Selasa, 18 Oktober 2011

Masjid Chao Phraya

SMAHADZIR

DI BUMI Bangkok yang majoriti rakyatnya penganut Buddha, tersergam sebuah rumah Allah berstatus masjid diraja, pengiktirafan tertinggi dianugerahkan pemerintah negara. Berdiri megah Masjid Ansari Sunnah dan tidak jauh dari situ, ada pula Masjid Ton Son yang juga masjid tertua di pusat kota.

Sungai Chao Phraya di Thailand ada pelbagai tarikan, sesuai dengan maknanya sebagai ‘Sungai Raja-Raja’. Ia menjalar sepanjang 370 kilometer, lebarnya pula 150 meter lebar dan kedalaman mencecah 15 meter, bermula dari Nakhon Sawan dan melingkari empat sungai iaitu Ping, Wang, Yom dan Nan. Pengunjung pasti tertawan dengan kepelbagaian pemandangan meliputi struktur dan warna warni bangunan termasuk masjid, kuil, gereja, hotel dan kediaman penduduk di tepian sungai itu.

Masjid Ansari Sunnah, Ton Son khazanah Islam Bangkok

Dari Nakhon Sawan hingga ke laut, Chao Phraya juga melintasi tiga ibu kota lama iaitu Ayutthaya (1351 hingga 1767), Thonburi (1767 hingga 1782) dan Bangkok (1782 hingga sekarang). Ramai daripada kita mungkin tidak sedar bahawa ada kira-kira 3,500 masjid di Thailand, hampir 180 daripadanya ada di kota Bangkok. Kebanyakan warga Muslim Thailand, majoritinya tinggal di selatan Thai, berketurunan Melayu dan mempunyai banyak persamaan budaya dengan orang Melayu di Malaysia.

Bagi penulis dan 13 lagi penggiat budaya yang dijemput melawat Thailand, baru-baru ini, rasa sungguh teruja dapat mengunjungi Masjid Ansari Sunnah di tepian Chao Phraya. Apa yang menarik ialah masjid ini satu-satunya ‘masjid diraja’ di Bangkok, berusia 103 tahun. Imam masjid, Abdullah Karimi yang pernah tinggal seketika di Pulau Pinang, memberitahu: “Masjid ini musnah ketika Perang Dunia Kedua sebelum dibina semula pada 1968. Ia diberi status diraja oleh Raja Rama Kelima. Pentadbir masjid juga membentuk persatuan, mengendalikan sekolah dan mewujudkan yayasan untuk menguruskan soal zakat serta menyelesaikan isu termasuk agihan tanah jemaah,” katanya.

Salah sebuah masjid yang terdapat di tepian Menam Chao Praya

Suasana agak nyaman dengan angin sepoi bahasa di luar masjid yang boleh menempatkan sekurang-kurangnya 300 jemaah itu. Ia terletak bertentangan Hospital Sirirat di seberang tebing. Pelawat yang mahu mengunjungi masjid ini atau tarikan lain di sepanjang Chao Phraya boleh menggunakan bot pelbagai saiz. Ada kira-kira 1,000 bot dan feri yang boleh disewa pada harga 600 hingga 800 baht (RM60 hingga RM80) sejam.

Selepas bersalam-salaman dengan Abdullah dan pegawai masjid lain, saya dan rakan menapak kira-kira 10 minit ke satu lagi masjid tidak jauh dari situ, iaitu Masjid Ton Son atau Tonsoon, masjid tertua di Bangkok yang terletak di Jalan Wang Doem. Tiada tarikh rasmi bila rumah suci ini dibina tetapi Masjid Ton Son yang asalnya dipanggil Kudai Yai dianggap didirikan pada zaman pemerintahan berpusat di Ayutthaya dari 1610 hingga 1628. Kawasan tanah perkuburannya pula adalah tempat bersemadi pemimpin Islam paling berpengaruh di Thailand.

Ketika era Raja Rama II pada 1954, warga Muslim sekitar mengubah suai masjid ini bagi memulihkan corak arkitek asal daripada batu bata. Ketika kami sampai di sini, saya dapat lihat masjid itu sekali lagi dalam proses pengubahsuaian. Imamnya, Datuk Fauzan Faisal atau nama rasmi, Dato Imam Patana Langputeh yang juga dua pupu Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Sultan Yahya Petra, berkata pengubahsuaian terbaru itu dilaksanakan dengan dana sumbangan orang ramai.

“Masjid ini membuktikan eratnya hubungan orang Islam dengan penduduk Thai lain termasuk dengan raja. Di sini ada tinggalan sejarah Buddha dan Kristian. Kami di sini berbangga kerana raja juga memberi sokongan kuat kepada kegiatan kemasyarakatan di kalangan jemaah termasuk dari segi pendidikan yang membolehkan orang Islam selesa dengan kehidupan sebagai warga Thai beridentiti Muslim,” katanya.

Antara kegiatan masjid itu termasuk menghantar qari untuk tilawah Al-Quran di luar negara. Selain itu, antara perkara yang mungkin tidak diketahui ramai ialah ada dalam kalangan anggota keluarga diraja Thailand yang beragama Islam. Perkara itu adalah antara faktor yang membantu mengeratkan hubungan di antara umat Islam di Thailand dengan warga beragama lain.

Selain dua masjid berkenaan, tarikan lain bagi pelawat yang menyusuri Chao Phraya ialah Wat Dawn atau Kuil Arun Ratchawararam yang juga struktur pagoda diperbuat daripada seramik dengan pelbagai hiasan bunga dan patung dongeng tempatan. Binaan kuil ini pada era Ayutthaya dan juga kuil diraja bagi Raja Rama II. Di pintu masuk, pelawat akan disambut dua patung ‘syaitan’, Sahasadecha dan Ravana. Mereka yang berminat boleh mendaki kuil ke ke puncaknya. Apa yang menarik ialah komen seorang rakan yang menyedari banyak ikan dengan saiznya yang besar berenang dekat pelantar bot yang berlabuh.

“Seronok kalau dapat memancing di sini,” katanya, namun hasrat itu pasti tidak akan kesampaian kerana mengikut seorang pegawai tempatan yang mengiringi kami, tiada siapa memancing di situ yang dianggap tempat suci disebabkan kedudukannya berdekatan dengan kuil dan itu juga punca ikan di kawasan terbabit begitu banyak.

Kuil lain di sepanjang Chao Phraya termasuk Kanlayanamit, Wat Phra Kaeo, Wat Rakhang dan Wat Arun serta Istana Besar Diraja manakala gereja yang boleh dilihat termasuk Gereja Calvary atau Holy Rosary dan Gereja Santa Cruz. Tidak jauh dari Wat Dawn ialah Muzium Kebangsaan Perahu Diraja Thailand yang menempatkan beberapa perahu diraja termasuk Supannahong, Anantanakaraj dan Narai Songsubun. Perahu diraja biasanya digunakan untuk majlis rasmi sejak era pemerintahan Sukhothai pada abad ke-12.

Pada masa lalu, raja era Ayutthaya akan menggunakan perahu itu untuk memberi sumbangan kepada sami pada penghujung musim hujan dan sekali dalam setahun untuk ke Wilayah Saraburi bagi memperingati sejarah Buddha. Muzium ini terjaga atas inisiatif Raja Rama I, raja pertama dari Dinasti Chakri yang mula memerintah pada 1782 dan memutuskan untuk memulihkan semula tinggalan tradisi kebangsaan termasuk seni dan kraftangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan