Selasa, 14 Februari 2012

Forum Budaya: Seni Budaya Tanggapan Masyarakat Kini

Pada tanggal 9hb Disember 2011 saya telah terlibat sebagai moderator dalam Forum Budaya yang berlangsung di Pentas Awam, Pantai Morib. Forum ini anjuran Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Selangor (JKKN) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKN). Dua orang ahli panel telah dijemput untuk membincangkan tajuk ‘SENI BUDAYA TANGGAPAN MASYARAKAT MASA KINI’, iaitu Tuan Haji Aluwi Parman, Ketua Pendaftar Nikah Negeri Selangor, Setiausaha Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (Fatwa) Negeri Selangor dan Ketua Penolong Pengarah Undang-undang Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Dua orang ahli panel yang dijemput khas: Tuan Haji Aluwi Parman, Ketua Pendaftar Nikah Negeri Selangor dan Saudara Zainal Mohd Jais, Presiden Ikatan Sasterawan Universiti Malaya

Manakala seorang lagi ahli panel ialah Saudara Zainal Mohd Jais, Presiden Ikatan Sasterawan Universiti Malaya (ISUM), Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Selangor Universiti Malaya (PERMAS), AJK Persatuan Penulis & Kebajikan Selangor (KEMUDI), Setiausaha Kehormat, kemudian Naib Yang Dipertua, kini Timbalan Yang Dipertua, Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKN), Setiausaha Bersama Sekretariat Melayu Antarabangsa (SMA), Panel Pemikir Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor (YBK), pengarang rencana disebuah akhbar, salah seorang tenaga pengajar di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, & juga seorang perunding editorial & penerbitan.

Begitu asyik Tuan Haji Aluwi Parman menyampaikan ceramah beliau merangkumi pelbagai aspek kesenian dalam masyarakat

Pelbagai perkara telah dibincangkan. Pelbagai soalan telah saya tujukan kepada kedua-dua ahli panel pada hari tersebut. Termasuk seni dan budaya dari pespektif Islam. Kesimpulan yang dapat dinukilkan dari forum tersebut ialah seni adalah sesuatu yang bersifat abstrak, dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata. Dalam jiwa, perasaan, nurani, dan keinginan manusia tertanamnya rasa sukakan keindahan dan keindahan itu adalah seni.

Forum budaya ini telah diadakan sempena Festival Kebudayaan Nedgeri Selangor 2012 di Pentas Terbuka Pantai Morib

Sebenarnya, kesedaran mengenai keindahan adalah satu faktor yang amat penting dalam Islam. Antara faktor yang penting dalam seni ialah hakikat, ketulenan/kesucian, kejujuran dan semua ini terjalin dalam jiwa orang-orang Islam. Seni menjadi bahan perantaraan yang menghubungkan satu jiwa pencipta dengan satu jiwa lain, iaitu pengamat. Sukar untuk mentakrifkan seni secara tepat sesukar untuk menerangkan konsep keindahan dan kesenangan itu sendiri. Al-Farabi menjelaskan bahawa seni sebagai ciptaan yang berbentuk keindahan. Al-Ghazali pula menjelaskan seni dengan maksud kerja yang berkaitan dengan rasa jiwa manusia yang sesuai dengan fitrahnya.

Saudara Zainal Mohd Jais, menjelaskan kesenian dari aspek antropologi

Sementara kesenian Islam pula adalah kesinambungan daripada kesenian pada zaman silam yang telah berkembang dan dicorakkan oleh konsep tauhid yang tinggi kepada Allah s.w.t. Kesenian Islam memiliki khazanah sejarahnya yang tersendiri dan unik. Kesenian Islam terus berkembang di dalam bentuk dan falsafahnya yang berorientasikan sumber Islam yang menitikberatkan kesejajaran dengan tuntutan tauhid dan syarak.

Sebahagian dari penonton yang hadir

Menurut perspektif Islam, daya kreatif seni adalah dorongan atau desakan yang diberikan oleh Allah yang perlu digunakan sebagai bantuan untuk ‘memeriahkan’ kebesaran Allah. Berseni haruslah bermatlamatkan kepada perkara-perkara makruf (kebaikan), halal, dan berakhlak. Jiwa seni mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa dalam membentuk seni adalah menurut kesucian fitrahnya yang dikurniakan Allah s.w.t. Fungsi seni lebih kurang sama dengan akal supaya manusia menyedari perkaitan antara alam, ketuhanan dan rohani atau dengan alam fizikal. Lantas ia menyedari keagungan Tuhan dan keunikan penciptaan-Nya.

Konsep kesenian menurut perspektif Islam ialah membimbing manusia ke arah konsep tauhid dan pengabadian diri kepada Allah s.w.t. Seni dibentuk untuk melahirkan manusia yang benar-benar baik dan beradab. Motif seni bermatlamatkan kebaikan dan berakhlak. Selain itu, seni juga seharusnya lahir sebagai satu proses pendidikan yang bersifat positif dan tidak lari daripada batas-batas syariat.

Menurut perspektif Islam, daya kreatif seni adalah dorongan atau desakan yang diberikan oleh Allah yang perlu digunakan sebagai bantuan untuk ‘memeriahkan’ kebesaran Allah. Berseni haruslah bermatlamatkan kepada perkara-perkara makruf (kebaikan), halal, dan berakhlak. Jiwa seni mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa dalam membentuk seni adalah menurut kesucian fitrahnya yang dikurniakan Allah s.w.t.

Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada seluruh manusia tanpa mengenal bangsa yang bersumberkan al-Quran, Sunnah dan Ijma’ Ulama. Islam adalah agama yang nyata (waqi’e) dan sesuai dengan fitrah manusia, pada semua tempat, zaman dan situasi menepati citarasa, kehendak, sifat, keinginan, nafsu, perasaan dan akal fikiran manusia.

Jelas bahawa seni dan budaya yang saya dan rakan-rakan yang lain laksanakan bukanlah berkedokkan Barat. Mengikut kebudayaan Barat, seni sebenarnya tiada hubungan dengan agama. Ini adalah disebabkan oleh dasar sekularisme yang mengasingkan hal keduniaan dengan agama. Walau bagaimanapun seni masih dianggap sebagai sesuatu yang ideal dan berkaitan dengan moral. Seni juga boleh dibahagi dengan dua tujuan iaitu seni untuk seni dan seni untuk masyarakat, di mana seni untuk seni adalah bertujuan untuk seni sahaja dan orang mencipta seni ini dibebaskan untuk apa-apa tujuan sama ada mengandungi unsur baik atau jahat. Manakala seni untuk masyarakat pula menyatakan bahawa seni dicipta untuk sesuatu tujuan maka ianya mestilah difahami oleh masyarakat yang digunakan untuk kemasyarakatan, politik dan akhlak.

Saudara Rafie Jafrani, Pegawai Kebudayaan dari Jabatan Kesenian dan Warisan Negara selaku pengacara majlis


Eugene Johnson dalam ’The Encyclopedia Americana’ menjelaskan seni (art) sebagai kemahiran, misalnya seni pertukangan yang membawa erti kemahiran pertukangan. Dari segi istilah ilmu berkebudayaan, ia membawa erti sebagai segala sesuatu yang indah. Keindahan yang dapat menggerakkan jiwa, kemesraan, menimbulkan keharuan, ketakjuban, kesenangan atau sebaliknya iaitu dendam, benci, cemas dan sebagainya.

Keindahan merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah s.w.t lantas segala yang diciptakan-Nya juga merupakan pancaran keindahanNya. Manusia dijadikan sebagai makhluk yang paling indah dan paling sempurna.

Drs. Sidi Gazalba dalam bukunya ‘Pandangan Islam Tentang Kesenian’ menjelaskan bahawa kesenian adalah sebahagian daripada kebudayaan yang dicetuskan oleh sesuatu kelompok manusia kerana setiap kelompok masyarakat mempunyai fitrah semulajadi yang cinta kepada seni yang menyenangkan hati melalui pancaindera yang lima. Justeru itu, manusia dikatakan sebagai makhluk seni yang cinta kepada sesuatu yang selamat, memuaskan dan memberi kepuasan melalui pancaindera. Seni secara ringkasnya dapat dibahagikan kepada empat bahagian utama:

1. Seni melalui pendengaran seperti muzik, deklamasi puisi, prosa, senia suara dan sebagainya.
2. Seni yang diperolehi melalui penglihatan mata seperti seni lukis, seni hias, seni bina, seni pakaian dan sebagainya.
3. Seni yang dapat diperolehi melalui pendengaran dan penglihatan seperti drama, tablo, teater, filem dan sebagainya.
4. Seni yang dinikmati melalui pembacaan seperti hasil karya sastera yang berbentuk puisi dan prosa.

Kesenian adalah satu keindahan yang dapat menggerakkan jiwa, kemesraan, menimbulkan keharuan, ketakjuban, kesenangan atau sebaliknya iaitu dendam, benci, cemas dan sebagainya.

Seni Islam merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam dan perbezaan antara seni Islam dengan bukan Islam ialah dari segi niat atau tujuan dan nilai akhlak yang terkandung dalam hasil seni Islam. Pencapaian yang dibuat oleh seni Islam itu juga merupakan sumbangan daripada tamadun Islam di mana tujuan seni Islam ini adalah kerana Allah s.w.t. Walaupun seni merupakan salah satu unsur yang disumbangkan tetapi Allah melarang penciptaan seni yang melampaui batas. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ’Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas.’

Keindahan merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah s.w.t lantas segala yang diciptakan-Nya juga merupakan pancaran keindahanNya. Manusia dijadikan sebagai makhluk yang paling indah dan paling sempurna. Bumi yang merupakan tempat manusia itu ditempatkan juga dihiasi dengan segala keindahan. Allah s.w.t bukan sekadar menjadikan manusia sebagai makhluk yang terindah tetapi juga mempunyai naluri yang cintakan keindahan. Di sinilah letaknya keistimewaan manusia yang tidak dimiliki oleh makhluk lain sama ada malaikat, jin dan haiwan. Konsep kesenian dan kebudayaan dalam Islam berbeza dengan peradaban Islam yang lain.

Dalam pembangunan seni, kerangka dasarnya mestilah menyeluruh dan meliputi aspek-aspek akhlak, iman, matlamat keagamaan dan falsafah kehidupan manusia. Seni mestilah merupakan satu proses pendidikan yang bersifat positif mengikut kaca mata Islam, menggerakkan semangat, memimpin batin dan membangunkan akhlak. Ertinya seni mestilah bersifat ’Al-Amar bil Makruf dan An-Nahy ‘an Munkar’ (menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran) serta membangunkan akhlak masyarakat, bukan membawa kemungkaran dan juga bukan sebagai perosak akhlak ummah. Semua aktiviti kesenian manusia mesti ditundukkan kepada tujuan terakhir (keredhaan Allah dan ketakwaan). Semua nilai mestilah ditundukkan dalam hubungan-Nya serta kesanggupan berserah diri. Seni juga seharusnya menjadi alat untuk meningkatkan ketakwaan.

Prinsip-prinsip (ciri-ciri) Kesenian Islam
  1. Mengangkat martabat insan dengan tidak meninggalkan nilai-nilai kemanusiaan dan nilai-nilai persekitaran dan sejagat. Alam sekitar galerinya, manakala manusia menjadi seniman yang menggarap segala unsur kesenian untuk tunduk serta patuh kepada keredhaan Allah s.w.t.
  2. Mementingkan persoalan akhlak dan kebenaran yang menyentuh aspek-aspek estetika, kemanusiaan, moral dan lain-lain lagi.
  3. Kesenian Islam menghubungkan keindahan sebagai nilai yang tergantung kepada keseluruhan kesahihan Islam itu sendiri. Menurut Islam, kesenian yang mempunyai nilai tertinggi ialah yang mendorong ke arah ketakwaan, kemakrufan, kesahihan dan budi yang mantap.
  4. Kesenian Islam terpancar daripada wahyu Allah, sama seperti undang-undang Allah dan Syariat-Nya. Maknanya ia harus berada di bawah lingkungan dan peraturan wahyu. Ini yang membezakan kesenian Islam dengan kesenian bukan Islam.
  5. Kesenian Islam menghubungkan manusia dengan tuhan, alam sekitar dan sesama manusia dan juga makhluk.
Islam tidak pernah menolak kesenian selagi dan selama mana kesenian itu bersifat seni untuk masyarakat dan bukannya seni untuk seni. Terdapat lima hukum dalam seni jika diperincikan. Antaranya:

  1. Wajib: Jika kesenian itu amat diperlukan oleh muslim yang mana tanpanya individu tersebut boleh jatuh mudarat seperti keperluan manusia untuk membina dan mencantikkan reka bentuk binaan masjid serta seni taman (landskap) bagi maksud menarik orang ramai untuk mengunjungi rumah Allah s.w.t tersebut.
  2. Sunat: Jika kesenian itu diperlukan untuk membantu atau menaikkan semangat penyatuan umat Islam seperti dalam nasyid, qasidah dan selawat kepada Rasulullah s.a.w yang diucapkan beramai-ramai dalam sambutan Maulidur Rasul atau seni lagu (tarannum) al-Quran.
  3. Makruh: Jika kesenian itu membawa unsur yang sia-sia (lagha) seperti karya seni yang tidak diperlukan oleh manusia.
  4. Harus: Apa saja bentuk seni yang tidak ada nas yang mengharamkannya.
  5. Haram: Jika kesenian itu berbentuk hiburan yang:Melekakan manusia sehingga mengabaikan kewajipan-kewajipan yang berupa tanggungjawab asas terhadap Allah s.w.t khasnya seperti ibadah dalam fardhu ain dan kifayah.
  • · Memberi khayalan kepada manusia sehingga tidak dapat membezakan antara yang hak (betul) dan yang batil (salah).
  • · Dicampuri dengan benda-benda haram seperti arak, judi, dadah dan pelbagai kemaksiatan yang lain.
  • · Ada percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti pergaulan bebas tanpa batas dalam bentuk bersuka-suka yang melampau.
  • · Objek atau arca dalam bentuk ukiran yang menyerupai patung sama ada dibuat daripada kayu, batu dan lain-lain.
  • · Disertai dengan peralatan muzik yang diharamkan oleh Islam seperti alat-alat tiupan, bertali, tabuhan yang bertutup di bahagian atas dan bawah serta alat-alat muzik dari tekanan jari. Sesetengah ulama mengatakan harus hukumnya jika digunakan untuk pendidikan dan tidak menarik kepada konsep al-Malahi (hiburan yang keterlaluan) juga alat-alat muzik di atas boleh digunakan untuk tujuan dakwah Islamiyyah, seperti yang pernah dibuat oleh Rabiatul Adawiyyah.
  • · Seni yang merosakkan akhlak dan memudaratkan individu atau yang berbentuk tidak bermoral seperti tarian terkini (kontemporari).
  • · Jenis-jenis seni yang dipertontonkan bagi maksud atau niat yang menunjuk-nunjuk dan kesombongan.
Ada segelintir anggota masyarakat yang menuduh bahawa seni budaya yang saya gelumangi ini haram dan dikutuk Allah Azzawajalla. Nauzubillah himinzalik. Semoga Allah s.w.t mengampunkan kita semua dan menghindarkan diri kita dari kesombongan yang melampau. Dalam semua perbuatan manusia biarlah Allah s.w.t yang menjadi neraca timbangannya. Janganlah kita sebagai manusia walaupun ada ketayap putih atas kepala sudah berasa bongkak untuk mengambil alih tugas Allah s.w.t menjatuhkan hukum kepada orang lain.

Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan