Jumaat, 3 Disember 2010

Merebaknya Kesyirikan Bertopengkan Islam

SMAHADZIR

MASYARAKAT di negara kita sampai hari ini, masih sangat akrab dengan hal-hal yang berbau keramat, mistik, tahyul-mahyul dan hal-hal yang aneh-aneh. Mulai dari benda-benda seperti cincin, keris, batu akik, talam tembaga, pakaian, gamelan atau yang berwujud tempat, seperti gunung, pongsu ini dan itu, atau orang tertentu yang dianggap tokoh masyarakat atau agama. Pengkeramatan terhadap seseorang, ditemui hampir merata di seluruh penjuru nusantara. Disebabkan mempunyai kedudukan atau dianggap tokoh besar maka ia dikeramatkan. Pengkeramatan sang tokoh ini berlangsung sejak tokoh tadi hidup bahkan sehingga dia meninggal dunia.

Di sesetengah tempat di Kelantan, menurut sahabat saya, ada seorang tokoh politik yang bergelar Tok Guru yang dikeramatkan sehingga kononnya jika Tok Guru tersebut datang melawat sesuatu kematian, orang mati yang dilawat tersebut bakal masuk syurga. Mungkin juga ini merupakan perasaan ketaksuban keterlaluan terhadap Tok Guru tersebut namun apa pun kepercayaan yang ditempelkan kepada Tok Guru tersebut tetap merupakan satu pengkeramatan yang mesti dijauhkan oleh umat Islam.

Ada juga barang-barang yang berkaitan dengan seseorang tokoh juga dicari-cari dan diagung-agungkan, dijadikan azimat dan tidak lupa untuk dikeramatkan. Tambah parah lagi, makamnya senantiasa dipadati ramai para pengagum dan simpatisan yang teringin ‘mendapatkan berkah’ dari kubur tokoh tersebut. Selalu semarak, itu yang terjadi di makam orang yang ditokohkan. Bahkan ketika tiba saat ulang tahun kematian dan kelahiran tokoh tersebut, semaraknya kubur lebih dibandingkan dengan semaraknya masjid-masjid Allah.

Kenyataan ini lebih mencemaskan ketika ditemui kenyataan bahawa majoriti penziarah adalah mereka yang menyatakan diri sebagai orang muslim. Aktiviti yang berhubungan dengan pengagungan seseorang tokoh selalu akan bertambah variasinya, kerana berjalan seiring dengan idea dan kreatitiviti para pengagum.

Contoh konkrit ada pada zaman Nabi Nuh. Meninggalnya para tokoh agama pada zaman itu memunculkan idea di kalangan para pengagum untuk membina patung dan gambar demi mengenang si tokoh. Awalnya untuk mendekatkan diri pada Allah s.w.t. Idea berkembang selepasnya dengan menjadikan si tokoh sebagai perantara dalam berdoa kepada Allah s.w t. Berkembang lagi hingga menjadikan patung tadi sesembahan yang diibadahi selain Allah s.w.t.

Kreativiti kesyirikan ini hampir selalu berulang di setiap zaman dan generasi, kerana ini adalah makar syaitan untuk menjerumuskan umat manusia ke dalam neraka. Tokoh yang dipuja boleh jadi berbeza namun sebenarnya hakikat kebatilan yang ditawarkan adalah sama. Pada zaman Nabi Nuh yang diagungkan adalah Wadd, Suwa, Yaghuts, Yauq dan Nashr, dan pada zaman kafir Quraish ada yang dinamakan Latta, Uzza, Manna dan Hubbal.

Dan di negara kita pun ada juga yang ditokohkan seperti itu. Wujud kreativiti kesyirikan yang boleh ditemui pada masa kini, adalah kewujudan berbagai perhelatan untuk mengagungkan si tokoh, baik dengan mengadakan rombongan ziarah, atau peringatan ulang tahun kelahiran dan kematian (haul). Atau mengawetkan barang-barang peninggalannya.

Bila ditimbang dalam syariat Islam, hal yang berkaitan dengan mengagungkan tokoh dan peninggalan-peninggalan bukanlah sesuatu yang dianjurkan. Bahkan sebaliknya pintu-pintu yang menuju kepada pengagungan tokoh, melebihi kapasiti kemanusiaan dicegah dan ditutup oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Pengagungan terhadap sesuatu benda dan individu tertentu hampir selalu identik dengan kesyirikan.

Umumnya, sebuah masyarakat akan mengagungkan tokoh dan benda kerana berjangkitnya penyakit kebodohan di tengah-tengah mereka. Tidak tahu mana yang diperintahkan dan dilarang oleh syariat Allah s.w.t. Atau hadir di negeri tersebut para tokoh agama yang buruk yang memberikan contoh teladan keburukan kepada umat, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Sehingga hal yang syirik pun dihalalkan oleh ulama buruk ini.

Boleh juga terjadi kerana memang masyarakat terlampau ghuluw dalam mengagungkan seseorang tokoh. Atau bercokol di negeri itu para pemimpin yang buruk, yang menggunakan agama untuk kepentingan peribadi atau juga yang tidak menjalankan syariat Allah s.w.t. Wallahhualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan