Selasa, 22 Februari 2011

Hikmah

Syed Mahadzir Syed Ibrahim

“Hikmah adalah sesuatu yang hilang dari setiap orang mukmin. Di mana saja dia menemukannya, dialah berhak ke atasnya.”

Hadis ini telah menarik perhatian Imam Hasan al-Banna dalam menyusun Usul 20 sehingga beliau memasukkan hadis di atas ke dalam satu usul daripada Usul 20-nya. Usul 20 merupakan ijtihad Imam Hasan al-Banna bagi membentuk kefahaman seorang dai’ yang bekerja untuk Islam dalam gerakan Ikhwan Muslimin. Sebagai contoh, seorang dai’e yang menyebar risalah Islam amat terdedah dengan kepelbagaian pendapat dalam masalah fiqh. Supaya dai’e tersebut tidak terperangkap dalam masalah perselisihan fiqh yang tiada garis penamat, maka Imam Hasan al-Banna telah menyusun beberapa usul sebagai panduan kepada dai’e tersebut. Antaranya usul berikut:

“Perselisihan fiqh dalam perkara cabang (furu’) tidak sepatutnya menjadi sebab kepada perpecahan dalam agama dan tidak seharusnya membawa kepada perbalahan atau permusuhan. Setiap orang yang berijtihad ada pahalanya. Walau bagaimanapun tidak ada halangan bagi melakukan tahqiq ilmu/penjelasan ilmiah dalam masalah-masalah yang diperselisihkan dalam suasana kasih sayang kerana Allah s.w.t serta kerjasama dalam menyampaikan kebenaran tanpa terbawa-bawa kepada pertengkaran yang dicela serta taksub.” (Usul kelapan daripada Usul 20)

Berbalik kepada hadis di atas, Imam Hasan al-Banna telah meletakkan hadis tersebut ke dalam usul ke 18 daripada usul 20-nya. Secara lengkapnya usul 18 berbunyi seperti berikut:

“Islam membebaskan akal, menggalakkan supaya memerhati (mengkaji) alam semesta, mengangkat kedudukan ilmu dan ulama serta mengalu-alukan sesuatu yang baik dan bermanfaat. ‘Al-Hikmah’ adalah barang yang hilang dari orang mukmin, di mana sahaja didapatinya maka dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya.” (Usul 18)

Ringkasnya, dalam usul ini Imam Hasan al-Banna telah menegaskan pendirian Islam terhadap akal dan ilmu, ketika mana akal telah ditawan atau dikongkong dan ilmu telah dihadkan kepada ilmu-ilmu tertentu sahaja. Merujuk kepada perkataan ‘al-Hikmah’ dalam hadis di atas, Syeikh Muhamad Abdullah al-khatib telah menghuraikannya seperti berikut:

“Sesungguhnya Islam datang untuk merealisasikan seluruh kebaikan untuk manusia dan dalam masa yang sama menjauhkan seluruh bentuk kerosakan dalam urusan agama dan keduniaan daripada mereka. Sesungguhnya asas dan binaan syariat adalah berdasarkan hukum dan kepentingan manusia di dunia dan di akhirat, iaitu seluruhnya keadilan, kerahmatan, kemaslahatan dan hikmat. Oleh itu setiap permasalahan yang terkeluar dari keadilan kepada penganiayaan, dari rahmat kepada sebaliknya, dari kemaslahatan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia, maka itu bukan dari syariat, sekalipun ia digolongkan ke dalam syariat secara takwil.” (I’lam al-Muwaqqi’in).

Ini satu usul yang besar. Kejahilan terhadapnya akan menimbulkan tekanan dan kesukaran kepada manusia, menjauhkan mereka dari limpahan kebaikan dan menyamarkan gambaran Islam.

Rasulullah s.a.w mengalu-alukan setiap perkara yang baik dan bermanfaat. Baginda mengalu-alukan idea menggali parit (khandak) apabila dibentangkan idea tersebut kepada baginda, iaitu idea dari Parsi yang tidak pernah berlaku di kalangan orang Arab dalam strategi peperangan ketika itu. Lalu baginda s.a.w menerima idea tersebut lantaran kebaikan dan manfaatnya.

Setiap kebaikan di dalam apa juga bidang sama ada perubatan, astronomi, pentadbiran, pembangunan, perindustrian, pertanian dan lain-lain, maka muslim adalah orang yang lebih utama. Bagaimana tidak? Sedangkan Rasulullah s.a.w telah menanam satu kaedah besar dengan sabdanya:

الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها فهو أحق بها (رواه الترمذي)

Maksudnya: Al-Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya. (Riwayat Tirmizi).

Sebagai kesimpulan, al-Hikmah adalah merujuk kepada sesuatu yang membawa kebaikan dan manfaat kepada kehidupan manusia termasuklah apa juga bidang ilmu yang membawa kesejahteraan hidup manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan