Kita sering berdepan dengan kekeliruan dan salah faham untuk memahami makna pendapat orang bijak pandai dalam agama dengan fatwa di dalam kehidupan kita. Pendapat boleh dibantah walaupun dari seorang yang bergelar ulama. Perbezaan pendapat dan khilaf adalah lumrah di dalam agama Islam dan kehidupan manusia dan perkara ini dilihat sebagai sesuatu yang baik bagi ummah. Persoalan akad nikah di masjid adalah persoalan khilafiyah. Justeru ianya boleh diperselisihkan, dibantah dan disanggah asalkan ada dalil-dalil yang sahih, yang boleh dijadikan sandaran hujah.
Dalam kertas kerja bertajuk ‘Kedudukan Mazhab Shafie Dalam Fatwa Masa Kini di Malaysia’, Dr Saupi Man dan Dr Mek Wok Mahmud menulis bahawa apabila fatwa bersifat ijtihadi, maka sudah tentu hasil ijtihad yang terikat dengan zaman, tempat dan keadaan itu tidak akan kekal buat selamanya. Maka, hukum turut berubah sebagaimana diungkapkan ulama usul. Berdasarkan kepada syariat Islam yang bersifat syumul dan murunah (fleksibel) serta sesuai pada setiap zaman dan tempat maka, percanggahan pendapat ulama mazhab adalah suatu rahmat. Setiap ulama yang mewakili mazhab masing-masing cuba meletakkan hukum-hakam selari dengan kehendak Islam yang sebenar, sejajar tuntutan zaman dan keadaan.
Suatu ketika dulu di kalangan ulama mujtahidin berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak. Juga pendapat Ibn Munzir bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim. Namun semuanya diperselisihkan oleh al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai perkara ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir.
Sesungguhnya perintah menjauhi taqlid buta amat jelas disebut oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran yang bermaksud: ‘Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan.’ (surah Al-Isra: 36).
Pengertian taqlid daripada sudut bahasa Arab bermaksud menggantung sesuatu di leher. Ini bermakna orang yang bertaqlid itu tidak ubah seperti haiwan yang diikat lehernya dan mengikuti ke mana sahaja dirinya dibawa oleh tuannya. (Lihat: Lisanul Arab Jilid 1 ms. 469 cetakan Darul Hadis, Kaherah dan rujuk juga Al-Misbahul Munir Jilid 2, ms. 704)
Dari sudut takrifan fuqaha, taqlid bermaksud: ‘Menerima perkataan atau pendapat seseorang tanpa berdasarkan hujah.’ (Sila lihat takrifan yang diberikan oleh Imam As-Syi’razi dalam Syarah Al-Luma’ Jilid 2, ms. 1005 dan At-Tahmid, Jilid 4, ms. 395)
Adapun tindakan para ulama dan orang ramai yang beragama dengan bersumber dan berhujah kepada dalil daripada Al-Quran dan Hadis atau sekurang-kurangnya mengikuti pendapat ulama dengan mengetahui sumber dan dalil yang digunakan di dalam fatwa ulama tersebut maka hal ini tidaklah dinamakan sebagai taqlid buta yang dicela atau disebut taqlid tanpa hujah kerana Al-Quran dan Sunnah itu sendiri adalah hujah. Begitu juga jika kita mengikuti pendapat imam, ulama yang bersumberkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah serta mengetahui hujah yang digunakan oleh para ulama itu maka tindakan ini juga ialah hujah.
Berkata Al-Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah di dalam kitabnya I’lamul Muwa’qi’ien bahawa adalah soal jawab agama itu terdiri daripada empat perkara iaitu yang pertama orang bertanya tentang hukum hakam sesuatu masalah agama lalu dijawab bahawa hukumnya harus, halal, haram dan seumpamanya dan yang keduanya ialah orang bertanya berkenaan dalil-dalil hukum kemudian yang ketiga pertanyaan berkenaan wajhul dalalah (bentuk-bentuk hukum yang terbina daripada dalil) dan kaedah yang digunakan dalam menghasilkan hukum. Manakala pertanyaan yang seterusnya iaitu yang ke empat ialah berkaitan jawapan balas kepada hujah-hujah yang menyelisihinya. (Lihat: Ilamul Muwa’qi’ien Jil. 4, ms. 413)
Nasihat yang paling penting buat kita di dalam mengambil nasihat dan pendapat agama daripada para ulama, ustaz dan alim agama ialah orang ramai harus bersedia menerima dan menghormati konsep ilmu dengan bersikap berlapang dada terhadap perselisihan dan perbezaan pendapat di dalam masalah agama.
Para ulama salaf dan golongan umat Islam yang bertakwa dan soleh zaman dahulu pun tidak dapat mengelakkan diri daripada berselisih pendapat. Para sahabat sendiri berbeza pendapat mengenai siapakah calon khalifah yang lebih sesuai selepas Utsman r.a dan para imam mujtahid yang agung seperti Imam Malik dan As-Syafi’ie serta Ahmad bin Hambal pun berbeza pendapat dan mazhab sekalipun mereka mempunyai hubungan guru dan murid antara satu sama lain. Oleh itu kita harus menyedari bahawa khilaf dan perbezaan pendapat ialah sesuatu yang tidak dapat dielakkan oleh kerana perbezaan waktu, situasi, tempat tinggal, zaman dan kehidupan tanpa dimasukkan persoalan taraf kefahaman, ilmu dan kebijaksanaan manusia yang berbeza-beza antara satu sama lain.
Memilih Pendapat Yang Berdalilkan Al-Quran Dan As-Sunnah
Kata Al-Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah, setiap mufti yang ditanyakan masalah agama harus menyediakan dalil dan hujah di atas fatwa mereka. Maksudnya masalah-masalah agama itu wajib dijawab dengan berdalilkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w supaya ianya dapat difahami oleh kita yang bertanya akan sebab hukumnya itu menjadi haram, harus, makruh atau wajib.
Inilah sifat Al-Quran dan As-Sunnah di dalam member fatwa kepada manusia. Misalnya apabila Allah s.w.t berfirman dalam Al-Quran: ‘Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: ‘Haid itu adalah suatu kotoran’. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita waktu haid; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.’ (surah Al-Baqarah: 222)
Allah s.w.t menyatakan hukum dan di dalam masa yang sama menjelaskan sebab-sebab pengharaman dan punca hukum itu dijatuhkan. Hal ini mengajarkan kepada kita bahawa kita yang bertanya masalah agama perlu tahu sebab-sebab hukum dan dalilnya.
Al-Imam Ibn’ Hazm Al-Andalusi di dalam kitabnya Al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam menyebutkan: ‘Kami tidaklah mengingkari fatwa yang diberikan oleh para ulama kepada kami yang jahil dan mahu meminta fatwa akan tetapi yang kami mengingkari ialah penetapan fatwa atau pendapat agama tanpa bukti hujah yang mendukunginya, tanpa rujukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah kerana yang sedemikian itu boleh menimbulkan kemungkinan kepada berlakunya pendapat yang silap. Bayangkanlah jika di zaman Rasulullah s.a.w sahaja sudah wujud orang yang memberi fatwa yang salah maka sudah pasti pada zaman selepas kewafatan baginda akan boleh berlaku lebih banyak kesilapan dalam perkara yang lebih meluas. Oleh yang demikian maka kita perlulah menghindari fatwa yang dikeluarkan oleh mufti (pemberi fatwa) yang tidak menyandarkannya kepada dalil Al-Quran, As-Sunnah serta Ijmak ulama.’ (Sila lihat di dalam kitab Al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam, jld. 6, ms. 1076)
Bertanya Masalah Agama Kepada Ramai Alim Atau Ustaz
Mempelbagaikan sumber rujukan atau guru merupakan amalan yang terpuji. Ini disebabkan dalam pelbagai cerita mengenai kisah ketelitian para ulama salaf terdahulu terhadap ilmu dan tidak menerima ilmu dari sebarangan orang dengan mudah seperti apa yang diriwayatkan oleh Imam Abi Hatim r.a mengenai kisah Imam Yahya ibn Main yang datang kepada Musa ibn Ismail untuk mendengar sebuah hadis maka berkatalah Musa, ‘Apakah engkau belum mendengar hadis ini daripada sesiapa?’ Lalu dijawab oleh Yahya ibn Main bahawa aku telah mendengar hadis ini daripada tujuh belas orang dan engkaulah yang ke lapan belas. Lalu ditanya untuk apakah engkau menyusahkan diri membuat sedemikian dengan mendengar hadis yang sama dari guru yang berbeza? Lalu berkatalah Yahya ibn Main, ‘Sesungguhnya jika Hammad ibn Sulaiman itu tersilap dalam hadisnya maka aku dapat membezakan kesilapannya itu dengan mendengar hadisnya dari pelbagai jalan dan guru (perawi), kerana jika silapnya itu pada Hammad maka akan didapati dengan semua guru (perawi) menyebut kesilapannya dan jika silap itu bukan dari Hammad maka pasti akan kelihatan dengan guru yang silap akan dapat didedahkan oleh kesepakatan guru yang ramai.’ (Lihat Al-Majruhin oleh Ibn Hibban Jilid 1, ms. 32)
Hendaklah kita membiasakan sikap suka merujuk kepada ramai ustaz dan ahli agama dalam masalah-masalah atau persoalan hukum hakam agama moga-moga ianya lebih membantu kita di dalam mendapatkan kebenaran dan kebaikan. Bagaimana jika ustaz-ustaz memberikan hukum dan jawapan yang berbeza? Apakah yang harus dibuat? Jawapannya tidak susah, pertamanya kita harus sentiasa ingat bahawa perbezaan pendapat dan khilaf ialah lumrah di dalam agama Islam dan kehidupan manusia.
Maka apabila berdepan dengan keadaan sedemikian hendaklah kita memilih pendapat agama yang paling banyak dalil-dalil dan mempunyai sandaran ayat-ayat Al-Quran dan As-Sunnah dan mampu menjelaskan kepada kita sebab-sebab dan kenapa hukum tersebut dijatuhkan. Mufti, ustaz dan ahli agama yang memberikan jawapan harus dapat menjelaskan kepada kita kenapakah hukum itu sedemikian, nasihat dan jawapan yang diberikan itu ialah seperti itu dan ini dengan menyertakan dalil, alasan dan sebab-sebab yang mampu difahami oleh manusia.
Harus diingat, Islam ialah agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada kita iaitu manusia dan sudah semestinya syariah ini dapat difahami dan mampu diterima oleh akal dan fikiran lurus manusia. Allah s.w.t berfirman: ‘Dan mereka berkata: ‘Mengapa rasul itu memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengan dia?’ (surah Al-Furqan: 7)
Allah s.w.t menjelaskan bahawa rasul itu diturunkan kepada manusia daripada kalangan manusia itu sendiri supaya dia dapat menyampaikan Islam dan membimbing manusia dengan kemampuan dan tahap manusia itu sendiri. Itulah maksudnya rasul-rasul itu ialah manusia biasa yang memakan makanan dan berjalan di pasar seperti orang ramai yang lain hanya sahaja mereka mendapat wahyu dan pertunjuk dari langit.
Ambil pendapat yang paling diyakini dapat membawa kepada keredhaan Allah s.w.t. Kaedah lain di dalam memilih pendapat agama apabila berdepan dengan banyak khilaf dan perselisihan pendapat ialah memilih pendapat dan hukum yang membuatkan kita yakin dan tenang dengannya. Ini disebabkan Allah s.w.t memberikan ketenangan hanya kepada mereka yang benar di atas jalan-Nya dan ketenangan itu merupakan isyarat jelas bahawa tepat atau tidaknya sesuatu hukum atau pendapat agama tersebut. Nabi s.a.w diriwayatkan pernah bersabda: ‘Ketenangan itu daripada Allah.’ (riwayat Tirmidzi)
Pilihlah pendapat yang membawa ketenangan dan melapangkan dada serta bukannya pendapat yang menyebabkan huru-hara dan gundah-gulana atau meresahkan fikiran dan hati. Ini boleh dilihat dengan keadaan seorang yang bertanya tentang apakah hukumnya mengambil wuduk dengan hanya sekali basuh atau sapuan? Jawapannya adalah sah, ini kerana di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah ibn Abbas r.a menyebutkan bahawa Nabi s.a.w pernah berwuduk hanya dengan sekali basuhan.’ (hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi). Tetapi dalam hadis yang lain Nabi s.a.w diriwayatkan pernah berwuduk dengan membasuh anggota wuduknya sebanyak 2 kali dan ada yang menyebut 3 kali.
Maksudnya baginda sendiri membasuh anggota wuduk tidak seragam, ada kalanya sekali basuhan, ada kalanya dua kali dan ada tiga kali. Oleh itu basuhlah anggota wuduk kita mengikut keperluan sehingga mendatangkan yakin dan ketenangan bahawa ianya sudah suci dan bersih.
Daripada An-Nawwas ibn Sam’aan r.a, Rasullullah s.a.w bersabda: ‘Kebajikan itu ialah kebaikan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang meresahkan dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya’. (Hadis riwayat Muslim)
Jangan memilih hukum dan pendapat agama semata-mata kerana ianya mudah tetapi kemudian menyusahkan kita pada masa depan atau kerana ianya senang dilakukan tetapi kemudian membawa keresahan jiwa dan perasaan ragu-ragu. Dalamilah ilmu dan binalah keyakinan dan keteguhan hati daripada godaan syaitan yang suka menanam keraguan kepada kita.
Hendaklah kita mengelakkan diri daripada mengikuti hawa nafsu, memilih pendapat yang menjerumuskan kita ke lembah syubhat atau membawa kepada ragu-ragu dan keresahan jiwa. Ini boleh dilihat berlaku kepada orang ramai yang suka mengambil apa yang mudah tetapi kemudian berasa susah dan resah apabila masalah yang diharapkan hilang masih datang tidak berhenti-henti.
Wabisoh ibn Ma’bad r.a meriwayatkan bahawa ‘Aku telah menemui Rasulullah s.a.w lalu baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebaikan? Aku pun menjawab: ‘Ya.’ Baginda pun bersabda lagi: ‘Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang menyebabkan diri dan hati kamu merasa tenang tenteram terhadapnya dan dosa itu ialah suatu perkara yang membawa resah dan gelisah dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu.’ (Hadis riwayat Ahmad dan Ad-Darimi)
Hukum hakam agama ada kalanya berubah-ubah mengikut keadaan, perihal individu dan berbeza di antara satu sama lain mengikut keperluan. Oleh itu janganlah bersikap suka memaksa dan mengharapkan orang lain turut sama berpendapat atau mengamalkan hukum yang kita pilih. Jangan bergaduh dan memberi ruang kepada syaitan untuk menyesatkan anak Adam dan memecah belah kesatuan umat Islam.
Jangan Membangkang Orang Lain Yang Tidak Sependapat
Jauhilah ta’asub dan keras kepala dengan pendapat sendiri dan hanya menyangka kita yang benar dan betul. Terbukalah kepada teguran dan kritikan dan sentiasa berusaha memperbaiki diri. Ingatlah hukum yang pernah kita amalkan atau terima daripada mufti pada hari ini boleh jadi akan berubah pada masa akan datang dan tidak sesuai lagi diamalkan pada masa depan. Terbukalah untuk pembaikan dan bersedia menerima ilmu baru.
Allah s.w.t berfirman: ‘Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-Mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhan-Mu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.’ (surah An-Nahl: 125)
Setiap orang tidak sama keperluan, situasi dan menghadapi masalah yang berbeza. Justeru jangan difikir semua orang harus sama dan mesti mengikuti kita. Boleh jadi kita di pihak yang benar tetapi kesabaran dan waktu yang lama diperlukan untuk menyampaikan kebenaran kerana itulah dakwah Nabi s.a.w tidak berjalan dalam satu malam.
Para ulama terdahulu seperti Al-Imam Ibn Abdil Bar r.a di dalam kitabnya menyebutkan bahawa: ‘Tidaklah akan pernah bahagia orang yang berdebat kecuali jika diikuti oleh orang ramai dan kamu tidak akan mendapati orang yang suka berdebat ini melainkan di dalam hatinya terdapat penyakit.’ (Lihat: Jami Bayan Al-Ilm)
Bahkan Allah s.w.t menyebut di dalam Al-Quran: ‘Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan katakanlah: ‘Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri.’ (surah Al-Ankabut: 46)
Bagaimanakah sikapnya berdebat sesama Islam dan saling menyalahkan antara satu sama lain itu boleh dianggap sebagai perbuatan sunnah? Sedangkan jika berselisih dan berdebat dengan ahli kitab itu pun disuruh dilakukan dengan penuh kebaikan dan hikmah maka sekiranya sesama Islam maka kita sepatutnya harus lebih baik dan lebih bersopan.
Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Aku menjamin untuk kalian sebuah istana yang terdapat di tepi syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan meskipun dia benar, aku menjamin untuk kalian dengan sebuah istana yang terdapat di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta meskipun dia hanya bergurau, dan aku menjamin untuk kalian dengan sebuah istana di syurga yang tertinggi bagi orang yang memperbaiki akhlaknya.’ (Hadis riwayat Abu Daud)
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: ‘Orang yang diredhai oleh Allah dan mereka itu selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya.’ (surah Al-Anbiya: 28)
Allah s.w.t berfirman lagi: ‘Sesungguhnya orang-orang (yang beriman itu ialah) yang berhati-hati kerana takut akan (azab) Tuhan mereka.’ (surah Al-Mukminun: 58)