Sabtu, 26 Februari 2011

Kaedah Mengatasi Kenaikan Harga Beras Di Pasaran

SMAHADZIR

MAKANAN adalah salah satu keperluan asas manusia di samping tempat tinggal dan pakaian. Oleh yang demikian, isu krisis makanan bukanlah satu isu remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Apa yang membimbangkan, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, bijirin dan jagung yang menjadi keperluan asas setiap individu di atas dunia ini. Walaupun setakat ini Malaysia masih belum terkesan dengan fenomena ini, namun berdasarkan trend ekonomi dunia, hal ini tidak mustahil akan melanda negara.

Masalah pertambahan jumlah penduduk dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan adalah antara alasan yang sering dijadikan ‘punca’ mengapa berlakunya kekurangan makanan di dunia. Dianggarkan bahawa penduduk dunia akan bertambah melampaui tahap 9 bilion orang menjelang tahun 2050. Unjuran pertambahan ini dikatakan akan mendesak kepada keperluan bahan makanan yang mendadak yang tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kelangkaan (kekurangan) sumber-sumber yang ada seperti air, tanah ladang dan sebagainya. Kepesatan permintaan secara mendadak dari kawasan ekonomi yang sedang pesat membangun seperti di China dan India juga dikatakan menjadi penambah kepada ketidakseimbangan antara pengeluaran makanan dunia (supply) dan permintaan (demand) yang memerlukannya. Contohnya (sebagaimana dilaporkan), tabiat makan penduduk China telah berubah di mana secara perkapita, penduduk China menghabiskan 50kg daging pada tahun 2007 berbanding hanya 20kg pada tahun 1985.

Keadaan yang ada dikatakan menjadi semakin rumit apabila faktor pengeluaran juga telah terjejas akibat bencana alam, pencemaran dan perubahan iklim dunia. Australia dikatakan mengalami kemarau terburuk pada tahun 2007 menyebabkan hasil gandum negaranya telah menyusut sebanyak 60%. Hasil tuaian dari China juga telah menyaksikan penyusutan sebanyak 10% sepanjang 7 tahun yang lalu. Faktor-faktor ini dikatakan menjadi sebab secara langsung kurangnya bekalan makanan yang boleh diperolehi oleh penduduk dunia.

Hakikatnya, ada faktor-faktor yang dicatatkan tadi bertentangan dengan realiti yang ada. Amatlah menghairankan mengapakah boleh berlaku kekurangan bekalan makanan apabila tahap pengeluaran makanan dunia sebenarnya bertambah melebihi tahap pertambahan penduduk. Jika dibandingkan antara jumlah penduduk pada tahun 1961 dan 2005, kita dapati jumlah penduduk dunia telah bertambah sebanyak 2.1 kali ganda. Tetapi jika kita bandingkan tahap pengeluaran makanan antara tahun yang sama, kita dapati pengeluaran makanan dunia telah bertambah 2.8 kali ganda (berdasarkan data terkini dari World Resources Institute).

Ini bermakna, jumlah makanan yang telah dihasilkan untuk setiap individu telah bertambah (semakin banyak) saban tahun. Oleh yang demikian, rasional bahawa antara punca krisis bekalan makanan adalah kerana bertambahnya bilangan penduduk dunia adalah satu penaakulan yang mengelirukan. Pada dasarnya, mereka yang memberikan alasan ini hanyalah mengiyakan teori yang dikemukakan oleh Thomas Malthus dari Britain dalam kurun ke 18 di mana beliau telah menulis sebuah buku bertajuk An Essay on the Principle of Population as it Affects the Future Improvement of Society pada tahun 1798. Di dalamnya dikatakan bahawa populasi manusia akan bertambah secara eksponen manakala pertambahan bahan makanan hanyalah secara aritmetik.

Jika teori ini betul, maka beberapa ratus tahun selepas zaman Malthus, sebahagian manusia akan mengalami kebuluran dan kekurangan makanan. Perlu diperhatikan bahawa Malthus menulis bukunya ketika Britain mempunyai penduduk 11 juta dan pada kurun 21, penduduk Britain telah bertambah sebanyak 59 juta. Namun begitu, tidak pula terdapat mana-mana kawasan di Britain yang mengalami krisis kekurangan makanan atau pun kebuluran yang serius, walaupun Britain pada hakikatnya mempunyai keluasan tanah yang tidak begitu besar berbanding negara-negara lain di dunia. Justeru, pendapat Malthus hanyalah benar dari segi pertambahan penduduk dunia namun teori beliau ternyata salah dalam meramal bahawa pertumbuhan makanan tidak akan dapat menampung pertambahan penduduk dunia.

Yang jelasnya, kenaikan harga beras yang menjadi makanan asasi rakyat negara ini kini amat membimbangkan masyarakat, terutama golongan berpendapatan rendah. Kesan kenaikan harga beras serantau, terutama di negara yang beras adalah makanan asasi, contohnya Filipina, terpaksa mengimport banyak beras. Kekurangannya menyebabkan catuan terpaksa dibuat, malah tentera ditugaskan mengawal proses tersebut. Harga beras di Myanmar juga melonjak naik. Vietnam pula tidak mahu mengeksport beras. Thailand pun ada ura-ura bertindak begitu, tetapi tidak jadi. Harga beras di Thailand naik hingga AS$1,000 satu tan dan jika ditukar kepada mata wang negara ialah RM3.20 sekilogram. Dulu beras dari Thailand diseludup ke Malaysia, sekarang keadaan menjadi sebaliknya kerana sekarang di negara itu, padi dijual dengan harga RM1,400 satu tan, manakala beras hancur 15% Malaysia dijual pada harga RM1,350. Ini membabitkan harga beras di sebuah negara yang mengeksport beras.

Antara kaedah bagi mengatasi kenaikan harga beras di pasaran ialah pertama, kawasan tanaman padi mestilah diperluaskan untuk menambah bekalan beras. Ini dilihat boleh dilaksanakan di beberapa negeri seperti Sabah dan Sarawak. Pada masa sama, ada tawaran di Terengganu. Begitu juga permintaan kerajaan Pusat supaya tanah kawasan padi tidak diubah syarat menjadi tanah perumahan kerana kita perlu memelihara tanah yang digunakan untuk keluaran padi dan makanan. Bagaimanapun, ini adalah langkah jangka panjang.

Kita masih mempunyai kemampuan memperuntukkan RM4 bilion untuk menjaga bekalan makanan dan memberikan subsidi kepada makanan tertentu seperti beras. Kita memberi subsidi tepung sebanyak RM20.4 juta sebulan. Bagaimanapun, kerajaan tidak boleh memberi subsidi kepada semua pihak. Paling mustahak adalah subsidi kepada makanan yang menjadi keperluan golongan berpendapatan rendah. Dari segi beras, ia adalah jenis beras hancur 15% yang biasa dibeli oleh peniaga warung. Beras import tiada subsidi dan dijual mengikut harga pasaran. Kita sudah ada perubahan. Sebagai contoh, orang Kelantan biasanya makan beras Siam (Thailand) sekarang mencari beras tempatan. Apabila harga beras import naik, mereka yang biasa dengan makanan import akan mencari makanan tempatan.

Faktor tempatan yang dikenal pasti menjadi penyumbang kepada kenaikan harga beras ialah struktur perdagangan dalaman seperti terlalu banyak lapisan pengedaran atau unsur monopoli. Juga dari segi pengangkutan dan logistik kerana walaupun subsidi diberikan kepada pengangkutan, tiada dorongan menjadi lebih cekap. Perniagaan beras di negara ini mempunyai keunikan kerana sebagai contoh, padi ditanam di Kedah tidak boleh dibawa ke Selangor. Ini adalah keunikan dari segi sejarah atau untuk menentukan ada kawalan. Apa pun, kawalan akan sentiasa membawa masalah tidak cekap dan boleh menimbulkan kos lain. Walaupun ada kelemahan dari segi struktur, logistik dan industri, kenaikan harga peringkat global adalah punca utama yang tidak dapat dielakkan.

Subsidi adalah perkara yang sudah biasa dilakukan oleh kerajaan. Tindakan terbaru ialah termasuk meningkatkan Stok Penimbal Beras. Mengikut undang-undang, Bernas perlu menyimpan 92,000 tan yang mencukupi untuk keperluan selama tiga minggu, tetapi kerajaan membuat keputusan menaikkan kepada 550,000 tan yang mencukupi untuk tiga bulan. Stok penimbal tidak membabitkan bekalan yang ada di pengedaran dan digunakan dalam keadaan tidak diduga.

Kerajaan juga menimbang untuk meminta sebuah GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang tidak beroperasi secara aktif menghidupkan kembali sistem perniagaan secara Pernas Edar mengedarkan barang kepada golongan berpendapatan rendah dengan menggunakan saluran sedia ada seperti Kedai Pernama, Kedai Felda di kawasan tanah rancangan Felda serta pasar raya hiper tertentu dan kalangan peruncit, terutama di kawasan pendapatan rendah.

Golongan menengah dan berpendapatan tinggi juga turut merasai kesannya. Golongan ini tidak dinafikan akan merasai tekanan inflasi, tetapi mereka boleh membuat pilihan. Berbanding membeli barang berjenama, mereka boleh membeli yang lebih murah sikit, tetapi kualitinya hampir sama untuk menjimatkan wang. Ini adalah pilihan yang masih ada kerana kita tidak boleh kata semua orang mesti makan barang jenama A. Rakyat Malaysia sekarang mahu jenama A, B dan C. Mesti ada pilihan, tetapi dalam keadaan inflasi dan kenaikan harga barang, konsep pengguna bijak mesti dipraktikkan. Membuat pilihan berdasarkan kualiti dan bukan jenama. Mereka yang duduk di kawasan bandar dan pergi ke pasar raya hiper mempunyai pilihan ini. Beli barang yang tidak ada jenama, tetapi kualiti hampir sama kerana tidak diiklankan menyebabkan harganya lebih rendah.

Kita juga perlu memikirkan kebaikan sistem ekonomi terbuka yang boleh menggalakkan persaingan dan menawarkan harga lebih baik kepada pelanggan dan pasaran. Sekarang banyak barang dikawal harga seperti besi, keluli, simen, ayam, beras, tepung, minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG). Walaupun perlindungan dilakukan untuk kebaikan pengguna, kadang-kadang timbul tohmahan bahawa kerajaan hendak melindungi syarikat besar atau monopoli. Kita tahu, jika dibiarkan begitu, terutama apabila pengeluaran dari satu dua syarikat monopoli, kesannya lebih buruk kepada pengguna.

Namun begitu, kenyataannya dunia kini sedang mengalami krisis terburuk sejak 30 tahun lalu dan wajar diberi perhatian. Meskipun segelintir pihak menganggapnya sebagai satu propaganda tetapi hakikat yang perlu diterima ialah langkah-langkah segera perlu diambil untuk mendepani apa yang dialami kini. Banyak faktor mengesahkan berlakunya krisis meruncing ini, antaranya kejadian bencana alam dan kenaikan harga bahan api khususnya diesel yang mendorong kepada peningkatan harga makanan yang kini dikatakan mencecah sehingga 40%.

Malaysia telah mengambil langkah wajar dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menerusi peruntukan RM4 bilion untuk menangani isu bekalan dan harga makanan negara di bawah dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara. Malah tanpa mengambil kira andaian krisis tersebut, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dilancarkan pada 2006, kerajaan memperuntukan RM6.9 juta di bawah sektor agro makanan yang mewujudkan beberapa projek mega pertanian seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Zon Industi Akuakultur, Ladang Kontrak, Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani dan Pusat Fidlot Nasional.

Baru-baru ini pula Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenal pasti tujuh langkah perlaksanaan bagi peruntukan yang baru diluluskan itu iaitu meningkatkan pengeluaran beras, pewujudan stok penimbal beras, pemberian insentif kepada pengusaha-pengusaha pertanian dan mewujudkan program peningkatan pengeluaran dan produktiviti bagi sektor tanaman, ternakan dan pertanian. Langkah lain termasuk mengukuhkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memastikan pasaran dan pengagihan hasil-hasil pertanian, melaksanakan program Bumi Hijau dan mengurus kawasan terbiar untuk meningkatkan pengeluaran komoditi sekuriti.

Sementara itu, Malaysia dianggap bertuah kerana memiliki sumber semula jadi komoditi dan mempunyai asas pertanian yang kukuh untuk dijana bagi menghasilkan makanan. Lantaran itu syarikat-syarikat bioteknologi tempatan sewajarnya mengambil peluang untuk memanfaatkan teknologi sedia ada bagi menghasilkan lebih banyak produk makanan. Sama ada kita menggunakan kepakaran tempatan sedia ada atau mendapatkan lesen teknologi luar, semuanya boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan makanan.

Teknik kultur tisu, Molecular Assisted Selection (MAS) dan penggunaan bioreactor bukan lagi baru dalam bidang bioteknologi sebaliknya boleh digunakan untuk meningkatkan produktiviti makanan. Bioteknologi sepatutnya dilihat sebagai alat yang boleh dimanfaatkan ketika dunia menghadapi krisis makanan kerana pemilihan baka atau benih yang dihasilkan menerusi bioteknologi mempunyai cirri-ciri lebih baik sama ada cepat matang, hasil lebih tinggi dan tahan penyakit. Teknologi kini dapat membantu pengeluaran makanan khususnya yang asas seperti padi, gandum dan jagung, meskipun wujud prejudis daripadanya. Isu-isu seperti organisme terubah suai secara genetik (GMO) menjadikan manusia ragu-ragu terhadap teknologi tersebut tetapi Molecular Assisted Selection boleh menjadi alternatif.

Molecular Assisted Selection yang juga dikenali sebagai Marker Assisted Selection atau Marker Aided Selection merupakan satu-satunya proses yang berasaskan variasi DNA atau RNA digunakan untuk mengenalpasti genetik atau ciri-ciri yang diperlukan dalam tumbuhan atau haiwan. Antara ciri-ciri tersebut ialah produktiviti kerintangan terhadap penyakit dan toleransi kepada tekanan secara kualiti. Molecular Assisted Selection hanya melibatkan teknologi hingga ke peringkat molekul sahaja dan tidak ke peringkat pengubahsuaian genetik. Pengguna juga perlu sedar bahawa makanan yang dihasilkan daripada GMO seperti jagung, soya dan tomato serta beras sudah berada di pasaran sejak sekian lama. Oleh itu mereka perlu ada kesedaran tentang ilmu saintifik supaya dapat menerima makanan berteknologi tinggi ini kerana ia dapat dihasilkan dengan meminimumkan penggunaan tanah.

Kawasan penanaman semakin berkurang sedangkan penduduk semakin meningkat. Justeru, sebagai alternatif, bioteknologi boleh meningkatkan pengeluaran makanan secara berganda untuk keperluan manusia. Universiri dan agensi penyelidikan tempatan seperti Universiti Putra Malaysia dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), sebagai contoh boleh menggandakan usaha menghasilkan lebih banyak penyelidikan yang mampu melipatgandakan pengeluaran produk makanan.

Krisis makanan ini sepatutnya dianggap sebagai wake up call kepada tiga pihak utama iaitu kerajaan yang merencanakan dasar, penyelidik yang menjalankan tugas dan pengguna yang perlu sedar bahawa sudah sampai masanya teknologi diberi tempat sewajarnya sebagai menjana kesejahteraan sosial. Memperkasakan teknologi pertanian merupakan tanggungjawab bersama, sama ada mereka yang menghasilkannya atau yang menerima manfaat daripadanya. Pengguna sebagai golongan yang menerima manfaat perlu yakin dengan teknologi tersebut supaya penciptanya akan terus berusaha memperbaiki untuk memastikan penduduk terus selamat.

Bibliografi:

1. Sunday Herald, 09 Mac 2008

2. An Essay on the Principle of Population as it Affects the Future Improvement of Society, Thomas Malthus

3. Krisis Makanan Ancam Dunia, Laupa Junus, Utusan Malaysia, 9 Mei 2008

4. Konsep Pemberian Subsidi Perlu Diubah Suai, Ziauddin Sharuddin

1 ulasan: