The World Food Summit Plan of
Action, FAO menggariskan maksud keselamatan makanan (food security)
sebagai ‘when all people, at all times, have physical and economic access to
sufficient, safe and nutritious food to meet their dietary needs and food
preferences for an active and healthy life’. Berdasarkan definisi ini,
kekurangan nutrisi adalah kunci kepada food insecurity.
Majoriti
penduduk dunia yang kekurangan nutrisi (98%) berada di negara membangun, di mana
dua per tiga daripadanya tertumpu di tujuh buah negara iaitu Bangladesh, China,
Republik Demokratik Congo, Ethiopia, India, Indonesia dan Pakistan. Kebanyakan
penduduk dunia yang kelaparan iaitu seramai 578 juta tinggal di Asia dan
Pasifik dan 30% atau 239 juta orang berada di Afrika (sub-Sahara). Jumlah
penduduk dunia yang berada dalam kelaparan meningkat sebanyak 10% dalam tempoh
1990 - 2010.
Kini kita
menyaksikan kepesatan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan taraf hidup, berjuta manusia
menjadi lebih kaya dan makanan yang diambil juga lebih pelbagai. Citarasa manusia
juga sudah berubah, malah makanan luar daripada makana ruji hinggalah air
minuman yang tiada pada generasi dulu kini mula mendapat tempat di kalangan
kelas pertengahan di bandar. Namun, tahap keselamatan makanan masih sangat
kurang memuaskan terutama di negara yang mempunyai lebih ramai orang miskin
berbanding negara lain di dunia.
Kesedaran
mengenai keselamatan makanan di kalangan berjuta penjaja dan peniaga kecil juga
terlalu rendah. Kemiskinan menyebabkan peniaga menambah bahan pencair seperti
air ke dalam produk mereka supaya ia menjadi lebih banyak. Minyak masak mahal
dicampur dengan minyak masak murah, sisa teh digunakan kembali dan digaul
dengan teh baru. Malah, mereka juga memasukkan apa saja bahan daripada urea
hinggalah kertas pedap minyak untuk memekatkan makanan yang dijual kepada orang
ramai.
Ramai penjual
membeli buah-buahan mentah yang kemudian diperam dengan kalsium karbaid. Penggunaan
serbuk putih kalsium karbaid ini akan mengurangkan proses kematangan yang
biasanya mengambil masa beberapa minggu kepada beberapa jam saja. Bahkan penjual
juga terdorong untuk menggilap atau mencelup buah dalam larutan pewarna supaya
ia nampak segar ketika dijual. Buah yang nampak berkilat dan segar itulah yang
busuk sebenarnya. Nampak cantik di mata, tetapi boleh menyebabkan penyakit
apabila dimakan.
Pada tahun
2008, sekurang-kurangnya enam kanak-kanak di China meninggal dunia dan hampir
300,000 jatuh sakit akibat meminum susu yang dicampur melamin iaitu bahan kimia
industri yang digunakan untuk meninggikan bacaan dalam ujian protein. Memang tahap keselamatan makanan biasanya
rendah di kawasan miskin akibat kejahilan dan keinginan untuk mendapat untung
yang lebih.
Justeru, semua
pihak sama ada pengeluar, penjual, pengguna mahupun kerajaan mempunyai
tanggungjawab yang tersendiri dalam mengekalkan keselamatan makanan.
Tanggungjawab yang perlu diambil oleh kerajaan adalah mendorong industri makanan
supaya membangunkan sistem pengurusan makanan yang komprehensif bagi
mempertingkatkan keselamatan makanan, membentuk semula sistem pemeriksaan
makanan dan berusaha mempertingkatkan penyampaian maklumat kepada pengguna bagi
mendapat kepercayaan pengguna berhubung dengan kualiti makanan.
Sehubungan
dengan itu, langkah yang harus diambil oleh para pengusaha makanan
dan pihak
berwajib pula adalah memastikan sistem pengukuran prestasi kualiti makanan
dijalankan dan diuruskan sebaik mungkin. Kegagalan produk makanan memberikan jaminan
keselamatan kepada pengguna akan menyebabkan berkurangnya kepercayaan pengguna.
Di samping itu, pengusaha juga perlu memastikan organisasinya memenuhi
keperluan pengguna dengan mengambil berat setiap persepsi pengguna.
Selain itu, kerajaan
juga perlu memastikan bahawa semua pengusaha mematuhi segala peraturan yang telah
ditetapkan. Sebagai contoh, setiap produk daging yang telah melepasi piawaian
di peringkat kelahiran, penyembelihan, pemotongan, pemprosesan, pengangkutan
dan penyimpanan akan dilabelkan dengan ‘QS’ yang merujuk kepada ‘Kualiti dan
Selamat’ (Quality and Safe). Pelabelan ini bertujuan untuk mendapatkan
kepercayaan pelanggan bagi tempoh jangkamasa panjang.
Kesedaran
pengguna terhadap keperluan akta dan peraturan keselamatan makanan perlu diterapkan
sebagai salah satu pemangkin pelaksanaan sesuatu standard dalam pengeluaran makanan.
Amalan dan pengetahuan dalam memastikan keselamatan makanan di kalangan penjaja
juga perlu ditingkatkan melalui skim galakan oleh kerajaan. Galakan yang
dimaksudkan adalah dalam bentuk pengagihan peraturan keselamatan makanan di
tempat-tempat latihan penyediaan makanan, mewajibkan dalam syarat pengeluaran lesen
perniagaan dan juga melalui penyeragaman (standardizing) polisi
keselamatan makanan di semua negeri.
Pengguna perlu bijak
memilih produk yang segar dan tidak rosak di samping harga yang berpatutan
dengan kualiti barangan. Kualiti produk merujuk kepada rupa bentuk fizikal (appearance),
kandungan dan tarikh luput. Ada dua jenis pengguna iaitu pengguna yang sensitif-harga
dan pengguna yang sensitif-keselamatan. Pengguna yang sensitif-harga mempunyai
hubungan negatif dengan faktor keselamatan, iaitu mereka lebih memfokuskan
kepada harga dan rasa (taste) tanpa mementingkan aspek keselamatan.
Pengguna yang
sensitif-keselamatan perlu menyampaikan maklumat berkaitan kualiti makanan
kepada pengguna yang lain. Ini merupakan satu peluang kepada pengusaha makanan
dalam inisiatif mereka menyampaikan maklumat keselamatan dan kualiti produk
masing-masing sebagai langkah tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Di
samping mampu menarik minat pelanggan baru dan mengekalkan pelanggan sedia ada
serta menjadikan barangan mereka lebih kompetitif dalam pasaran.
Prosedur
pemprosesan dan pengeluaran makanan perlu dilakukan dalam keadaan bersih bagi
menjamin produk makanan berkualiti, iaitu bebas daripada sebarang risiko
keracunan. Demi mengurangkan risiko penyakit yang berpunca daripada makanan,
ketegasan tentang aspek kebersihan wajar diambil berat oleh semua pengeluar.
Secara amnya, pengeluaran produk makanan yang memenuhi standard kualiti perlu
mengutamakan perlaksanaan kebersihan yang lengkap seperti persekitaran kilang
dan pengeluaran, bahaya pencemaran, sebarang bentuk punca pengurangan atau
penurunan kualiti dan amalan peraturan dan undang-undang yang ketat.
Program-program
kebersihan boleh dibahagikan kepada beberapa kategori yang utama antaranya
ialah bangunan dan peralatan, prosedur pembersihan, kebersihan personel, pendidikan
individu berkaitan keracunan makanan dan sebagainya yang berkaitan dengan
kebersihan. Program-program ini perlu melibatkan semua peringkat kakitangan
agar matlamat kebersihan secara menyeluruh boleh dicapai. Makanan merupakan produk
yang tidak tahan lama dan pengeluarnya perlu mengambil langkah untuk mengelakkan
kerosakan produk tersebut seterusnya melindungi hak pengguna, mengurangkan
kerugian dan yang paling penting untuk menggalak keyakinan pengguna terhadap
sesuatu produk dan jenama.
Sebagai
kesimpulan, penumpuan terhadap aspek keselamatan sepanjang rantaian proses
pengeluaran dan pemasaran produk makanan wajib diambilberat oleh semua pihak yang
terlibat dalam industri makanan termasuk pengeluar, peniaga, pelanggan dan juga
pihak berwajib. Ini diperlukan bagi memberi jaminan pengeluaran produk makanan
yang bersih, selamat, halal dan sesuai untuk digunakan. Selain itu, pematuhan,
pemantapan pengetahuan, dan perlaksanaan menyeluruh amalan standard-standard
tertentu yang bersesuaian perlu dilaksanakan sepanjang masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan