SUDAH sering
kali kita mendengar rakyat Palestin dilanyak oleh rejim Zionis. Tidak ada
tanda-tanda rejim itu akan berundur walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) meluluskan resolusi dilaksanakan segera gencatan senjata di Genting Gaza.
Begitulah apabila sifat kebinatangan menguasai manusia.
Rejim Yahudi dan
sekutunya Amerika Syarikat (AS) tidak peka sebaliknya pekak dengan tangisan
rakyat Palestin. Mereka sengaja memekakkan telinga dengan tidak mempedulikan
desakan masyarakat antarabangsa supaya berundur dan menghentikan serangan. Mata
mereka buta. Mereka tidak buka mata melihat paparan kesengsaraan yang dialami
oleh penduduk Palestin terutama kanak-kanak, wanita dan orang tua.
AS pula berdiam
diri. Adakah AS mahu membiarkan Zionis menguji senjata mereka di laman Palestin
sebelum mendapatkan senjata baru yang lebih canggih? Kenapa AS harus menunggu
sehingga Barack Obama menjadi Presiden? Sikap berat sebelah AS amat jelas. AS
mampu menghantar kapal perang, pesawat pejuang, kereta kebal, anggota tentera
untuk menghapuskan seorang manusia bernama Saddam Hussein tetapi tidak berupaya
mengambil tindakan yang sama terhadap kerakusan seorang pemimpin yang
seolah-olah mahu melenyapkan rakyat dan bumi Palestin dari muka bumi ini.
Nampaknya tidak
ada apa yang boleh dilakukan. Jika diselak kembali lembaran sejarah pada 1982
ternyata, Ehud Olmert sama seperti tindakan Ariel Sharon pada 1982. Ketika itu,
pada 16 September 1982 kem Sabra dan Shatila, yang menjadi khemah pelarian
rakyat Palestin di Lebanon digempur oleh rejim Zionis. Ketika itu Sharon
bertindak sebagai Menteri Pertahanan. Akibat tindakan ganas itu yang hanya
berpunca mahu menghapuskan pejuang PLO, kira-kira 3,000 maut di khemah pelarian
tersebut.
Sharon bebas
malah ‘kegemilangan’ itu meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri. Apakah
tindakan ke atas Sharon? Sharon masih hidup walaupun menerima ‘hukuman’
menderita strok sehingga hilang jawatan Perdana Menteri. Dan impian Sharon yang
pernah berkata: ‘Saya berharap akan dapat menghalau keluar semua orang Palestin
dari Gaza dan Tebing Barat ke Jordan.’ (New
York Times 17 Mei 1982).
Itu impian
Sharon meskipun dia ‘menderita.’ Tetapi berakhirkah penderitaan rakyat
Palestin? Apakah masih ada harapan bagi rakyat Palestin hidup di negara mereka?
Kata seorang ibu
di Palestin: ‘Kami akan mati!’ Jika rejim Yahudi sanggup membelakangkan desakan
PBB, apakah lagi harapan yang ada bagi penduduk Palestin?
Masyarakat Islam
dunia hanya mampu berdoa dan menunaikan solat hajat supaya penduduk Palestin
diberikan kekuatan dan dilindungi. Mereka bersama masyarakat pelbagai anutan
agama yang lain juga hanya mampu mengutuk dan menganjurkan demonstrasi bantahan
- membakar bendera Israel dan AS. Dan mereka juga hanya mampu menangis dan
meraung mengenangkan bencana ciptaan manusia yang melanda kehidupan masyarakat
Palestin.
Disebabkan tidak
ada harapan lagi, ada yang mengharapkan agar peristiwa kemusnahan tentera
bergajah yang mahu menghancurkan Kaabah berulang kembali. Ketika itu Allah
mengirimkan sekumpulan burung yang menjatuhkan batu dari tanah yang terbakar ke
atas tentera bergajah pimpinan Abrahah. Maknanya dalam keadaan seperti di Gaza
sekarang, hanya kuasa Tuhan yang dapat menghapuskan kekejaman rejim Zionis itu.
Hukuman Tuhan sahaja dapat mengajar keangkuhan rejim Zionis ini.
Namun manusia
tidak boleh berputus asa. Selagi mereka masih hidup, ikhtiar dan usaha perlu
dilakukan sekali pun sekalipun sekadar menadah tangan berdoa.
Dan salah satu
daripada usaha yang giat dilakukan sekarang ialah memboikot produk keluaran AS
dan Israel. Tetapi sejauh mana umat Islam berupaya melakukannya? Bukan mudah
untuk memboikot barangan yang sudah menjadi satu keperluan atau kemestian seisi
keluarga termasuk anak-anak kita. Melihat senarai produk yang dikeluarkan
ternyata umat Islam tidak mampu membantu rakyat Palestin melalui kaedah itu.
Jelaslah betapa
lemahnya umat Islam dunia dalam bidang ekonomi. Mereka terus bergantung kepada
produk berjenama AS. Cuba selak dan belek jenama yang disenaraikan -
kebanyakannya adalah satu keperluan kepada umat Islam sama ada diperlukan untuk
kegunaan harian walaupun ada pilihan lain atau diperlukan juga untuk mencari
rezeki serta meningkatkan ekonomi umat. Maka bagaimana hendak memboikot seratus
peratus? Tepuk dada tanya selera!
Memboikot memang
mudah. Utusan Malaysia pun
ada pihak yang mengajak supaya diboikot dan yang memboikot juga bukannya orang
lain, Melayu juga! Hasrat mereka hanya mahu menjahanamkan jenama itu dan pada
masa yang sama mahu orang lain mendengar suara mereka sahaja. Tetapi akhirnya
manusia tidak boleh disekat untuk mendapat maklumat melalui media.
Berbalik kepada
usaha memboikot, umat Islam mulai sekarang perlu berusaha untuk mengukuhkan
ekonomi dan jalinan perdagangan mereka. Mungkin syarikat-syarikat berjenama
besar yang sudah sebati dengan jiwa umat Islam di serata dunia boleh dikuasai
oleh orang Islam melalui negara-negara Arab yang kaya raya. Banyak negara Arab
yang menguasai minyak tetapi emas hitam itu tidak dimanfaatkan untuk kekuatan
ekonomi umat Islam. Maka sesuatu perlu dilakukan oleh negara-negara minyak ini
untuk menguasai empayar perniagaan yang akan didokong sepenuhnya oleh umat
Islam dan tidak lagi bergantung kepada Yahudi.
Pada masa yang
sama Hamas dan Fatah perlu bersatu. Siapa yang akan menghormati mereka jika di
kalangan kaum sebangsa dan seagama pun sanggup berpecah belah? Kuasa dan
politik menyebabkan Hamas dan Fatah tidak mampu menunjukkan kepada dunia bahawa
mereka benar-benar bersatu demi Palestin. Ini satu lagi pengajaran bahawa
apabila kita tidak mempunyai kekuatan yang jitu, orang luar akan mudah
mempermain dan memperdayakan kita.
Bukan setakat
ekonomi dan perpaduan sebaliknya bidang ketenteraan juga perlu diberi
perhatian. Dunia Islam tidak mempunyai kekuatan ketenteraan. Jika ada pun, di
kalangan negara Islam sendiri tidak mahu menyokong sebaliknya terpengaruh
dengan dunia barat yang akan menuduh negara itu sebagai paksikan kejahatan.
Maka sampai bila
umat Islam terpaksa tunduk kepada jenama AS, tentera AS dan telunjuk AS? Jika
ini berterusan, maka tidak ada pilihan lain selain kita mengucapkan selamat
jalan kepada anak-anak Palestin. Hanya Tuhan mampu menyelamatkan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan