SMAHADZIR
SEJARAH telah mencatatkan bahawa bangsa yang berjaya antara lain dicirikan oleh masyarakatnya yang memiliki budaya literasi. Begitu juga sebaliknya. Sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kejayaan dalam sesuatu bidang tidak boleh mempertahankan miliknya tanpa budaya ilmu yang mantap. Malah ia akan bergantung kepada bangsa lain yang lebih berilmu. Buktinya kita melihat betapa negara pengeluar minyak yang kaya-raya terpaksa bergantung hampir dalam semua aspek penting kehidupan negaranya kepada negara lain yang lebih maju dari segi keilmuan dan kepakaran.
Sejarah juga telah membuktikan bahawa masyarakat maju yang dapat menguasai pelbagai bidang dalam kehidupan mereka dan mencipta sejarah adalah masyarakat yang suka membaca. Disiplin membaca untuk mendapatkan ilmu merupakan suatu kuasa pembebasan daripada belenggu-belenggu kemiskinan dan kejahilan.
Budaya membaca membolehkan pemikiran seseorang itu berkembang dan mempunyai imaginasi yang lebih tinggi untuk bercakap dan mengeluarkan pendapat berbanding dengan orang yang kurang membaca. Menurut Kenedy (1981) membaca adalah ‘keupayaan seseorang untuk menggarap bentuk visual (lambang-lambang grafik yang mewakili bahasa atau perkataan) yang menghubungkan bentuk intu, atau bunyi makna yang telah diketahui, dan seterusnya berasaskan pengalaman lalu, memahami dan mentafsir maksud’.
Amalan membaca boleh dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri seseorang. Ini kerana perbezaan yang ketara antara individu yang suka membaca berbanding individu yang tidak suka membaca adalah melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki. Masyarakat yang suka membaca mampu melahirkan seorang manusia yang berguna dan mempunyai tahap pemikiran yang tinggi. Golongan ini juga merupakan salah satu golongan yang akan menjadi pemimpin di sesebuah negara kerana idea-idea bernas mereka dapat membangunkan negara tersebut.
Islam sendiri menggalakkan umatnya membaca sehingga terbukti kelahiran ramai tokoh ilmuan yang terunggul seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Al-Razi, Al-Haitham, Al-Khindi, Ibnu Biruni dan pelbagai lagi. Kesemua tokoh tersebut memulakan penerokaan mereka daripada bacaan sama ada bacaan lisan mahupun bacaan alam sehingga mereka dapat menghasilkan penemuan baru.
Ketika Barat berada di Zaman Kegelapan, perbezaan antara dunia Islam dan Barat boleh dikiaskan seperti langit dan bumi. Victor Robinson membuat perbandingan ini dalam The Story of Medicine (The New Home Library, New York, 1943) dengan berkata, ‘Eropah bergelap pada waktu malam sedangkan Cordova bercahaya dengan lampu. Eropah kotor sedangkan Cordova membina 1,000 tempat mandi. Eropah dipenuhi serangga sedangkan penduduk Cordova menukar pakaian dalam mereka setiap hari. Eropah dipenuhi selut sedangkan jalan-jalan di Cordova bertar. Istana di Eropah dipenuhi lubang asap di bumbung sedangkan bangunan-bangunan di Cordova tersergam indah. Tokoh-tokoh Eropah tidak tahu menandatangani nama sendiri sedangkan anak-anak di Cordova sudah ke sekolah. Tokoh-tokoh agama di Eropah tidak tahu membaca risalah Kristian sedangkan ulama Islam di Cordova membina kutub khanah yang besar.’ Inilah buktinya bangsa yang suka membaca tercegat menjadi bangsa yang berjaya.
Semua pemimpin negara juga menggalakkan masyarakatnya membaca supaya mereka tidak akan ketinggalan dalam menerima kecanggihan dan kemodenan dunia. Bagi masyarakat Jepun, membaca sudah menjadi tabiat dan amalan mereka kerana daripada budaya membaca mereka dapat meningkatkan taraf hidup dan juga bersaing dengan dunia luar.
Walau bagaimanapun, masyarakat yang menerima perubahan teknologi yang moden dan canggih hari ini telah menjadikan amalan membaca bahan-bahan yang tidak sepatutnya. Budaya ini telah menyebabkan masyarakat terutama golongan remaja menjadi rendah akhlak dan cetek ilmu pengetahuan. Jenis bahan bacaan yang boleh dikategorikan sebagai ‘lucah’ atau tidak sopan ialah yang mengeksploitasikan seks sebagai bahan utama. Bagi sesetengah bahan bacaan ini, memaparkan gambar wanita mendedahkan tubuh badan dan aksi menggoda untuk dijadikan sebagai pelaris jualan. Disebabkan remaja sering disogokkan dengan bahan sedemikian, golongan tersebut mudah terpengaruh sehingga menjadi seronok dan ketagih. Ini akan menyebabkan golongan ini tidak dapat berfikir secara matang dan akan ketinggalan dalam pelbagai aspek.
Sejarah telah mencatatkan bahawa negara Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Jerman adalah antara negara dan bangsa yang maju kerana masyarakatnya sudah membina budaya literasi. Kerana itu, amat wajar bila negara-negara tersebut maju dalam segala bidang, jauh mengalahkan negara-negara lain. Selain menguasai perekonomian dunia, negara-negara tersebut juga dikenali menguasai bidang teknologi. Geliat kehidupan masyarakatnya juga begitu dinamik, di samping memiliki tingkat kedispilinan yang tinggi. Dalam erti lain, budaya literasi memiliki peranan yang begitu penting dalam membangunkan kemajuan sesebuah masyarakat dan negara.
Dengan membacalah kita menjadi tahu dan faham, sekaligus memperoleh wawasan mahupun pengetahuan baru tentang pelbagai perkara yang menyebabkan kita termotivasi untuk terus melakukan perubahan. Bukti tersebut dapat dilihat pada Jepun, sebuah negara yang hancur lebur dalam Perang Dunia Kedua akibat dibom atom oleh Tentera Sekutu. Jepun kemudiannya berupaya bangkit dan mengutamakan pendidikan bangsanya, dengan mengirim mereka ke negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Hasilnya Jepun berjaya membangunkan kembali negaranya dari kehancuran.
Kini, pelbagai teknologi mampu dibuat oleh masyarakat Jepun. Bahkan, Amerika Syarikat yang selama ini menjadi adikuasa di segala bidang, dalam banyak hal mulai mengakui kehebatan Jepun. Dan kejayaan Jepun menguasai ‘dunia’ tidak lain kerana budaya literasi yang telah disuburkan sejak awal. Tidak mungkin Jepun mampu menghasilkan ramai ilmuwan dengan penemuan-penemuan mutakhirnya dalam berbagai bidang, jika budaya literasi di Negara Matahari Terbit itu tidak terbina. Justeru itu juga di Jepun kita tidak mungkin akan menemui ahli masyarakatnya yang buta huruf. Mereka bahkan dikenali sebagai masyarakat yang suka membaca, walau di mana mereka berada.
Lantaran suka membaca juga, media cetak di sana tumbuh begitu pesat. Bahkan, jumlah pengedaran akhbar-akhbar di Jepun mengatasi jumlah pengedaran akhbar di seluruh dunia. Menurut Cakram Fokus edisi April 2006, dari 10 akhbar terbesar di dunia, dari urutan satu hingga lima dikuasai pengedaran akhbar-akhbar Jepun. Tempat pertama dipegang oleh akhbar Yomiuri Shimbun dengan jumlah pengedaran 14 juta naskhah sehari. Kedua, akhbar The Asahi Shimbun dengan jumlah pengedaran 12 juta naskhah sehari. Ketiga, akhbar Mainchi Shimbun dengan jumlah pengedaran 5.5 juta naskhah sehari. Keempat, akhbar Nihon Keizai Shimbun dengan jumlah pengedaran 4.6 juta naskhah sehari dan kelima, akhbar Chunichi Shimbun dengan 4.5 juta naskhah sehari.
Di samping itu, umumnya akhbar di Jepun terbit dua kali sehari, pagi dan petang. Jika dikira, dalam sehari, satu orang di Jepun membaca empat akhbar yang berbeza. Bayangkan! Betapa tingginya daya baca orang-orang Jepun.
Singapura yang saiz negaranya jauh lebih kecil dari Malaysia juga memiliki semangat yang sama dengan Jepun. Perekonomian, pendidikan, mahupun budaya membaca masyarakatnya melebihi negara-negara di Asia Tenggara. Dengan jumlah penduduk sekitar 4.5 juta, terdapat tujuh suratkhabar dengan jumlah pengedaran mencapai 1 juta naskhah per hari.
Kendatipun begitu, di negara kita, pada masa ini kita masih bergelut dengan kelembapan budaya membaca di kalangan masyarakat. Seharusnya amalan ini perlu dipupuk sejak kecil lagi bagi melahirkan masyarakat yang suka membaca. Untuk membudayakan amalan membaca, semua pihak termasuk kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing khususnya dalam mengaplikasikan ilmu yang telah dibaca dalam kehidupan seharian. Serapkanlah budaya membaca masyarakat Jepun dan Eropah ke dalam masyarakat kita agar kita mampu menjadi bangsa yang berjaya.
Konklusinya, ‘bangsa membaca bangsa berjaya’ adalah sebuah frasa yang jitu. Hakikatnya, pembentukan bangsa yang hebat bermula dengan ilmu serta kefahaman. Menggunakan ungkapan lain ia bermaksud kesemuanya bermula dengan minda cemerlang yang lahir dari budaya membaca. Dalam Al-Jamik li Ahkam Al-Quran, Imam Qartubi meriwayatkan, ‘Imam Sufyan bin Uyainah pernah ditanya tentang kelebihan ilmu dan beliau menjawab, ‘Apakah kamu tidak mendengar kalam Allah (iaitu ayat 19 surah Muhammad) yang bermula dengan; ‘Ketahuilah, sekali gus menunjukkan Allah mahu kita menguasai ilmu terlebih dahulu sebelum beramal? Olahan yang sama Allah s.w.t gunakan dalam surah al-Hadid ayat 20, dan surah al-Anfal ayat 28 dan 41.’ Justeru, membaca yang mampu melahirkan minda cemerlang merupakan pintu gerbang kepada segala kehebatan dan kejayaan.
Rujukan:
- Al-Jamik li Ahkam Al-Quran, Imam Qartubi
- Cakram Fokus edisi April 2006
- The Story of Medicine, Victor Robinson (The New Home Library, New York, 1943)
terima kasih...amat teruja dgn fakta yg telah dikemukakan......
BalasPadamsangat membantu
BalasPadamMemang terbaik..tq
BalasPadam