Selasa, 25 September 2012





Puisi Untuk Cikgu
(Buat cikgu yang selalu di hati – Cikgu Mehat, Cikgu Lah n Cikgu Zaid)

Cikgu,
setelah lama kita tidak berjumpa,
serasa ada rindu kasih yang melayang memujuk rasa hiba,
kerana di raut wajahmu ada sebongkah keikhlasan yang semarak lebar,
jiwa murni, terpancar warna-warna mutiara sarat kemuliaan,
budi yang diapungkan di dulang ilmu serasa meresap ke kalbu,
kini di wajah kedutmu berlepa harga budi dan hikmah,
mendidik kami menjadi insan berilmu dan bermaruah,
bertemu kembali denganmu cikgu dalam waktu yang menjengah senja,
kami ingin bersujud di kakimu memohon restu dan keberkatan,
halalkan ilmu yang dicurahkan,
izinkan kami menebarkan bibit yang kau cambahkan,
menjadi ladang subur menghijau penghias warna alam,
dengan generasi yang dadanya sarat ketakwaan.

Cikgu,
dapat kami rasakan betapa ikhlasnya tunjuk ajar,
api dari lilin yang bercahaya untuk kami sebelum jadi dewasa,
cikgu pernah menjadi bapa dan sahabat juga pemimpin kala kami merempat,
cikgulah penyalur nasihat dan doa keramat,
sehingga kami dapat berburu di padang datar,
walau dalam gelap gelemat,
ilmu dari cikgu menjadi penyuluh seribu hikmat.

Cikgu,
kini kami sudah mampu berdiri sambil mencapai awan yang bersinar,
di celahan mentari yang bahangnya tidak lagi menggaring tubuh,
tapi usapannya amat dingin hingga mencokot tulang temulang,
kami kukuh bersila di anjung mahligai indah,
berteraskan ilmu santunan jiwa hadiah bermakna dari cikgu,
yang kami anyamkan selembar demi selembar,
dan kami jadikan gebar kala buntu di hujung lorong,
jamung yang cikgu hulurkan tetap bernyala,
memberi cahaya tanpa pernah reda.

Cikgu,
dalam solat penuh kusyuk kami panjatkan doa ke hadrat Ilahi,
redhailah hidupmu, berkatilah budimu, tetapkanlah imanmu,
harumnya jasamu menggerbak hingga ke hujung usia,
moga cikgu dipelihara Azzawajalla sepanjang masa.

SMAHADZIR
18 September 2012





Tiada ulasan:

Catat Ulasan