Sabtu, 26 Februari 2011

Amalan Penjimatkan Air Di Sekolah

SMAHADZIR

KEPENTINGAN air kepada manusia tidak dapat dinafikan. Tanpa air, seluruh jentera kehidupan akan terhenti dan bumi ini akan ketandusan makhluk hidup. Sebagai pengguna yang prihatin, termasuk pengguna di sekolah, kita harus bijak menggunakan air supaya tidak berlaku pembaziran. Pelbagai tindakan boleh kita lakukan untuk mengurangkan penggunaan air. Contohnya, air hujan boleh ditakung dan digunakan semula untuk menjirus pokok-pokok bunga. Para pelajar yang tinggal di asrama juga boleh menggunakan air takungan ini untuk membasuh pakaian.

Pihak sekolah harus sentiasa mengenalpasti masalah-masalah yang berkaitan dengan air di sekolah seperti kebocoran, kepala paip yang rosak, tekanan air yang rendah dan bayaran air yang terlalu tinggi. Jadi, adalah penting untuk menyedarkan para pelajar tentang penggunaan air. Sewaktu membasuh pakaian untuk para pelajar yang tinggal di asrama contohnya, kita boleh memulihara air dengan menggunakan serbuk pencuci yang tidak menjejaskan persekitaran (yang menggunakan kurang air dan kurang berbahaya kepada air bawah tanah), hanya membasuh apabila perlu dan memastikan pakaian yang mempunyai kotoran degil dicuci sebelum dibasuh bersama pakaian lain. Semua ini dapat membantu penjimatan air. Pemilihan pakaian dan bahan kain juga penting kerana kain bulu (wool) dan banyak kain sintetik memerlukan lebih banyak air dalam pembasuhannya berbanding dengan kain kapas.

Bilik air merupakan tempat di mana penjimatan amat perlu kerana 3/4 air digunakan di sini. Para pelajar perlu disedarkan tentang meminimakan penggunaan air semasa mandi dengan memastikan suasana untuk mandi adalah mesra-persekitaran, mengurangkan bilangan kali mandi untuk individu, menggunakan sabun organik atau sabun kurang berbuih yang menggunakan kurang air untuk membilas, dan tidak mengambil masa yang terlalu lama semasa mandi. Secara ekstrim, kita boleh menggunakan semula air sisa dari bilik mandi, dengan mengumpulkannya dalam tangki dan menggunakan air tersebut untuk siraman pokok bunga dan membasuh lantai.

Selain itu pihak sekolah juga perlu memasang alat-alat penjimatan air seperti tangki separuh flas, tap bervalve ketat, tap berudara, kepala shower jimat air, tap automatik dan sebagainya, dan memodikasikan alatan untuk penjimatan air, meletakkan batu-batu kecil atau bata ke dalam tangki air untuk mengurangkan air yang digunakan semasa buang air besar, mengumpulkan air hujan dalam kolam atau pasangkan paip khas untuk mengumpul air hujan, mengitar semula air yang digunakan untuk membasuh tangan, sayur-sayuran dan buah-buahan di kantin untuk menyiram pokok bunga, cuci lantai dan sebagainya.

Pihak sekolah juga perlu menyediakan sebuah takungan untuk mengumpul air mandian dari bilik air asrama di tingkat atas dengan paip terubahsuai bagi digunakan semula di tingkat bawah, bilik mandi disediakan shower, jangan membenarkan pelajar menggunakan long bath, mengarahkan para pelajar menggunakan sabun dan syampu organik yang boleh biodegradasi, mengarahkan supaya basuh pinggan mangkuk di kantin sekolah dengan menggunakan tangan dan bukan mesin pembasuh dan semasa membasuh pinggan mangkuk, gunakan satu sinki untuk mencuci dan sinki yang lain untuk membilas. Jangan menggunakan air yang mengalir secara berterusan. Cara yang lain adalah dengan menggunakan takungan air yang menakung air untuk menggantikan sinki.

Selain itu, pihak sekolah juga perlu mengarahkan pengusaha kantin supaya menggunakan air untuk memasak digunakan semula sebagai stok atau untuk memasak sup. Stok yang selebihnya boleh disimpan dalam peti sejuk untuk digunakan semula.

Tukang kebun juga perlu diarahkan supaya menyiram pokok bunga menggunakan baldi dan bukan paip getah. Siram pokok di luar kawasan bercahaya matahari pada waktu pagi atau petang untuk mengurangkan air melalui proses evaporasi. Jangan sesekali menggunakan alat perenjis air dalam kebun bunga. Jika memiliki alat tersebut, jangan gunakan mod automatik kerana ia akan terus merenjis sewaktu hujan. Kurangkan tanaman dalam pasu. Pokok-pokok bunga tumbuh lebih baik dalam tanah serta mendapat lebih air dari tanah berbanding di dalam pasu. Tanamlah tumbuh-tumbuhan hiasan yang memerlukan air yang kurang seperti kaktus dan bukan tumbuhan yang memerlukan air yang banyak seperti keladi bunting dan sebagainya.

Sesungguhnya, banyak lagi cara yang boleh dilakukan untuk tujuan penjimatan air. Setiap liter air yang dijimatkan mungkin kelihatan tidak signifikan tetapi ia bermakna dalam pengurusan mapan sumber ini. Ini semua merupakan langkah-langkah ke arah penjimatan air yang secara umumnya dapat menyumbang kepada kesejahteraan negara.

1 ulasan: