Selasa, 18 Oktober 2011

Pertahan Pusaka Nusantara

SMAHADZIR

SENI pembuatan, keindahan dan tarikan dimiliki tekstil ‘ikat’ menjadikannya cukup popular dalam kalangan masyarakat beberapa negara seperti Argentina, Bolivia, Ecuador, Guatemala, Mexico, Uzbekistan, India dan Jepun. Di kepulauan Sumba, Indonesia, ikat dikenali Ikat Hinggi dilihat berkait rapat dengan budaya masyarakatnya sehingga dianggap khazanah yang cukup disanjung, dihargai serta dipelihara sehingga saat ini.

Malaysia pula berbangga dengan ikat dinamakan Pua Kumbu, tekstil popular dimonopoli kaum Iban di Sarawak yang menjadi lambang keunikan budaya dan kebanggaan masyarakatnya. Kerana corak yang cantik dan unik, ditambah pula penghasilannya yang amat halus menggunakan teknik tenunan, Ikat Hinggi dan Pua Kumbu menjadi antara ikat paling diminati. Namun, jika tiada usaha memperkenalkannya secara lebih meluas, tidak mustahil dua pusaka nusantara ini bakal lenyap ditelan peredaran zaman.

Proses pembuatan Ikat Hinggi.

Menyedari ikat khazanah nusantara yang sangat bernilai, Muzium Tekstil Negara dengan kerjasama Cultural Impact kini menganjurkan Pameran Ikat Keramat: Dari Pusaka Ke Perdagangan di Galeri Saindera secara percuma. Pameran tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai terutama golongan muda terhadap sejarah dan budaya penting nusantara, sekali gus memupuk rasa cinta serta menghargai khazanah negara. Pengunjung juga berpeluang membeli hasil tenunan di sini sebagai koleksi.

Rambu Ata menunjukkan cara menenun Ikat Hinggi.

Sukarelawan Cultural Impact, Marie Christine Tseng, berkata lebih 50 koleksi Ikat Hinggi dan Pua Kumbu dipamerkan sepanjang program itu, setiap satu lengkap dengan penerangan terperinci.Ada di antara tekstil itu koleksi peribadi saya sendiri yang dikumpul ketika menetap tiga tahun di Indonesia manakala sebahagian lagi milik Muzium Negara. Keistimewaan Pua Kumbu jelas terlihat pada kombinasi warna kemerah-merahan pada tenunan itu dan biasanya, corak ditenun bermotifkan hidupan seperti tumbuh-tumbuhan, binatang seperti cicak serta buaya selain manusia. Bagaimanapun sekarang, penenun lebih tertumpu menghasilkan motif moden seperti corak geometrik,’ katanya.

Katanya lagi, Pua Kumbu yang dihasil dan digunakan secara meluas di Sarawak sebenarnya bermaksud ‘selimut’ bagi perkataan Pua dan ‘membaluti’ untuk Kumbu, namun hakikatnya tekstil itu turut dijadikan pakaian tradisi termasuk skirt, cawat, jaket dan kain selempang. Ia turut digunakan secara meluas dalam upacara adat istiadat, majlis keraian serta acara keagamaan seperti kelahiran anak dan penutup mayat sebelum pengebumian.

Antara koleksi yang dipamerkan di Pameran Ikat Keramat.


Menurutnya, Ikat Hinggi pula mempunyai banyak persamaan dengan Pua Kumbu seperti bermotifkan hidupan dan geometrik serta menggabungkan warna alam semula jadi. ‘Istimewanya, motif Ikat Hinggi yang banyak digunakan bagi acara perkahwinan masyarakat setempat dan penutup mayat sebelum pengebumian, biasanya tercetus melalui mimpi seseorang. Bagi saya, kedua-dua tekstil ini sangat bernilai kerana memaparkan keindahan dan nilai estetika yang tinggi, jadi ia seharusnya dihargai terutama oleh penduduk negara yang kaya dengan tekstil sebegini,’ katanya.


Pameran khas tenunan warisan Pua Kumbu, Ikat Hinggi

Justeru, beliau meminta orang ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi pameran berkenaan yang pastinya menawarkan pengalaman berharga terutama dalam menambah ilmu berkaitan budaya bangsa. Akuinya, rata-rata generasi muda sama ada di negara ini atau Indonesia kurang meminati khazanah bangsa kerana kurang diberi galakan dan pendedahan berhubung keindahan serta kepentingannya.

‘Jadi, kami berharap ibu bapa membawa anak mereka ke pameran ini kerana ia faktor penting yang mampu menggalakkan minat generasi muda terhadap khazanah tekstil negara seperti ikat supaya dicintai dan dihargai selama-lamanya,’ katanya.

Sempena pameran itu juga, turut diadakan Forum Kisah Kebaya: Cerita Daripada Nyonya yang berlangsung semalam serta Forum Ikat Keramat: Dari Pusaka Ke Perdagangan pada jam 3 petang 30 Oktober 2011 yang akan menampilkan penceramah berpengalaman, Edric Ong dan Judi Knight Achjadi selain Tseng sendiri. Penganjur turut menyediakan sukarelawan untuk mengiringi rombongan pelajar, syarikat atau keluarga yang berhasrat melawat pameran berkenaan, tetapi perlu memaklumkannya terlebih dulu dengan menghubungi Muzium Tekstil.

Sementara itu, penenun Ikat Hinggi, Rambu Ata, 56, berkata pada awal kewujudannya, tekstil berkenaan hanya digunakan untuk acara berkaitan adat resam masyarakat setempat, bukan untuk dijual. Beliau yang berasal dari Timur Waingapu, Sumba menyifatkan Ikat Hinggi yang banyak dihasilkan penenun wanita, cukup istimewa kerana ia melambangkan keindahan dan kemegahan masyarakatnya.

‘Nilai setiap Ikat Hinggi bergantung pada saiz, corak atau tempoh ia dihasilkan kerana lebih besar saiz, banyak corak atau semakin lama usia, lebih mahal harganya sehingga mencecah ribuan ringgit. Warna Ikat Hinggi amat cantik dan nampak semula jadi kerana menggunakan warna asli bahan alam seperti daripada tumbuh-tumbuhan. Bagaimanapun, khazanah ini dikhuatiri tidak mampu bertahan jika tiada kesedaran tinggi dalam usaha memartabatkannya. Pada zaman ini, generasi muda termasuk di tempat saya kurang berminat mempelajari dan menceburi kemahiran ini, sebaliknya ramai berhijrah ke bandar untuk bekerja,’ katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan