Syed Mahadzir
Syed Ibrahim
Belia Tonggak
Negara merupakan frasa yang sudah mangli dicagunkan sejak sekian lama.
Realitinya adalah benar bahawa golongan belia merupakan aset bernilai kerana
mereka adalah pewaris yang akan meneruskan kesinambungan pembangunan negara.
Golongan belia yang mapan dalam akademik, kemahiran, sahsiah, dan jati diri adalah
perlu untuk mereka menyumbang secara positif kepada kecemerlangan dan
mengukuhkan ekonomi serta masa depan negara.
Sebab
itulah program pembangunan belia sejak sekian lama telah dirancang dengan
teliti untuk melengkapkan mereka dengan sikap yang positif, berpengetahuan,
berkeupayaan memimpin, mempunyai sikap keusahawanan dan mempunyai kemahiran
terutamanya dalam bidang ICT supaya mereka boleh mengatasi segala halangan yang
dihadapi dalam persaingan pembangunan ekonomi yang pesat serta arus globalisasi.
Selain
didedahkan dengan pengetahuan bercorak akademik, golongan belia juga telah
dilengkapi dengan sifat dan keperibadian mulia, berpengetahuan tentang nilai
dan budaya sendiri serta masyarakat majmuk yang lain. Untuk mencapai
pembangunan belia mapan, perancangan dasar dan strategi khusus telah pun
dilaksanakan. Negara kita sudah mempunyai Dasar Pembangunan Belia Negara dalam
usaha meningkatkan dan mengembeleng potensi belia, namun kemahiran yang tinggi
tetap diperlukan supaya ianya bersesuaian dengan masa dan keadaan.
Mengikut
Dasar Belia Negara, belia dikategorikan kepada golongan yang berumur antara 15
hingga 40 tahun, di mana golongan belia ini meliputi 42.1% daripada jumlah
penduduk Malaysia yang berjumlah 23.27 juta orang pada tahun 2000. Golongan ini
merupakan tenaga penggerak dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan dan
pendidikan. Memandangkan peranan penting belia dalam pembangunan negara serta
sebagai bakal pemimpin negara, golongan belia harus sedar bahawa hanya
kemahiran saja yang dapat merealisasikan cita-cita ke arah negara yang
bertamadun tinggi sebagaimana yang telah dicagunkan oleh zaman kegemilangan
Islam di kota Baghdad, Damsyik dan Kordova suatu ketika dulu.
Lantaran
itu golongan belia harus menyedari peranan dan tanggungjawab bagi mencapai
agenda pembangunan negara. Bagi tujuan tersebut, belia perlu melengkapkan diri
dengan kemahiran yang diperlukan untuk memudahkan penglibatan dan penyertaan
mereka dalam pembinaan nusa bangsa serta menghadapi cabaran globalisasi.
Sebagaimana
yang kita sedia maklum bahawa generasi muda kini masih terbelenggu dengan
krisis kurangnya budaya keilmuan, kemahiran dan keintelektualan yang mana
merupakan asas kepada kemajuan dan kepembangunan sesebuah tamadun. Kejayaan
tamadun-tamadun silam yang berjaya mempengaruhi dunia hingga hari ini ialah
tamadun yang mampu menghasilkan idea, tulisan, ciptaan dan peloporan dalam
sesuatu perkara baru hasil tercetusnya perkembangan ilmu, kemahiran dan
keintelektualan. Tamadun Yunani, China, India, Bizantin, Rom, Parsi dan sebagainya
amat menyerlah dalam sejarah kerana keterampilan dan kemahiran mereka memajukan
idea. Lebih-lebih lagi Tamadun Islam amat gemilang sebagai pusat perkembangan
ilmu pengetahuan suatu ketika dulu.
Muhammad
Natsir, bekas Perdana Menteri Indonesia pernah mengungkapkan bahawa generasi
muda kini khususnya di peringkat kepimpinan dan masyarakat dilanda dengan
ketiadaan inventariasi. Ketiadaan inventariasi ini merujuk kepada kekeringan
idea dan kemuflisan daya cipta sehingga tidak mampu mengembang dan memanfaatkan
potensinya sebagai golongan yang benar-benar mampu mencipta kecemerlangan.
Kata-kata
beliau ini ada kebenarannya, apabila kita meneliti senario generasi muda kini
ramai yang mempunyai ijazah, diploma, sijil-sijil kemahiran dan sebagainya
tetapi tidak berupaya untuk memanfaatkan ilmu-ilmu yang diperolehi di menara
gading untuk dikembangkan dengan penuh inovasi dan kreativiti. Contoh termudah,
ramai graduan yang menganggur gagal memanfaat potensi diri mencipta
peluang-peluang pekerjaan baru selain daripada mengharap untuk bekerja makan
gaji. Bagi yang telah mendapat pekerjaan, ada di antaranya masih terbelenggu
dengan cara kerja lama dan tidak pro-aktif kerana kekurangan daya kreativiti,
inovasi dan kemahiran mengolah ilmu-ilmu yang telah dipelajari agar sesuai
untuk dimanfaatkan kepada realiti semasa.
Fenomena
kegersangan asas kemahiran, kreativiti dan keintelektualan ini khususnya kepada
generasi muda akan menyebabkan kelesuan daya fikir yang akhirnya menyebabkan
kegagalan untuk memahami realiti semasa dalam masyarakat kini. Akibatnya
lahirlah program-program pembangunan, projek-projek dan aktiviti-aktiviti
meliputi soal ekonomi, politik dan sosial yang gagal mengubati simptom sebenar
yang menjadi puncanya. Banyak tenaga, wang dan keringat dihabiskan tetapi tiada
sebarang kesan yang boleh dibanggakan apalagi bermanfaat untuk pembangunan
negara.
Yang
jelasnya, tanpa kemahiran yang utuh akan menyebabkan negara gagal bersaing di
peringkat global dan akibatnya negara akan lemah dan akan terus dijajah walaupun
telah mencapai kemerdekaan kerana penyakit yang dinyatakan oleh Malek Binnabi
sebagai penyakit colonsibilite yang
bermaksud suka merelakan diri diperhambakan dan hanya mahu menjadi manusia
pengguna lantaran daripada minda yang lemah dan tiada kemahiran yang mampu
mencipta sesuatu yang baru. Penyakit ini menyebabkan kita masih terjajah kerana
kita meniru segalanya akibat lemah dari aspek pendidikan, keilmuan, kemahiran,
pembangunan dan sebagainya. Apabila kita tidak mampu menjadi manusia pencipta
dan hanya mampu menjadi manusia pengguna, kita akan terus terdedah dengan
pelbagai eksploitasi terutama oleh negara lain yang lebih ke hadapan dalam
aspek penciptaan.
Ketidakmampuan
negara-negara Islam mencipta senjata yang moden dan canggih telah menyebabkan
mereka dijajah oleh negara kuasa besar sehingga meranapkan seluruh maruah. Apa
yang telah terjadi kepada Afghanistan, Iraq, Bosnia dan sebagainya merupakan
catatan tinta sejarah yang begitu memilukan lantaran hakikat ini diabaikan.
Justeru,
golongan belia di negara kita harus memulakan langkah-langkah proaktif bagi
merekayarsakan budaya keilmuan, tradisi keintelektualan dan kemahiran. Ilmu
merupakan suatu perkara asas yang perlu diberi perhatian oleh setiap individu
belia kerana ia adalah perkara pokok pembinaan negara dan ketamadunan.
YAB
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menegaskan bahawa
program pembangunan belia harus berpaksikan kepada 3K iaitu kepemimpinan,
kemahiran dan keusahawanan. Bagi YAB Perdana Menteri, setiap belia harus memiliki
ciri kepemimpinan yang baik. Paling kurang, belia harus mampu memimpin dirinya
sendiri. Belia yang mampu memimpin diri sendiri bukan saja tidak menjerumuskan
dirinya dengan kegiatan tidak sihat, sebaliknya mereka akan menjadi rakyat yang
patriotik, bersemangat kemasyarakatan dan kesukarelaan yang tinggi.
Kemahiran
pula menyediakan belia untuk pekerjaan. Kemahiran tidak sama dengan ijazah atau
diploma. Kemahiran tidak boleh dipelajari dari mana-mana universiti. Kemahiran
ialah kemampuan menguasai dan mempraktikkan ilmu yang dipelajari secara
sistematik dan profesional dalam suasana sebenar. Belia berkemahiran tidak akan
menghadapi masalah mendapatkan pekerjaan. Apabila kemahiran tersebut
dipraktikkan, secara tidak langsung dapat pula memberi pulangan kepada
pembangunan negara.
Belia
juga mesti mempunyai ilmu dan semangat keusahawanan. YAB Perdana Menteri telah
menegaskan bahawa belia harus mencipta peluang pekerjaan sendiri. Ia lebih
bersifat mewujudkan pekerjaan dengan belia yang membabitkan diri dalam
keusahawanan menyediakan peluang pekerjaan untuk dirinya sendiri dan orang
lain.
Sementara
itu, dalam mengambil semangat 3K ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina
Othman Said telah mengajak generasi muda supaya melakukan anjakan paradigma
untuk melihat pendidikan bukan sekadar mengejar segulung ijazah, tetapi meraih
kemahiran hidup. Sering kali kemahiran dikaitkan dengan latihan teknikal dan
vokasional. Sebut saja perkataan kemahiran, tentu saja akan terbayang di minda
kita nama-nama seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut
Kemahiran Mara (IKM), Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK), Institut
Latihan Perindustrian (ILP) dan sebagainya.
Sebenarnya
kemahiran lebih daripada itu. Umumnya, kemahiran boleh dibahagikan kepada dua.
Pertama ialah kemahiran asas. Ini ialah kemahiran yang perlu ada untuk
seseorang melakukan pekerjaan. Kewujudan pusat latihan ialah untuk menyediakan
kemahiran kepada belia dalam bidang terpilih. Bagaimanapun, kesilapan kita yang
paling besar ialah apabila mengaitkan kemahiran dengan institusi latihan saja.
Ramai yang gagal melihat pusat pengajian tinggi sebagai tempat membina
kemahiran. Lantaran itulah pusat pengajian tinggi menjadi tempat untuk
mengumpul ijazah dan diploma semata-mata.
Generasi
muda harus melakukan anjakan paradigma dan melihat bahawa pengajian sama ada
pada peringkat sijil, diploma atau ijazah ialah untuk mendapatkan kemahiran
bukannya sekeping kertas semata-mata. Mendapat kemahiran asas saja tidak cukup.
Dalam soal ini, Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo
telah menegaskan bahawa kemahiran harus dilihat dari skop yang luas.
itu, belia juga harus mendapatkan soft skills atau kemahiran yang
diperlukan bagi melengkapkan kemahiran asas. Soft skills yang diperlukan termasuk kemahiran pengurusan,
kemahiran berkomunikasi dan hubungan perseorangan, keterampilan diri, kemahiran
menyelesaikan masalah dan sengketa, kemahiran berhadapan dengan masalah dan
sebagainya. Datuk Seri Dr Mohamad Khir seterusnya berkata bahawa pertubuhan
belia adalah wadah yang cukup baik untuk mendedahkan generasi muda kepada
kemahiran seperti yang telah disebutkan di atas. Melalui pembabitan dalam
persatuan belia, anak muda dapat belajar mengurus, berkomunikasi, menyelesaikan
masalah dan berhubung dengan pelbagai pihak. Ini adalah kemahiran yang penting
dan berguna dalam hidup mereka. Ketidakmampuan sebahagian graduan mendapat
pekerjaan dengan cepat berpunca daripada kegagalan mereka untuk menguasai soft skills ini.
Sesungguhnya
aset dan kekayaan yang paling bernilai bagi sesebuah negara atau bangsa
bukanlah emas dan perak mahupun hasil-mahsulnya tetapi yang bernilai dan
berharga itulah manusia. Demikianlah yang dilafazkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi
dalam ucapannya kepada golongan belia dalam kunjungannya ke Malaysia suatu
ketika dahulu. Jika pandangan beliau ini dapat ditafsirkan dengan lebih lanjut,
ia boleh memberi maksud bahawa keutuhan, kejayaan dan kegemilangan sesebuah
negara bergantung kepada manusia yang mencorakkan pemerintahan serta pentadbirannya
selain menggerakkan perancangan yang diatur.
Di
sinilah juga terserlahnya peranan yang perlu dilaksanakan oleh pemerintah dan
rakyatnya yang khusus ditujukan kepada golongan belia. Pemerintah yang
berwibawa akan menjalankan pemerintahan berdasarkan prinsip-prinsip yang
digariskan dengan adil, amanah lagi cemerlang manakala rakyat atau golongan
belia memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pemerintah dan
mencurahkan bakti dengan sepenuh hati.
Banyak
bangsa dan negara di dunia yang telah berjaya membuktikan kemampuan mereka
untuk membina tamadun yang dikagumi dan dijadikan teladan. Namun, apakah
sebenarnya ciri yang menjadikan bangsa atau negara tersebut berbeza dari sudut
pencapaian masing-masing? Ia tidak lain dan tidak bukan, hanyalah prinsip yang
menjadi asas tamadun yang dibina iaitu ilmu dan kemahiran. Inilah keistimewaan
dan keunikan misalnya yang ada pada tamadun Islam dan umatnya yang mendirikan
tamadun yang sungguh gemilang bermula sejak 7 Masihi lagi.
Apa
yang penting di sini ialah betapa pentingnya golongan belia di negara ini
memiliki dan menguasai kemahiran yang tertentu dan kemahiran tersebut relevan
dengan tuntutan serta keperluan semasa negara. Dengan kemahiran tersebut,
golongan belia mampu bersaing dalam pelbagai asas sumber tenaga manusia serta
pewaris kepimpinan dan masa depan negara. Negara kita sesungguhnya telah
mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Dalam usaha mengekalkan
kecemerlangan ini, generasi belia perlu memberikan komitmen yang sepenuhnya dan
bekerja kuat bagi mencapai matlamat sesebuah negara yang terbilang. Belia di
negara ini bukan sahaja perlu menjadi lebih cekap serta dilengkapi dengan
kemahiran baru yang lebih baik, bahkan juga perlu lebih inovatif, pintar,
berdisiplin, mempunyai nilai dan etika kerja yang luhur dan bertunjangkan jati
diri yang kukuh.
Selain
itu, apa yang perlu difahami oleh generasi belia ialah, ilmu tidak boleh
dihadkan hanya kepada maklumat atau data-data semata-mata, tetapi yang lebih
penting ialah ilmu yang boleh memberi nilai-tambah (value-added knowledge) kepada keluaran dan perkhidmatan. Ini akan
membantu untuk bertindakbalas dengan cepat terhadap sebarang perubahan yang
mendatang.
Profesor
Paul Kennedy dari University of Yale, Amerika Syarikat di dalam bukunya yang
berjudul The Rise and Fall of the Great
Powers: Economic Change and Military Conflict from 1500-2000, telah
menganalisis tentang kebangkitan dan kejatuhan kuasa-kuasa besar dunia. Beliau
mendapati faktor penting yang menentukan kebangkitan dan kejatuhan kuasa-kuasa
besar ini ialah sikap bangsa tersebut terhadap ilmu dan penghayatan budaya
ilmunya.
Manakala,
Ibn Khaldun, seorang pemikir Islam di abad ke -14 pernah menyatakan bahawa
bangsa yang mempunyai kekuatan tenaga manusia serta kekuatan tentera, walaupun
berperanan untuk menjadikan bangsa itu kuat, tetapi ianya tidak menjadi faktor
utama bagi memberi kekuatan hakiki. Malah telah berlaku beberapa peristiwa
dalam sejarah bagaimana sesuatu bangsa yang kuat tetapi tidak ditunjangi oleh
budaya ilmu dan kemahiran yang baik, lambat-laun akan memeluk dan menganuti
ciri-ciri tamadun bangsa yang ditaklukinya.
Budaya
ilmu dan kemahiran bagi sesebuah masyarakat memberi maksud bahawa keadaan di
mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara langsung, mahupun
tidak langsung dengan teratur dalam kegiatan keilmuan dan kemahiran bagi setiap
kesempatan. Ia juga merujuk kepada kewujudan satu keadaan di mana segala
tindakan manusia baik di tahap individu, organisasi, mahupun masyarakat diputus
dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan dan kemahiran. Di dalam budaya
ilmu dan kemahiran, ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam sistem
nilai peribadi dan masyarakat, sementara kemahiran pula mampu menjadikan
sesuatu ilmu itu lebih bermanfaat kepada semua golongan masyarakat.
Selain
itu, budaya ilmu dan kemahiran tidak mengiktiraf sifat jahil, bebal, malas,
segan, mandom, kelesa, anti ilmu dan anti kemahiran. Pada zaman moden ini,
makna ilmu telah disempitkan kepada pengetahuan tentang fakta, maklumat dan
kemahiran sahaja. Dari segi worldview
Barat, knowledge denotes `acquaintance
with or clear perceptions of facts.
Sebagaimana
kata Aristotle, “Kecemerlangan bukanlah satu perbuatan tetapi kebiasaan.” Walau
bagaimanapun, ia akan mengambil masa yang panjang dan memerlukan kemahiran dan
usaha yang gigih. Individu yang berilmu dan berkemahiran mampu membentuk sebuah
masyarakat dan negara yang cekap dan berkesan. Jika semua warga negara
mempunyai ilmu, kemahiran dan kompetensi yang sesuai dengan tugas dan
tanggungjawab masing-masing, maka kita tidak mempunyai masalah untuk menyedia
dan memberi sumbangan yang bermanfaat dan berkesan kepada dunia. Bagi mendalami
ilmu dan kemahiran dalam bidang tugas kita adalah fardu ain bagi kita semua.
Selain
itu golongan belia juga harus mempunyai bukan sahaja ilmu pengetahuan tetapi
juga kemahiran yang sentiasa diperbaharui dan dipertingkatkan dari masa ke
semasa supaya dapat menggunakan secara maksimum sumber-sumber yang ada, untuk
kepentingan negara dan juga masyarakat keseluruhannya. Seperti kata Warren
Bennis, ‘The major challenges for leaders
in the 21st century will be how to release the brainpower of their
organization.’ Di abad ke-21 ini, untuk menguasai bidang teknologi maklumat
dan komunikasi (ICT) contohnya, golongan belia perlu memberi perhatian kepada
membentuk sebuah generasi yang menggalakkan pembelajaran, kemahiran dan
inovasi. Pengenalan beberapa konsep seperti konsep Organisasi Pembelajaran (Learning Organisation), Pembelajaran
Sepanjang Hayat (Life-Long Learning),
dan K-Worker (K-Based Economy) dengan jelas menunjukkan betapa pentingnya
meningkatkan ilmu, kemahiran dan inovasi melalui nilai-tambah ilmu (value-added knowledge).
Generasi
belia harus sedar bahawa dunia kini sedang mengalami perubahan pesat akibat
daripada globalisasi serta kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi. Setiap
pencapaian atau kemajuan memerlukan tahap pengetahuan, inovasi, kemahiran dan
kreativiti yang lebih tinggi. Apa yang perlu ialah persiapan untuk menerima dan
melibatkan diri sepenuhnya dengan peraturan baru ini.
itu generasi muda perlu melengkapkan diri
dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai untuk menghadapi persaingan
ini. Menurut Lester Thurow (1997), ‘The
dominant competitive weapon of the 21st century will be education and skills of
the workforce.’ Lantaran itulah golongan belia ini perlu melengkapkan diri
dengan ilmu, kemahiran dan kompetensi tertentu supaya mereka boleh melibatkan
diri secara aktif dan bermakna dalam perundingan dan perbincangan mengenai
isu-isu ekonomi, politik dan sosial di peringkat antarabangsa. Antara ilmu dan
kemahiran yang perlu ialah fasih berbahasa Inggeris dan bahasa-bahasa utama
lain, bijak berkomunikasi, mahir berunding, cekap membuat keputusan dan
sebagainya. Bagi mencapai matlamat ini, peranan latihan adalah penting.
Dalam
era K-Ekonomi, tidak dapat dinafikan bahawa ilmu adalah penjana utama
pertumbuhan ekonomi. Penggunaan ilmu yang cekap dan berkesan akan menjurus
kepada pertambahan pengeluaran dengan kualiti yang lebih baik dan kos yang
lebih rendah dan dengan itu memperolehi untung yang lebih tinggi. Dengan kata
lain, ‘the brain is more superior than
the brawn, or the mind is better than the muscle’. Bagi merealisasikan
K-Ekonomi, dua perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah sumber manusia
dan perubahan sikap. Ini hanya boleh dicapai melalui latihan dan kemahiran.
Perkembangan
pesat dalam bidang ICT menjadikan kos komunikasi dan pengangkutan lebih murah
serta dapat bergerak dengan pantas. Internet, e-mel, laman web dan alat
komunikasi lain seperti telefon selular, mesin faksimili dan satelit merupakan
keperluan harian yang membolehkan kita berkomunikasi dengan warga dunia secara
mudah, cekap dan segera. Kita perlu meningkatkan keupayaan untuk menerima dan
menyerap teknologi yang sentiasa berubah ini untuk sentiasa berada di hadapan.
Kita perlu terima kenyataan bahawa kita tidak dapat lari daripada ledakan ICT
ini. Dengan itu kita perlu lengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam
bidang ICT bagi membolehkan kita mampu bersaing dengan orang lain yang lebih
maju. Sekiranya aspek ini diabaikan, mustahil kita akan mampu mencipta
kecemerlangan sebagaimana yang diimpikan oleh negara.
Proses
pembelajaran dan mencari pengalaman serta mencipta kemahiran tidak terhad
kepada zaman persekolahan dan zaman lepas sekolah sahaja, tetapi ia berterusan
sehingga akhir hayat. Dalam era ICT, maklumat, data, fakta, pengetahuan dan
kemahiran menjadi lapuk setiap masa. Manakala kemahiran pula perlu diperbaharui
setiap masa untuk membolehkan pengendalian peralatan yang sentiasa berubah dan
semakin canggih. Supaya tidak ketinggalan, setiap individu terutama generasi
belia perlu sedar mengenai keperluan berterusan untuk menambah ilmu, kemahiran
dan membaiki kompetensi. Dengan itu, mereka perlu sentiasa mengambil peluang
yang sedia ada untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, terutamanya
untuk menentukan kerja dapat dilaksanakan dengan cekap dan sempurna.
Golongan
belia juga digalakkan menghadiri program latihan untuk meningkatkan kemahiran
masing-masing selaras dengan strategi pembangunan diri atau modal insan. Selain
itu golongan belia juga perlu dijadikan masyarakat iqra dalam hasrat membina
kemampuan negara dari segi peningkatan penguasaan ilmu, kemahiran dan
kepakaran. Tuntutan Islam mewajibkan umat menguasai ilmu dan kemahiran dalam
semua bidang perlu dihayati. Penguasaan sains dan teknologi serta peningkatan
kemahiran dan kepakaran merupakan sebahagian dari tuntutan Islam. Begitu banyak
ayat di dalam Al-Quran yang menyentuh soal penguasaan sains dan teknologi, yang
perlu diberikan perhatian oleh golongan belia. Sumbangan tamadun Islam dalam
sains dan teknologi yang membawa kepada kelahiran renaissance di Eropah wajib diketahui oleh golongan terbabit. Usaha
melahirkan saintis Malaysia yang dapat menghasilkan penemuan-penemuan baru
wajar direalisasikan.
Manusia
tidak mungkin berjaya memanfaatkan dunia ini dengan baik jika sikap dan
pandangannya terhadap dunia tidak tepat sebagaimana mestinya, kerana alam dan
fenomenanya diciptakan dan ditundukkan oleh Allah s.w.t untuk manusia yang
diturunkan sebagai khalifah. Kerana itu, amatlah penting untuk umat manusia itu
diperlengkap dengan ilmu, pengetahuan dan kemahiran, supaya membolehkan manusia
menguasai dunia.
Amatlah
penting generasi belia memahami dan menghayati Islam sebagai sistem kehidupan
menyeluruh untuk menggerakkan pembinaan satu tamadun. Kehidupan menyeluruh yang
bijak mengimbangkan tanggungjawab dunia dengan tanggungjawab akhirat. Islam
bukanlah satu ritual kerana ritualisme memberi tumpuan kepada akhirat
semata-mata. Islam mestilah dihayati sebagai sistem yang mengintegrasikan
kehidupan duniawi dan persiapan ukhrawi.
Kini
hasrat kerajaan adalah menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia.
Peruntukan terbesar telah diberi kepada sektor pendidikan iaitu hampir satu
perempat daripada peruntukan mengurus dalam tahun 2005. Perbelanjaan mengurus
sebanyak 16.3 bilion ringgit disediakan bagi Kementerian Pelajaran dan 5.2
bilion ringgit bagi Kementerian Pengajian Tinggi. Beberapa program memantapkan
sistem pelajaran telah diteruskan termasuk Program Pengajaran dan Pembelajaran
Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, perluasan program ICT melalui projek
pengkomputeran dan Schoolnet. Institusi baru yang bakal beroperasi mulai tahun
2005 termasuk 85 buah sekolah menengah, 45 buah sekolah rendah, 7 buah sekolah
berasrama penuh dan 32 buah asrama baru.
Bagi
memenuhi keperluan peralihan strategik dalam industri, enrolmen di peringkat
diploma akan dipertingkatkan. Ini termasuk enrolmen pelajar vokasional dan
teknik di Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Perindustrian, Institut
Kemahiran Mara dan Institut Kemahiran Belia Negara. Sebanyak 670 juta ringgit
telah disediakan bagi membina institusi baru. Di samping itu, 248 juta ringgit
telah disediakan bagi menaiktaraf kemudahan sedia ada.
Untuk
meningkatkan jumlah pelajar lepasan sekolah menengah berpeluang mengikuti
latihan kemahiran, kerajaan bakal mengoptimumkan kemudahan sedia ada. Sebanyak
190 juta ringgit telah diperuntukkan bagi tahun 2005. Program dua syif bakal
dijalankan di Politeknik, Institut Latihan Perindustrian, Kolej Komuniti dan
Institut Kemahiran Mara. Kerajaan juga telah mengenal pasti 30 ribu tempat
tambahan bagi tempoh tiga tahun. Selain dari itu, Program Pembangunan Kemahiran
Teknikal dan Peningkatan Kemahiran Perindustrian bakal dilaksanakan oleh Pusat
Pembangunan Kemahiran Negeri. Pelaksanaan program ini bakal membantu mengatasi
masalah bekalan tenaga kerja mahir. Secara purata seramai 4,000 pelajar telah ditaja
untuk melanjutkan pelajaran di luar negeri setiap tahun oleh agensi utama
seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, MARA, Petronas dan Bank Negara Malaysia.
Kerajaan
juga telah menambah bilangan tempat bagi pelajar tajaan MARA luar negeri di
bawah Skim Pelajar Cemerlang daripada 700 kepada 1,000 pelajar setiap tahun. Di
samping itu, Khazanah Nasional bakal menaja 100 pelajar cemerlang untuk
melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka luar negara dalam subjek teknikal
dan profesional. Program ini bermatlamat untuk memilih dan membimbing kerjaya
mereka yang akan memimpin Syarikat Berkaitan Kerajaan atau Government Linked
Companies (GLC) kelak. Ini akan meninggikan lagi keupayaan dan kualiti
pengurusan syarikat GLC.
Program
memperkasa belia juga bakal dilaksanakan dengan fokus diberi kepada
meningkatkan pengetahuan, kemahiran vokasional dan keusahawanan serta
menggalakkan interaksi sosial dan gaya hidup sihat. Selain dari itu, tumpuan
adalah ke atas program menanam nilai murni dan membentuk kepimpinan berkualiti.
Semangat jati diri, tabah dan patriotik merupakan ciri penting yang harus
dimiliki oleh setiap belia.
Sementara
itu, Jamaluddin Al-Afghani pernah menyebutkan tentang sikap umat Islam yang
hanya bermegah tentang kejayaan datuk nenek mereka dalam mencipta tamadun dan
sejarah. Tetapi malangnya mereka sendiri tidak pernah berusaha untuk mencapai
tahap sedemikian. Shakib Arsalan pernah menceritakan kepada Jamaluddin
Al-Afghani bahawa bangsa Arab dahulu pernah berjaya menyeberangi lautan
Atlantik dan menemui benua Amerika sebelum ditemui oleh orang Eropah. Lalu
dijawab oleh Jamaluddin Al-Afghani: ‘Memang benar datuk nenek kamu dahulu orang
yang berjaya. Tetapi kamu adalah kamu, tidak layak kamu mengingatkan kemegahan
masa lalu tentang keturunan kamu tanpa sebarang usaha gigih seperti mereka.’
Itulah
realiti kehidupan generasi belia kini yang hanya mengulangi babak-babak sejarah
datuk nenek mereka tanpa memikirkan masa depan sendiri dan negara. Generasi
belia tidak dapat bangun kecuali mereka mempunyai pemikiran masa depan (fikr al-mustaqbal) dan cipta masa depan
untuk masyarakat (sina‘at
al-mustaqbaliyyah). Golongan belia harus sedar bahawa kita mundur bukanlah
kerana kurangnya harta tetapi kita tidak menggunakan akal pemikiran yang
dianugerahkan oleh Allah dengan sebaiknya. Kita leka dengan puji-pujian dan
sanjungan orang lain tentang nenek moyang kita. Kita dibuai dengan mimpi-mimpi
indah tanpa ada usaha untuk merubah diri dan menerima perubahan.
Seorang
penulis dan pakar sejarah berbangsa Lebanon, Amir Shakib Arsalan, dalam bukunya
yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris bertajuk Our Decline: Its Causes and Remedies telah memetik catatan seorang
penulis Perancis bernama Marquis Lamazier, yang mengembara ke negeri Jepun.
Catatan itu yang disiarkan dalam Journal
De Geneva bertarikh 20 Oktober 1930, menggambarkan bagaimana bangganya
orang Jepun memelihara identiti nasional mereka, bahasa mereka, seni mereka,
kemahiran mereka dan apa juga budaya tradisi yang mereka miliki.
Menurut
Lamazier, pada masa yang sama, Jepun meniru ciri-ciri terbaik pembangunan
tamadun Eropah dan Amerika dari sudut material, sistem ketenteraan, pendidikan
massa dan metodologi pentadbiran kewangan, untuk dimanfaatkan sebagai amalan di
negara mereka. Ini bermakna bangsa Jepun hanya mengambil model atau pendekatan
yang terbaik dalam pembangunan tamadun kedua-dua kuasa besar dunia itu, dalam
membangunkan semula bangsa mereka. Dengan ilmu dan kemahiran yang mereka
miliki, kini Jepun telah berupaya membina sebuah kecemerlangan sehingga membuka
mata negara-negara Barat. Generasi belia di negara kita juga harus menjadikan
Jepun sebagai model untuk membina sebuah tamadun baru sebagaimana yang
dihasratkan oleh Islam Hadhari.
Lantaran itu generasi belia di negara kita ini perlu
menghadhorikan Islam sebagai sebuah tamadun baru dan bukannya terus berbangga
dengan tamadun Islam silam yang pernah tersohor suatu ketika dulu di mana zaman
kegemilangan Islam yang telah melahirkan ramai cendekiawan di Baghdad, Damsyik
dan juga Andalusia. Apa yang harus difahami oleh generasi muda sekarang ialah
mencipta sebuah tamadun baru sebagai umat pencipta dan bukannya sebagai umat
pengguna. Kedatangan Rasulullah s.a.w sebagai rahmatanlilalamin harus dijadikan asas untuk kita berubah menjadi
masyarakat yang bertamadun berlandaskan konsep kecemerlangan dalam semua aspek
hidup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan