Rabu, 3 Oktober 2012


Budaya Popular dalam Pembangunan Masyarakat dan Budaya Melayu

Abad ini dunia menghadapi gelombang kepesatan perkembangan budaya popular yang dibawa bersama dalam proses globalisasi yang semakin meningkat. Fenomena ini melanda masyarakat di peringkat global terutama berikutan dengan pesatnya pembangunan teknologi. Ini telah menarik perhatian para pengkaji masyarakat dan budaya untuk memahami kesan dan pengaruhnya kepada masyarakat dan budaya di luar negara-negara maju. Gelombang budaya popular yang berkembang secara global itu didapati memainkan peranan yang semakin penting bukan sahaja dari segi pengaruh budaya, malahan turut berperanan dalam membawa pembangunan ekonomi, teknologi dan seterusnya dalam menyalurkan ideologi negara-negara maju ke paras global.

Kesannya itu amat dirasai di negara-negara sedang membangun seperti Malaysia. Fenomena budaya popular didapati merupakan sebahagian penting dalam kehidupan masyarakat moden kini. Peranan fenomena itu dalam mempengaruhi pembinaan peradaban manusia tidak dapat dinafikan. Oleh itu, fenomena ini tidak boleh dianggap kurang penting, tetapi perlu diberikan perhatian serius, terutama untuk menilai kesannya dan menyusun strategi perancangan pembangunan budaya selaras dengan perubahan yang berlaku di peringkat global.

Tulisan ini bertujuan untuk meninjau kedudukan peranan budaya popular Melayu sebagai suatu arus perkembangan budaya moden yang turut mempengaruhi masyarakat dan budaya Melayu. Selain itu, tulisan ini turut menilai keberkesanan perkembangan budaya popular dalam membawa perubahan kepada kehidupan orang Melayu, terutama nilai-nilai sosial. Tulisan juga memberikan perhatian terhadap permasalahan pembinaan budaya kebangsaan dan pembangunan sosial dalam pesatnya arus perkembangan budaya popular itu.

Konsep dan Pemikiran Fenomena Budaya Popular

Fenomena budaya popular itu secara umumnya boleh difahami sebagai unsur-unsur budaya yang diminati, atau disukai ramai. Konsep budaya dalam pengertian yang luas secara mudah adalah sebagai keseluruhan cara hidup, yang menjadi amalan dan dikongsi bersama oleh anggota-anggota masyarakat. Dalam konteks yang lebih khusus, konsep ‘budaya’ dalam budaya popular itu merujuk kepada segala perlakuan yang merupakan keperluan manusia atau anggota-anggota masyarakat untuk mengisi keinginan yang lebih tinggi, iaitu bersifat ekspresif dan simbolik.

Unsur-unsur budaya itu dihasilkan untuk diminati dan dihayati secara bersama, dan dengan ini menyatakan penerimaan atau pengesahan masyarakat untuk dikongsi bersama. Majoriti penduduk atau anggota-anggota masyarakat itu terdiri daripada golongan muda, termasuk golongan remaja. Sesuatu unsur budaya itu selalunya merupakan fenomena popular di kalangan golongan itu, dan ini selalu dirujuk sebagai budaya muda mudi. Biasanya pengusaha budaya popular itu menumpukan sasaran penawaran bahan-bahan budaya itu kepada golongan muda mudi itu. Walau bagaimanapun budaya popular berkembang dan tersebar secara meluas meliputi semua golongan dan kelompok sosial, tidak terbatas di kalangan kelompok itu. Konsep budaya popular tidak boleh dianggap membawa maksud yang sama dengan budaya massa.

Budaya massa itu selalu dirujuk sebagai unsur-unsur budaya yang disalurkan melalui media massa, seperti media cetak dan media elektronik. Tetapi budaya massa itu, yang tersebar meluas melalui media popular turut diminati ramai dan menjadi sebahagian daripada budaya popular. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan lagi, peranan media massa itu amat penting dalam membina fenomena budaya popular. Malahan, teknologi media massa itu mendorongkan kepesatan perkembangan budaya popular.

Budaya popular sebagai fenomena budaya memainkan peranan penting dalam menggalakkan dinamiknya budaya itu, dan seterusnya mempengaruhi kedudukan peradaban sesuatu masyarakat itu. Terdapat anggapan sesetengah pihak yang memandang rendah dan mengaitkan penyebaran bahan-bahan budaya popular itu dengan peningkatan masalah sosial terutama di kalangan remaja. Selain itu, terdapat pula anggapan yang mengaitkan budaya popular dengan rendahnya penghayatan nilai-nilai seni dalam masyarakat.

Persoalan seperti itu akan diperkatakan dalam tulisan ini. Walau bagaimanapun, budaya popular kini adalah sebahagian daripada kehidupan masyarakat moden, yang mempengaruhi semua golongan masyarakat tanpa mengira kelas sosial. Budaya popular itu tersebar luas, merintasi kelas atau kelompok.

Perkembangan Budaya Popular

Kemunculan budaya popular dalam konteks masyarakat moden adalah berkaitan dengan pembangunan ekonomi, misalnya perkembangan ekonomi kapitalis. Budaya popular moden di Malaysia pula mulai berkembang berikutan dengan perubahan ekonomi yang dibawa oleh pemerintah kolonial. Pusat perubahan ekonomi itu ialah di bandar. Oleh itu kemunculan fenomena budaya popular moden itu turut berpusat di bandar-bandar besar. Bandar itu juga sebagai pusat perubahan budaya. Dalam konteks ini proses modenisasi dan urbanisasi memainkan peranan penting dalam kemunculan dan perkembangan fenomena budaya popular. Perubahan yang berlaku di bandar-bandar kolonial itu kemudian turut mendorongkan kemunculan budaya popular Melayu.

Pembangunan bandar-bandar moden telah membawa perubahan pesat kepada gaya hidup penduduk bandar. Pembangunan ekonomi yang berpusat di bandar-bandar itu telah menarik ramai pekerja dari luar bandar. Mereka ini memerlukan penawaran unsur-unsur budaya bagi mengisi masa lapang, dan keperluan yang lebih tinggi. Gaya hidup mereka yang berbeza daripada gaya hidup golongan elit di bandar, memberikan peluang penawaran unsur-unsur budaya bercorak popular untuk mengisi keperluan mereka itu. Unsur-unsur budaya mulai ditawarkan secara komersial, misalnya sebagai bahan hiburan, mainan, pengisian masa lapang atau keperluan mengisi gaya hidup moden. Oleh itu unsur-unsur budaya menjadi komoditi budaya atau bahan budaya yang dikomersialkan untuk mengisi keperluan orang ramai.

Pembangunan teknologi dan ilmu pengetahuan moden turut mendorongkan peningkatan perkembangan budaya popular. Teknologi membolehkan produktiviti ditingkatkan dan dengan itu penawaran bahan-bahan budaya boleh disebarkan secara meluas. Dengan teknologi itu juga membolehkan penawaran bahan-bahan budaya itu dapat dipertahankan mutunya. Malahan, dengan pesatnya pembangunan teknologi, penawaran bahan-bahan budaya itu dapat dipelbagaikan. Misalnya, teknologi telekomunikasi terkini membolehkan penawaran bahan-bahan budaya dilakukan secara global dan penyebarannya dapat disegerakan.

Perkembangan budaya popular yang berasaskan kegiatan komersial itu, maka pihak pengusaha menguruskan dagangan tersebut sebagai suatu industri sebagaimana pengurusan industri yang lain juga. Dalam perjalanan pengurusan industri budaya itu, bahan-bahan yang ditawarkan adalah selaras dengan cita rasa budaya orang ramai. Sebagai gaya hidup bandar, yang melalui proses modenisasi dan urbanisasi maka bahan-bahan budaya itu perlu selalu dilakukan perubahan untuk menyesuaikan dengan perubahan selera orang ramai. Oleh itu bahan budaya popular sebagai komoditi budaya sentiasa berubah dan diperbarui selaras dengan perubahan nilai-nilai sosial.

Perkembangan budaya popular telah dapat melahirkan golongan profesional, dan peluang pekerjaan kepada ramai orang, terutama dalam industri budaya. Mereka yang berkebolehan dan berbakat dapat bergantung hidup dalam bidang berkaitan. Seterusnya mereka boleh meningkatkan mutu kerana perlibatan sepenuh masa mereka dalam bidang mereka Itu. Budaya popular merupakan suatu kepentingan dalam menyatakan gaya hidup baru masyarakat moden. Semakin maju sesuatu masyarakat itu, penumpuan, misalnya permintaan terhadap budaya popular semakin meningkat. Orang ramai bekerja kuat boleh dikatakan tidak lagi bertujuan untuk mengisi keperluan-keperluan asas sebagaimana masyarakat tradisional.

Budaya popular sebagai keperluan yang lebih tinggi tidak lagi terbatas kepada perkara-perkara yang merupakan pengisian asas semata-mata. Misalnya, hiburan hanya merupakan sebahagian daripada unsur budaya popular yang didapati semakin penting dalam masyarakat maju. Keperluan yang lebih tinggi semakin beragam dan berbagai-bagai keinginan yang lebih tinggi boleh merupakan suatu dorongan atau impian penting bagi orang ramai untuk bekerja lebih kuat.

Fenomena budaya popular itu berbagai-bagai, adakala berasaskan kepada keperluan asas. Dalam masyarakat moden kini kita dapati keperluan-keperluan asas itu juga semakin bertambah bergantung kepada kemajuan yang dicapai oleh masyarakat. Misalnya, pakaian sebagai keperluan asas, orang ramai mendapatkan pakaian umumnya kurang menitikberatkan lagi tentang keperluan asas sebagaimana konsep yang terbina masa lalu. Tetapi kini orang berusaha mendapatkan pakaian yang lebih menekankan kepada fesyen, mutu dan kecantikan.

Unsur-unsur fesyen dan jenama selalu menjadi pertimbangan utama. Kepentingan seperti ini lebih menekankan kepada keperluan sosial. Dalam memahami keperluan atau kepentingan yang lebih mengutamakan kepada keindahan dan kepuasan diri tidak dapat dipisahkan daripada kepentingan sosial sebagaimana yang diberikan nilai oleh anggota-anggota masyarakat. Keperluan individu tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh keperluan sosial. Dalam keadaan ini, budaya popular yang terbina adalah berasaskan kepada citarasa golongan majoriti yang mempengaruhi individu. Kedua-dua pihak iaitu individu dan masyarakat saling mempengaruhi. Individu sebagai anggota masyarakat adakala dapat memainkan peranan mempengaruhi citarasa anggota-anggota kelompok dan seterusnya masyarakat.

Budaya popular yang berkembang pesat dalam masyarakat moden merupakan penghasilan industri budaya yang berasaskan kepada kegiatan komersial. Unsur-unsur budaya menjadi tumpuan pengusaha yang menjadikan sebagai bahan-bahan yang dapat dikeluarkan secara besar-besaran bagi mengisi kepentingan dan keperluan orang ramai. Dalam keadaan ini unsur-unsur budaya itu menjadi barang-barang dagangan sebagaimana barang-barang dagangan yang lain juga. Misalnya, unsur-unsur hiburan didapati semakin penting menjadi bahan dagangan. Bahan-bahan budaya kini dapat disebarkan secara meluas dengan terdapatnya berbagai-bagai kemudahan teknologi moden seperti pengangkutan dan saluran media massa. Industri budaya dapat berkembang pesat, terutama apabila kemudahan teknologi moden didapati semakin digunakan dengan meluas. Teknologi moden memainkan peranan penting dalam membolehkan penawaran bahan-bahan budaya popular yang berbagai-bagai bentuk tersebar luas dalam pasaran.

Pemisahan budaya kepada sub-budaya rakyat, popular dan elit adalah berasaskan kepada kelas sosial. Pada satu pihak menerangkan bahawa kita membicarakan tentang gaya hidup kelompok-kelompok sosial yang berkaitan. Hal ini kerapkali menimbulkan kekeliruan antara sub-budaya dan kelas sosial. Misalnya, apabila membicarakan budaya rakyat bermakna kita berusaha menerangkan gaya hidup kelas tani, budaya tinggi pula menyatakan kelas berada yang merupakan kelas elit di bandar. Sub-budaya itu menyatakan gaya hidup kelompok-kelompok sosial.

Setiap kelompok sosial sudah pasti tidak dapat dipisahkan daripada keseluruhan masyarakat yang lebih luas, namun demikian perbezaan gaya hidup mereka melahirkan perbezaan sub-budaya, tetapi pada paras yang lebih luas perbezaan sub-budaya di antara kelompok-kelompok sosial itu tidak menonjol. Namun demikian, suatu pola umum dapat dinyatakan sebagai sub-budaya yang berbeza antara kelompok-kelompok sosial itu berasaskan kepada kedudukan sosio-ekonomi. Sub-budaya itu tidak boleh dipisahkan daripada keseluruhan masyarakat dan budaya. Dalam konteks ini fenomena budaya popular tersebar luas merintasi kelompok-kelompok sosial.

Kandungan Budaya Popular

Dalam masyarakat Melayu tradisi berbagai jenis budaya rakyat diminati ramai dan dapat dianggap budaya popular tradisi. Ini termasuklah berbagai-bagai jenis seni dan mainan yang tersebar luas. Kegiatan seni dan mainan itu memberikan anggota-anggota masyarakat hiburan, pengisian masa lapang, keseronokan, dan penghayatan seni. Di samping itu berbagai-bagai jenis tradisi rakyat itu mempunyai fungsi dan peranan yang lebih penting, seperti ritual mengubat penyakit, perlakuan keagamaan dan sebagainya.

Tradisi budaya rakyat sebagai budaya popular tradisional yang ekspresif dan simbolik menyatakan gaya hidup masyarakat Melayu masa lalu. Melaluinya masyarakat menyampaikan maklumat, sindiran dan kritik sosial di samping peranannya yang ekspresif dan simbolik. Dalam masyarakat moden, penawaran bahan-bahan budaya popular itu terdapat kepelbagaian, dan fungsi atau peranannya juga boleh ditinjau dalam berbagai konteks. Peranan budaya popular moden itu tidak terbatas setakat hiburan sahaja. Ini akan dibincangkan dalam teks seterusnya. Kini, budaya popular moden itu termasuk muzik dan nyanyian, drama, filem, tarian, jenaka, dan seumpamanya, baik yang disalurkan melalui media elektronik mahupun melalui teknologi lain. Selain itu, bahan-bahan bercetak seperti majalah popular, novel, dan cerita-cerita popular lain didapati amat pesat perkembangannya. Permainan juga sebahagian daripada budaya popular yang pesat berkembang.

Media elektronik dan media cetak sebagai contoh, pengisian utamanya ialah bahan-bahan budaya popular yang menyatakan masyarakat dan budaya Melayu yang sedang mengalami perubahan. Media elektronik menyalurkan antaranya, muzik dan nyanyian, filem dan drama, tarian, lawak jenaka, permainan, sukan, perlumbaan, masakan, pengembaraan, peraduan/tekateki, dan cerita-cerita sensasi/ganjil. Majalah popular adalah media cetak yang tersebar luas. Antara isi kandungan majalah popular itu termasuklah, gosip bintang-bintang popular dan tokoh-tokoh terkenal, cerita-cerita sensasi dan ganjil, termasuk cerita-cerita hantu, perhiasan diri dan penjagaan kecantikan serta kesihatan, perhiasan rumahtangga, cerita percintaan, ulasan filem, muzik dan nyanyian, hiburan semasa, pengembaraan dan melancong, fesyen, permainan, sukan, komik/jenaka dan umumnya gaya hidup moden dan bandaran. Adakala cerita dan gaya hidup kampung turut mendapat minat ramai, terutama mereka yang tinggal di bandar. Cerita-cerita khayalan, seperti cerita hantu, jin, mistik dan kejadian ganjil adalah juga bahan-bahan sensasi dalam perkembangan budaya popular.

Budaya Popular Tradisional

Fenomena budaya popular dalam masyarakat Melayu bukanlah sesuatu yang baru. Tetapi kedudukan budaya popular tradisi yang telah lama berkembang dan diwarisi orang Melayu sejak zaman berzaman itu adalah berlainan daripada budaya popular moden. Unsur-unsur budaya ekspresif tradisional, seperti seni dan mainan didapati penyebarannya terbatas, iaitu bersifat kedaerahan oleh kerana sistem perhubungannya terbatas. Unsur-unsur budaya popular tradisional itu adalah tersebar dan berkembang di kalangan rakyat, atau dikenali sebagai tradisi budaya rakyat.

Struktur sosial masyarakat Melayu tradisional yang terdiri daripada golongan memerintah dan rakyat mempengaruhi struktur budaya, iaitu tradisi budaya istana dan tradisi budaya rakyat. Tradisi budaya istana itu dapat dianggap mempertahankan tradisi budaya elit atau budaya tinggi. Golongan itu yang mempunyai kekayaan dan kuasa berusaha mempertahankan tradisi budaya istana itu sebagai melambangkan kedudukan golongan bangsawan itu. Tradisi rakyat sebagai budaya popular tradisional menyatakan dengan jelas kedudukan sosial dan ekonomi golongan itu. Tradisi budaya rakyat itu jelas menyatakan sifat-sifat kedaerahan, misalnya suasana penyampaian, penggunaan bahasa dialek dan seumpamanya.

Tradisi itu berkembang sebagai tradisi lisan yang diperturunkan dari satu generasi kepada satu generasi sebagai usaha mempertahankan tradisi. Ikatan emosi kepada tradisi itu didapati tradisi itu dapat dipertahankan walaupun perkembangannya berasaskan minat dan penghayatan mendalam. Melalui tradisi itu kita dapat memahami dan menyelami pemikiran dan falsafah hidup orang Melayu. Pemupukan nilai-nilai sosial didapati sangat berkesan dilakukan melalui tradisi itu. Selain itu, tradisi itu juga merupakan saluran komen dan kritik sosial.

Tradisi budaya rakyat mempunyai fungsi dan kepentingannya tersendiri dalam masyarakat, perlu diteliti peranannya tidak terbatas sebagai unsur seni dan mainan. Unsur-unsur budaya popular tradisi itu boleh diteliti kaitan atau hubungannya dengan agama dan kepercayaan. Terdapat unsur-unsur budaya yang merupakan ritual berasaskan kepercayaan, seperti mantera, main dewa, main puteri dan seumpamanya. Unsur-unsur seni yang dipengaruhi Islam juga turut popular dalam masyarakat Melayu, seperti hadrah, marhaban, zikir dan nasyid. Populariti unsur-unsur budaya itu diperkukuhkan oleh ikatan emosional kepada tradisi, kepercayaan warisan dan Islam.

Tradisi budaya rakyat itu mempunyai peranan dan kepentingannya dalam kehidupan masyarakat. Nilai-nilai seni tidak dapat dipisahkan daripada nilai guna sesuatu unsur tradisi itu. Populariti sesuatu tradisi itu berasaskan nilai-nilai sosial yang memberikan penekanan peranan dan kepentingannya dalam masyarakat. Pemisahan antara tradisi budaya istana dan tradisi budaya rakyat itu tidaklah merupakan pemisahan yang jelas. Hubungan antara kedua-dua itu sangat rapat.

Perbezaan itu boleh dianggap sebagai gaya hidup yang berlainan, tetapi sebagai tradisi budaya Melayu, masih dianggap tidak jauh berbeza. Suasana alam sekitar dan kehidupan orang Melayu dari segi ekonomi dan sosial membolehkan mereka menghasilkan tradisi budaya popular yang beranika ragam. Malahan dengan sifat kedaerahan dan pelbagai suku ethnik Melayu di alam Melayu yang luas itu, orang Melayu mewarisi kekayaan khazanah tradisi budaya yang amat berharga. Warisan tradisi budaya rakyat itu memerlukan penyelidikan mendalam, terutama untuk memahami struktur dalaman, iaitu aspek ekspresif dan simbolik.

Kepentingan Budaya Rakyat Dalam Konteks Masyarakatnya

Unsur-unsur budaya rakyat pada umumnya mempunyai kepentingan tersendiri dalam konteks masyarakat masa lalu. Unsur-unsur itu bukan sahaja bertujuan untuk memberikan hiburan atau mengisi keperluan yang lebih tinggi kepada ramai. Sesuatu jenis seni atau mainan seperti muzik, tarian dan teater merupakan saluran memupuk nilai-nilai sosial dan menyampaikan ilmu pengetahuan dan maklumat dalam masyarakat yang buta huruf. Di samping segala itu ada kaitan dengan kepercayaan warisan, unsur-unsur itu juga mempunyai kaitan dengan ritual yang bertujuan untuk membawa kesejahteraan dan keharmonian hidup anggota-anggota kelompok.

Nilai-nilai sosial, world-view dan falsafah yang terdapat di sebalik unsur-unsur budaya tradisi tidak dapat dipisahkan daripada kepercayaan warisan. Tradisi ini mempengaruhi keseluruhan cara hidup orang-orang Melayu masa lalu. Segala unsur budaya itu mempunyai kepentingan tersendiri dalam masyarakat, yang dapat difahami dan dirasai anggota-anggotanya.

Dalam masyarakat Melayu yang mengalami perubahan, berikutan pesatnya proses modenisasi dan urbanisasi, nilai-nilai sosial dan world-view yang mereka warisi turut mengalami perubahan. Kedudukan budaya rakyat tidak dapat menyesuaikan dengan keperluan masyarakat moden yang mengalami perubahan itu. Unsur-unsur budaya warisan itu cuba disesuaikan dengan fungsi atau kepentingan baru tetapi umumnya didapati tidak dapat menyesuaikan dengan perubahan cita rasa budaya ramai.

Dalam keadaan ini, kita dapati unsur-unsur budaya popular memainkan peranan yang semakin penting dalam kehidupan masyarakat moden. Melihat kepada perkembangan Islam atau proses islamisasi yang semakin mendalam dan meluas tidak dapat dinafikan bahawa itu juga membawa kesan yang menyeluruh kepada kedudukan budaya rakyat itu. Kepercayaan warisan yang menghidupkan unsur-unsur budaya rakyat itu kerapkali dianggap bercanggah dengan kehendak-kehendak Islam. Perkara itu semakin dipandang serius, terutama di kalangan golongan muda. Mereka tidak menggalakkan unsur-unsur kepercayaan warisan itu terus berkembang. Anggapan demikian sudah pasti mempunyai kesan-kesan yang jelas kepada kedudukan budaya rakyat itu. Tetapi unsur budaya tradisi yang berteraskan kepada Islam, seperti nasyid dapat dipopularkan mengikut keperluan semasa. Lagu-lagu nasyid kini membuktikan popularitinya dalam masyarakat Melayu yang pesat mengalami perubahan.

Perubahan sosio-ekonomi yang berlaku secara menyeluruh, mempengaruhi nilai orang ramai dalam memberi penekanan dan mengutamakan kepada kegiatan cari makan bagi memperbaiki kedudukan sosial mereka. Usaha memperbaiki ekonomi dapat memberikan kepuasan sosial, dan seterusnya dapat menjamin kedudukan sosial. Nilai-nilai yang lebih menekankan kepada kepentingan material, mendorongkan orang bersikap lebih mementingkan diri sendiri, bukannya tumpuan kepada kebajikan secara bersama. Sedangkan dalam masyarakat tradisional, kepentingan kelompok sangat ditekankan bagi menjamin keharmonian dan keseimbangan sosial sebagaimana yang dinyatakan dalam tradisi budaya rakyat.

Generasi muda kerapkali memandang rendah terhadap warisan budaya rakyat berbanding dengan budaya popular moden. Budaya rakyat yang masih terdapat di kampung-kampung selalu dianggap bersifat kekampungan. Misalnya, barang-barang kerajinan tangan yang dihasilkan oleh orang kampung selalu dianggap kurang mutu. Warisan tradisi itu dianggap mempunyai nilai-nilai yang rendah dan kurang fungsi dalam masyarakat moden. Sebaliknya penghasilan seni popular terutama dari negara-negara maju diberikan nilai tinggi. Nilai-nilai sosial demikian dipengaruhi budaya barat telah dapat diterima secara meluas oleh penduduk negara ini.

Berasaskan kepada nilai-nilai sosial seperti ini, barang-barang penghasilan kraftangan Melayu kurang mendapat perhatian ramai dan ini membawa kesan kepada kegiatan kerajinan tangan tempatan. Barang-barang tempatan, seperti pertukangan tembaga, besi dan ukiran kayu yang indah kurang mendapat perhatian orang ramai, terutama generasi muda. Malah, batik tempatan selalu dianggap bermutu rendah berbanding dengan tekstil yang dibawa dari luar. Pandangan demikian mempengaruhi nilai-nilai sosial penduduk tempatan secara meluas. Barang-barang yang diimport dari negara-negara maju, terutama dari barat sentiasa diberi nilai tinggi. Berikutan dengan ini maka barang-barang yang diimport selalu berharga lebih tinggi berbanding dengan barang-barang tempatan.

Budaya Kolonial

Matlamat kolonial campur tangan politik di negara ini ialah atas kepentingan ekonomi. Bagi mengisi kepentingan itu maka berlaku perubahan dalam politik dan pentadbiran, pendidikan, teknologi, dan sosial. Pemerintah kolonial menumpukan kepada pembangunan ekonomi, seperti lombong bijih dan perladangan dan berkaitan dengan itu penyediaan kemudahan asas dan pembangunan pusat pelabuhan dan bandar-bandar turut diberikan perhatian. Pembangunan ekonomi yang berasaskan ekonomi kapitalis, berlaku kemasukan modal dan teknologi dari barat, serta tenaga buruh dari India dan China. Pembangunan yang dilakukan oleh pemerintah kolonial itu berbeza daripada tradisi kehidupan orang Melayu. Pembangunan yang membawa perubahan itu dianggap sebagai pembaharuan dan kemajuan dalam konteks kemodenan. Kesannya itu turut membawa perubahan kepada perkembangan budaya.

Walau bagaimanapun, pemerintah kolonial tidak mempunyai rancangan pembangunan untuk membawa perubahan kepada orang Melayu. Malahan, mereka berusaha mengekalkan orang Melayu dalam sektor tani. Pemisahan kumpulan-kumpulan ethnik dalam sektor berbeza di negara ini adalah bertujuan supaya tidak berlaku kekacauan yang boleh mengganggu kegiatan ekonomi mereka. Walaupun orang Melayu tidak terlibat secara langsung dalam rancangan pembangunan kolonial, seperti pembangunan bandar-bandar moden itu, tetapi orang Melayu turut menerima kesan pembangunan kemodenan yang dilakukan oleh pemerintah kolonial itu.

Pemerintah kolonial berusaha memupuk dan menyebarkan nilai-nilai sosial kolonial yang berasaskan kemodenan dan budaya kolonial di kalangan golongan elit, terutama elit Melayu yang bertujuan untuk mengekalkan kedudukan pemerintahan kolonial di negara ini. Pendidikan Inggeris yang diberikan tumpuan kepada anak-anak golongan elit atau bangsawan Melayu oleh pemerintah kolonial didapati berjaya membawa perubahan nilai, sikap dan pemikiran golongan itu untuk terus menyanjung dan menghormati pemerintah kolonial. Bahasa dan budaya kolonial amat dipandang tinggi dan dihormati, dan itulah juga yang dianggap membawa kemodenan kepada negara ini.

Untuk membangunkan bandar-bandar moden sebagai pusat pembangunan ekonomi, pemerintah kolonial menggalakkan berbagai-bagai jenis dan corak perniagaan di bandar-bandar itu. Dengan itu bandar-bandar kolonial itu juga menjadi pusat perkembangan budaya kolonial, yang dianggap sebagai moden. Pemerintah kolonial tidak memberikan tumpuan kawalan terhadap berbagai kegiatan dagangan di bandar-bandar moden itu. Berikutan dengan itu bandar-bandar moden itu turut menjadi pusat kegiatan maksiat yang dianggap bercanggah dengan nilai-nilai Melayu Islam. Di samping itu berbagai-bagai unsur budaya popular dari barat berkembang pesat di bandar-bandar moden itu. Nilai-nilai yang dipupuk dalam kalangan orang-orang bandar bahawa budaya yang dibawa dari barat itu semuanya moden yang dikaitkan dengan kemajuan. Berbagai-bagai jenis kegiatan seni dan mainan barat didapati semakin popular di bandar-bandar moden, dan ini menjadi ikutan orang Melayu di bandar.

Budaya Popular Moden

Bandar-bandar moden yang dibangunkan oleh pemerintah kolonial merupakan pusat perkembangan ekonomi dan budaya. Bagi mengisi keperluan hidup penduduk bandar yang kian meningkat, maka penawaran unsur-unsur budaya popular didapati semakin meluas. Sebagai contoh, teater popular Melayu moden, iaitu Bangsawan yang pada mulanya berkembang di Pulau Pinang didapati mendapat minat ramai. Ciri-ciri baru yang dibawa oleh teater itu dan sebagai ‘urban product’, Bangsawan muncul sebagai teater popular moden yang ditawarkan secara komersial dan berkembang luas. Pentas Bangsawan merupakan pusat perkembangan muzik dan nyanyian, tarian dan jenaka di samping drama. Perkembangan itu mulai menunjukkan pembaharuan yang tidak lagi terikat kepada tradisi. Seniman di pentas Bangsawan berusaha melahirkan sesuatu yang baru, yang menyatakan kemodenan bagi menarik penonton.

Bangsawan muncul sebagai teater popular adalah suatu perubahan dalam perkembangan budaya popular Melayu. Bangsawan membawa pembaharuan, misalnya isu, komen dan kritik sosial masyarakat Melayu semasa yang sedang mengalami proses perubahan, iaitu pengalaman kemodenan mereka yang tinggal di bandar-bandar moden itu. Bangsawan membawa kemodenan dan pembaharuan yang menjadikan teater itu popular. Oleh itu, Bangsawan membawa isu dan persoalan tentang masyarakat dan budaya Melayu yang sedang mengalami perubahan.

Kemajuan teknologi barat yang dibawa oleh pemerintah kolonial, seperti piring hitam, radio dan filem telah berjaya menyalurkan bahan-bahan budaya, terutamanya sebagai bahan hiburan orang ramai. Berasaskan teknologi itu kemudian muncul industri yang berkaitan yang memberikan peluang kepada orang Melayu turut terlibat dalam menyalurkan bahan-bahan budaya untuk keperluan orang ramai, terutama orang Melayu. Teknologi moden itu memerlukan kepakaran dan pengetahuan, yang menyebabkan industri itu dikuasai orang bukan Melayu. Orang Melayu, seperti artis atau bintang-bintang yang terlibat hanya mampu memberikan sumbangan tenaga.

Populariti bahan-bahan budaya yang disalurkan melalui teknologi moden itu juga yang membawa kepada kelemahan Bangsawan sebagai teater popular. Sedangkan bahan-bahan budaya yang disalurkan melalui teknologi moden boleh sentiasa disesuaikan dengan perubahan selera budaya orang ramai sebagai pengguna. Dalam bidang mainan juga didapati penyebaran berbagai jenis mainan yang dianggap moden dan maju itu kian meluas dan popular di kalangan orang Melayu. Berbagai-bagai bahan budaya popular lain, seperti fesyen, perhiasan diri dan seumpamanya turut mempengaruhi kehidupan orang Melayu. Perkembangan budaya popular moden terus berkembang dan merupakan sebahagian penting keperluan hidup moden. Malahan keperluan terhadap bahan-bahan budaya popular itu juga adalah penting dalam mendorongkan anggota-anggota masyarakat untuk meningkatkan pencapaian ekonomi.

Struktur Sosial dan Budaya Popular

Adakala fenomena budaya popular itu dapat dilihat sebagai menyatakan kelas sosial. 30 Budaya popular itu menyatakan golongan majoriti rakyat biasa, sedangkan golongan atasan dan golongan menengah mempertahankan tradisi budaya elit atau budaya tinggi sebagai menyatakan kelas kelompok itu. Secara sedar atau tidak fenomena ini memang berlaku dan didapati dalam masyarakat di negara ini. Tetapi bahagian budaya elit itu tidaklah pula dominan. Selalunya tradisi budaya elit itu dapat dipertahankan apabila kos atau harganya tinggi. Adakala berlaku lambang-lambang budaya elit itu menjadi bahan popular apabila ia mampu dibeli dan dimiliki ramai.

Pemisahan kelompok sosial Melayu berasaskan kelas yang dinyatakan oleh fenomena budaya itu sebenarnya tidak jelas dan pembahagian itu sebenarnya tidak mudah dilakukan. Tetapi penyebaran budaya popular adalah meluas yang merintasi kelas sosial. Golongan kelas atasan atau menengah juga turut menerima dan merupakan sebahagian khalayak budaya popular.

Berikutan pesatnya pembangunan bandar-bandar moden adakala tidak memberikan ruang kepada unsur-unsur budaya Melayu tradisional atau tradisi budaya rakyat untuk turut berkembang. Oleh itu, tradisi budaya itu dapat dipertahankan di kampung-kampung Melayu. Masyarakat tani Melayu mempertahankan tradisi budaya rakyat itu, tetapi apabila proses modenisasi dan urbanisasi pesat berlaku berikutan meningkatnya pembangunan di luar bandar, maka tradisi rakyat itu tidak mampu dipertahankan lagi. Sebahagian tradisi rakyat itu semakin lemah kedudukannya. Fenomena budaya popular turut menjadi sebahagian kehidupan orang Melayu di kampung.

Penyaluran dan Penyebaran Budaya Popular

Budaya popular tersebar luas, yang dipupuk oleh nilai-nilai moden, bandar dan maju. Orang ramai sebagai pengguna bahan-bahan budaya telah melalui perubahan nilai-nilai sosial, dalam pengalaman mereka mengalami proses modenisasi dan urbanisasi. Mereka terdedah kepada penawaran berbagai-bagai bahan budaya popular. Nilai-nilai sosial mereka yang dipengaruhi perkembangan semasa sentiasa berusaha mencari dan mendapatkan sesuatu yang baru, moden dan semasa.

Sistem perhubungan yang baik, terutama pembangunan teknologi telekomunikasi, seperti media elektronik, media cetak dan penyediaan kemudahan asas yang semakin meluas mendedahkan orang ramai, termasuk mereka yang tinggal di luar bandar mengalami proses modenisasi dan urbanisasi yang didedahkan oleh berbagai-bagai bahan budaya popular. Orang Melayu di semua peringkat dapat menerima baik pembangunan dan perubahan yang berlaku di sekitar mereka. Perkembangan ini memberikan kesan kepada perubahan nilai-nilai sosial, sikap, world-view dan pemikiran anggota-anggota masyarakat. Perkembangan pesat pendidikan moden turut mempengaruhi perubahan nilai dan sikap orang Melayu. Mereka lebih terbuka dan menerima bahan-bahan budaya popular sebagai bahagian keperluan hidup moden. Malahan budaya popular memainkan peranan dalam menyalurkan maklumat dan pendidikan kepada ramai.

Pesatnya perpindahan orang Melayu ke bandar sejak DEB hingga kini, memberikan peluang orang Melayu terlibat dalam berbagai-bagai lapangan kegiatan ekonomi bukan tani dan seterusnya meningkatkan proses modenisasi dan urbanisasi. Oleh itu didapati bahan-bahan budaya popular memainkan peranan penting dalam mengisi keperluan gaya hidup moden. Perubahan ekonomi yang dapat meningkatkan pendapatan atau kedudukan ekonomi turut mempengaruhi gaya hidup orang ramai. Berkaitan dengan ini turut mempengaruhi penyebaran dan perkembangan budaya popular.

Kesetabilan politik dan kesejahteraan sosial juga mempengaruhi penyebaran dan penyaluran bahan-bahan budaya popular kepada ramai. Perkembangan pesat media massa, iaitu media elektronik dan media cetak turut membawa perubahan nilai dan pemikiran orang ramai. Media massa itu juga mendedahkan kira-kira 80% daripada isi kandungannya berupa bahan-bahan budaya popular, baik bahan-bahan luar mahupun bahan-bahan budaya tempatan. Suasana ini sudah pasti dengan mudah dapat mempengaruhi orang ramai dengan gaya hidup moden. Bahan-bahan budaya popular merupakan suatu keperluan kehidupan moden.

Penawaran bahan-bahan budaya popular dalam konteks masyarakat moden didapati lebih dominan di kalangan orang-orang muda. Penawaran bahan-bahan budaya popular itu lebih banyak tertumpu di kalangan muda mudi. Berkaitan dengan ini perkembangan budaya muda mudi yang popular di negara-negara maju turut mempengaruhi perkembangan budaya popular tempatan. Adakala oleh kerana terdapat perbezaan nilai di antara orang dewasa dengan orang muda, selalunya persoalan kejatuhan moral orang muda dikaitkan dengan budaya popular itu. Budaya popular selalu dianggap oleh golongan dewasa membawa nilai-nilai baru yang merupakan kelainan daripada nilai-nilai tradisi dan Islam.

Budaya Popular dan Ekonomi

Budaya popular moden dapat tersebar luas apabila kegiatannya berasaskan kepada usaha komersial. Unsur-unsur budaya menjadi komoditi budaya yang merupakan bahan-bahan pengguna kepada orang ramai sebagaimana bahan-bahan pengguna yang lain. Industri budaya melibatkan pengurusan yang tersusun bagi menjamin pulangan yang baik. Orang Melayu pernah berjaya menawarkan Bangsawan secara komersial.

Seterusnya artis-artis atau seniman-seniman yang berkebolehan telah memberikan sumbangan dalam berbagai industri budaya moden, seperti rakaman muzik dan nyanyian, filem, perlibatan dalam pementasan dan persembahan yang dilakukan secara komersial. Budaya popular telah memberikan peluang pekerjaan sepenuh masa atau sambilan, baik sebagai mereka yang profesional dalam sesuatu bidang mahupun terlibat dalam industri budaya popular sebagai pekerja biasa. Malahan, perkembangan budaya popular telah dapat memberikan kedudukan ekonomi yang baik kepada bintang-bintang popular.

Pembangunan budaya popular itu juga turut memberikan sumbangan pendapatan kepada negara. Ini tidak terbatas dalam industri budaya popular Melayu, malahan kemasukan bahan-bahan budaya popular asing, terutama dari negara-negara maju turut memberikan pulangan ekonomi kepada negara. Kerajaan berusaha membantu kegiatan industri budaya popular tempatan atau yang diusahakan oleh orang Melayu, yang bertujuan produktiviti bahan-bahan budaya tempatan itu dapat ditingkatkan.

Kini orang Melayu turut terlibat dalam berbagai-bagai industri budaya popular, seperti muzik, nyanyian, filem, pementasan, majalah popular, sukan dan sebagainya. Namun, berbagai halangan selalu mereka hadapi. Misalnya, kegiatan cetak rompak yang sukar untuk dikawal. Kerajaan berusaha mengawal masalah ini agar kegiatan industri budaya popular, terutama yang diusahakan orang Melayu dapat ditingkatkan. Penawaran bahan-bahan budaya popular itu bukan sahaja melibatkan pengurusan moden, malahan usaha pemasaran juga perlu dilakukan secara berkesan. Penawaran bahan-bahan budaya itu disertakan dengan berbagai cara promosi, seperti iklan. Peningkatan teknologi moden dapat meningkatkan produktiviti dan meluaskan penyebaran pasaran. Kerajaan juga berusaha mengawal persaingan dengan pasaran bahan-bahan budaya dari luar.

Penawaran bahan-bahan budaya popular dapat dilakukan sepanjang tahun, tanpa terbatas kepada musim atau masa-masa tertentu sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat Melayu tradisional. Para pengguna memerlukan bahan-bahan budaya itu tidak mengira masa, sebagaimana juga bahan-bahan pengguna yang lain. Populariti sesuatu bahan budaya itu bergantung kepada sambutan atau permintaan para pengguna. Adakala minat orang ramai itu dipengaruhi publisiti, promosi dan iklan yang dilakukan oleh pengusaha. Tetapi orang ramai sebagai pengguna boleh memilih daripada berbagai bahan budaya popular yang ditawarkan di pasaran. Walau bagaimanapun, publisiti kerapkali mempengaruhi orang ramai. Umumnya, penawaran bahan-bahan budaya popular itu mampu didapati orang ramai.

Budaya popular itu melahirkan bintang-bintang yang diminati ramai. Sesuatu bahan budaya itu boleh menjadi popular berikutan dengan bintang-bintang popular mengambil bahagian. Sistem bintang ini dapat memainkan peranan penting dalam menentukan turun naiknya penawaran sesuatu bahan budaya itu. Penawaran bahan-bahan budaya popular yang berasaskan kegiatan komersial itu terpaksa bersaing di pasaran terbuka. Dengan terdapat persaingan itu di pasaran selalunya memberi dorongan pula kepada pengusaha, artis atau seniman dan mereka yang terlibat untuk berusaha melakukan pembaharuan, menyesuaikan dengan perubahan atau menghasilkan sesuatu yang berlainan bagi menarik perhatian ramai. Persaingan itu juga mendorongkan pengusaha untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu sesuatu yang dihasilkan. Oleh itu budaya popular itu sentiasa berubah menyesuaikan dengan selera peminat, di samping itu masing-masing pengusaha dan seniman berusaha meningkatkan mutu bahan-bahan budaya.

Ekonomi dan Nilai-nilai Sosial

Pihak pengusaha dalam penawaran bahan-bahan budaya selalu mementingkan pulangan ekonomi. Bagi tujuan itu selalu pula dikatakan pihak pengusaha kurang memberikan perhatian tentang mutu seni, tetapi lebih mementingkan selera budaya orang ramai sebagai pengguna. Berkaitan dengan ini, orang ramai sebagai pengguna kini didedahkan kepada penawaran bahan-bahan budaya di peringkat global. Persaingan dalam penawaran bahan-bahan budaya itu orang Melayu juga dapat menilai dari segi mutu sesuatu bahan budaya itu. Mereka itu juga mempunyai latarbelakang pendidikan yang mampu memberikan nilai terhadap sesuatu bahan itu.

Oleh itu, pihak pengusaha, artis dan mereka yang terlibat dalam penghasilan bahan-bahan budaya popular berusaha menghasilkan sesuatu yang baik atau bermutu tinggi. Adakala pihak pengusaha menggunakan berbagai kaedah untuk mendapat perhatian ramai. Mereka berusaha mengeksploit keinginan semula jadi manusia, seperti unsur seks, keganasan, dan perlakuan atau kejadian luar biasa. Bahan-bahan budaya dari luar negara kurang menimbangkan aspek moral dan etika berlandaskan Islam dan tradisi tempatan. Tetapi bagi pengusaha tempatan, mereka sangat peka dan memahami nilai-nilai sosial tradisi Melayu dan Islam. Di samping itu pihak berkuasa dan masyarakat Melayu sentiasa mengawasi perkembangan bahan-bahan budaya popular Melayu supaya bersesuaian dengan budaya Melayu dan Islam.

Selama ini pihak berkuasa berusaha mengawal kemasukan bahan-bahan budaya popular dari luar, misalnya mengadakan sekatan dan penapisan bagi menjamin kesesuaian bahan-bahan itu dengan nilai-nilai sosial tempatan dan Islam. Tetapi kini penyebaran bahan-bahan budaya dari luar adakala tidak mampu diteliti oleh kerajaan. Misalnya, internet kini terdapat berbagai rupa bentuk bahan budaya yang bercanggah dengan nilai-nilai sosial Melayu dan Islam. Usaha mengawalnya kini tidak lagi berkesan. Tekanan dari luar seperti undang-undang tidak dapat dilakukan secara menyeluruh. Oleh itu, usaha yang dapat dilakukan ialah dengan memperkukuhkan ketahanan diri, terutama dengan meningkatkan pendidikan Islam di kalangan muda mudi.

Tradisi Budaya Rakyat dan Budaya Popular

Pesatnya pembangunan yang dilalui orang Melayu telah membawa kepada meningkatnya perkembangan dalam penawaran bahan-bahan budaya popular. Penawaran bahan-bahan budaya popular dari luar negara juga kian meningkat dan ini memberikan persaingan kepada perkembangan budaya tempatan. Penawaran bahan-bahan budaya popular berusaha menyesuaikan dengan citarasa budaya para pengguna. Pengusaha industri budaya bekerjasama dengan artis atau seniman dan pemain yang berusaha menghasilkan sesuatu yang baru, yang dapat menyatakan kemodenan dan kemajuan. Sebagai bahan pengguna, bahan-bahan budaya sentiasa berubah, silih berganti. Mereka yang terlibat dalam kegiatan yang berkaitan menumpukan sepenuh masa untuk menghasilkan sesuatu yang baru.

Bahan-bahan budaya popular membawa nilai-nilai moden dan gaya hidup bandar yang menyatakan perkembangan semasa sebagaimana yang diharapkan oleh orang bandar. Orang Melayu yang pesat mengalami perubahan itu mahukan sesuatu yang dapat memberikan mereka mengalami proses urbanisasi dan modenisasi. Bahan-bahan budaya popular memberikan tumpuan kepada aspek itu dan itulah yang menentukan populariti sesuatu bahan budaya itu. Tradisi budaya rakyat yang terikat kepada tradisi tidak dapat bersaing dengan perkembangan budaya popular. Peminatnya semakin berkurang, malahan mereka yang mahir dan berkebolehan dalam berbagai-bagai jenis tradisi budaya rakyat semakin sukar didapati. Generasi muda yang sepatutnya mengambil tempat meneruskan tradisi itu didapati sangat terbatas. Beberapa faktor boleh dikaitkan dengan kemerosotan tradisi budaya rakyat,

Generasi muda tidak berminat kepada tradisi itu kerana mereka tidak dapat menghayatinya. Mereka tidak mengenali dan tidak diberikan pendedahan kepada tradisi rakyat itu. Perkembangan budaya popular itu memberi pilihan kepada orang ramai. Unsur-unsur tradisi budaya rakyat tidak dapat menarik perhatian ramai, terutama ikatannya kepada tradisi berbanding dengan budaya popular. Perkembangan pendidikan dan teknologi moden turut mempengaruhi kelemahan tradisi rakyat. Budaya popular membawa bersamanya nilai-nilai kemodenan dan kemajuan, sedangkan budaya rakyat dianggap tidak menyatakan nilai-nilai itu. Tradisi budaya selalunya berkaitan dengan kepercayaan warisan yang adakalanya dianggap tidak sesuai dengan ajaran Islam. Sebahagian daripada tradisi itu tidak lagi berfungsi atau tidak dapat memainkan peranan dalam masyarakat Melayu moden kini. Adakala tradisi rakyat itu bercirikan kedaerahan, yang tidak dapat difahami mereka dari luar daerah.

Dalam kepesatan perkembangan bahan-bahan budaya popular itu, terdapat pula usaha untuk mempopularkan unsur-unsur budaya rakyat. Dalam proses penyesuaian sebagai usaha komersial, pembaharuan dilakukan. Sebagai contoh, kumpulan-kumpulan nasyid mendapat tempat yang baik di pasaran, dan penyebaran bahan-bahan budaya yang dihasilkan oleh kumpulan-kumpulan itu adalah meluas. Contoh lain, dikir barat yang dihasilkan dalam bentuk VCD, keset dan sebagainya turut popular, tetapi penyebarannya agak terbatas.

Adakala unsur-unsur budaya rakyat itu disesuaikan dengan perkembangan teknologi moden yang dihasilkan sebagai bahan budaya popular. Misalnya, terdapat usaha menggabungkan muzik tradisi dengan muzik moden sebagai usaha kreatif bagi menghasilkan suatu muzik popular. Dalam keadaan ini unsur budaya rakyat tradisi itu mulai luntur atau hilang nilai-nilai keaslian. Namun, kaedah itu boleh dilakukan dengan tujuan untuk mempopularkan unsur-unsur budaya rakyat. Tetapi bentuk atau unsur asli itu perlu dipertahankan agar keasliannya tidak hilang.

Tradisi budaya rakyat dalam bentuk asli itu perlu dipertahankan bagi mengawal nilai-nilai keasliaannya. Budaya rakyat itu membawa nilai-nilai tersendiri yang menyatakan makna dan pengertiannya. Tradisi budaya itu sebagai warisan budaya rakyat bukan sahaja merupakan budaya ekspresif, malahan juga sebagai budaya simbolik. Daripada tradisi itu konteks aslinya dapat difahami jiwa Melayu, misalnya dari segi ketinggian nilai seninya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan