Mendalami Penulisan Kreatif
SMAHADZIR
Penulisan kreatif ialah apa-apa penulisan yang bertujuan untuk menyatakan pemikiran, perasaan, dan emosi, berbanding dengan hanya memberikan maklumat. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai:
- Pengungkapan pemikiran dan perasaan penulis dengan cara yang imaginatif, seringnya unik, dan indah bunyinya (takrif Sil.org);
- Satu bentuk kebebasan peribadi. Ia membebaskan kita daripada identiti khalayak yang mengelilingi kita. Pada hakikatnya, penulis menulis bukan untuk menjadi pujaan tetapi terutamanya untuk menyelamatkan diri supaya dapat hidup sebagai individu (takrif Don DeLillo);
- Mana-mana kerja yang kadangkala susah dan mencabar, tetapi boleh mendatangkan banyak kepuasan.
Saya akan menumpukan fiksyen kreatif dalam tulisam ini, terutamanya cerpen dan novel, walaupun puisi, autobiografi, biografi, dan karya kreatif bukan fiksyen juga merupakan bentuk tulisan kreatif.
Bagaimana Bermula
Ramai orang berfikir bahawa kerana mereka membaca banyak cerita (atau walau jika mereka tidak pernah membaca), mereka mesti berupaya menulisnya. Tetapi sebagaimana yang ditulis oleh Nigel Watts: ‘Terdapat kepercayaan umum bahawa oleh sebab kebanyakan daripada kita kenal huruf dan fasih, maka tidak adanya keperluan bagi kita menjalani perantisan jika kita ingin menjadi seorang tukang kata yang berjaya.’
Itu juga yang saya fikirkan sehingga saya cuba menulis novel yang pertama. Tidak lama kemudian, saya mendapati bahawa novel, seperti sebuah perabot, memiliki keperluan tersendiri, dengan hukum pembinaan yang perlu dipelajari. Kerana saya telah membaca banyak novel tidak bermakna bahawa saya berupaya menulisnya, iaitu sama logiknya dengan saya tidak semestinya berupaya membina kerusi hanya kerana saya selalu duduk di atasnya. Begitu cuplikan kata-kata yang saya petik dari Nigel Watts, melalui bukunya Teach Yourself Writing A Novel.
Sesungguhnya, jika anda berminat, anda boleh terus mencuba: tetapi jangan berasa terlalu kecewa jika usaha sulung anda tidak sebaik seperti yang diharap-harapkan. Bagi memperluaskan metafora Watt, anda mungkin mendapati bahawa kerusi yang anda bina itu tidak kukuh. Terdapat banyak buku bahasa Inggeris yang baik yang disasarkan pada penulis fiksyen baharu, dan saya amat mengesyorkan pembelian atau peminjaman salah satu daripada yang berikut:
- Wannabe a Writer? - Jane Wenham-Jones
- Teach Yourself... Writing a Novel - Nigel Watts
- How to Write Fiction and Think About It - Robert Graham
- On Writing - Stephen King
Saya juga mengesyorkan permulaan secara kecil-kecilan. Berbanding dengan memulakan sebuah trilogi fantasi epik, satu saga keluarga yang menjangkau lima generasi, atau satu siri pengembaraan... cubalah cerpen atau puisi. Dan jika anda mendapati bahawa anda menggigit-gigit pen anda atau merenung helaian kertas (atau skrin kosong) selama berjam-jam, cubalah cetuskan penulisan anda dengan latihan ringkas. Jangan terhenti-henti dan terlalu memikirkan tentangnya... cuma teruskan, jangan bimbang akan mutu karya yang anda hasilkan.
Petua Dan Cara Pintas Untuk Pemula
Buatlah sebilangan latihan ringkas untuk meregangkan otot penulisan anda - jika anda kekurangan idea, banyakkan membaca. Ramai penulis kreatif yang baharu tiba-tiba mendapati bahawa mencuci pinggan atau merumput di kebun kelihatan jauh lebih menarik, berbanding dengan usaha duduk dan menulis. Paksakanlah diri anda mengatasi keraguan yang awal dan usaha menulis benar-benar akan menjadi lebih mudah. Cubalah menjadikan penulisan setiap hari suatu kebiasaan, walau jika ia hanya selama sepuluh minit.
Jika anda menghadapi kesulitan untuk mendapatkan idea, bawalah buku nota ke mana-mana dan menulis pemerhatian anda. Anda akan mendapatkan ayat dialog yang unggul jika anda sentiasa memasang telinga di dalam bas atau di dalam kedai kopi, dengan frasa yang luar biasa kadang-kadang dicetuskan oleh sesuatu yang anda lihat atau hidu.
Rancanglah waktu anda yang paling kreatif. Bagi ramai penulis, waktu ini merupakan awal pagi - sebelum semua tuntutan hari bergelut untuk mendapatkan perhatian. Sebaliknya, ada juga yang menulis dengan paling baik pada lewat malam selepas kesemua anggota keluarga sudah tidur. Jangat takut menguji kaji!
Jangan rasa terseksa mendapatkan tulisan anda secara betul buat pertama kali. Semua penulis harus menyemak dan menyunting karya mereka - adalah jarang bahawa sesebuah cerita, adegan, atau juga ayat dapat dihasilkan dengan sempurna buat pertama kali. Setelah anda menyiapkan draf pertama, biarkannya selama beberapa hari. Kemudian kembali kepada draf anda dengan perasaan yang segar, pen merah di tangan. Jika anda berasa cerita anda bermasalah tetapi tidak dapat menentukannya, mintalah penulis sesama membaca dan memberikan maklum balas.
Berseronok-seronok! Kadang-kadang, kita selaku penulis boleh berasa bahawa karya kita merupakan kerja yang membosankan, sesuatu yang ‘mesti’ dilakukan, atau sesuatu yang perlu ditangguhkan selama mana yang mungkin. Jika jalan cerita anda tidak masuk akal, atau watak anda mengakibatkan anda menangis dan anda yakin bahawa seorang budak berumur lima tahun dengan krayon dapat menulis prosa yang lebih baik... hentilah sekejap. Mulakanlah projek yang baharu sama sekali, projek yang dilakukan semata-mata untuk keseronokan. Tulislah puisi atau ‘kisah mini’ sepanjang 60 perkataan. Karya yang ringkas sebegitu dapat membantu apabila cerita anda yang lebih panjang menghadapi kebuntuan.
Proses Penulisan Kreatif
Menghasilkan cerpen atau novel, seharusnya merupakan sesuatu yang menyeronokkan, biarpun agak sukar. Biarpun terdapat pelbagai panduan di sepanjang anda cuba menghasilkan karya, pada dasarnya semua pun bergantung pada anda juga.
Menghasilkan sebuah cerpen atau novel; tidak seperti menangani sebuah jentera mesin, misalnya, atau masak rendang ayam – ia bukan suatu kemahiran yang boleh dipelajari. Tiada satu pun piawai untuk menentukan cara bagaimana hendak melakukannya, juga sama ada apa yang buat itu yang terbaik ataupun tidak. Juga, tak bermakna sekali anda telah menghasilkan karya terbaik, tidak bermakna karya-karya anda yang seterusnya akan sebaik yang pertama. Yang pasti, hampir keseluruhan proses penulisan kreatif itu sendiri penuh dengan misteri, dan selalunya tanpa syarat.
Tetapi, itu tidak bermakna sebarang panduan penulisan itu tidak bermakna atau mempunyai nilai sama sekali. Malah, ia sama sekali sebaliknya. Mempunyai keinginan menghasilkan karya penulisan kreatif, terutama sekali apabila anda belum ada satu pun karya cerpen atau novel yang telah dicetak, sama seperti anda sedang mengidam untuk makan sesuatu yang sukar diperolehi, padahal anda belum pun hamil! Mujur juga, bukan anda seorang saja yang menghadapi masalah ini, kerana ramai lagi yang penderita yang menghadapi masalah yang sana di luar sana.
Setelah lebih 20 tahun saya menceburi bidang penulisan kreatif, setelah lebih 300 buah buku diterbitkan dalam pelbagai genre, ia banyak membantu mematangkan saya dalam dunia ini.
Kata John Irving; menulis novel, tanpa mengetahui akan penamatnya, adalah orang dungu dan pekak. Sebuah novel, katanya lagi, menceritakan sesuatu yang sudah berlaku dan untuk itu anda tidak boleh saja-saja mencipta sesuatu yang lain, di sepanjang penulisan novel tersebut.
Oh, betulkah? Soal saya, ketika membaca komennya. Nasib baik saya tidak membaca komen beliau tentang perkara itu, sebelum saya menghasilkan novel-novel saya. Bagaimanapun, saya rasa, setiap orang, mempunyai caranya yang tersendiri bagaimana hendak menghasilkan karya kreatifnya. Termasuk John Irving.
Kemudian, menurut El Doctorow pula; ‘Seseorang penulis perlu ada suara hati sendiri yang bergelora di dalam dadanya untuk mendorong dia untuk menyiapkan sesuatu karya dan berkarya terus. Ia adalah satu rahsia terpendam setiap penulis, bahawa bahasa mendahului niat.’
Saya tidak memulakan dengan apa-apa perancangan. Sebenarnya, inilah juga cara saya menghasilkan karya saya. Bukankah pendapat El Doctorow itu, sangat bertentangan dengan John Irving?
Namun, setelah difikir-fikirkan semula, mungkin apa yang mereka maksudkan sama saja; bentuk dan gaya penulisan sesebuah cerpen atau novel itu ditentukan oleh pemikiran yang sebelumnya, cara bagaimana sesuatu bahan cerita didekati dan diangkat dalam sesebuah karya, kiranya tidak kurang penting juga. Malah, mungkin lebih penting daripada bahan cerita itu sendiri.
Proses penulisan kreatif memang sangat sukar. Ibaratkan seorang wanita hamil; dia terpaksa melalui proses kehamilan 9 bulan 10 hari biasanya. Dari seorang wanita ke seorang wanita lain, melalui proses kehamilan itu dengan cara yang berbeza; ada yang muntah-muntah, migrain, mengidam makanan aneh-aneh atau yang terlarang dan sebagainya, di sepanjang waktu kehamilan. Begitu juga dengan penulis; juga menghadapi pelbagai masalah semasa dalam proses penulisan kreatifnya – bukan sekadar 9 bulan bulan dan 10 hari saja, mungkin bertahun-tahun yang menekan dan kadang-kadang mengecewakan; itu tidak termasuk diserang `writers block’ tiba-tiba, sewaktu sedang berkarya!
Kemudian, mungkin dengan tidak sengaja, apabila anda mula menulis, ada pula ahli keluarga yang berasa tersisih dan tidak dipedulikan oleh anda. Itu tidak termasuk dengan pengorbanan demi pengorbanan yang perlu dilakukan, terutama sekali bagi penulis yang baru menjinakkan diri dalam dunia penulisan kreatif ini. Misalnya, jika sebelum ini, sebaik pulang dari kerja dan menunaikan solat, masak, makan dan sebagainya - anda tidak boleh duduk santai sambil menonton tv atau menghantar posting di mana-mana forum seperti biasa. Sebaliknya, masa yang mungkin hanya 2 jam itu, anda gunakan sepenuhnya untuk ditumpukan kepada karya anda. Tidak perlu tulis banyak-banyak dalam satu masa, 5 muka surat sehari sudah memadai.
Yang pasti, hanya dengan keazaman yang teguh, kesabaran yang bukan alang kepalang dan percaya pada apa perjuangan/mesej yang ingin kita sampaikan lewat karya itu saja, yang boleh mempastikan sesebuah karya kreatif boleh siap dengan sempurnanya.
Mula Menulis Kreatif
Penulisan kreatif merupakan bagaimana cara seseorang melakukan peluang yang terdapat di dalam suatu pola fikir sehingga mampu membuat sebuah kerangka tulisan. Tulisan yang memiliki daya tarik tersendiri dan bahasa yang digunakan dalam penulisan enak untuk dilihat dan dibaca, sehingga tidak membuatkan para pembaca menjadi jemu dan jelak terhadap tulisan yang telah dibuat.
Dari apa yang telah saya alami setiap kali menghasilkan sesebuah penulisan, sehingga menjadi penulisan kreatif, penulisan memilik 6 langkah agar menciptakan tulisan yang kreatif dan mampu difahami pembaca.
- Pertama, penguasaan bahasa dan cara menulis. Seperti ketika kita menggunakan bahasa yang standard dengan ketentuan yang ada, boleh diperindahkan dalam melakukan penulisan namun dalam konteks yang mampu difahami oleh para pembaca. Dengan cara menulis yang baik kita harus mampu menempatkan tulisan sesuai dengan apa yang telah terjadi sehingga tulisan itu tidak bersifat lambat dan tidak membuatkan pembaca menjadi jemu.
- Kedua, menulis dengan bahan. Mulailah menulis dengan bahan yang diketahui dan disukai sehingga mampu membuat alur cerita di dalam tulisan menjadi berkesinambungan dan tidak berbelit-belit, sehingga mampu memadukan antara kerangka tulisan, dan mampu menghasilkan cara atau gaya penulisan menjadi tulisan kreatif yang subjektif.
- Ketiga, tulisan dengan paragraf yang pendek. Usahakan dalam melakukan tulisan kreatif bahasa penulisan yang digunakan pendek dan terus ke inti dari apa persoalan yang akan kita angkat.
- Keempat, kekuatan kata dalam tulisan. Hindarkan kata-kata yang boros dalam melakukan setiap kali penulisan, melakukan penulisan kreatif harus sesuai kaedah yang telah berlaku selama ini.
- Kelima, hindari pemborosan kata. Jangan terlalu banyak mengulang-ulang kata yang telah kita tulis sehingga pembaca menjadi jemu.
- Yang terakhir iaitu manfaatkan gaya penulisan. Gunakan bahasa sendiri dan jangan menggunakan bahasa atau gaya orang lain dalam melakukan penulisan sehingga tulisan kita mampu dikenali para pembaca dan menjadikan itu gaya bahasa dan ciri tulisan kita sendiri.
Kembangkan potensi menulis yang kita miliki sehingga mampu menciptakan sebuah tulisan yang kreatif sehingga tulisan itu mampu dikembangkan dan difahami oleh para pembaca.
Dari langkah-langkah yang telah dibuat di atas, penulisan kreatif itu merupakan sebuah inspirasi yang mampu timbul dalam sebuah refleks tertentu sehingga mampu menimbulkan idea-idea atau gagasan baru dalam pembuatan tulisan namun dalam kontens yang ada. Dalam membuat sebuah penulisan kreatif banyak kendala yang dihadapi dari seorang penulis, kendala yang membuatkan tulisan ini menjadi sukar untuk difahami erti dan makna bagi para pembaca.
Kecendurangan ini sering dirasakan, kerana penulis dalam mengeja dan menggunakan imbuhan yang ada sering berlebih-lebihan sehingga tulisan terkesan lebih membosankan bagi para pembaca. Seseorang yang baru belajar menulis, kemalasan yang dirasakan sering timbul akibat kurangnya kepercayaan diri dalam membuat suatu tulisan, sehingga memperlambankan kerja dan berita yang disampaikan lebih cenderung telah didahului oleh orang lain.
Tulisan di atas merupakan salah satu cara untuk berbahagi cerita di dalam melaksanakan sebuah cara melakukan penulisan kreatif sehingga mampu menyesuaikan dengan tulisan kreatif yang dahulu telah pernah dilakukan oleh orang lain.
Menguasai Bahasa Kreatif
Bagaimanakah keupayaan bahasa anda sebelum menulis? Adakah anda sudah berupaya menguasai bahasa dengan baik sebelum menghasilkan sesebuah novel umpamanya?
Ramai penulis menganggap novel Bumi Manusia, Rumah Kaca dan Anak Semua Bangsa karya Pramoedya Ananta Toer memiliki keupayaan bahasa yang mengkagumkan. Walaupun anda tidak memiliki keupayaan bahasa yang tinggi, itu bukanlah satu masalah besar jika anda mahu menulis novel. Pengalaman menulis lama kelamaan akan memberikan input keupayaan dan penguasaan bahasa anda supaya lebih baik.
Oleh kerana menulis memerlukan daya ingatan yang kreatif, penguasaan bahasa yang kreatif juga perlu kerana penulisan kreatif berbeza dengan penullisan deskrektif. Penulisan kreatif memerlukan penguasaan bahasa yang baik kerana ia juga akan menghasilkan karya yang baik.
Penilaian sesebuah cerpen atau novel bukan sahaja bergantung kepada cerita, plot, tema dan sebagainya tetapi penguasaan bahasa juga penting. Sesiapa yang mendalami dunia penulisan kreatif akan merasai kelainan penguasaan bahasa yang digunakan di dalam bilik darjah. Ia amat berbeza dengan cara penulisan bercorak akademik atau keagamaan. Bagaimanapun, ini bukan bermakna penulisan kreatif mengetepikan hukum-hakam akademik dalam bahasa.
Cuma apa yang penting, teknik penulisan kreatif dan bukan kreatif mempunyai perbezaan yang dapat dikesan. Kebijaksanaan penulis memanipulasi bahasa bukan bermakna merosakkan bahasa tetapi bahasa akan menjadi lebih indah kerana kreatifnya penulis untuk menggambar sesuatu berbeza dengan bukan penulis.
Sebagai contoh:
- Bukan kreatif - Matahari telah terbit dari sebelah timur dan sinarnya tidak begitu panas. Embun sudah lama kering.
- Penulisan kreatif - Sinar mentari menguak dari sebelah timur. Cahayanya iseng-iseng menembusi pepohonan menghijau yang bertenggek di celah perbukitan. Titisan embun sudah lama melangkah pergi sebaik sahaja mentari perlahan-lahan menumpahkan sinarnya.
Proses Kreatif
Saya tidak pasti jumlah sebenar cerpen saya yang sudah disiarkan di pelbagai media sejak saya mula menulis sehingga kini. Cuma pada kali terakhir saya membuat anggaran kira-kira empat tahun lalu, lebih 120 buah cerpen sudah disiarkan termasuk dibukukan. Saya memang pernah membuat catatan mengenai penyiaran cerpen-cerpen saya seperti judul, tarikh disiarkan dan media yang menyiarkan. Tetapi catatan itu hilang dan sejak itu saya tidak mencatat tetapi keratan cerpen yang sudah disiarkan itu, saya ada menyimpannya untuk koleksi.
Manakala salinan cerpen asal (carbon copy) hampir separuh sudah hilang entah ke mana. Semua ini akibat berpindah rumah dan mengemas dan terlupa di mana disimpan. Bagaimanapun sebahagiannya masih dapat disimpan. Menggunakan mesin taip merupakan cara yang sangat popular ketika itu untuk menulis. Oleh kerana mesin fotokopi pun masih belum meluas penggunaannya ketika itu, apabila menaip cerpen terpaksa membuat salinan dengan menggunakan karbon. Salinan asal untuk dihantar ke akhbar atau majalah, sementara salinannya disimpan sebagai rujukan.
Apabila penggunaan komputer untuk menulis diperkenalkan, saya di antara yang tidak mahu ketinggalan memiliki set komputer waktu itu. Ketika itu komputer masih menggunakan Wordstar dan menggunakan disket yang besar. Kerja-kerja menulis lebih mudah sedikit kerana tidak mencetuskan bunyi bising berbanding mesin taip. Meskipun menggunakan komputer, masalah untuk menyimpan salinan cerpen, tetap timbul.
Biarpun dokumen boleh disimpan di cakera keras, cekera liut dan disket ada ketikanya komputer mengalami proses kehadiran versi terbaru menjadikan komputer lama menjadi kurang kelajuannya. Apabila bertukar kepada komputer yang lebih baru, adakalanya data-data di dalam komputer lama tidak dapat dipindahkan. Lebih menyedihkan, salinan cerpen yang disimpan di dalam cakera liut dan disket tidak dapat digunakan pada komputer baru. Saya masih menyimpan data-data cerpen yang sudah disiarkan di dalam disket tetapi malangnya, ia tidak boleh digunakan lagi. Ini bermakna satu lagi bahan dokumentasi sudah berkubur.
Apabila saya diminta untuk menulis bagaimana proses menulis cerpen bermula, saya tidak ada lagi salinan asal cerpen melainkan keratan akhbar yang menyiarkannya. Sikap saya sejak dahulu lagi, tidak gemar untuk menaip semula perkara yang sama kerana bagi saya, ia membuang masa.
Sememangnya di antara banyak-banyak cerpen yang sudah dihasilkan, proses kreatif untuk mengarang cerpen-cerpen itu tidak ada yang sama. Ada sebahagiannya, idea datang spontan malah ada juga yang terpaksa mendapatkan bahan-bahan rujukan sebelum menulis cerpen dilakukan.
Proses menulis cerpen sejak dahulu sehingga sekarang, saya boleh kategorikan dengan tiga tahap.
1. Tahap pertama: Tahap awal menulis ketika pengalaman masih baru, pemilikan ilmu bantu tidak mencukupi dan menggunakan mesin taip.
2. Tahap kedua: Tahap pertengahan menulis ketika terlalu ghairah menulis dan menghasilkan cerpen tanpa putus-putus ketika penggunaan komputer baru diperkenalkan.
3. Tahap ketiga: Tahap ketika sudah mencapai kepuasan menulis dan menggunakan komputer yang serba memudahkan.
Pada peringkat awalan menulis, tidak dinafikan proses kepengarangan begitu rancak. Ada sahaja idea hendak ditulis. Di mana sahaja ada akhbar dan majalah yang menyediakan ruangan cerpen, saya pasti akan menembusi akhbar dan majalah itu. Justeru pelbagai majalah dan akhbar sudah menyiarkan cerpen saya.
Manakala pada tahap kedua penulisan, proses mengarang semakin laju. Malah pada satu ketika dalam catatan yang pernah saya buat, sebanyak 15 buan cerpen disiarkan sepanjang tahun. Ini bermakna cerpen saya disiarkan setiap bulan adakalanya dua cerpen disiarkan dalam masa sebulan.
Boleh dikatakan, semua majalah dan akhbar yang pernah diterbitkan dapat saya tembusi malah ada majalah dan akhbar yang pernah menyiarkan cerpen saya ini, sudah lama berkubur tanpa nisan. Bagaimanapun kemunculan majalah-majalah baru mutakhir ini tidak mencetuskan minat untuk saya menulis cerpen.
Pada tahap ketiga pula, proses menghasilkan cerpen menurun mendadak. Ini kerana ingin mahu menjaga kualiti cerpen di samping hanya mengirimkan cerpen-cerpen ke ahbar-akhbar utama dan diantologikan. Malah sebagai penulis yang sudah menempa nama dan anugerah, kewajaran ini perlu diambil kira untuk menjaga mutu penulisan.
Pada tahap ini, kepentingan kualiti cerpen lebih diutamakan. Ini menyebabkan dalam setahun, kadang-kadang tiada satu pun cerpen disarkan di akhbar dan majalah. Saya hanya mahu menghasilkan cerpen-cerpen yang berkualiti sahaja untuk menjaga kredibiliti. Pada satu tahap apabila cerpen sudah menembusi majalah terbitam DBP, saya mula mengambil keputusan untuk tidak menulis cerpen ke majalah-majalah. Saya berpendapat, peluang harus diberikan kepada penulis baru mendapat tempat di majalah.
Bagaimanapun faktor-faktor lain seperti keterbatasan masa, jauh daripada galakan teman-teman kerana masing-masing sudah membina kehidupan sendiri dan sebagainya menjadi pendorong ‘kemandulan’ karya ditambah pula sekian lama menulis cerpen pelbagai tema sudah digarap sehingalah seolah-olah sudah tiada lagi yang hendak ditulis. Mana mungkin mahu menulis perkara yang sama sedangkan semua itu sudah ditulis ketika mula-mula menulis cerpen sebelum ini.
Sebagai penulis cerpen, saya terlalu mengharapkan ada perubahan-perubahan terhadap cerpen yang pernah saya hasilkan. Saya tidak mahu menghasilkan karya yang streotaip sejak dahulu sehingga sekarang.
Jika ada orang bertanya, adakah saya sudah puas menulis?
Ya, saya sudah puas menulis. Bukan bermakna saya tidak mahu menulis lagi. Saya masih mahu menulis tetapi saya akan menulis apa yang belum pernah saya tulis sebelum ini. Malah apabila ditanya, mengapa sudah lama tidak berkarya, saya lebih senang memberikan jawapan, agar peluang lebih diberikan kepada penulis baru yang berebut-rebut mendapatkan tempat. Apabila sudah sampai ke satu tahap, ada editor yang menelefon mahukan cerpen saya, bermakna saya bukan lagi sukar untuk mendapatkan tempat dan tidak perlu berebut dengan penulis yang baru menempa nama.
Saya tahu mereka juga sukar untuk bersaingan dengan penulis yang sudah mapan. Lalu apa salahnya beri mereka peluang mencipta nama?
Ada juga cerpen yang saya tulis memakan masa sebulan lebih atau dua tiga jam sahaja. Semuanya bergantung kepada idea, mood dan ilmu bantu yang mencukupi untuk menyiapkan sesebuah cerpen. Kebiasaan pada waktu malam, waktu yang sesuai untuk saya menulis cerpen. Saya tidak boleh menulis di dalam suasana yang agak bising. Malah sehingga kini pun saya masih menulis cerpen di dalam keadaan dan sunyi. Sunyi memudahkan idea datang dan menyelinap dalam ruang fikiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan