Selasa, 18 Oktober 2011

Misteri Etnik: Berjanji Dengan Buaya

SMAHADZIR

TIADA perjanjian bertulis. Tiada saksi atau si penulis butiran perjanjian. Yang ada hanyalah perjanjian lisan yang tidak dimeterai dengan tandatangan antara pihak yang berjanji. Kandungan perjanjian itu cukup jelas. Anak cucu masyarakat etnik Orang Sungai yang mendambakan kehidupan mereka di sepanjang sungai, tidak kira walau di mana jua, tidak boleh diganggu apatah lagi dibaham oleh sang bedal.

Etnik Orang Sungai akur ‘Gegejanji Gunai Boya’

Adat orang berbudi lazimnya menuntut pihak yang menerima budi yang ditabur itu supaya akur kepada permintaan pihak yang menabur budi. Apatah lagi jika budi yang ditabur itu membabitkan nyawa. Bantuan yang dihulurkan si penabur budi membolehkan si penerima bantuan mampu terus menyaksikan generasinya kekal menikmati kehidupan zaman berzaman.

Meskipun tidak seratus peratus dipegang sebagai azimat kehidupan kini, berjanji dengan buaya atau dalam bahasa masyarakat etnik Orang Sungai disebut sebagai ‘gegejanji gunai boya’ (berjanji dengan buaya) tetap tersemat sebagai khazanah kisah nenek moyang Orang Sungai yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain.

Walaupun sedar hakikat perjalanan hidup ditentukan oleh Allah SWT, kebanyakan masyarakat etnik Orang Sungai di Sabah, terutama di Kinabatangan, Segama dan Beluran pada dasarnya tetap mempercayai perjanjian antara nenek moyang mereka dengan sang bedal yang membolehkan mereka menikmati kehidupan di tebing Sungai Kinabatangan dan Sungai Segama secara berkongsi dengan buaya yang jumlahnya bukan sedikit.

Bukan mudah untuk meneruskan kehidupan sebagai nelayan di Sungai Kinabatangan selebar kira-kira 300 meter dan sepanjang kira-kira 550 kilometer (km) jika sang bedal kerap mengganggu atau membaham mereka. Mahu tidak mahu, kehidupan di sepanjang sungai itu harus diteruskan dengan sentiasa berhati-hati kerana malang sememangnya tidak mampu dihidu.

Bukan mitos dan bukan juga legenda. ‘Gegejanji gunai boya’ walaupun sekadar cerita yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain tetap memberi kesan dalam kehidupan masyarakat etnik Orang Sungai. Tidak hairanlah jika cerita itu ada yang diyakini mereka walaupun tidak kurang juga yang menganggapnya sekadar cerita khayalan.

Dengan berlandaskan penceritaan oleh beberapa warga emas di Kampung Sukau dan Program Penempatan Masyarakat Sukau, iaitu dua daripada beberapa kampung di tebing Sungai Kinabatangan, ‘gegejanji gunai boya’ disimpulkan sebagai naratif yang tetap segar dalam sanubari dan budaya masyarakat etnik Orang Sungai, terutama mereka yang sudah lanjut usia.

Bagi Mak Andam Bahima Sapiudin, 65, ‘gegejanji’ yang dilafazkan raja buaya Aki Turonggari dengan seorang wanita tua yang lebih dikenali sebagai dukun Aduk Sibulig-bulig adalah kisah dikatakan membolehkan masyarakat etnik Orang Sungai tidak diganggu, apatah lagi dibaham oleh sang bedal. Selagi pantang larang ketika mandi, membasuh pakaian atau mencari rezeki di sungai dipatuhi oleh anak cucu Aduk Sibulig-bulig, maka selagi itulah anak cucu Aki Turonggari akan mematuhi perjanjian itu.

Musibah Langgar Pantang

DENGAN tidak menafikan sama sekali ketentuan nasib insan yang sememangnya adalah hak Allah SWT, ‘gegejanji ganai boya’ seolah-olah terpakai pada kehidupan masyarakat etnik Orang Sungai.Ketika mereka masih berpegang kukuh kepada pantang larang yang dipersetujui antara Aduk Sibulig-bulig dengan Aki Turonggari, seingat anggota masyarakat generasi tua di sepanjang Sungai Kinabatangan, belum ada antara mereka atau anak cucu mereka dibaham buaya.

“Bagaimanapun, akidah kita jangan mudah terpesong dengan cerita ‘gegejanji’ itu. Segala perjalanan hidup kita ditentukan oleh Allah. Bagaimanapun, kita harus menghormati kehidupan makhluk lain di daratan atau dalam sungai atau lautan. Sepanjang usia saya, belum pernah saya dengar ada orang kami dibaham buaya. Kalau ada pun, mereka bukan Orang Sungai. Mungkin ada pantang larang yang tak dipatuhi,” kata Bahima.

Kisah kempunan itu tidak pernah lekang daripada kotak fikir nelayan di Kampung Sukau. Bagi Sumanto Selamat, 52, Aris Mail, 38, Kamsa Ahmad, 29 dan Riduan Takasi, 45, serta Ramli Juair, 41, ‘gegejanji gunai boya’ meskipun sentiasa dijadikan pedoman, langkah berjaga-jaga setiap kali menebar jala, menarik bubu dan memasang pukat tidak pernah terabai. Setiap kali sebelum turun mencari rezeki di Sungai Kinabatangan dan beberapa cabang sungai itu seperti Sungai Tenigang, Sungai Menanggol dan Sungai Danau, mereka akan menjamah makanan atau minuman disediakan isteri masing-masing. Bukan niat untuk menafikan ketentuan Allah atas nasib yang bakal ditempuhi, cuma ia sekadar petua orang tua-tua yang tidak rugi jika diamalkan.

“Memang selalu kami terserempak dengan sang bedal. Ada yang besar. Ada yang kecil. Pernah baru-baru ini, sedang saya menarik bubu udang galah, tiba-tiba dia muncul di hujung perahu. Saya terus beristighfar. Ya Allah, punya besar badan dia. Kurang sikit daripada perahu saya. Panjangnya hampir sama dengan perahu saya kira-kira 15 kaki (4.57 meter). Saya minta dia pergi sebab tujuan saya turun ke sungai hanya untuk mencari rezeki. Bukan untuk mengganggu dia. Perlahan-lahan dia tenggelam semula. Dia macam faham apa yang saya kata,” ujar Riduan.

Namun demikian, bukan tidak pernah sang bedal menyambar manusia di tebing sungai sebagai santapannya. Kira-kira empat bulan lalu, seorang pekerja ladang sebuah syarikat perladangan kelapa sawit menjadi habuan sang bedal. Pekerja lelaki warga Indonesia berusia awal 20-an itu dikatakan menjala ikan di hulu Sungai Kinabatangan hingga lewat petang.

Tanpa mengendahkan papan tanda melarang kegiatan memancing atau menjala di kawasan berkenaan, pekerja terbabit dan rakannya menjala dengan kaedah melangkah masuk ke dalam sungai hingga ke paras pinggang. Baung dan sepat yang terperangkap dalam jala membuatkan mereka kian leka menjala.

Agak aneh, setengah jam kemudian, pekerja yang disambar sang bedal timbul tidak jauh dari tempat dia dikejutkan dengan gigitan sang bedal. Tiada siapa yang berani turun ke sungai untuk menarik tubuh si mangsa. Kayu panjang digunakan untuk menarik mangsa. Sebaik saja tubuhnya dinaikkan ke tebing sungai, beberapa pekerja terus meraung. Ada yang turut muntah menyaksikan keadaan mayat mangsanya dengan perut dan paha kanan si mangsa sudah terburai. Sang bedal sudah menemukan mangsanya tetapi tidak sempat melarikannya ke lubuk tempat dia mengunyah rakus tubuh si mangsa.

Antara realiti dan cerita gegejanji gunai boya mungkin ada kebenarannya. Ketika masyarakat etnik Orang Sungai anak cucu Aduk Sibulig-bulig masih berpegang teguh kepada pantang larang ketika mencuci pakaian atau mandi atau mencari rezeki di sungai, anak cucu Aki Turonggari pula tidak pernah lupa akan syarat yang dikenakan oleh raja mereka.

Yang pasti, masyarakat etnik Orang Sungai di Sungai Kinabatangan dan Sungai Segama atau di mana saja di Sabah tetap tabah meneruskan kehidupan di tebing sungai. Meskipun masih teguh berpegang pada janji itu, mereka cukup pasti, sang bedal bukanlah penghuni sungai yang boleh diberikan kepercayaan sebagai teman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan