Isnin, 17 Oktober 2011

Damai Di Guangzhou

SMAHADZIR

DERETAN kilang, bangunan tinggi yang menjulang, jalan sesak, pelaburan yang masuk mencurah-curah, kepesatan pembangunan dan rakyat berdaya saing - itulah yang sering dikaitkan dengan Guangzhou. Dengan populasi lebih 12 juta penduduknya bersaing mencari rezeki, saya ada mendengar yang sektor pekerjaan di Guangzhou jauh lebih sengit - sama seperti di Hong Kong, manakala suasana kehidupannya juga pantas dan sukar.

Sebagai kota ketiga terbesar di China dan antara pusat perusahaan utama negara itu, Guangzhou sering disalah anggap sebagai kota comot yang padat dengan penduduk. Aktiviti masa lapang rakyatnya pula dikatakan hanya membeli-belah dan makan. Tiada tempat untuk pelancong - setidak-tidaknya itulah dalam fikiran saya pada mulanya.

Pemain muzik tradisional di Pulau Shamian.

Gambaran awal ketika menjejakkan kaki di kota ini seakan mengiyakan tanggapan itu. Guangzhou agak comot, bangunan berselirat dan semuanya pantas bergerak masa. Manusia berjalan pantas, kenderaan dipandu laju, malah dialek Kantonis yang dituturkan penduduknya kedengaran lebih cepat dan kasar berbanding di Malaysia atau Hong Kong.

Namun, semakin jauh mengembara dan menyelami kota ini, saya dapati ada aspek lain yang begitu berbeza di Guangzhou. Suasananya lebih sunyi, damai dan dipenuhi banyak tarikan, masyarakat penuh sopan santun serta pelbagai keistimewaan lain yang amat memukau.

Dewan Peringatan Sun Yat Sen menampilkan seni bina mengagumkan.

Guangzhou dipenuhi taman penuh kehijauan dan ketenangan. Keindahan itu diserikan elemen air seperti anak sungai, kolam dihias cantik atau tasik yang menyuntik suasana sejuk walaupun di tengah-tengah bahang kepanasan metropolitan.

Saya sendiri mendapati ada kira-kira 12 taman sedemikian di dalam dan sekeliling bandar, termasuk Renmin iaitu taman awam pertama di China yang dibuka pada 1921 dan Taman Sejuta Bunga Matahari, padang luas dipenuhi bunga-bungaan seluas saujana mata memandang. Beberapa taman di Guangzhou turut dilengkapi jambatan tradisional China, pagoda atau wakaf rehat yang membangkitkan kembali memori zaman silam. Ada juga yang dihiasi arca diperbuat daripada tanah liat, kayu, seramik, besi dan pelbagai jenis batu.

Di taman tertentu, anda boleh menemui teknik seni taman terkini, manakala beberapa taman lagi diperindahkan dengan seni landskap berasal usul dari zaman Dinasti Qing. Apa yang paling menarik perhatian saya ialah kewujudan pelbagai tugu, muzium, rumah suku kaum dan dewan peringatan yang begitu anggun.


Bandar ketiga terbesar China tetap tenang biarpun pesat membangun

Taman Yuexiu yang terletak di atas bukit contohnya, tersergam Menara Zhenhai atau dikenali juga sebagai Menara Lima Tingkat atau Menara Wanghai. Rujukan kedua itu mewakili struktur menara terbabit yang mempunyai lima tingkat, manakala Wanghai pula kerana ia pernah digunakan sebagai menara peninjau atau bangunan pengawal pantai suatu masa dulu.

Dibina pada 1380 iaitu zaman Dinasti Qing, Menara Zhenhai pernah menjadi bangunan tertinggi di Guangzhou. Ia dibina menggunakan batu pasir berwarna merah dan bata berwarna coklat kemerahan, membentuk gabungan menarik unsur seni bina moden Bauhaus dan pagoda tradisional China. Pada 1956, menara ini dijadikan Muzium Guangzhou.

Taman Yuexiu juga menempatkan Dewan Peringatan Sun Yat Sen yang dibina pada 1929 bagi mengenang tokoh revolusi hebat, Dr Sun Yat Sen. Tugu ini terletak di atas Bukit Guanyin dengan ketinggian 37 meter dalam gaya pagoda sambil dihiasi 12 arca kepala kambing di ruang bawahnya selaras simbol Guangzhou yang digelar kota legenda kambing.

Pada bahagian depan tugu pula, ada kepingan batu tebal sepanjang tujuh meter dan lebar empat meter mengandungi ukiran kata-kata wasiat terakhir Sun Yat Sen. Imej tokoh revolusi ini juga diabadikan di Taman Peringatan Huanghua Gang, kawasan indah dipenuhi bunga-bungaan cantik, astaka tersergam serta tugu dan hiasan taman yang mengagumkan.

Di Taman Baomo pula, pelawat akan terpegun dengan keanggunan Dewan Khazanah Baomo, Dewan Ju Bao dan Dewan Long Tu. Antara arca yang menyerikan taman itu adalah patung ilmuwan hebat China, Confucious yang saban tahun menarik ramai pengunjung.

Satu lagi lokasi menarik pilihan saya di Guangzhou ialah kawasan tenang yang terserlah gaya lamanya iaitu Pulau Shamian. Terletak di tebing Sungai Mutiara, pulau ini satu-satunya lokasi yang mana orang asing dibenarkan menetap sejak berdekad lalu. Di sini, anda pasti berasa tenteram sambil menikmati keindahan desa yang disulami ciri-ciri Eropah silam dan tarikan budaya Timur yang tidak hilang ditelan zaman. Ilmuwan China pernah berkata: “Guangzhou bergerak pantas, Shamian pula begitu tenang” - kesimpulan paling tepat bagi menggambarkan pesona destinasi ini.

Barisan pepohon tua berdaun lebat tegak berdiri di sepanjang jalannya, manakala bangunan era kolonial, rumah lama dan dua gereja besar dengan seni bina antara abad ke-17 dan ke-18 menjadikan Shamian tempat sesuai untuk bersantai dan menikmati kehidupan sambil bertemankan secawan kopi di kafe ala Perancis. Itulah yang dilakukan penduduk warga emas Guangzhou. Di laman yang redup dengan rimbunan pokok di Pulau Shamian sehinggalah jalan berselirat di pusat bandar dan kerusi selesa di taman, kalangan warga emas ini menambahkan lagi daya tarikan kota ini dengan sikap mereka yang penuh budi bahasa, bersopan santun dan mesra.

Di sebalik wajah berkedut, mereka petah berbicara mengenai penderitaan dan kegembiraan sepanjang dua abad lalu. Masih menyarung kemas pakaian tradisi, mereka mengisi masa lapang dengan aktiviti ringan seperti bermain dam, minum atau sekadar bersembang kosong dan disulami gelak tawa. Kehidupan mereka menyamai keunikan taman bersejarah yang terus segar di kota metropolitan ini - kedamaian dan ketenangan Guangzhou lama.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan