Selasa, 13 November 2012

Pertimbangan Kemaslahatan Dalam Menangkap Makna Dan Semangat Ketentuan Keagamaan: Kes Ijtihad Saidina Umar Ibn Al-Khattab


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Berkaitan erat dengan asas pembahasan tentang reaktualisasi ajaran-ajaran agama yang dibawakan oleh Munawir Syadzali ialah persoalan pertimbangan kemaslahatan atau kepentingan umum dalam usaha menangkap makna dan semangat berbagai ketentuan keagamaan. Pertimbangan itu terlebih lagi berlaku berkenaan dengan ketentuan agama yang tercakup dalam pengertian istilah ‘syari’at’ sebagai hal yang mengarah kepada sistem hukum dalam masyarakat.
Dalam teori-teori dan kaedah atau sistem baku pemahaman agama, hal tersebut dituangkan dalam konsep-konsep tentang istihsan (mencari kebaikan), istislah (mencari kemaslahatan), dalam hal ini kebaikan atau kemaslahatan umum (al-maslahat al-’ammah, al-maslahat al-mursalah) disebut juga sebagai keperluan atas kepentingan umum (umum al-balwa).
Contoh klasik untuk tindakan mempertimbangkan kepentingan umum dalam menangkap makna semangat agama itu ialah yang dilakukan oleh Khalifah Umar ibn al-Khattab r.a., berkenaan dengan masalah tanah-tanah pertanian berserta garapan-garapannya yang baru dibebaskan oleh tentera Islam di negeri Syam (Syria Raya, meliputi keseluruhan kawasan pantai timur Laut Tengah), Iraq, Persia dan Mesir.
Pendirian Saidina Umar untuk mendahulukan pertimbangan tentang kepentingan umum yang menyeluruh, baik secara ruang (meliputi semua orang di semua tempat) mahupun waktu (mencakupi generasi sekarang dan masa datang) mula-mula mendapat halangan hebat dari para sahabat Rasulullah s.a.w, dipelopori antara lain oleh ‘Abd al-Rahman ibn Awf dan Bilal (bekas muazin yang sangat disayangi Rasulullah s.a.w).
Mereka ini berpegang teguh kepada beberapa ketentuan (lahir) di beberapa tempat dalam Al-Quran dan dalam Sunnah atau amalan Rasulullah s.a.w pada peristiwa pembebasan Khaybar (sebuah kota beberapa ratus kilometer di utara Madinah), dari sekelompok orang Yahudi yang khianat. Tetapi, sebaliknya, sejak dari awal para sahabat Rasulullah s.a.w yang lain, termasuk tokoh-tokoh seperti ‘Utsman ibn ‘Affan dan ‘Ali ibn Abi Talib (kedua-duanya kelak menjadi Khalifah, berturut-turut yang ketiga dan keempat), sepenuhnya menyetujui pendapat Saidina Umar dan sepenuhnya menyokong pelaksanaannya.
Pertikaian pendapat itu berlangsung panas selama berhari-hari di Madinah, sehingga akhirnya dimenangi oleh Saidina Umar dan sahabat-sahabat dengan hujah-hujah yang tepat, juga berdasarkan ketentuan-ketentuan Kitab Suci Al-Quran.
Dalam banyak hal, Saidina Umar memang dikenali sebagai tokoh yang sangat bijaksana dan kreatif, bahkan genius, tetapi juga penuh kontroversi. Tidak semua orang setuju dengan Saidina Umar, dari dahulu sampai sekarang. Kaum Syi’ah, misalnya, menolak keras ketokohan Saidina Umar, khususnya kalangan ekstrim (al-ghulat) dari mereka. Yang moderat pun masih melihat pada Saidina Umar hal-hal yang ‘menyimpang’ dari agama. Atau, seperti dikatakan oleh seorang tokoh ‘ulama Syi’ah, Muhammad al-Husayn Al Kashif al-Ghita’, banyak tindakan Saidina Umar, seperti dalam kes beliau melarang nikah mut’ah, adalah semata-mata tindakan sosial-politik, yang tidak ada sangkut-pautnya dengan bukan keagamaan (madaniyyan la diniyyan).
Untuk memperolehi gambaran yang hidup dan langsung tentang ijtihad Saidina Umar dan kemelut yang ditimbulkannya di Madinah selama berhari-hari itu, di bawah ini disajikan terjemahan dari dua penjelasan oleh dua orang ahli. Tanpa membuat teori yang abstrak, dari kedua penjelasan itu dapat kita tarik inspirasi untuk melihat dan memecahkan berbagai masalah kita sendiri sekarang, sesuai dengan tuntutan ruang dan waktu, sama dengan halangan yang dihadapi dan diselesaikan oleh Saidina Umar.
Yang pertama dari kedua penjelasan itu berjudul Dari Celah Fiqh Saidina Umar Di Bidang Ekonomi Dan Kewangan oleh al-Ustadh al-Bahi al-Khuli, sebagai berikut: ‘Berita-berita telah sampai kepada Saidina Umar r.a. dengan membawa khabar gembira tentang telah terbebaskannya Syam, Iraq dan negeri Khusru (Persia), dan beliau mendapati dirinya berhadapan dengan persoalan ekonomi yang rumit. Harta benda musuh yang terdiri dari emas, perak, kuda dan ternakan telah jatuh sebagai harta rampasan perang (ghanimah) di tangan bala tentera yang menang dengan pertolongan Allah s.w.t. Dan tanah-tanah pertanian mereka pun termasuk dalam penguasaan tentera itu.’
‘Berkenaan dengan harta (yang bergerak) maka Saidina Umar telah melaksanakan hukum Allah mengenainya. Beliau ambil seperlimanya, dan membahagi-bahagikan empat perlima lainnya kepada masing-masing anggota tentera sebagai pelaksanaan firman Allah s.w.t, ‘Dan ketahuilah olehmu sekalian bahawa apa pun yang kamu peroleh sebagai rampasan perang dari sesuatu (harta kekayaan) itu maka seperlimanya adalah untuk Allah dan untuk Rasul, kaum kerabat (dari Rasulullah s.a.w), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibn al-sabil (orang terlantar di perjalanan), jika kamu sekalian benar-benar beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah Kami turunkan (Al-Quran) atas hamba Kami (Muhammad) pada hari penentuan, iaitu hari ketika kedua golongan manusia (Muslim dan Musyrik) bertemu (dalam peperangan, yakni, Perang Badar). Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.’ (surah al-Anfal/8:41)
Tetapi berkenaan dengan tanah-tanah pertanian itu, Saidina Umar berpendapat lain iaitu, ‘Pendiriannya ialah bahawa tanah-tanah itu harus disita, dan tidak dibahagi-bahagikan, lalu dibiarkan seolah-olah tanah-tanah itu kepunyaan negara di tangan para pemilik (aslinya setempat) yang lama, kemudian mereka ini dikenakan cukai (kharaj), dan hasil cukai itu dibahagi-bahagikan kepada keseluruhan orang-orang Muslim setelah disisihkan daripada gaji tentera yang ditempatkan di pos-pos pertahanan (al-thughur, seperti Basrah dan Kufah di Iraq) dan negeri-negeri yang terbebaskan.’
Tetapi kebanyakan para sahabat menolak kecuali jika tanah-tanah itu dibahagikan di antara mereka kerana tanah-tanah itu adalah harta kekayaan yang dianugerahkan Allah s.w.t sebagai rampasan (fay’) kepada mereka.
Adapun titik pandangan Saidina Umar ialah bahawa negeri-negeri yang dibebaskan itu memerlukan tentera pendudukan yang tinggal di sana, dan tentera itu tentulah memerlukan perbelanjaan. Maka jika tanah-tanah pertanian itu habis dibahagi-bahagikan, lalu bagaimana tentera pendudukan itu akan memperolehi logistik mereka?
Demikian itu, ditambah lagi bahawa Allah s.w.t tidak menghendaki harta kekayaan hanya berkisar atau menjadi sumber rezeki kaum kaya saja. Jika habis dibahagi-bahagikan tanah-tanah pertanian yang luas di Syam, Mesir, Iraq dan Persia kepada beberapa ribu orang sahabat, maka menumpuklah kekayaan di tangan mereka, dan tidak lagi tersisa sesuatu apa pun untuk mereka yang masuk Islam kemudian hari kelak. Sehingga terjadilah adanya kekayaan yang melimpah di satu pihak, dan keperluan (kemiskinan) yang mendesak di pihak lain ... Itulah keadaan yang hati nurani Saidina Umar tidak boleh menerimanya.
Tetapi dalil dari Kitab dan Sunnah berada di pihak mereka yang menentang pendapat Saidina Umar, yang terdiri dari mereka yang mahukan kekayaan yang memang halal dan telah dianugerahkan Tuhan kepada mereka itu. Mereka ini mengajukan hujah kepadanya bahawa harta kekayaan itu adalah fay’ (jenis harta yang diperoleh dari peperangan), dan tanah rampasan serupa itu telah pernah dibahagi-bahagikan oleh Rasulullah s.a.w sebelumnya, dan baginda (Rasul) tidak pernah melakukan sesuatu seperti yang ingin dilakukan oleh Saidina Umar.
Terutama Bilal r.a. sangat keras terhadap Saidina Umar, dan mempelopori gerakan penentangan sehingga menyesakkan dada Saidina Umar dan menyusahkannya, sehingga kerana susah dan sedihnya itu Saidina Umar mengangkat kedua tangannya kepada Tuhan dan berseru, ‘Oh Tuhan, lindungilah aku dari Bilal dan kawan-kawan.’
Akhirnya memang Tuhan melindunginya dari Bilal dan sahabat-sahabat dengan fahaman keagamaannya yang mendalam, yang meneranginya dengan suatu cahaya dari celah baris-baris dalam Kitab Suci, dan dengan hujah yang unggul, yang semua golongan tunduk kepada kekuatannya.
Begitulah Saidina Umar yang suatu ketika berkata kepada sahabat-sahabatnya yang hadir bahawa Sa’d ibn Abi Waqqas menulis surat kepadanya dari Iraq bahawa masyarakat (tentera Muslim) yang ada bersama dia telah memintanya untuk membahagi-bahagi harta rampasan di antara mereka dan tanah-tanah pertanian yang dianugerahkan Allah kepada mereka sebagai rampasan juga. (Kemudian terjadilah dialog berikut):

Sekelompok dari mereka berkata: Tulis surat kepadanya dan hendaknya ia membahagi-bahagikan tanah itu antara mereka.

Saidina Umar: Lalu bagaimana dengan orang-orang Muslim yang datang kemudian sesudah itu, yang akan mendapati tanah-tanah telah habis terbagi-bahagikan, terwariskan dari orang-orang tua serta telah terkuasai? Ini bukanlah pendapat yang benar.

Abd al-Rahman ibn ‘Awf: Lalu apa pendapat yang benar? Tanah-tanah itu tidak lain daripada sesuatu yang dianugerahkan Tuhan kepada mereka sebagai rampasan.

Saidina Umar: Memang seperti yang kamu katakan tapi aku tidak melihatnya begitu. Demi Tuhan, tiada lagi suatu negeri akan dibebaskan sesudahku melainkan mungkin akan menjadi beban atas orang-orang Muslim. Jika tanah-tanah pertanian di Iraq dan Syam dibahagi-bahagikan, maka dengan apa biaya pos-pos pertahanan ditutup, dan apa yang tersisa bagi anak yatim dan para janda di negeri ini dan di tempat lain dari kalangan penduduk Syam dan Iraq?

Orang ramai: Bagaimana mungkin sesuatu yang dianugerahkan Tuhan kepada kami sebagai harta rampasan dengan perantaraan pedang-pedang kami akan engkau serahkan kepada kaum yang belum ada dan belum bersaksi, serta kepada anak-cucu mereka turun-temurun yang belum ada?

Saidina Umar (dalam keadaan bingung dan termangu): Ini adalah suatu pendapat.

Orang ramai: Bermusyawarahlah!

Maka Saidina Umar pun bermusyawarah dengan kaum Muhajirin yang terkemuka, yang memiliki kepeloporan dan keperintisan yang mendalam dalam Islam:

Abd al-Rahman ibn ‘Awf: Aku berpendapat hendaknya kamu bahagi-bahagikan kepada mereka itu hak-hak mereka.

Ali ibn Abi Talib: Tapi pendapat yang benar ialah pendapatmu, wahai Amir al-Mu’minin!

Al-Zubayr ibn al-’Awwam: Tidak! Sebaliknya, apa yang dianugerahkan Tuhan kepada kita sebagai rampasan dengan pedang kita itu harus dibahagi-bahagi.

Utsman ibn ‘Affan: Pendapat yang benar ialah yang dikemukakan Saidina Umar.

Bilal: Tidak! Demi Tuhan, sebaliknya kita harus melaksanakan hukum Tuhan terhadap harta yang dianugerahkan sebagai rampasan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.

Talhah: Aku berpendapat bahawa yang benar ialah yang dianut Saidina Umar.

Al-Zubayr: Ke mana kalian, wahai kaum, hendak pergi dari Kitab Allah?

Abdullah ibn Saidina Umar: Teruskan, wahai Amir al-Mu’minin, dengan pendapatmu itu. Sebab aku harap bahawa di situ ada kebaikan bagi umat ini.

Bilal (menjerit dan marah): Demi Tuhan, tidak berlaku di umat ini kecuali apa yang telah ditentukan Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya

Saidina Umar (dalam keadaan sesak dada dan sedih): Oh Tuhan, lindungilah aku dari Bilal dan kawan-kawan.

Pertengkaran itu memuncak selama tiga hari, dan kegelisahan orang ramai sekitar masalah itu pun menjadi-jadi. Saidina Umar berfikir untuk memperluaskan musyawarahnya keluar ke kalangan Muhajirin sehingga mencakup para pemuka Ansar, dan dipanggillah oleh Umar sepuluh orang dari mereka, lima orang dari suku al-Aws dan lima orang dari suku al-Khazraj, kemudian beliau berucap di depan mereka dengan pernyataan yang indah dan bijaksana ini: (Saidina Umar membaca hamdalah dan memuji Tuhan sesuai dengan yang patut bagi-Nya, kemudian berkata):
‘Aku tidak bermaksud mengejutkan kalian kecuali hendaknya kalian menyertaiku dalam amanat mengenai urusan kalian yang dibebankan kepadaku. Sebab aku hanyalah salah seorang saja dari antara kalian. Dan kalian hari ini hendaknya membuat keputusan dengan benar, siapa saja yang hendak berbeza pendapat denganku, silakan ia berbeza, dan siapa saja yang hendak bersepakat denganku, silakan ia bersepakat.’
‘Aku tidaklah ingin kalian mengikuti begitu saja hal yang menjadi kecenderunganku ini. Di tangan kalian ada Kitab Allah yang menyatakan kebenaran. Dan demi Tuhan, kalau aku pernah menyatakan suatu perkara yang kuinginkan, aku tidak menginginkannya kecuali kebenaran.’

Kaum Ansar: Bicaralah, dan kami semua akan mendengarkan, wahai Amir al-Mu’minin!

Saidina Umar: Kalian telah mendengar pembicaraan mereka, kelompok yang menuduhku berbuat zalim berkenaan dengan hak-hak mereka. Aku benar-benar berlindung kepada Allah dari melakukan kezaliman. Jika aku telah berbuat zalim kepada mereka berkenaan dengan sesuatu yang menjadi milik mereka dan aku memberikannya kepada orang lain, maka benar-benar telah celakalah diriku. Tetapi aku melihat bahawa tidak ada lagi sesuatu (negeri) yang dibebaskan sesudah negeri Khusru (Persia), dan Allah pun telah merampas untuk kita harta kekayaan mereka dan tanah-tanah pertanian mereka. Maka aku bagi-bahagikanlah semua kekayaan (yang bergerak) kepada mereka yang berhak, kemudian aku ambil seperlimanya, dan aku atur menurut aturan tertentu, dan aku sepenuhnya bertanggungjawab atas pengaturan itu. Tetapi aku berpendapat untuk menguasai tanah-tanah pertanian dan aku kenakan cukai atas para penggarapnya, dan mereka berkewajiban membayar jizyah sebagai fay’ untuk orang-orang Muslim, untuk tentera yang berperang serta anak turun mereka, dan untuk generasi yang datang kemudian. Tahukah kalian pos-pos pertahanan itu? Di sana harus ada orang-orang yang tinggal menetap. Tahukah kalian, negeri-negeri besar seperti Syam, al-Jazirah (Lembah Mesopotamia), Kufah, Basrah dan Mesir? Semuanya itu harus diisi dengan tentera dan disediakan perbekalan untuk mereka. Dari mana mereka akan mendapat perbekalan itu jika semua tanah pertanian telah habis dibahagi-bahagi?

Semua yang hadir: Pendapat yang benar ialah pendapatmu. Alangkah baiknya apa yang kamu katakan dan lihat itu. Jika pos-pos pertahanan dan kota-kota itu tidak diisi dengan pegawai-pegawai, serta disediakan bagi mereka perbekalan, maka tentulah kaum kafir akan kembali ke kota-kota mereka.

Kemudian terlintas dalam benak Saidina Umar suatu cahaya seperti biasanya jika kebenaran datang ke lisan dan hatinya, lalu berkata: ‘Sungguh telah kudapatkan hujah dalam Kitab Allah, ‘Sesuatu apa pun yang dianugerahkan Allah sebagai harta rampasan untuk Rasul-Nya dari penduduk negeri-negeri (yang dibebaskan) adalah milik Allah, Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang terlantar dalam perjalanan, agar supaya tidak berkisar di antara orang-orang kaya saja dari kamu. Maka apa pun yang diberikan Rasul kepadamu sekalian hendaklah kamu ambil, dan apa pun yang Rasul melarangnya untuk kamu hendaklah kamu hentikan. Dan bertakwalah kamu sekalian kepada Allah, sesungguhnya Allah itu keras dalam siksaan.’ Selanjutnya, kata Saidina Umar, ‘Allah berfirman, ‘Dan bagi orang-orang miskin dari kalangan Muhajirin yang diusir dari rumah-rumah dan harta kekayaan mereka, guna mencari kemurahan Allah dan redha-Nya, serta membantu Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar.’
Kemudian, kata Saidina Umar lagi, ‘Allah tidak rela sebelum Dia mengikutsertakan orang-orang lain dan berfirman, ‘Dan mereka (kaum Ansar) yang telah bertempat tinggal di negeri (Madinah) serta beriman sebelum (datang) mereka (kaum Muhajirin); mereka itu mencintai orang-orang yang berhijrah kepada mereka, dan tidak mendapati dalam dada mereka keinginan terhadap apa yang diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu, bahkan mereka lebih mementingkan orang-orang yang berhijrah itu daripada diri mereka sendiri meskipun kesusahan ada pada mereka. Barangsiapa yang terhindar dari kekikiran dirinya sendiri, maka mereka itulah orang-orang yang bahagia.’
Firman ini, jelas Saidina Umar, adalah khusus tentang kaum Ansar. Kemudian Allah tidak rela sebelum menyertakan bersama mereka itu orang-orang lain (dari generasi mendatang), dan berfirman, ‘Dan orang-orang yang muncul sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar) itu semuanya berdoa: ‘Oh Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam beriman, dan janganlah ditumbuhkan dalam hati kami perasaan dengki kepada sekalian mereka yang beriman itu. Oh Tuhan, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun dan Maha Penyayang.’ (surah al-Hashr/59:7-10)
          Ayat ini, kata Saidina Umar, ‘Secara umum berlaku untuk semua orang yang muncul sesudah mereka (kaum Muhajirin dan Ansar) itu, sehingga harta rampasan (fay’) adalah untuk mereka semua. Maka bagaimana mungkin kita akan membahagi-bahaginya untuk mereka (tentera yang berperang saja), dan kita tinggalkan mereka yang datang kemudian tanpa bahagian? Kini menjadi jelas bagiku perkara yang sebenarnya.’
Para pembahas dapat menarik kesimpulan dari pendirian Saidina Umar itu tentang banyak hukum sosial dan ekonomi. Di situ kita dapat melihat Saidina Umar sangat cermat memperhatikan agar harta kekayaan tidak menumpuk hanya di tangan sekelompok orang-orang kaya saja.
Sebab penyerahan pemilikan atas berpuluh-puluh juta hektar tanah pertanian di Iraq, Syam, Persia dan Mesir kepada sekelompok tentera dan bawahannya akan membentuk sejumlah orang kaya yang pada mereka terdapat harta benda melimpah-ruah, dengan peredarannya pun terpusat kepada mereka saja. Hal itu akan membawa kesan sosial dan moral yang akibatnya tidak terpuji.
Di dalamnya kita melihat Saidina Umar memandang harta sebagai hak semua orang dan menempuh kebijaksanaan yang memperhitungkan kemaslahatan generasi mendatang. Itu adalah pandangan yang cermat dan mendalam, yang dalam Al-Quran diketemukan sandaran yang sangat kuat.
Di dalamnya juga terdapat tindakan sejenis nasionalisasi tanah-tanah pertanian atau yang mendekati itu, iaitu ketika beliau mencegah sekelompok orang-orang Muslim sezamannya dari menguasai tanah-tanah yang dianugerahkan Tuhan sebagai harta rampasan (fay’), dan beliau tidak bergeser dari pendapatnya untuk menjadikan tanah-tanah itu milik negara, yang dari hasil cukainya beliau membuat anggaran untuk tentera, dan dengan hasil itu pula beliau menanggung kesulitan-kesulitan pada masa depan.
Di dalamnya juga terdapat banyak hal yang lain, berupa pandangan-pandangan kewangan dan ekonomi yang menunjukkan luasnya ufuk dan keluwesan pemikiran serta daya cakup Islam yang hanif (secara semula jadi selalu mencari yang benar dan baik) terhadap masalah-masalah yang pelik.
Penjelasan kedua berjudul Bagaimana Para Sahabat Rasulullah s.a.w Menggunakan Akal Mereka Untuk Memahami Al-Quran oleh Dr Ma’ruf al-Dawalibi. Barangkali dari antara banyak masalah ijtihad dan kejadian yang mucul pada zaman para sahabat setelah wafat Rasulullah s.a.w, yang paling menonjol ialah masalah pembahagian tanah-tanah (pertanian) yang telah dibebaskan oleh tentera (Islam) melalui peperangan di Iraq, Syam (Syria) dan Mesir.
Telah terdapat nas Al-Quran yang menyebutkan dengan jelas tanpa kesamaran sedikit pun di dalamnya bahawa seperlima harta rampasan (perang) harus dimasukkan ke bait al-mal, dan harus diperlakukan sesuai dengan pengarahan yang ditentukan oleh ayat suci. Allah telah berfirman dalam surah al-Anfal, ‘Dan ketahuilah olehmu sekalian bahawa apa pun yang kamu rampas (dalam perang) dari sesuatu (harta) maka seperlimanya adalah untuk Allah, Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan orang yang terlantar dalam perjalanan (ibn al-sabil).’[6]
Sedangkan yang empat perlima selebihnya maka dibahagi sama antara mereka yang merampas (dalam perang) itu, sebagai pengamalan ketentuan yang boleh difahami dari ayat suci tersebut dan amalan Rasulullah s.a.w ketika baginda membahagikan (tanah pertanian) Khaybar kepada para tentera.
Maka, sebagai pengamalan Al-Quran dan al-Sunnah, datanglah para perampas (harta rampasan perang) itu kepada Saidina Umar ibn al-Khaththab, dan meminta agar beliau mengambil seperlima daripadanya untuk Allah dan orang-orang yang disebutkan dalam ayat (dimasukkan dalam bait al-mal), kemudian membahagi bakinya kepada mereka yang telah merampasnya dalam perang. (Kemudian terjadi dialog berikut):

Kata Saidina Umar: Lalu bagaimana dengan orang-orang Muslim yang datang kemudian? Mereka mendapati tanah-tanah pertanian beserta garapannya telah habis terbahagi-bahagi, dan telah pula diwariskan turun-temurun dan dikuasai? Itu bukanlah pendapat (yang baik).

Abd al-Rahman ibn ‘Awf, menyanggah Saidina Umar: Lalu apa pendapat (yang baik)? Tanah pertanian dan garapannya itu tidak lain adalah harta rampasan yang diberikan Allah kepada mereka!

Saidina Umar menjawab: Itu tidak lain adalah katamu sendiri, dan aku tidak berpendapat begitu. Demi Tuhan, tidak akan ada lagi negeri yang dibebaskan sesudahku yang di situ terdapat kekayaan besar, bahkan mungkin akan menjadi beban atas orang-orang Muslim. Jika aku bahagi-bahagikan tanah-tanah di Iraq beserta garapannya, tanah-tanah di Syam beserta garapannya, maka dengan apa pos-pos pertahanan akan dibiayai? Dan apa yang tersisa untuk anak cucu dan janda-janda di negeri itu dan di tempat lain dari kalangan penduduk Syam dan Iraq?

Orang pun ramai berkumpul sekitar Saidina Umar, dan mereka semua berseru: Apakah engkau akan memberikan sesuatu yang oleh Allah diberikan untuk kami dengan perantaraan pedang-pedang kami kepada kaum yang belum ada dan belum bersaksi? Dan kepada anak-anak mereka itu serta cucu-cucu mereka yang belum ada?

Namun Saidina Umar tidak tergugat kecuali berkata: Itulah pendapatku.

Mereka menyahut: Bermusyawarahlah!

Maka Saidina Umar pun bermusyawarah dengan kaum Muhajirin yang terkemuka, dan mereka ini berselisih pendapat. Adapun Abd al-Rahman ibn ‘Awf, pendapatnya ialah agar diberikan kepada para tentera itu apa yang telah menjadi hak mereka. Sedangkan pendapat ‘Utsman, ‘Ali, Thalhah dan Ibn Saidina Umar sama dengan pendapat Umar.
Kemudian Saidina Umar memanggil sepuluh orang dari golongan Ansar, lima orang dari suku al-Aws dan lima orang dari suku al-Khazraj, terdiri dari para pembesar dan tokoh mereka. Setelah mereka berkumpul, Saidina Umar membaca hamdalah dan memuji Tuhan, kemudian berkata (penuturan al-Dawalibi ini tidak jauh berbeza dengan al-Khuli di atas):
‘Aku tidak bermaksud mengejutkan kalian kecuali hendaknya kalian menyertaiku dalam amanatku dan dalam urusan kalian yang dibebankan kepadaku. Sebab aku hanyalah salah seorang saja dari kalian, dan kalian hari ini hendaknya membuat keputusan dengan benar: siapa saja yang hendak berbeza pendapat dengan aku, silakan ia berbeza, dan siapa saja yang hendak bersepakat dengan aku, silakan ia bersepakat. Aku tidaklah ingin kalian mengikuti begitu saja hal yang menjadi kecenderunganku ini. Di tangan kalian ada Kitab Allah yang menyatakan kebenaran. Dan demi Tuhan, kalau aku pernah menyatakan suatu perkara yang kuinginkan, aku tidak menginginkannya kecuali kebenaran.’
Semuanya serentak berkata: Bicaralah, dan kami semua akan mendengarkan, wahai Amir al-Mu’minin!
Dan Saidina Umar berkata lagi: Kalian telah mendengar pembicaraan mereka, kelompok yang menuduh aku berbuat zalim berkenaan dengan hak-hak mereka. Aku benar-benar berlindung kepada Allah dari melakukan kezaliman. Jika aku telah berbuat zalim kepada mereka berkenaan dengan sesuatu yang menjadi milik mereka dan aku berikan kepada orang lain, maka benar-benar telah celakalah diriku. Tetapi aku melihat bahawa tidak ada lagi sesuatu (negeri) yang dibebaskan sesudah negeri Khusru (Raja Persia), dan Allah pun telah merampas untuk kita harta kekayaan mereka dan tanah-tanah pertanian mereka, garapan-garapan mereka, maka aku bahagi-bahagikanlah semua kekayaan (yang bergerak) kepada mereka yang berhak, kemudian aku ambil seperlimanya, dan aku atur menurut aturan tertentu, dan aku sepenuhnya bertanggungjawab atas pengaturan itu. Tetapi aku berpendapat untuk menguasai tanah-tanah pertanian beserta garapan-garapannya, dan aku terapkan cukai atas para penggarap tanah-tanah itu, dan mereka berkewajiban membayar jizyah sebagai fay’ untuk orang-orang Muslim, baik yang berperang mahupun anak cucu mereka, dan untuk generasi yang kemudian. Tahukah kalian pos-pos pertahanan itu? Di sana harus ada orang-orang yang tinggal menetap. Tahukah kalian, kota-kota besar seperti di Syam, al-Jazirah (Mesopotamia), Kufah, Basrah dan Mesir? Semuanya itu memerlukan tentera untuk mempertahankan dan biaya besar untuk mereka. Dari mana mereka diberi biaya itu jika semua tanah pertanian dan garapannya telah habis dibahagi-bahagi?
Serentak semuanya menjawab: Pendapat yang benar ialah pendapatmu. Alangkah baiknya apa yang kau katakan dan lihat itu. Jika pos-pos pertahanan dan kota-kota itu tidak diisi dengan pegawai-pegawai, serta disediakan bagi mereka keperluan-keperluan mereka, maka tentulah kaum kafir akan kembali ke kota-kota mereka.
Kata Mu’adz kepada Saidina Umar: ‘Jika engkau sampai membahagi-bahaginya, maka akan terjadilah kekayaan yang amat besar berada di tangan kelompok orang tertentu, kemudian mereka akan mati, lalu harta itu akan bergeser ke tangan satu orang, baik laki-laki ataupun perempuan, dan sesudah mereka itu muncul generasi yang benar-benar melihat adanya kebaikan pada Islam iaitu mereka mendapati dalam Islam suatu keuntungan namun mereka tidak mendapatkan apa-apa. Kerana itu carilah sesuatu yang menguntungkan baik generasi pertama mahupun generasi akhir.’
Sungguh menakjubkan pernyataan Mu’adz itu: Jika tanah-tanah pertanian itu dibahagi habis, maka terjadilah kekayaan amat besar pada kelompok tertentu, dan kalau mereka ini semuanya telah tiada, kekayaan itu akan pindah ke tangan satu dua orang, sehingga orang-orang (dari kalangan penduduk setempat) yang muncul sesudah itu dan memeluk Islam tidak lagi mendapatkan sesuatu apa pun! Alangkah cemerlang pernyataannya itu!
Dengan pernyataannya itu, Mu’adz seolah-olah hendak menentang banyak orang sebagaimana kaum sosialis sekarang menentang para tuan tanah agar jangan sampai tanah yang luas milik Tuhan itu jatuh ke tangan hanya satu dua orang, sama ada lelaki mahupun wanita, yang dengan pemilikan tanah itu orang tersebut memetik buah kerja keras sejumlah besar para petani untuk dinikmati sendiri tanpa disertai kalangan manusia lainnya.
Para sahabat Rasulullah s.a.w itu terus melakukan perbincangan sesama mereka selama beberapa hari. Mereka yang berpendapat harus dibahagi-bahagikan, berhujah dengan amalan Rasulullah s.a.w dalam membahagi-bahagikan tanah Khaybar di antara para tentera yang membebaskannya, dan dengan firman Allah, ‘Ketahuilah bahawa apa pun dari sesuatu (kekayaan) yang kamu rampas dalam peperangan maka seperlimanya adalah untuk Allah, Rasul, para kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan orang terlantar di perjalanan.’
Kerana ayat itu hanya mengemukakan ketentuan untuk menyisihkan seperlima saja dari kekuasaan para tentera pelaksana rampasan dalam perang dan menyerahkannya kepada bait al-mal untuk digunakan bagi keperluan pihak-pihak yang berhak yang tersebutkan dalam ayat tersebut, sedangkan ayat itu tidak memberi ketentuan apa-apa tentang bahagian yang empat perlima lagi, maka ‘Abd al-Rahman ibn ‘Awf berkata kepada Saidina Umar: ‘Tanah-tanah pertanian dan garapannya itu tidak lain ialah harta yang dirampaskan oleh Tuhan untuk mereka, yakni harta yang diberikan Tuhan kepada mereka dari musuh.’
Sedangkan Saidina Umar, dalam menjawab hujah ‘Abd al-Rahman itu, menyatakan: ‘Itu tidak lain hanyalah pendapatmu, dan aku tidak berpendapat begitu. Demi Tuhan, tidak ada lagi sesudahku negeri yang dibebaskan yang di situ terdapat kekayaan yang besar, bahkan mungkin akan menjadi beban atas orang-orang Muslim. Maka jika aku bagi habis tanah Iraq dan garapannya, juga tanah Syam dan garapannya, maka bagaimana membiayai pos-pos pertahanan? Dan apa yang tersisa untuk anak cucu dan janda-janda di negeri itu dan di tempat lain dari kalangan penduduk Syam dan Iraq?’
Saidina Umar terus melakukan musyawarah dan pembahasan. Ramai orang berargumentasi untuk melakukan pembahagian sesuai dengan pengertian lahir nas-nas, dan Saidina Umar berargumentasi untuk tidak melakukan pembahagian demi kemaslahatan masyarakat Muslim sendiri. Seolah-olah Saidina Umar membezakan antara apa yang dilaksanakan Rasulullah s.a.w di tanah-tanah pertanian Khaybar yang kecil pada permulaan Islam yang dituntut oleh kemaslahatan masyarakat Muslim ketika itu tanpa menyimpang daripadanya, dan tanah-tanah pertanian lembah yang subur di Iraq, Mesir dan Syam, yang seandainya diterapkan di sana apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w di tanah-tanah pertanian Khaybar itu maka tentu masyarakat Muslim akan kehilangan kemaslahatannya.
Orang ramai tetap saja pada pendirian mereka, sehingga akhirnya Saidina Umar datang dan menyatakan: ‘Aku telah mendapatkan hujah terhadap mereka dengan bahagian akhir dari ayat-ayat al-Hasyr.’
Di situ Tuhan telah memperincikan mereka yang berhak atas harta rampasan perang dengan firman-Nya: ‘Sesuatu (harta kekayaan) yang diberikan Tuhan sebagai rampasan perang untuk Rasul-Nya dari penduduk negeri adalah milik Tuhan, Rasul, para kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan ibn al-sabil, agar supaya harta itu tidak berkisar di antara orang-orang kaya saja dari antara kamu...’
Maksudnya supaya harta rampasan itu tidak berputar di kalangan para orang kaya saja tanpa ikut sertanya para fakir miskin, sampai dengan firman Allah s.w.t: ‘Bagi orang-orang miskin para Muhajirin yang diusir dari rumah-rumah dan harta benda mereka ...’ terus ke firman-Nya, ‘Dan mereka yang telah menetap di negeri (Madinah) dan beriman sebelum (datang) mereka (Muhajirin) itu...,’ serta diakhiri dengan firman, ‘Dan mereka yang datang sesudah mereka itu ...’
Kemudian kata Saidina Umar: ‘Aku tidak melihat ayat ini melainkan meliputi semua orang manusia sampai termasuk pula seorang penggembala kampung Kidd’.’
Lalu Saidina Umar berseru kepada orang ramai: ‘Apakah kalian menghendaki datangnya generasi kemudian tanpa mendapatkan sesuatu apa pun? Lalu apa yang tersisa untuk mereka sepeninggal kalian itu? Kalau tidak kerana generasi kemudian itu, tidaklah ada suatu negeri yang dibebaskan melainkan pasti aku bahagi-bahagikan sebagaimana Rasulullah s.a.w telah membahagi-bahagikan tanah Khaybar.’
Demikianlah Saidina Umar memutuskan untuk menyita tanah-tanah pertanian tersebut dan tidak membahagi-bahagikannya kepada tentera pembebas, dan membiarkan tanah-tanah itu tetap berada di kalangan para penduduk penggarap yang dari hasilnya mereka membayar cukai untuk dibelanjakan bagi kemaslahatan masyarakat Muslim pada umumnya, dan orang-orang Muslim pun kemudiannya bersepakat dengan Saidina Umar.
Jelas bahawa tindakan bijaksana dari Saidina Umar r.a. yang menyimpang dari tindakan Rasulullah s.a.w bukanlah bermakna peniadaan suatu Sunnah yang tetap yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, melainkan kerana berpegang teguh kepada Sunnah itu dengan dalil-dalil berbagai nas yang lain mengikuti kemaslahatan umum.
Jika Rasulullah s.a.w membahagi-bahagikan antara orang-orang Muslim harta rampasan perang yang terdiri dari tanah-tanah pertanian pada waktu itu tanpa menyisakan sedikit pun untuk generasi yang datang kemudian, maka hal itu ialah kerana masalah zaman menghendaki hal demikian sesuai dengan situasi yang ada, khususnya untuk menolong orang-orang miskin Muhajirin dari Mekah yang diusir dari tempat-tempat kediaman dan harta kekayaan mereka.
Dan jika Saidina Umar tidak membahagi-bahagikannya, maka hal itu pun kerana kemaslahatan ketika itu, sebagaimana beliau sendiri telah menjelaskannya, menghendaki kebijaksanaan demikian itu. Itulah sebabnya al-Qadli Abu Yusuf berkata: ‘Pendapat yang dianut Saidina Umar r.a. untuk tidak membahagikan tanah-tanah pertanian itu antara mereka yang membebaskannya, ketika Tuhan memberinya kearifan tentang apa yang disebutkan dalam Kitab Suci sebagai penjelasan pendapatnya itu, adalah suatu petunjuk dari Tuhan.’
Pada Saidina Umar dengan tindakan tersebut - yang di situ terdapat kebaikan pendapatnya - berupa pengumpulan cukai dan pembahagiannya di antara orang-orang Muslim, terkandung kebaikan umum bagi masyarakat mereka. Sebab jika seandainya pendapatan dan kekayaan (negeri) tidak diserahkan kepada manusia (secara umum), maka pos-pos pertahanan tidak lagi terpenuhi keperluannya, dan tentera tidak lagi mendapat bekalan untuk melanjutkan perjuangan suci (jihad) mereka.
Demikianlah dua penjelasan tentang ijtihad Saidina Umar r.a. Semoga kita dapat belajar dari kearifan tokoh dalam sejarah Islam yang amat tersohor itu, yang sering dikemukakan sebagai teladan seorang pemimpin dan penguasa yang adil, demokratik dan terbuka.

Catatan:
Diambil dari kitab al-Huquq al Madaniyyah (Hak-hak Umum) oleh al-Zarqa, halaman 76. Al-Zarqa telah menjabarkan ayat ghanimah (harta rampasan perang) dalam s. al-Anfal/8:41, ‘Dan ketahuilah olehmu sekalian bahawa apa pun dari sesuatu (harta kekayaan) yang kamu rampas dalam peperangan maka sesungguhnya seperlima daripadanya adalah untuk Allah dan untuk Rasul, para kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan orang dalam perjalanan.’
Kata al-Zarqa, ‘Sebenarnya ayat suci itu menentukan pembelanjaan seperlima dari harta rampasan itu untuk urusan umum, dan Sunnah menjelaskan tindakan Rasulullah s.a.w tentang cara membagikan sisanya (yang empat perlima) kepada para anggota mereka yang merebut harta rampasan itu. Kemudian datang ayat fay’ dalam Surah al-Hasyr/59:6-10, yang mengatakan, ‘Apa pun yang diberikan Tuhan bahawa harta fay’ kepada Rasul-Nya ...’ yang ayat itu memberi kejelasan bahawa harta fay’ harus dimanfaatkan oleh orang-orang Muslim secara keseluruhan, baik yang sekarang mahupun yang bakal datang, dan tidak hanya terbatas untuk para pejuang pembebas saja, melainkan semuanya harus ditempatkan di bawah bait al-mal.
Beza antara ghanimah dan fay’ dalam istilah shar’i ialah bahawa ghanimah adalah harta yang dirampas dari musuh dengan kekuatan senjata, sedangkan fay’ adalah harta yang ditinggalkan musuh kerana ketakutan, atau yang mereka bayarkan kerana terpaksa dan kalah, dan tidak diperolehi dari musuh itu dengan pengerahan kavaleri ataupun komando tentera dalam medan peperangan.
Lantaran itu fay’ meliputi pula pungutan-pungutan yang dibebankan kepada mereka seperti jiryah atas individu-individu dan cukai (kharaj) atas bumi. Telah terbukti dalam Sunnah ketika Rasulullah s.a.w membebaskan Khaybar, yang dibebaskan dengan kekerasan, bukan dengan jalan damai, dan penduduk Yahudinya yang diperangi itu meninggalkannya atas dasar hukum pelarian diri, maka tanah-tanah pertanian mereka itu dianggap termasuk fay’, dan Rasulullah s.a.w mengambil separuhnya - sebelum seperlimanya - kemudian ditinggalkan untuk para pengawas dan penghuni setempat, kemudian baginda bahagi-bahagikan bakinya kepada para tentera pembebas.
Kemudian al-Ustadh menjelaskan kisah pembebasan Lembah Iraq (Mesopotamia), dan mentafsirkan pendirian Saidina Umar yang bijaksana dalam membezakan antara harta rampasan perang yang bergerak dan tanah-tanah pertanian, bahawa sesungguhnya beliau justeru berpegang kepada dalil-dalil nas dan menggabungkan semuanya, dan melaksanakan setiap dalil nas itu dengan meletakkan pada tempatnya yang dibimbing oleh pandangannya yang menyeluruh dan tepat, tidak seperti yang dikesankan oleh mereka dari zaman sekarang yang mengira dalam masalah ini Saidina Umar menyalahi nas-nas agama, dan menganggap sikap menyalahi itu menurut perkiraan mereka sebagai suatu kepintaran dalam berijtihad.
Dari yang telah dikutip itu pembaca boleh melihat bahawa Saidina Umar menggunakan hujah-hujah dari nas Al-Quran sendiri yang dengan nas-nas itu beliau membungkam para penentangnya dan membuktikan keunggulan pemahamannya mengenai nas-nas tersebut. Menyertai pendapat Saidina Umar dalam pandangannya itu ialah para pembesar sahabat yang mendalami pemahaman agama seperti ‘Ali dan Mu’adh.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan