Jumaat, 3 Disember 2010

Warkah Untuk Datuk Bendahara

(sempena menjejak Bandar Hilir menatap pesona Kota Melaka yang suatu ketika dulu menyaksi segala)


Datuk Bendahara,


Seisi Melaka kini mengerti Datuk, bahawa Hang Jebat merupakan penderhaka yang mengamuk, mengkucar-kacirkan istana dan seisinya serta berahi bermukah dengan 700 dayang dan perwara kesayangan baginda di kamar siraman mahupun di tampuk singgahsana. Datuk Bendahara, sesungguhnya perkhabaran ini adalah dusta dan dongeng belaka kerana ia hanyalah perkhabaran rupa tanpa wujud petanda kukuh dan nyata. Barangkali juga, ia adalah satu fitnah dina yang disampaikan oleh Dang Prani, perwara istana kesayangan Patih Karmawijaya yang gemar mencipta muslihat dan angkara di istana.


Bukankah Dang Prani juga telah mempergunakan Hang Tuah yang terlalu setia kepada baginda sultan untuk masuk ke kamar dayang-dayang suatu ketika dahulu? Lalu dengan muslihatnya bersama Patih Karmawijaya juga, Hang Tuah, pahlawan kesayangan Datuk Bendahara itu telah dijatuhkan hukum bunuh dengan tidak semena-mena? Namun, mujurlah dengan kebijaksanaan Datuk, pahlawan Melaka itu tidak langsung dibunuh tanpa usul periksa, sebaliknya hanya dipasung sahaja di dusun tua Datuk yang terletak di hujung rimbaloka.


Datuk Bendahara,


Jasad Hang Jebat telah selamat dimakamkan di hujung sebuah taman larangan di Duyong. Upacara kecil-kecilan ini nyata tidak banyak mengundang para jelata untuk bertandang ziarah ke upacara ini, lantaran nama Hang Jebat sudah busuk dalam fikiran rakyat Melaka sebagai penderhaka tegar dan pengkhianat kepada baginda. Khabarnya, berita kematian Hang Jebat juga sudah sampai ke pengetahuan Maharaja Baginda Pasai dan Sultan Pattani lantas ia menjadi buah mulut para marhaen di alam Melayu ini, lalu tersebar juga perkhabaran ini ke telinga ketua turus soldadu Peringgi, Alfonso d’ Albuquerque yang baharu sahaja merafak sembah ke bawah duli Tuanku sepurnama yang lalu.


Namun, ada berita yang lebih pahit dari itu. Ada cakap-cakap siang yang mengatakan bahawa jasad Hang Jebat telah dibuangkan ke laut, dibakar dan abunya ditanam di pinggiran rimba. Perkara ini ternyata mendukacitakan hamba, Datuk kerana adat Melayu matinya biar berkubur dan bernisan, walau hidup jasanya dilebur dan menjemala cacian. Patik pohon perkara ini diperbetulkan kembali lantaran ia adalah fitnah dina semata-mata. Hakikatnya kekanda Hang Jebat telah bersemadi dengan aman di alam barzakh yang fana.


Bukankah Datuk juga yang memerintahkan pengawal Datuk untuk menghantar jenazah Hang Jebat pulang ke rumah untuk hamba menguruskan pemakamannya? Bukankah Datuk juga yang memerintahkan agar keturunan kami diusir keluar dari bumi Melaka yang bertuah ini? Lantaran itulah, hamba bersama Lang Buyong membawa diri bersama anakanda hamba, Hang Kadim untuk menderap langkah jauh daripada fitnah dan cercaan jelata terhadap kami lantaran kami merupakan jurai keturunan Hang Jebat, pahlawan derhaka yang telah menconteng arang di muka Tuanku Baginda.


Datuk,


Ingin juga di sini hamba khabarkan kepada Datuk Bendahara perihal Tun Indera Segara, kepala angkatan soldadu laut Melaka yang menjaga urusan keluar-masuk kapal di gerbang laut Melaka yang agak musykil tingkah lakunya sejak beberapa purnama. Tun Indera Segara dilihat amat baik benar dengan Deigo Lopez d’ Squera, wizurai Peringgi yang meniaga senjata api di pasar Melaka itu. Hamba bimbang, kalau-kalau tersirat muslihat dan rahsia antara mereka, kelak bahanalah akibatnya segala kemakmuran negeri Melaka yang tercinta.


Bukankah adat Melayu itu ramah bersahabat namun waspada pada ciptaan helah tipu muslihat? Bukankah Melayu tu diajar menenun lembar persahabatan namun tidak akan sekali-kali terlupa pada bilah gunting di dalam lipatan? Melayu itu dididik membenci khabar fitnah dina nan karut, namun tetap berhati-hati pada hadirnya musuh di dalam selimut? Bangsa ini bukankah pemurah ketika memberi namun andai menerima jangan sampai mengemis diri, apa lagi Melayu itu kayanya pada seluhur budi, miskinnya dari sifat meninggi diri? Melayu itu pedomannya merendah hati tatkala diri dijunjung, mulia hati apabila jasa murni sudah mula tinggi disanjung!


Bukanlah nian di hati hamba ingin menjala prasangka kepada pedagang Benggali Putih itu Datuk, tetapi andai sumbang langkah dan terlalu tinggi empunya bukankah kita dapat menerka kebimbangan bahawa barangkali pada suatu hari nanti mereka bersedia memasang perangkap untuk menjerat kedaulatan bumi Melaka dengan mencipta kesulitan dan angkara?


Datuk Bendahara Melaka yang bijaksana,


Hamba tidak pernah menyaring sesal kerana kehilangan arjuna tercinta, apatah lagi nyawanya dicabut oleh saudara kandungnya sendiri, Hang Tuah. Sementelah, Hang Jebat juga berkali-kali menceriterakan kepada hamba bahawa janganlah nyawanya diragut lanun Melaka, atau terburai dek robekan taring singa di Inderapura, atau dirodok todak di pesisir laut Temasik bergelora, kerana arjuna hamba itu lebih rela mati dek tikaman Taming Sari Tuah yang racunnya berbisa tak terkata.


Ada pun, hanya kerana kepalsuan bondongan kisah pilu ini menyelubungi hamba, menjadikan hamba terkilan dan hilang pertimbangan duga. Maka beredarlah hamba dan Hang Kadim ke Temasik untuk merawat jiwa. Mengenangkan kematian Hang Jebat menjadikan luka di benak dan kalbu hamba bertambah lara. Bagaimanakah mungkin segala pengorbanan Jebat terhadap bumi Melaka dipandang sepi begitu sahaja? Apakah ertinya pertarungan saudara ini atas alasan setia? Bukankah maruah dan kebentaraan Melaka terletak pada panji keadilan yang dikibarkan megahnya sebuana?


Di manakah terpancangnya paksi ketinggian budi yang selama ini menjadi pegangan orang kita, Datuk? Ingatkah Datuk kepada peristiwa dua dasawarsa dahulu? Peristiwa hitam yang hampir meragut nyawa Datuk tatkala sekumpulan petualang mengamuk ketika Datuk mahu menghadiri pesta tari-menari di balairung istana untuk menjamu ketibaan pedagang Parsi di Melaka? Bukankah ketika itu mereka lima bersaudara telah menyelamatkan Datuk ketika sepuluh orang pengawal Datuk yang pengecut itu membuka langkah seribu?


Ingatkah Datuk bahawa antara mereka berlima, Hang Jebatlah yang mula-mula menerpa dan menghunus senjata demi mempertahankan nyawa seorang bendahara? Ingatkah Datuk bahawa Hang Jebat jugalah yang kemudiannya mengambil alih tugas untuk mengajar pengawal Datuk bermain senjata ketika Hang Tuah berlayar ke Terengganu untuk merencanakan muslihat untuk melarikan Tun Teja?


Aduhai Datuk Bendahara,


Mudahkah untuk Datuk melupakan jasa dan bakti Hang Jebat selama ini? Andai kata Datuk tidak mencanangkan bahawa Hang Tuah itu masih hidup, sudah pasti Melaka tidak akan kehilangan seorang pahlawan yang dibunuh tanpa usul periksa dan cukup petandanya. Datuklah yang mencadangkan supaya Baginda Sultan memaafkan Hang Tuah dan membuang si Jebat yang khabarnya derhaka itu.


Datuk jugalah yang melepaskan Hang Tuah dari pasungannya, memandikannya dengan air mandian istana yang diperbuat daripada sembilan puluh sembilan kuntum mawar sulung yang mekar di taman larangan istana dan sembilan puluh sembilan kelopak Daffodil kuning yang dihadiahkan oleh pedagang Belanda kepada Baginda Sultan. Lalu, Datuk jugalah yang telah memakaikan Hang Tuah dengan sepersalinan diraja yang diperbuat daripada tenunan sutera Cina dan benang emas yang dihadiahkan oleh seorang pedagang Arab dari Goa.


Usai segala urusan itu, Datuk jugalah yang memancing Baginda Sultan agar mengurniakan Keris Parung Sari Delima Sakti kepunyaan ayahanda baginda di Bukit Siguntang kepada Hang Tuah walaupun seisi Melaka mengerti bahawa selagi Taming Sari berada di tangan Hang Jebat, usahkan membunuh, melukai dirinya pun belum tentu dapat dilakukan oleh Hang Tuah. Lalu, Datuk jugalah yang mengajarkan Hang Tuah bicara manis untuk mencairkan hati Hang Jebat dalam pertarungan selama tujuh hari tujuh malam itu. Lalu, dengan takdir Allah Azzawajalla, terbunuhlah Hang Jebat setelah Hang Tuah berjaya mencipta muslihat untuk bertukar keris dengan Hang Jebat pada malam Jumaat, iaitu setelah enam hari mereka berpencak bermain senjata.


Maklumkah Datuk bahawa Hang Tuah telah menanggung bergunung sesal sejak kematian Hang Jebat itu? Saban hari dia akan menyalahkan dirinya atas kematian Hang Jebat. Apatah lagi, tatkala segelintir rakyat Melaka memasyhurkannya sebagai perwira, namun tidak kurang juga yang mencacinya lantaran mencabut nyawa Hang Jebat yang pernah disumpahnya bersaudara. Maklumkah Datuk, sejak membunuh Hang Jebat, Patih Karmawijaya bersorak-sorai dan kian arai mencipta bencana dalam pengenaan cukai di samping melebarkan pengaruhnya yang kian menjurai?


Datuk Bendahara,


Andai ada kisah hitam dalam riwayat keagungan empayar Kesultanan Melayu Melaka, maka pertarungan inilah satu daripadanya. Sebuah ceritera luka yang menyimpan sejuta rasa dalam lubuk jiwa yang bergelora. Pertarungan saudara atas dua rasa percaya yang berbeza. Satu setia kepada Raja dan tanah airnya, dan satu lagi setia membela kebenaran tanpa membenar kepalsuan bermaharajalela. Matinya Hang Jebat di tangan Hang Tuah bukan sahaja mengakibatkan hamba kehilangan kasihnya, tetapi juga laranya Hang Kadim kehilangan ayahandanya yang sebelum ini dikhabarkan sebagai ‘Singa Melaka’. Apatah lagi pabila mendengar perkhabaran bahawa ayahandanya mati di tangan Hang Tuah, bapa saudara yang sering mengajarnya bermain senjata dan menjerat pelanduk di hujung taman inderaloka.


Matinya Hang Jebat menjadikan Hang Kadim terpinga dan sering mempersoal musabab kepergian ayahandanya. Inilah fiil anak kecil yang sering merindui kelibat ayahandanya yang hilang secara tiba-tiba. Rajuk dan tangisnya berjela-jela dalam murung rutin hidup yang berdukacita. Tiada senyum suka atau ria ketawa. Geringnya juga sudah berlarutan setengah purnama namun tiada tanda-tanda mahu kebah jua. Ternyata perkara ini menimbulkan kegusaran di benak hamba memikirkan perihal anakanda hamba yang dikasihi sepenuh jiwa.


Namun, dalam pada kewalangan hati dan jiwa yang terluka, hamba sedikit terharu dengan perihal seorang pujangga berketurunan Banjar bernama Raja Abdullah yang sering sahaja mendekati hamba untuk mengetahui kisah kehidupan hamba lalu dihikayatkan ia di dalam senaskhah tulisan sejujur perinya. Pada firasat Raja Abdullah, kisah ini terlalu tragis dalam lingkaran peradaban kita dan ada juga kira-kiranya kelak kisah ini dapat diteladani oleh sekalian watan kita di kemudian hari agar mereka tahu membeza erti setia tumpul membuta dan tekal memperjuangkan keadilan meski nyawa menjadi taruhannya.


Datuk,


Andai ada kekhilafan laku pada sejalur sejarah kita ini yang masyhur peradabannya sebuana, inilah satu daripadanya. Pembunuhan Hang Jebat menjadikan dirinya tidak ubah seperti seorang sang pidana yang terpasung dalam jeriji keadilan yang marba. Tanpa belas dan pertimbangan nyata. Sarat duka dalam lipatan peristiwa yang mematahkan tangkai jiwa. Dirinya seperti seorang pidana yang terpenjara di kurungan keadilan yang tidak dipancangkan pada mohornya. Derhakanya di mata jelata adalah amukan bermaharajalela, meski dia hanya memperjuangkan keadilan yang menjauh dari tampuknya.


Dialah sang pidana yang terpenjara dalam mainan emosi dan runtun hatinya. Luluh jiwa berwalang rintihnya. Betapa apa jua akan dikorbankan demi sebuah keadilan walau nyawa dan jiwa menjadi galang gantinya. Betapa apa jua dugaan yang menimpa adalah lumrah seorang pejuang kebenaran yang sentiasa cuba untuk menggoyahkan paksi kepalsuan atas nama kesejahteraan. Betapa apa jua bentuk hukuman yang akan dihadapi perlu diredai lantaran percaya bahawa meski pejuang kebenaran itu mati, namun hakikatnya dia akan hidup seribu tahun lagi.


Demi Melaka dan kemasyhurannya, hambalah Dang Baru - srikandi seorang pidana yang sering menangis sambil membebat berbondong derita di pasungan sejalur sejarah luka yang palsu dan lara.

1 ulasan:

  1. Aku seorang datuk bendahara tua yg tidak punyai lulusan sains politik.tugas ku memerintah (dengan mendpt pekenan) melaka.raja ku bertakhta diatas singahsana. Aku cukup kenal kedua2 anak buahku.sesungguhnya mereka telah menjalankan tugas mereka masing2.mereka juga punyai dan mempertahankan pegangan dan prinsip masing2.Raja adil raja disembah......dan pantang melayu menderhaka....melayu takkan hilang didunia..
    aku mengambil sikap tenang dalam membuat keputusan kerana aku juga kenang jasa dan sayang kpd mereka.sebenarnyanya...tuah tidak membunuh jebat tapi membunuh perkosaan...tuah tidak membunuh jebat tapi menyekat jebat dari terus membunuh jelata.ribuan anak2 jelata lainnya juga seperti hang kadim jadi kebingungan.ribuan isteri jelata lainnya juga seperti dang anum diragut kasihnya, hilang tempat pergantungan sumber ekonomi keluara dan rakyat terbanyak porak peranda....aku tidak ingin melihat ini berterusan dan bagaimana kalau ini berterusan?kerana aku tahu dan tuah pun tahu menjelang tahun 2020 bangsa melayu akan jadi gila kuasa,berebut kuasa dan akan terus menderhaka !! Wahai smahazir dan mohd sukeri kalau kamu ingat kpd kedua2 datuk kamu itu..doakan kesejahteraan mereka yg telah lama meninggalkan kamu.

    BalasPadam