Selasa, 14 Februari 2012

Mengenang Nasib Ribuan Wanita Malang

ADA peristiwa tidak boleh dilupakan. Seperti pembunuhan beramai-ramai 8,000 orang Islam, termasuk kanak-kanak lelaki oleh askar Serbia sekitar 15 tahun lalu. Peristiwa itu berlaku di Srebenica setelah askar Serbia menguasai sebilangan kecil tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Mereka mulanya menghantar sebilangan wanita dan anak-anak perempuan ke tempat lain, dan kemudian membunuh kesemua lelaki termasuk kanak-kanak.

Upacara memperingati tragedi itu diadakan beberapa hari lalu kerana ketua askar Serbia, General Ratko Mladic masih bebas dan dilindungi oleh para pengikut yang setia. Walhal tokoh yang menjadi ketuanya, Radovan Karadzic telah pun ditawan dan sedang dibicarakan oleh Mahkamah Jenayah Perang Antarabangsa.

Kerajaan Serbia pada 31 Mac lalu melafaz ampun maaf atas apa yang berlaku pada tahun 1995. Ini berkait dengan permohonannya untuk menjadi ahli Kesatuan Eropah, dan pemberitahuan bahawa mereka mesti menawan Jeneral Mladic dahulu untuk dibicarakan.

Terdedah kini bahawa pihak berkuasa Serbia telah memperolehi 18 buah diarinya yang mencatat pelbagai kejadian. Sebuah akhbar Amerika melaporkan mengenai General Mladic bertemu dengan pihak-pihak lain dan membincangkan langkah-langkah untuk membahagikan Bosnia dan mengusir orang Islam dari pelbagai wilayah.

Lalu dilaporkan kenyataan ketua golongan Croatia, Jadrauku Piric: ‘Kita perlu sepakat untuk melakukan dua tiga perkara kerana orang Islam adalah musuh kita. Pertamanya, kita mesti menewaskan mereka.’

Berikutan pertemuan lain, Jeneral Mladic mencatatkan kenyataan seorang jeneral puak Croatia yang kini sedang dibicarakan atas tuduhan jenayah perang: ‘Kalau kita bunuh 50,000 lagi orang Islam, kita tidak akan mencapai apa-apa. Bilangan mereka akan pulih semula.’

Seterusnya dilaporkan, pegawai-pegawai Serbia, dari presiden ke bawah terus berjanji untuk menangkap Jeneral Mladic, tetapi ramai di kalangan kerajaan diketahui menentang langkah tersebut. Jeneral Mladic sendiri telah memberitahu dia tidak akan ditawan hidup-hidup.

Dalam keadaan ketua dan rakan seperjuangannya Radovan Karadzic dibicarakan oleh mahkamah jenayah perang, dia membela diri sendiri tanpa peguam. Telah pun dibicarakan ialah Presiden Siberia sebelum ini, Slobodan Milosevic yang kemudian meninggal dunia kerana sakit jantung.

Berikut adalah laporan bertarikh 13 Julai 1995 dari Bosnia mengenai apa yang berlaku. ‘Para pelarian menyerahkan segalanya kepada Allah kerana PBB telah mengetepikan mereka. Selama empat tahun lamanya perkampungan mereka dibedil dan akibatnya mereka kebuluran. Akhirnya mereka terpaksa meninggalkan rumah masing-masing dan segala harta yang dimiliki.’

Menurut Gerakan Wanita di Srebenica kira-kira 2,000 wanita dan anak-anak perempuan tidak diketahui betapa nasib mereka. Lebih 8,000 lelaki telah dibunuh. Semua pihak mengetahui apa yang berlaku.

Akhirnya setelah sekian lama bersengketa dan berperang ketiga pihak yang bersangkutan - Serbia, Croatia, Bosnia - dipaksa oleh Amerika supaya berdamai. Rundingan diadakan di Dayton, Ohio dan perjanjian tercapai tetapi tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Terus menjadi tanda-tanya betapa nasib beribu-ribu wanita setelah lebih 8,000 lelaki dibunuh iaitu suami, ayah, nenek lelaki, abang, adik dan juga anak-anak lelaki. Kerana itu peristiwa sedih diperingati setiap tahun adanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan