Sabtu, 26 Februari 2011

Cara-Cara Menjimatkan Air Di Rumah Dan Kepentingannya

SMAHADZIR

KEPENTINGAN air kepada makhluk sejagat tidak dapat dinafikan. Tanpa air, seluruh jentera kehidupan akan terhenti dan bumi ini akan ketandusan makhluk hidup. Kini air terus menjadi faktor yang amat penting dalam kehidupan kita lantaran semakin berkurang kerana bertambahnya pemusnahan hutan dan kawasan tadahan air, pencemaran oleh industri agrikultur dan perkilangan, pertambahan permintaan, dan keadaan iklim yang teruk seperti El-Nino. Oleh itu, kita perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam usaha penjimatan dan memulihara sumber-sumber air agar dapat mengurangkan kekeringan bahan ini.

Dewasa ini, pengguna air domestik menggunakan lebih kurang separuh daripada jumlah permintaan air di Malaysia. Oleh kerana jumlah yang banyak ini, sebarang pengurangan dalam penggunaan air boleh membantu dalam menjimatkan air. Di sinilah kita perlu memainkan peranan sebagai ‘pengurus’ belanjawan air keluarga. Hakikatnya, kita sebagai pengguna yang prihatin perlu mengurangkan penggunaan air melalui penggantian cara-cara penjimatan air dan perubahan persendirian.

Pada tahun 2001, The United Nations Population Fund telah mengumumkan bahawa dunia akan kehabisan air tawar menjelang 2050 disebabkan pertumbuhan penduduk kepada 9.3 billion. Penduduk dunia kini yang berjumlah 6.1 billion telah memberi tekanan yang besar ke atas sumber-sumber air, seperti yang dimanifestasikan oleh 508 juta penduduk yang tinggal di 31 buah negara bertekanan-air. Lebih 54% daripada air tawar tahunan sedunia yang wujud sedang digunakan, iaitu 2/3 digunakan oleh pertanian. Menjelang tahun 2025, lebih daripada 70% daripada air tawar sedunia akan habis digunakan akibat pertumbuhan penduduk.

Jika penggunaan di merata tempat mencapai tahap di negara-negara yang telah membangun, 90% daripada air tawar sedunia akan habis digunakan. Sekarang ini, bekalan air telah pun tidak mencukupi di negara-negara termiskin disebabkan penggunaannya telah berganda sebanyak 6 kali dalam masa 70 tahun. Disebabkan pertumbuhan populasi dan peningkatan permintaan air akibat pemodenan cara hidup, 3 billion penduduk di 48 negara akan tinggal di bawah tekanan-air menjelang 2025. Menjelang 2025, nilai ini akan bertambah menjadi 4.2 billion dan masyarakat ini akan berada dalam negara-negara yang tidak dapat menepati keperluan harian PBB sebanyak 50 liter air seorang untuk minum, membasuh dan memasak. Banyak negara telah mulai menggunakan bekalan air mereka secara tidak mapan. Akibatnya, paras air di bawah beberapa bandar raya di China, Amerika Latin dan Asia Selatan sedang menurun lebih daripada 1 meter setahun.

Di Malaysia, disebabkan kadar air yang rendah, iaitu kurang dari 1/10 jumlah yang dibayar untuk elektrik, tiada siapa yang memandang pemuliharaan air sebagai penting. Akibatnya, ramai orang cenderung membazir air, atau tidak mengambil tindakan yang positif untuk memuliharanya. Tambahan pula, pencemaran air amat meluas, pelaku utamanya adalah kilang-kilang, petani-petani dan rumah tangga. Kawasan tadahan air terus dimusnahkan dengan pemusnahan kawasan tadahan air hutan yang dibuka sama ada untuk pembangunan secara sah ataupun haram.

Bagi kebanyakan daripada kita, nilai air adalah sesuatu yang tidak terfikir kecuali ditimpa krisis secara langsung seperti yang berlaku pada tahun 1998. Ini kerana air dibekalkan kepada kita dengan mudah sahaja. Kita hanya perlu membuka paip air. Air juga amat murah sehingga tiada siapa yang mahu mengambil perhatian untuk menggunakannya secara jimat berbanding elektrik.

Piawaian antarabangsa mengesyorkan bahawa setiap orang boleh mendapatkan 165 liter air sehari. Walau bagaimanapun, ada penyelidik yang berpendapat bahawa seseorang berupaya menggunakan hanya 80 liter air sehari. Tetapi purata penggunaan berjulat dari 5.4 liter. Di Malaysia, kita menggunakannya secara purata 300 liter sehari, tetapi untuk mereka yang menetap di bandar menggunakannya jauh lebih banyak iaitu lebih kurang 500 liter air per kapita sehari. Kebanyakan air ini dibazirkan kerana digunakan untuk mencuci tandas, membasuh kereta, berkebun dan mandi.

Sebagai pengguna yang prihatin, kita harus sentiasa mengenalpasti masalah-masalah yang berkaitan dengan air di rumah seperti kebocoran, kepala paip yang rosak, tekanan air yang rendah dan bayaran air yang terlalu tinggi. Jadi, adalah penting untuk menyedarkan masyarakat sekeliling tentang pemuliharaan air. Jika kita tidak peka terhadap pemuliharaan air, berkemungkinan besar masalah-masalah ini akan wujud terus atau menjadi lebih signifikan. Sewaktu membasuh pakaian keluarga contohnya, kita boleh memulihara air dengan menggunakan serbuk pencuci yang tidak menjejaskan persekitaran (yang menggunakan kurang air dan kurang berbahaya terhadap air bawah tanah), hanya membasuh apabila muatan penuh, dan memastikan pakaian yang mempunyai kotoran yang degil dicuci sebelum dibasuh bersama pakaian lain. Semua ini dapat membantu penjimatan air. Pemilihan pakaian dan bahan kain juga penting kerana kain bulu (wool) dan banyak kain sintetik memerlukan lebih banyak air dalam pembasuhannya berbanding dengan kain kapas.

Kita seharusnya tidak menggunakan mesin pembasuh pinggan mangkuk. Mesin ini menggunakan air yang amat banyak. Dalam sebuah keluarga yang besar, mungkin keperluan untuk mesin ini wujud dan dapat dijustifikasikan tetapi pada masa ini, keluarga yang besar telah berkurangan. Di dapur, kita boleh memasak makanan yang kurang berminyak (seperti mengukus makanan atau salad yang tidak perlu dimasak) dan yang lebih berkhasiat untuk keluarga. Dengan cara ini, air kurang diperlukan untuk memasak dan dalam pembasuhan alat-alat memasak.

Bilik air merupakan tempat di mana penjimatan amat perlu kerana 3/4 air digunakan di sini. Kita tidak seharusnya membenarkan kanak-kanak bermain air semasa mandi kerana tindakan ini amat membazir. Kita perlu meminimakan penggunaan air semasa mandi dengan memastikan suasana untuk mandi adalah mesra-persekitaran, mengurangkan bilangan kali mandi untuk keluarga, menggunakan sabun organik atau sabun kurang berbuih yang menggunakan kurang air untuk membilas, dan tidak mengambil masa yang terlalu lama semasa mandi. Secara ekstrim, kita boleh menggunakan semula air sisa dari bilik mandi, dapur dan air basuhan sayur-sayuran dengan mengumpulkannya dalam tangki dan menggunakan air tersebut untuk siraman tananam dan membasuh lantai.

Di bawah ini disenaraikan beberapa cara yang boleh dilakukan oleh kita dalam usaha untuk menjimatkan air di rumah. Cara-cara tersebut adalah seperti berikut:

  1. Sentiasa memeriksa batang dan kepala paip. Jika ada kebocoran, perbaikinya dengan segera.
  2. Memasang alat-alat penjimatan air seperti tangki separuh flas, tap bervalve ketat, tap berudara, kepala shower jimat air, tap automatik dan sebagainya, dan memodikasikan alatan untuk penjimatan air.
  3. Membasuh pakaian - menunggu sehingga mempunyai muatan penuh dalam mesin pembasuh sebelum membasuh. Belilah mesin yang mesra-persekitaran dan mempunyai muatan separuh dan dengan pengurangan penggunaan air.
  4. Memasang alat pemanas yang cepat panas untuk mengelakkan aliran air sejuk yang dibazirkan semasa menunggu air menjadi panas pada waktu pagi.
  5. Laporkan semua kebocoran kepada pihak berkuasa dengan segera.
  6. Letakkan batu-batu kecil atau bata ke dalam tangki air untuk mengurangkan air yang digunakan semasa buang air besar.
  7. Kumpulkan air hujan dalam baldi atau pasangkan paip khas untuk mengumpul air hujan.
  8. Kitar semula air yang digunakan untuk membasuh tangan, sayur-sayuran dan buah-buahan untuk menyiram pokok bunga, cuci lantai dan sebagainya.
  9. Air mandian dari bilik air di tingkat atas boleh dikumpulkan dengan paip terubahsuai untuk digunakan semula di tingkat bawah.
  10. Gunakan shower. Jangan sekali-sekala menggunakan long bath.
  11. Pasangkan tandas kompos. Dengan bahan dan ventilaso yang betul, ia tidak akan berbau. Pada zaman dahulu, orang ramai menggunakan tandas baldi dan najis dikumpulkan selalu oleh para petani untuk dijadikan baja. Tandas kompos tidak memerlukan air kerana pemancuhan tidak diperlukan. Ia bergantung kepada tindakan bakteria dalam menguraikan bahan berbahaya dalam buangan.
  12. Hasilkan kompos dari bahan buangan organik (kulit buah, bahagian sayur, buah, biji yang busuk dan sebagainya) daripada membuangnya sahaja.
  13. Gunakan sabun dan syampu organik yang boleh biodegradasi.
  14. Basuh pinggan mangkuk dengan menggunakan tangan dan bukan mesin pembasuh.
  15. Semasa membasuh pinggan mangkuk, gunakan satu sinki untuk mencuci dan sinki yang lain untuk membilas. Jangan menggunakan air yang mengalir secara berterusan. Cara yang lain adalah dengan menggunakan takungan air yang menakung air untuk menggantikan sinki.
  16. Air yang digunakan untuk memasak boleh digunakan semula sebagai stok atau untuk memasak sup. Stok yang selebihnya boleh disimpan dalam peti sejuk untuk digunakan semula.
  17. Menggunakan semula air basuhan sayur-sayuran dan buah-buahan untuk menyiram pokok bunga atau membasuh tandas dan lantai.
  18. Sewaktu mencuci kereta, gunakan baldi dan bukan paip getah. Cuci kereta sekali seminggu. Tidaklah perlu mencuci kereta terlalu kerap. Jika kereta tidak terlalu kotor, lapkan sahaja dengan kain bersih.
  19. Sewaktu menyiram pokok di kebun bunga, gunakan baldi dan bukan paip getah.
  20. Siram pokok di luar kawasan bercahaya matahari pada waktu pagi atau petang untuk mengurangkan air melalui proses evaporasi.
  21. Jangan sesekali menggunakan alat perenjis air dalam kebun bunga. Jika memiliki alat tersebut, jangan gunakan mod automatik kerana ia akan terus merenjis sewaktu hujan.
  22. Jika memiliki kebun atau taman bunga, tanam pokok bunga dalam tanah dan bukan dalam pasu. Tumbuhan tumbuh lebih baik dalam tanah serta mendapat lebih air dari tanah berbanding di dalam pasu.
  23. Tanamlah tumbuh-tumbuhan hiasan yang memerlukan air yang kurang seperti kaktus dan bukan tumbuhan yang memerlukan air yang banyak seperti keladi bunting dan sebagainya.

Sesungguhnya, banyak lagi cara yang boleh dilakukan untuk tujuan penjimatan air. Setiap liter air yang dijimatkan mungkin kelihatan tidak signifikan tetapi ia bermakna dalam pengurusan mapan sumber ini. Bukan mustahil bagi seseorang untuk mengurangkan penggunaan airnya sebanyak 10% ke 20% walaupun pengurangan sebanyak 50% adalah terlalu drastik dan mungkin mengakibatkan kemerosotan kesihatan dan kesan-kesan buruk yang lain. Seseorang itu tidak boleh mengurangkan jumlah air yang diminum (lebih kurang 7 gelas sehari) tetapi tentu boleh mengurangkan bilangan kali mandi, menyiram pokok, mencuci kereta, mencuci lantai atau menukar air akuarium. Ini semua merupakan langkah-langkah ke arah penjimatan air yang secara umumnya dapat menyumbang kepada kesejahteraan negara.

5 ulasan:

  1. Terima kasih☺banyak membantu untuk karangan spm

    BalasPadam
  2. Tuan, saya nak tanya. Macam mana penggunaan bahan pencuci terbiodegradasi dapat membantu dalam memulihara air? Maksud tuan dari segi mengurangkan pencemaran air kah?

    BalasPadam