaha ini melibatkan penggunaan proses rasional, kritis, dan empiris. Yang
termasuk ke dalam jenis ini adalah umumnya kaum intelektual.
2. Kedua, manusia
ekonomis. Jenis ideal manusia ekonomis ialah menilai apa yang berguna dan
mencurahkan perhatiannya pada dunia perniagaan atau peristiwa-peristiwa praktis
yang berhubungan erat dengan produksi, pemasaran, atau konsumsi barang.
Perhatian jenis ini umumnya terletak pada kekayaan dan kepemilikan harta.
3. Ketiga, manusia
estetis. Jenis manusia estetis selalu memandang bahawa nilai yang tertinggi
ialah bentuk dan harmoni. Boleh jadi seorang artis yang kreatif atau tidak,
tetapi minatnya adalah pengalaman artistik atau estetis dalam kehidupannya.
Manusia estetis selalu memandang manusia ekonomis dan teoretis tidak aspiratif
dan bahkan dianggapnya bersikap destruktif pada nilai-nilai estetis.
4. Keempat, manusia
sosial. Jenis manusia ini senantiasa meletakkan nilai utamanya pada afiliasi
dan cinta. Manusia sosial sering menilai orang lain sebagai individu, cenderung
ramah, dan simpatetik. Mereka seringkali memandang manusia teoretis dan manusia
ekonomis sebagai ‘manusia-manusia yang dingin’ dan tidak manusiawi.
5. Kelima, manusia
politis. Jenis manusia seperti ini senantiasa menempatkan nilai utama
kehidupannya pada kekuasaan. Kegiatannya mungkin tidak terbatas pada pengertian
politik dalam makna sempit melainkan perhatian umumnya dalam pergaulan selalu
ada kekuasaan, pengaruh dan persaingan aktif untuk mempertahan dan
memperbesarkan kekuasaannya.
6. Keenam, manusia
religius. Jenis manusia religius adalah menjadikan kesatuan sebagai nilai yang
tertinggi. Ia adalah manusia mistikal yang selalu berusaha memahami dan menggabungkan
dirinya dengan kosmos dan menemukan pengalaman nilainya yang lebih tinggi
melalui falsafah keagamaan yang diyakininya.
Meski kelihatannya
enam jenis manusia di atas masing-masing akan mengusaha dan memperjuangkan
eksistensinya di dalam kehidupan peribadi dan masyarakat luas, namun tidak ada
satu pun manusia yang secara ideal mampu secara utuh menunjukkan siapakah
dirinya yang sesungguhnya.
Pentingnya Membina
Sistem
Belajar dari masa
silam bagaimana sebuah tamadun Islam dibina oleh nabi Muhammad s.a.w yang
kemudian dilanjutkan oleh para sahabatnya. Pada masa itu, Nabi Muhammad s.a.w
mampu menyusun kekuatan baru untuk melakukan reformasi tamadun secara total
mulai dari ideologi, teologi, hingga kepada kultural dan hasilnya sangat
mengesankan. Kemudian usaha baginda itu dilanjutkan oleh para penguasa muslim
melalui fondasi bangunan teologi yang kukuh, penguasaan dan pengembangan sains
atas dasar semangat iqra dan amal soleh.
Atas dasar itu,
sejarah dan khazanah kita pada masa lampau terutama sejak pemerintahan Nabi
Muhammad s.a.w di Madinah hingga tahun 1250 Masehi yang ditandai dengan
berakhirnya masa kejayaan Sepanyol Islam di daratan Eropah, umat Islam mampu
mewujudkan suatu tatanan masyarakat yang bertamadun tinggi.
Adalah menarik untuk
mempelajari kejayaan umat Islam di Sepanyol, di mana intelektual muslim sangat
maju dalam bidang pemikiran termasuk di dalamnya yang diajarkan oleh Ibn
Rusyd (yang oleh Barat diberi dan
dikenal dengan nama Averrous).
Para pemuda Kristian
banyak yang belajar di universiti-universiti Islam seperti Universiti Cordova,
Seville, Malaga, Granada dan Samalanca. Selama belajar di Sepanyol mereka giat
menterjemahkan buku-buku karya intelektual muslim ke dalam bahasa mereka. Ilmu
yang mereka pelajari dan diterjemahkan ialah ilmu kedoktoran, ilmu pasti,
falsafah dan sebagainya.
Khususnya di bidang
falsafah mereka senang kepada pemikiran-pemikiran filosofis Al-Farabi, Ibn
Sina, dan Ibn Rusyd. Kelak, setelah mereka kembali ke negerinya masing-masing
mereka mendirikan berbagai universiti. Adapun universiti yang pertama kali
mereka dirikan di daratan Eropah adalah Universiti Paris pada tahun 1231
Masehi, tiga puluh tahun setelah Ibn Rusyd meninggal dunia.
Dengan demikian,
untuk mewujudkan tamadun Islam maka perlu kiranya memperhatikan keterkaitan
berbagai elemen-elemen dasarnya iaitu:
1. adanya semangat
hijrah dan tajdid dari semua pihak secara menyeluruh,
2. adanya political will
dari pihak penguasa,
3. keteladan dan
kepeloporan penguasa,
4. memiliki kemampuan untuk
menggali informasi dan menerapkan ajaran Al-Quran,
5. adanya penguasaan dan
memajukan sains dan teknologi,
6. seluruh bidang
kehidupan umat diusahakan semaksima mungkin digali dari nilai-nilai Islam.
Sebab bukankah kitab
suci Al-Quran itu diturunkan oleh Allah s.w.t kepada umat manusia jauh
sebelumnya yang kini telah melampaui batas-batas imaginasi, kemampuan nalar
serta ambisi-ambisi manusia itu sendiri? Dan dalam kerangka itu pulalah
kerananya, Al-Quran dipersiapkan Allah s.w.t agar ia dijadikan panduan oleh
manusia untuk menata sebuah kehidupan yang bertamadun yang sarat akan
nilai-nilai ketuhanan dan nilai-nilai kemanusiaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan