Jumaat, 3 Disember 2010

Jangan Selewengkan Fakta Sejarah: Komunis Malaya Rata-Rata Bukan Melayu Tapi Siapa?

Secara ringkas dihuraikan, PKM juga dikenali sebagai Parti Komunis Malaya. Satu parti yang mengamalkan ideologi komunisme. Komunisme itu adalah sekular kerana ia memisahkan agama daripada politik. Komunis tidak percaya pada agama dan tuhan. Komunis memperjuangkan ketuanan rakyat dan hak sama-rata. Komunis juga menentang demokrasi.

Ada sesetengah pihak cuba meletakkan komunisme dan nasionalisme itu sama, hanya untuk membawa bekas-bekas komunis ini pulang ke Malaysia. Malah ada pihak yang sanggup meletakkan nasionalisme UMNO itu sama dengan komunisme. Kita harus tahu nasionalisme itu tidak sekular kerana ia tidak memisahkan agama dengan politik. Nasionalisme adalah satu semangat yang menolak sebarang bentuk penjajahan. Bukankah semua parti politik menentang sebarang penjajahan. Inilah dia nasionalisme tetapi bukan seperti ideologi komunis yang sekular.

Selepas bertapaknya Jepun di Tanah Melayu, wujudlah puak-puak yang berani menentang British. Ini kerana orang-orang Melayu mula sedar yang kuasa Asia seperti Jepun juga boleh menundukkan kuasa British. Dari sinilah wujudnya PKMM- Parti Kebangsaan Melayu Malaya dianggap sebagai puak pemimpin sayap kiri yang agresif menentang British. PKMM juga ketika itu menentang Malayan Union. Pada mulanya mereka tidak mengangkat senjata kerana parti ini juga sealiran dengan UMNO.

Di dalam penulisan Shamsiah Fakir juga ada menyebut bahawa PKMM dan UMNO adalah satu gerakan orang-orang Melayu yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu tetapi akhirnya UMNO berpecah dari PKMM untuk mencari jalan sendiri mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. UMNO dianggap sebagai puak pemimpin sayap kanan yang lebih berminat menggunakan kaedah berbincang dengan British untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu.

PKMM ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 yang diasaskan oleh Mokhtaruddin Lasso dan Ahmad Boestamam. Menurut catatan sejarah, Mokhtaruddin Lasso adalah seorang pemimpin komunis di Indonesia. Perbezaan ideologi yang ketara di antara kedua mereka menyumbang kepada wujudnya dua sayap di bawah PKMM iaitu API dan AWAS dipimpin oleh Ahmad Boestamam agar ideologi komunisme Mokhtaruddin dapat dihapuskan. API dipimpin oleh Ahmad Boestamam dan AWAS dipimpin oleh Shamsiah Fakir. Apabila Kesatuan Melayu Muda-KMM bergabung dengan PKMM, ideologi parti ini terus cenderung bersifat nasionalisme sepenuhnya selepas Dr Burhanuddin Helmi mengambil alih pucuk kepimpinan.

Pengaruh PKMM tidak kekal lama apabila UMNO diwujudkan. UMNO yang diasaskan oleh Dato Onn Jaafar adalah sebuah parti yang lebih diyakini oleh orang-orang Melayu ketika itu. Walau bagaimanapun Dato Onn Jaafar mengundurkan diri dari UMNO apabila cadangan Tuanku Abd Rahman untuk menerima segala syarat-syarat kemerdekaan dari British. Dato Onn Jaafar ingin membebaskan Tanah Melayu dari British tanpa sebarang syarat atau perjanjian.

Disebabkan sifat PKMM yang tidak mahu berunding dengan British dan menentang secara agresif, parti ini diisytiharkan pengkhianat bangsa oleh British ketika itu. Ramai pengikut-pengikut PKMM ditangkap dan dibunuh dengan kejam. Mereka melarikan diri ke dalam hutan lalu bergabung dengan Komunis Malaya untuk mendapatkan bekalan senjata. Tujuan mereka adalah untuk mempertahankan diri dari serangan tentera British yang di antaranya adalah orang-orang Melayu. Walaupun bergabung dengan komunis mereka tidak pernah mengamalkan ideologi komunisme seperti yang diputarbelitkan oleh Pakatan Rakyat.

PKMM bersifat nasionalisme kerana mereka tidak memisahkan agama dari perjuangan mereka. Mereka tidak membunuh melainkan mereka diserang. Mereka tidak pernah menentang demokrasi seperti kenyataan Pakatan Rakyat. Di dalam PKMM mereka mempunyai biro-biro keagamaan, dan kebajikan. Pakatan Rakyat menganggap PKMM sebagai Parti Komunis Melayu Malaya. Malaysia hari ini tidak pernah meletakkan PKMM sebegitu rendah kerana PKMM juga berjuang mendapatkan kemerdekaan. Cuma Malaysia tidak pernah mengiktiraf PKMM sebagai pejuang kerana tidak mahu ada pihak yang memutarbelitkan fakta seperti yang berlaku sekarang.

Melayu Malaysia perlu ingat, PKMM bukan dibayangi Chin Ping seperti kenyataan Pakatan Rakyat. PKMM adalah gerakan orang-orang Melayu yang berjuang untuk kemerdekaan. Silapnya PKMM mereka meletakkan senjata apabila PKM menyerah kalah. Kerana itulah PKMM disalahtafsirkan pembangkang. MEREKA BUKAN KOMUNIS MELAYU.

Nota:

Perjuangan Melayu (termasuklah PKMM) adalah untuk membebaskan tanah tumpah darah mereka, Tanah Raja Melayu dan orang Melayu bertapak, ketika itu.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan