Rabu, 23 Mac 2011

Akad Nikah Dalam Masjid

Adakah benar akad nikah di masjid menyimpang daripada ajaran Islam dan menyamai perkahwinan penganut Kristian di gereja? Inilah persoalan yang perlu kita ladeni dan hayati dengan penuh ketenangan, tidak emosional dan bersangka baik. Masalah khilafiyah ini perlu ditandatangani dengan penuh kesedaran bahawa sebarang perselisihan atau percanggahan pendapat ulama adalah suatu rahmat. Kita harus akur bahawa setiap ulama yang mewakili zaman masing-masing cuba meletakkan hukum-hakam selari dengan kehendak Islam yang sebenar, sejajar tuntutan zaman dan keadaan. Itu adalah tanggungjawabnya namun setiap pendapat walaupun dari seorang yang bergelar ulama masih boleh disanggah. Pendapat ulama tidak bersikap kebal sehingga tidak boleh disanggah atau dibantah.

Dalam kertas kerja bertajuk ‘Kedudukan Mazhab Shafie Dalam Fatwa Masa Kini di Malaysia’, Dr Saupi Man dan Dr Mek Wok Mahmud menulis bahawa apabila fatwa bersifat ijtihadi, maka sudah tentu hasil ijtihad yang terikat dengan zaman, tempat dan keadaan itu tidak akan kekal buat selamanya. Maka, hukum turut berubah sebagaimana diungkapkan ulama usul. Berdasarkan kepada syariat Islam yang bersifat syumul dan murunah (fleksibel) serta sesuai pada setiap zaman dan tempat. Maka, percanggahan pendapat ulama mazhab adalah suatu rahmat. Setiap ulama yang mewakili mazhab masing-masing cuba meletakkan hukum-hakam selari dengan kehendak Islam yang sebenar, sejajar tuntutan zaman dan keadaan.

Suatu ketika dulu di kalangan ulama mujtahidin berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak. Juga pendapat Ibn Munzir bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim. Namun semuanya diperselisihkan oleh al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai perkara ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir.

Sejarah telah mencatatkan bahawa pernah berlaku peristiwa akad nikah dalam masjid pada zaman Rasulullah s.a.w berpunca dari kehadiran seorang wanita ke dalam masjid yang mahu dirinya dikahwini. Kesanggupan seorang lelaki yang turut berada dalam masjid untuk mengahwini wanita itu menyebabkan Rasulullah s.a.w melakukan akad nikah dalam masjid. Ini adalah kes akad nikah dalam masjid yang dilakukan Baginda Rasulullah s.a.w dan memberi gambaran kepada kita bahawa akad nikah di masjid tidak diharamkan oleh baginda Junjungan.

Menurut sesetengah ulama, hukum menikah di masjid ialah SUNAT manakala sesetengah ulama pula berkata hukumnya ialah HARUS. Sesiapa yang mengatakan bahawa nikah di masjid itu ialah wajib, nyata dia salah. Sesiapa yang mengatakan nikah di masjid adalah bid’ah atau menyimpang daripada ajaran Nabi Muhammad s.a.w maka orang ini tidak mahu mengendahkan pendapat-pendapat ulama muktabar yang mengatakan sunat atau harus nikah di masjid kerana berdalil dengan hadis Tirmizi yang bertaraf hasan.

Tidak boleh menjadikan dalil bahawa nikah di masjid menyimpang daripada agama kerana disebabkan orang Kristian turut melakukannya. Masih banyak lagi amalan-amalan lain yang kita amalkan turut diamalkan oleh penganut Kristian. Contohnya, sembahyang di gereja. Apakah kita tidak boleh sembahyang di masjid kerana penganut Kristian juga sembahyang di gereja?

Nikah dalam masjid hukumnya HARUS di sisi ulama mazhab Syafie, Hanafi, Hanbali dan Maliki. Antara ulama-ulama muktabar yang mengharuskan dan tidak melarang nikah di masjid ialah Imam Nawawi, Imam Ghazali, Imam Rafi’I, Ibnu Qayyim, Syeikh Ibn Hajar, Syeikh Hasanain Makluf, Syeikh Ali Jadul Haq dan Syeikh Farid Wajdi (ketiga-tiganya adalah bekas mufti Negeri Mesir). Syeikh Uthaimin sendiri ada berkata tidak salah nikah di masjid dan jangan dikata ianya adalah amalan orang Kristian.

Kesimpulannya, tiada salahnya menikah di masjid selagi mana menjaga adab-adab dan tata susila berada di dalamnya. Melarang nikah di masjid adalah bercanggah dengan pendapat ulama-ulama muktabar. Untuk penjelasan yang lebih lanjut marilah kita kembali merujuk kepada para fuqaha kita untuk mengetahui sebenar-benarnya hukum mengadakan akad nikah dalam masjid. Antara kitab fiqh Mazhab Syafiei yang boleh kita rujuk ialah kitab karya Sidi Abu Bakar ad-Dimyathi iaitu ‘Hasyiah I`aanathuth Thaalibin’ jilid 3 halaman 315:

... iaitu dan DISUNNATKAN agar akad nikah itu dilakukan dalam masjid. Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam ‘Tuhfah’ menyatakan: Ini adalah kerana ada suruhan (baca: anjuran) dengannya sebagaimana khabar yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabrani. Iaitu ‘Hebahkanlah pernikahan ini, laksanakan ia di masjid-masjid, palulah kompang-kompang dan seseorang daripada kamu buatkanlah kenduri walaupun hanya dengan seekor kambing...’

Selain Imam ath-Thabrani, Imam at-Tirmidzi turut meriwayatkan dalam ‘Sunan at-Tirmidzi’ juzuk 2 halaman 247 sebagai berikut:

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah menyatakan bahawa Junjungan Nabi s.a.w bersabda: ‘Hebahkanlah akan pernikahan ini, laksanakanlah ia di masjid-masjid dan palulah untuknya kompang-kompang.’

Imam at-Tirmidzi menilai hadis ini sebagai hasan gharib, di mana seorang rawinya yang bernama ‘Isa bin Maimun dipandang sebagai seorang yang dhaif. Sungguhpun begitu, beliau meriwayatkannya daripada Ibnu Abu Najiih seorang yang tsiqah. Hadis yang diriwayat oleh Imam ath-Thabrani tersebut dahulu juga tidak lepas dari perselisihan muhadditsin. Sebahagian muhadditsin seperti al-Hafiz as-Sakhawi dan al-Ajluni menilainya sebagai hasan, manakala sebahagian lain menilainya sebagai dhaif. Oleh itu pihak yang menghukumkan sunat berakad nikad di masjid mempunyai sandaran antaranya hadis-hadis tersebut, dan tidak mustahil ada sandaran-sandaran lain yang tidak kita ketahui kerana kecetekan ilmu kita.

Mengenai hukumnya dalam mazhab-mazhab lain, maka tersebut dalam Mawsu`ah al-Fiqhiyyah’ sebagai berikut:


Bahawa adalah pernikahan tersebut diakadkan dalam masjid. Ulama al-Hanafiyyah dan asy-Syafi`iyyah menghukumkan MANDUB untuk melaksanakan akad pernikahan dalam masjid, kerana hadis: ‘Hebahkanlah akan pernikahan ini, laksanakanlah ia di masjid-masjid dan palulah untuknya kompang-kompang.’ Ulama al-Malikiyyah menghukumkannya sebagai JAIZ.

Begitulah hukumnya melangsungkan upacara akad nikah dalam masjid. Maka tuduhan bahawa ianya menyimpang daripada amalan Rasulullah s.a.w adalah suatu yang tidak benar dan menyanggahi para ulama muktabar yang menghukumnya sebagai sunat atau setidak-tidaknya harus. Walau bagaimanapun, dalam melaksanakan upacara pernikahan di masjid, sayugia diberikan perhatian yang sungguh-sungguh agar kesucian dan kehormatan masjid tidak dicemari.

Mudah-mudahan Allah s.w.t sentiasa memberikan taufik dan hidayah-Nya bagi kita semua sebagaimana para ulama kita terdahulu. Wallahhualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan