Khamis, 28 Julai 2011

Sejarah Dakwah Rasulullah Menggabungkan Politik Dan Rahmat Serta Dorongan, Bukan Dengan Kekerasan Dan Tipu Daya

SMAHADZIR

Dunia moden adalah dunia informasi dan hubungan. Dewasa ini, informasi memainkan peranan yang signifikan dalam perang antara ideologi. Ribuan stesen dan pemancar radio serta televisyen, puluhan satelit parabola, studio raksasa pembuatan filem dan muzik, ratusan situs internet dan ribuan buku serta majalah merupakan sarana perang antara ideologi.

Dakwah bermakna menyampaikan sesuatu. Di istilahkan bahawa dakwah memiliki makna usaha terencana untuk mempengaruhi ideologi atau perilaku seseorang bagi menjamin wujudnya tujuan yang diprogramkan sebelumnya. Setiap aliran dan ideologi memiliki pesan kepada masyarakat dan mengajak mereka untuk menerimanya. Dalam hal ini ditempuh berbagai kaedah yang sesuai dengan misi utama mereka untuk menjayakan tujuan tersebut.

Sejarah dakwah memiliki usia yang panjang, sepanjang usia kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Dakwah juga menjadi program dan misi utama para nabi dalam menyampaikan risalah Ilahi. Dakwah dan misi para nabi memiliki keistimewaan tersendiri. Memahami aspek dakwah para nabi sangat bermanfaat bagi kita semua.

Allah s.w.t dalam surah an-Nahl ayat 36 berfirman, “Dan sungguhnya Kami telah mengutuskan rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu,” maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).”

Semua Nabi mulai dari Nabi Adam hingga Nabi Muhammad s.a.w diutuskan oleh Allah s.w.t untuk membimbing umat manusia agar menyembah Tuhan Yang Esa serta membawa mereka dari kegelapan kepada cahaya Ilahi. Dakwah para nabi bukan sesuatu yang ringan. Dalam perjalanannya ternyata mereka menemui banyak hambatan dan rintangan. Para nabi juga memiliki kaedah berbeza dengan yang lain ketika menyampaikan ajaran Ilahi. Hal ini disebabkan setiap nabi diturunkan pada waktu yang berbeza dan umat yang berbeza pula. Dakwah dalam pandangan agama wujud dengan semangat religius dan memiliki tujuan untuk membimbing manusia. Menurut Islam, dakwah memiliki esensi pendidikan dan proses membantu manusia untuk mencapai darjat yang tinggi tidak seperti alat-alat propaganda Barat yang menyesatkan manusia.

Oleh kerana itu, dakwah dalam pandangan Islam senantiasa dibarengi dengan sejumlah masalah, seperti nasihat untuk bertakwa dan membersihkan diri, belajar dan beramal baik serta mencegah kemungkaran. Tidak hanya itu, dakwah dalam Islam biasanya dibarengi dengan nasihat-nasihat untuk berbuat baik. Tentunya dakwah seperti ini boleh direalisasikan jika sumbernya berasal dari pemberi petunjuk itu sendiri yakni Allah s.w.t.

Maknanya, pembawa pesan dan mubalig telah mencapai tahap kesempurnaan manusia sehingga memungkinkannya menyampikan pesan Ilahi kepada manusia tanpa menambah atau menguranginya. Dengan kata lain, pembawa pesan harus merupakan orang yang amanat dan jujur.

Allah s.w.t menyebut bahawa dakwah dan seruan para nabi sebagai sumber kehidupan manusia. Dalam surah al-Anfal ayat 24, Allah berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasulullah s.a.w apabila Rasulullah s.a.w menyeru kamu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kamu, ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan.” Menurut Al-Quran, memberi petunjuk seorang manusia sama halnya dengan menghidupkan orang tersebut.

Ketika Rasulullah s.a.w menerangkan kepentingan dakwah kepada Saidina Ali, baginda telah bersabda, “Wahai Ali! Jika Allah s.w.t melalui dirimu memberi hidayah kepada seseorang maka hal itu lebih mulia dari sinar matahari.” (Majma al-Bayan, 1, hal, 807). Matahari adalah sumber kehidupan dan Rasulullah dalam hal ini memberikan perumpamaan yang indah, dakwah dan memberi petunjuk kepada manusia lebih mulia dari matahari yang menyinari alam semesta.

Seperti yang diakui oleh majoriti ahli sejarah, pengutusan Rasulullah di Semenanjung Arab merupakan kejadian spektakuler dan berpengaruh besar, kerana setelah baginda diutuskan, bangsa Arab yang jahiliyah berubah menjadi bangsa yang mulia. Sewajarnya Rasulullah s.a.w dapat kita jadikan simbol mubalig yang berjaya. Dengan seorang diri baginda berjaya menyelamatkan umat yang jahil dan menyeret mereka dari kegelapan menuju cahaya kebenaran.

Rasulullah s.a.w memiliki tugas yang sangat berat kerana berhadapan dengan sebuah masyarakat yang rosak dan bobrok. Apa yang diucapkan oleh Saidina Ali dan terhimpun dalam Nahjul Balaghah menunjukkan bahawa betapa berat dakwah Rasulullah s.a.w. Saidina Ali berkata, “Allah s.w.t mengutuskan Nabi Muhammad sebagai pemberi ingat dan pembawa wahyu Ilahi serta Kitab Suci Al-Quran. Dan kalian, wahai kaum Arab, hidup bergelumang dengan kesesatan dan menempati daerah yang paling buruk. Kalian hidup di antara bebatuan dan ular. Kalian minum air yang keruh dan kotor serta memakan makanan yang menjijikkan seperti kadal. Tidak hanya itu, kalian juga suka berperang dan menumpahkan darah sesama manusia sehingga meretakkan ikatan kekeluargaan. Patung dan berhala berdiri megah di tengah-tengah kalian dan perbuatan dosa tidak pernah kalian hindari.” (Nahjul Balaghah, khutbah ke 26)

Sewaktu Rasulullah s.a.w diutuskan, pemikiran masyarakat Arab yang berkaitan dengan Tuhan dan Hari Kiamat dipenuhi oleh mitos. Tidak terdapat tanda-tanda pemikiran yang membangun di tengah mereka dan kebanyakan mereka buta huruf. Perempuan tidak mendapat tempat sama sekali di mata masyarakat Arab ketika itu. Oleh kerana itu, tidak segan-segan mereka menguburkan hidup-hidup anak perempuan yang baru dilahirkan. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sehingga baginda dapat melalui jalan yang sangat sukar ini untuk menawan hati-hati yang keras bangsa Arab dalam tempoh yang relatif singkat?

Sebelum penulis menjelaskan metodologi dakwah Rasulullah s.a.w, perlu bagi kita mengetahui hal-hal penting dalam dakwah baginda. Pertama adalah pesan yang disampaikan oleh baginda. Jika kandungan pesan Rasulullah sa.w tidak memiliki kekhususan ini meski keadaan membantu, tetap saja ajakan baginda akan gagal. Rasulullah s.a.w menjelaskan ajaran dan pesan baginda dengan argumen yang rasional. Hal ini dibantu oleh pesan Ilahi yang keseluruhannya sangat rasional dan menghapus kegelapan dari setiap benak manusia.

Seruan Rasulullah s.a.w berasaskan rasional dan oleh kerana itu tidak ada akal sihat yang menolak ajakan baginda, kecuali mereka yang bodoh dan keras kepala. Di aspek lain, pesan Rasulullah s.a.w yang mampu dibuktikan kebenarannya dengan sendirinya membuka peluang diterima ajakan baginda oleh masyarakat. Allah s.w.t dalam surah Yusuf ayat 108 berfirman, “Katakanlah: Inilah jalan (agama)-Ku, Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, dan Aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik.”

Ayat ini menyebutkan bahawa penerimaan agama bukan didasari atas taklid membabi buta dan Rasulullah s.a.w dengan jelas mengajak manusia menyembah Allah s.w.t. Keistimewaan lain dakwah Rasulullah s.a.w adalah keselarasannya dengan nilai-nilai moral. Nabi s.a.w sangat menekankan berbagai masalah seperti keadilan, persahabatan, kasih sayang dan pengorbanan. Rasulullah s.a.w dalam dakwah baginda senantiasa memperingatkan manusia untuk menjauhi kezaliman, bohong, iri hati dan permusuhan. Baginda menyedarkan fitrah manusia yang sebelumnya dilapisi debu kebodohan dan mitos.

Masyarakat dan pendengar yang menjadi sasaran dakwah Rasulullah s.a.w tidak asing dengan apa yang baginda sampaikan. Hal ini bermakna terdapat keselarasan antara pesan agama dan keperluan fitrah manusia. Satu lagi, Rasulullah s.a.w mengetahui dengan jelas keadaan masyarakatnya dan nilai serta keyakinan mereka. Dari sini, baginda mampu membuka peluang bagi ajaran yang akan disampaikan nanti. Dengan demikian, kita saksikan, kaedah baginda sewaktu berdakwah memiliki beragam cara, bergantung kepada audiens yang dihadapinya. Misalnya, ketika menghadapi Ahlul Kitab, baginda sangat menekankan hal-hal kolektif yang terdapat di antara agama samawi dan sewaktu menghadapi kaum kafir baginda menekankan mereka untuk berfikir dan merenungkan ayat-ayat Tuhan.

Daya tarik Rasulullah s.a.w boleh ditemui pada ajaran yang baginda bawa seperti beriman kepada Tuhan dan Hari Akhirat, petunjuk kepada manusia untuk memahami hidup sejati di dunia dan akhirat, menegakkan keadilan serta menyelesaikan friksi dan permusuhan antara golongan, membanteras kezaliman dan kefasadan serta diskriminasi.

Sebelumnya telah penulis sebutkan kepentingan tablig dan dakwah dalam Islam dan telah penulis paparkan pula sejumlah keutamaan pesan yang baginda sampaikan. Di antara aspek menonjol dari pesan yang baginda sampaikan adalah rasional dan kesesuaiannya dengan fitrah manusia. Hal ini juga menjadi faktor kejayaan dakwah Rasulullah s.a.w. Aspek lain adalah pemahaman baginda dalam soal audiens dan lapangan membantu dalam menyampaikan ajaran Ilahi kepada masyarakat serta menambah pengaruhnya pada hati manusia yang berakal.

Allah s.w.t dalam surah an-Nahl ayat 125 menjelaskan metodologi umum dakwah Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t berfirman, “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Hikmah, akal dan ideologi menjadi sasaran dalam berdakwah, kerana langkah pertama mengajak seseorang untuk menerima kebenaran adalah menggunakan argumentasi yang benar bagi membangunkan akal yang sedang terlelap. Langkah kedua adalah memanfaatkan nasihat bagi membangkitkan sensitiviti dan perasaan manusia. Nasihat dan peringatan lebih condong ke arah perasaan serta menenangkan kalbu setiap manusia. Dalam ayat ini, Allah s.w.t mensyaratkan nasihat dengan kebaikan, ertinya nasihat itu sendiri harus memuatkan kebaikan supaya dapat berpengaruh pada manusia.

Peringatan dan nasihat akan berpengaruh tatkala tidak dibarengi dengan kekerasan, pemaksaan, sombong dan menghina lawan bicara serta tidak menimbulkan rasa antipati. Langkah ketiga dalam menyebarkan ajaran Ilahi adalah berdebat dengan sopan. Metod ini khusus sewaktu menghadapi orang yang penuh dengan pemikiran keliru dan hanya dengan debat kita dapat menguras informasi keliru dari benak orang tersebut bagi mempersiapkannya menerima kebenaran. Tentu saja debat akan berguna dan menghasilkan ketika dilandasi kebenaran, keadilan dan kosong dari rasa ingin unggul dari orang lain. Rasulullah s.a.w menyebarkan ajaran Ilahi dengan berlandaskan pada prinsip-prinsip tersebut.

Metod dakwah Nabi Muhammad s.a.w dapat kita cermati dalam dua perkara. Pertama akhlak individu dan sosial baginda serta kedua adalah kaedah yang baginda pilih. Namun di sini peranan akhlak baginda paling menonjol dalam menopang kejayaan baginda dalam menyebarkan ajaran Islam. Allah s.w.t sendiri dalam Al-Quran menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w sebagai teladan akhlak mulia. Ertinya Rasulullah s.a.w dijadikan Allah sebagai model praktis ajaran Islam. Hati Rasulullah dipenuhi keimanan dan keyakinan. Baginda tergolong orang yang paling taat terhadap ajaran Ilahi. Karakteristik baginda ini menumbuhkan kepercayaan umat dan membuktikan bahawa menjalankan ajaran Islam bukan perkara yang sukar.

Akhlak mulia dan sikap penuh kasih sayang Rasulullah s.a.w termasuk faktor berpengaruh dalam dakwah baginda. Baginda menyampaikan pesan Ilahi dengan lembut dan sabar. Oleh kerana itu, baginda mendapat sambutan luas dari masyarakat. Ketika berpesan kepada Muadz bin Jabal yang dikirimkan ke Yaman untuk menyebarkan ajaran Islam, baginda bersabda, “Berilah khabar gembira kepada rakyat dan jangan membuat mereka menjauhi dirimu, berilah kemudahan kepada masyarakat dan jangan mempersulitkan mereka.”

Kesederhanaan hidup Nabi Muhammad s.a.w, satu lagi faktor kecintaan masyarakat kepada baginda. Hal ini membuatkan dakwah baginda semakin mudah. Dalam kehidupannya, baginda lebih memilih kehidupan yang sederhana dan menjauhi kemewahan. Bahkan sewaktu Islam berjaya tersebar ke penjuru dunia dan baginda mendirikan pemerintahan Islam di Madinah, kehidupan baginda tidak berubah. Sebagai seorang pemimpin, baginda tidak ingin bermewah-mewahan dan lebih memilih dekat dengan kehidupan orang-orang miskin. Dalam hal makanan, pakaian dan keperluan hidup lainnya, baginda senantiasa memperhatikan keseimbangan dan menempatkan dirinya setara dengan masyarakat, bahkan lebih rendah dari masyarakat umumnya.

Berwajah ramah dan murah senyum serta selalu menjaga sopan santun sewaktu berinteraksi dengan masyarakat yang dimiliki baginda sangat terkenal di kalangan umat. Dalam menyebarkan ajaran Ilahi, baginda sangat berlapang dada. Kadang-kadang kesabaran dan sikap memaafkan baginda membuatkan orang kafir rela memeluk Islam. Kelembutan dan kesabaran termasuk prinsip utama dakwah dan sejarah kehidupan baginda.

Rasulullah s.a.w dengan perintah Allah s.w.t, memulai dakwahnya secara rahsia dan hanya disampaikan di kalangan keluarga serta sahabat. Keluarga dan sahabat dapat menjadi pelindung baginda dalam berdakwah, khususnya dalam masyarakat yang menganut sistem kesukuan seperti masyarakat Arab. Allah s.w.t dalam surah as-Syu'ara ayat 214 dan 215 memerintahkan nabi untuk tawaduk. “Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat, dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman.”

Tidak syak lagi, menjahui sifat egois dan keras kepala termasuk kaedah terpenting dakwah. Ketika berdakwah secara rahsia, baginda mendapat dua orang penolong iaitu Saidina Ali dan Khadijah. Setelah berdakwah secara sembunyi-sembunyi selama tiga tahun, baginda mulai melakukan dakwah secara terbuka dan terang-terangan. Hal ini menunjukkan bahawa baginda dalam berdakwah menerapkan kaedah bertahap dan merupakan satu strategi baginda ketika menyebarkan Islam.

Ketika berdakwah secara terang-terangan, baginda giat melakukan pendekatan kepada individu mahupun kelompok. Setiap terbuka sebuah kesempatan untuk mengislamkan seseorang atau kelompok, baginda tidak membiarkannya berlalu begitu saja. Ketika masih berdakwah di Mekkah, baginda juga kerap mengadakan pertemuan dengan para pelancong, jemaah haji, pedagang dan tokoh berpengaruh. Selama masa dakwah terbuka, baginda juga aktif berkunjung ke berbagai kabilah dan mengajak mereka memeluk Islam. Dakwah baginda sewaktu berkunjung ke kabilah adalah mengajak mereka menyembah Tuhan Yang Esa dan mengimani kenabian baginda.

Nabi Muhammad s.a.w dalam dakwah tersebut menekankan kesamaan ajaran yang dibawanya dengan para nabi terdahulu. Ahlul Kitab banyak terdapat di Semenanjung Arab, khususnya di Madinah. Mengajak ulama dan pemimpin Ahlul Kitab untuk memeluk Islam dapat menarik pengikutnya untuk menerima Islam pula.

Hijrah merupakan strategi dan kaedah lain dakwah Nabi Muhammad s.a.w. Sewaktu tindakan kekerasan dan penyiksaan kaum Quraisy Mekkah kian meningkat, baginda mengirim sekelompok umat Islam dengan dipimpin oleh Jaafar bin Abi Thalib ke Habasyah.

Sewaktu berdialog dengan Raja Habasyah, Jaafar lebih banyak membicarakan sisi persamaan antara Islam dan Kristian. Beliau juga membacakan ayat-ayat suci Al-Quran tentang Maryam, ibu Nabi Isa a.s. Dengan demikian, Jaafar berhasil menarik simpati raja terhadap Islam. Hijrahnya Nabi Muhammad s.a.w ke Madinah dari Mekkah merupakan satu strategi untuk menyebarkan Islam di Semenanjung Arab.

Metod dakwah lain Nabi Muhammad s.a.w adalah mengirim utusan dan mubalig ke sejumlah negara. Sewaktu melepaskan mereka, baginda menekankan untuk menjaga nilai-nilai moral dan menghormati manusia. Sejumlah mubalig yang dikirim baginda berjaya menyebarkan agama Islam dan sebahagian lain masuk ke dalam makar musuh. Baginda juga menulis surat kepada sejumlah pemimpin negara termasuk Raja Mesir, Romawi dan Iran. Ini juga termasuk kaedah dakwah baginda yang boleh kita saksikan dalam sejarah perjalanan hidup baginda.

Isi surat baginda kepada pemimpin negara lain menunjukkan kedaulatan dan kekuatan Islam. Di sisi lain, surat tersebut tidak terkesan arogan. Teks surat itu menunjukkan iktikad baik baginda dan simpati baginda serta tekad kuat untuk menunjukkan jalan yang benar. Sejarah dakwah baginda menunjukkan bahawa penyebaran ajaran Ilahi harus menggabungkan antara politik dan rahmat serta dorongan, bukannya dengan kekerasan dan tipu daya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan