Rabu, 10 November 2010

Perubatan Tradisional Melayu

SMAHADZIR

Berasaskan kepada sejarah awal yang dapat dikesan sejak zaman prasejarah, telah dibuktikan bahawa orang Melayu adalah penduduk asal di alam Melayu ini. Konsep alam Melayu itu adalah juga berkaitan dengan kawasan atau penempatan asal Melayu. Walaupun terdapat berbagai pendapat dan pandangan para pengkaji/sarjana, tentang konsep Melayu itu yang telah dikemukakan, umumnya Melayu itu adalah dirujuk kepada penduduk asal di rantau alam Melayu ini. Terdapat berbagai pendapat dalam usaha mencari pengertian dan asal usul Melayu itu, namun usaha itu kerapkali telah menimbulkan semakin banyak persoalan dan kekeliruan, yang boleh membawa kepada tiada penemuan yang jelas tentang Melayu.

Dalam realiti didapati amat sukar untuk menerangkan kelompok Melayu itu, terutama apabila kelompok-kelompok kecil itu berusaha memperteguhkan identiti masing-masing. Misalnya, masyarakat Jawa, Minang, Krinci dan sebagainya berusaha membina identiti kelompok masing-masing. Perbezaan kelompok itu membina sub budaya masing-masing hakikatnya adalah berbeza daripada kumpulan ethnik yang lain seperti masyarakat Cina dan India. Dalam konteks ini Melayu itu terdiri daripada berbagai kelompok sosial yang menyatakan identiti masing-masing sebagai sub budaya bagi budaya Melayu yang lebih luas.

Konsep Melayu yang digunakan dalam konteks yang lebih luas sebagai penduduk asal di alam Melayu ini adalah berasaskan kepada idea yang dapat dikesan kepada sejarah peradaban Melayu itu sendiri. Dengan kepelbagaian kelompok sosial dan sub budaya yang membina masyarakat dan budaya Melayu yang lebih luas itu telah memberikan kekuatan yang menyatakan kekayaan khazanah budaya Melayu.

Pengertian Melayu di Malaysia dinyatakan dengan lebih khusus dalam Perlembagaan Malaysia yang mempunyai kepentingan sosial dan politik. Pengertian itu berasaskan kepada prinsip bahasa, budaya dan Islam. Pengertian Melayu itu lebih khusus yang merupakan sebagai bahagian daripada konsep Melayu yang lebih luas itu. Oleh itu, apabila berbagai kelompok sosial yang merupakan penduduk asal, seperti Orang Asli yang tidak beragama Islam, tidak dapat mencakupi dalam pengertian Perlembagaan itu. Pengertian Melayu itu sebagai idea yang dipakai dalam pentadbiran dan kepentingan politik terdapat pula perbezaan konsep Melayu yang dipakai dalam realiti yang berasaskan kelompok sosial Melayu dengan sub budaya masing-masing.

Sejarah peradaban Melayu yang berasaskan perkembangan budaya Melayu di alam Melayu merupakan fenomena penting dalam pembinaan identiti Melayu dalam konteks yang luas itu. Peradaban Melayu itu telah dibina oleh kelompok-kelompok Melayu di alam Melayu ini umumnya dan dengan itu juga telah terbina identiti Melayu yang berasaskan tradisi sejarah yang sama yang dilalui oleh kumpulan Melayu itu.

Penduduk asal atau orang Melayu yang mendiami di alam Melayu ini telah membina asas peradaban yang telah mantap sebelum mereka bertembung dan melalui proses difusi budaya. Pertembungan dengan peradaban India dan kemudian Islam telah memperkukuhkan peradaban Melayu sekian lama. Kerajaan-kerajaan Melayu yang terdapat di alam Melayu telah memainkan peranan penting dalam pembinaan pusat-pusat peradaban itu. Gelombang pengaruh peradaban dari India amat pesat mempengaruhi pembangunan peradanan di kepulauan Indonesia . Kemudian Islam membawa peradaban penting kepada pembinaan peradaban Melayu. Pengaruh-pengaruh itu meningkatkan peradaban Melayu. Namun kesan peradaban yang datang itu tidak pula menghilangkan identiti budaya Melayu itu.

Kesan pengaruh peradaban India dan Islam ke atas budaya Melayu amat penting dalam meningkatkan pencapaian peradaban Melayu. Namun identiti Melayu dipertahankan, dengan menyesuaikan unsur-unsur budaya asing itu dengan keperluan dan kepentingan tempatan. Walau bagaimanapun perubahan yang berlaku itu telah membina faktor-faktor bahasa, Islam dan tradisi budaya yang amat dominant dalam menyatakan identiti Melayu itu. Bahasa Melayu menjadi lingua franca terutama di pusat-pusat pelabuhan yang cosmopolitan sifatnya. Di samping itu bahasa-bahasa yang digunakan oleh kelompok-kelompok sosial sebagai sub budaya yang berupa pinggiran.

BEKAM

Makna bekam:
  1. Bekam atau bahasa Arabnya disebut hijamah bererti mengeluarkan darah kotor daripada badan seseorang dengan cara membedah sedikit pada bahagian kepala atau belakang badan dan menghisap darah kotor dengan tanduk atau cawan panas yang ditelungkupkan pada tempat yang telah dibedah itu. - (Kamus Dewan: 124)
  2. Pendapat sebahagian fuqaha, perkataan hijamah bererti mengeluarkan darah daripada tengkuk dengan cara menghisapnya dengan alat-alat hajam (bekam) selepas dibedah. Al-Khattabi ada menyebutkan bahawa hijamah atau berbekam itu tidak dikhususkan tempatnya di tengkuk sahaja bahkan ia juga boleh dilakukan di mana-mana bahagian badan. - (Mausu’ah Feqhiah: 17 atau 14)
  3. Berbekam atau menghisap darah merupakan satu aktiviti yang biasanya dibuat setiap tahun sebelum menjelangnya bulan Ramadhan. Ia adalah persediaan bagi orang-orang yang akan menjalani ibadah puasa. Adalah dipercayai bahawa sesuatu penyakit itu dapat dihilangkan dengan cara berbekam atau mengeluarkan darah-darah dari kepala atau dari mana-mana bahagian tubuh seseorang.

Selain daripada bahagian belakang kepala, bahagian-bahagian yang biasanya dituris untuk tujuan bekam ialah, bahu, lutut, pinggang dan di perut betis atau ‘anak anjing’. Tempat-tempat ini dipercayai sebagai tempat terkumpulnya darah penyakit atau darah kotor. Berbekam biasanya dibuat pada awal pagi iaitu sebelum orang yang akan dibekam itu mandi dan bersarapan. Ini adalah bagi menjamin pengaliran darah penyakit keluar lebih banyak dari masa-masa lain.

Sebelum berbekam, sebaiknya senaman dilakukan agar perjalanan darah di dalam badan menjadi licin dan mengalir keluar dengan mudah apabila dihisap oleh tukang bekam. Tukang bekam akan membawa bersamanya alat-alat yang akan digunakan dalam kerja-kerja membekam seperti pisau cukur, tanduk lembu, lilin, besi pencucuk lilin, sabut kelapa atau kain buruk dan beberapa biji tempurung.

Kebiasaannya setiap orang akan berbekam akan membawa sebutir tempurung jantan yang tidak berlubang. Darah yang akan keluar apabila dibekam akan dimasukkan ke dalam tempurung tersebut dan ditanam ke dalam tanah. Darah dari proses bekam itu akan ditanam di tempat-tempat sejuk di bawah pokok nipah atau pokok pisang. Adalah dipercayai bahawa orang yang berbekam itu akan berasa sejuk sepanjang hari.

Sebelum berbekam, seseorang itu perlu berada pada keadaan tenang dan berniat bahawa berbekam itu adalah satu ibadat sunat. Adalah difahamkan bahawa amalan berbekam ini pernah menjadi amalan Rasulullah s.a.w dan dilakukan oleh orang-orang Islam sebagai cara untuk mengeluarkan penyakit. Hampir lapan ratus tahun dahulu apabila orang-orang Melayu menerima ajaran Islam, mereka juga turut menerima amalan berbekam daripada orang-orang Arab tetapi menggunakan cara atau kaedah orang Melayu sendiri.

Kebiasaannya rambut di bahagian belakang kepala akan dibekam di cukur seulas mulut tanduk iaitu lebih kurang dua inci persegi. Mulut atau pangkal tanduk lembu akan diletakkan di tempat yang akan dibekam.

Tukang bekam akan menghisap darah dari lubang kecil di hujung tanduk hingga wujud hampagas di dalam tanduk dan tanduk itu akan melekat di kepala. Lubang kecil di hujung tanduk itu akan ditutup dengan lilin. Selepas beberapa minit, tanduk itu akan ditanggalkan dengan mencucukkan lilin yang melitupi lubang di hujung tanduk itu dengan sebatang besi sebesar paku kecil. Bahagian kepala yang sudah dibekam akan membengkak dan meninggalkan kesan sebesar keluasan mulut tanduk tersebut. Kulit kepala akan dituris dengan pisau penyukur sekurang-kurangnya sebelas turisan. Setiap turisan itu sepanjang satu milimeter dan hanya melukakan kulit sahaja. Kulit kepala yang ditoreh itu tidak akan berasa sakit kerana kulit kepala menjadi tegang akibat daripada hisapan tukang bekam.

Tanduk akan dilekapkan semula di atas turisan. Hisapan akan dibuat sekali lagi oleh tukang bekam untuk mewujudkan hampagas di dalam tanduk. Hampagas atau vakum yang tercipta di dalam ruang tanduk akan menyebabkan darah mengalir keluar dan terkumpul di dalam tanduk.

Orang yang berbekam perlu berada dalam keadaan menunduk kepalanya ke bawah supaya tanduk yang kian dipenuhi oleh darah dapat diimbangi dengan sempurna. Setelah tanduk dipenuhi dengan darah berhenti mengalir, tukang bekam akan menanggalkan tanduk dan membuangkan darah itu ke dalam tempurung. Bahagian yang berdarah akan dibersihkan dengan sabut kelapa dan tanduk yang telah dibersihkan dilekapkan semula di kepala orang yang berbekam.

Proses menciptakan hampagas atau vakum itu dilakukan sebanyak tiga kali dengan menghasilkan tiga tanduk darah. Kerja berbekam dikira selesai untuk tahun itu bagi orang yang berbekam walaupun masih terdapat lagi darah yang dianggap berpenyakit boleh disedut keluar. Darah di dalam tempurung itu akan dikaji oleh golongan tua. Darah yang berbuih menunjukkan terdapat angin dalam saluran darah seseorang. Keadaan ini akan menyekat pengaliran darah di dalam badan dan menyebabkan sakit kepala serta lenguh.

Darah yang beku dan hitam serta badan yang panas menunjukkan pesakit memerlukan ketenangan dan tidak perlu memakan ubat-ubatan yang panas lagi. Darah yang mengandungi air pula selalunya akan menyebabkan sakit di sendi dan tulang-tulang. Apabila darah ini dikeluarkan, seseorang itu berada dalam keadaan yang agak baik dan dapat berpuasa dengan selesa. Setelah selesai berbekam, tukang bekam akan memicit tengkok dan bahu orang yang berbekam agar kembali segar dan pulih semangatnya. Beliau seterusnya boleh bersarapan dan mandi.

Orang yang berbekam juga dinasihatkan agar tidak tidur pada sebelah siangnya kerana ditakuti bahagian yang dituris tadi akan tertekap pada bantai dan ini akan menyebabkan pengaliran darah tadi dimasuki angin kotor dan perlu dibekam semula. Orang yang telah berbekam boleh menjalani ibadah puasa dengan lebih yakin kerana dipercayai tidak menghadapi masalah pening kepala apabila dikejutkan untuk bersahur. Kesihatan juga tidak terganggu walaupun dalam keadaan tidak cukup tidur setiap malam di sepanjang bulan puasa.

Masyarakat di Timur Tengah mencipta hampagas dengan membakar secebis kertas di dalam gelas kecil yang dilekapkan di kelapa atau ditempat yang hendak di bekam. Gelas ini menggantikan tanduk. Masyarakat di pendalaman Pulau Jawa menggunakan lintah untuk menyedut darah berpenyakit keluar. Biasanya tiga ekor lintah digunakan untuk menyedut darah keluar dari kepala seseorang. Adakalanya sebanyak tujuh ekor lintah diperlukan untuk seseorang yang sering menghadapi masalah sakit kepala yang keterlaluan.

Cara-Cara Berbekam

  1. Mencukur rambut yang hendak dituris untuk dibekam.
  2. Di bahagian belakang kepala pesakit selepas dicukur rambut seluas 6cm ataupun seluas mulut tanduk.
  3. Tempat yang telah dicukur ditanda dengan tanduk sebelum ditores.
  4. Kulit kepala dituris dengan pisau cukur sekurang-kurangnya 11 turisan.
  5. Setiap turisan itu sepanjang 1mm dan hanya untuk melukakan kulit kepala sahaja.
  6. Kesan kulit kepala yang telah dituris.
  7. Bomoh bekam sedang menghisap darah dari lubang kecil tanduk.
  8. Lubang kecil di hujung tanduk itu di tutup dengan menggunakan tanah liat.
  9. Bomoh bekam mengurut badan dan kepala pesakit supaya perjalanan darah berjalan dengan lancar.
  10. Tanduk dibiarkan di kepala selama 15 minit.
  11. Tanah liat digunakan untuk menutup di hujung tanduk dibuka semula untuk mengeluarkan udara yang terdapat di dalam tanduk.
  12. Tanduk yang dibekam di kepala dicabut untuk mengeluarkan darah kotor yang telah disebut.
  13. Darah yang terdapat di kulit kepala.
  14. Darah yang terdapat di tanduk.
  15. Darah kotor yang dikeluarkan diletakkan di dalam tempurung.
  16. Tempat yang telah dibekam, disapukan minyak angin untuk memberhentikan darah keluar dari kepala.
  17. Kepala yang telah selesai dibekam meninggalkan bekas-bekas turis

Peralatan-peralatan Bekam

Peralatan-peralatan yang digunakan untuk berbekam ialah tanduk lembu atau kerbau (16cm-25cm), gunting, pisau cukur, dawai, tempurung jantan yang tidak berlubang, dan tanah liat.

Merawat Penyakit Dengan Berbekam

Bekam dapat mencegah dan merawat penyakit dan amat berkesan untuk melegakan atau menghilangkan kesakitan, memulihkan daya tahan tubuh (imuniti), mengembalikan fungsi fizikal biasa serta memberi harapan baru kepada pesakit. Tubuh yang sihat, fikiran yang sihat dan hati yang bersih adalah faktor penting di dalam hidup seorang individu muslim demi melaksanakan tanggung jawab kehidupan mereka sebagai hamba Allah s.w.t dan khalifah di atas muka bumi.

Longgokan toksid yang banyak dalam badan akan menyebabkan penyumbatan dalam saluran darah; dan akhirnya darah tidak dapat berjalan dengan lancar. Keadaan ini akan menggangu kesihatan. Seseorang itu akan merasa malas, murung, selalu merasa kurang sihat, cepat bosan dan cepat naik darah. Ditambah lagi dengan angin yang susah dikeluarkan, maka kita akan berjumpa penderita yang terganggu emosinya sehingga sampai ke tahap harus bertemu dengan pakar psikologi atau dotor rohani (ulama sufi).

Darah yang tersumbat harus dikeluarkan melalui berbagai macam cara, tetapi malangnya ubat-ubatan alopati tidak mampu bertindak demikian. Jadi kita harus mencari perawatan alternatif yang dapat mengeluarkan toksid tersebut dengan cepat dan selamat agar sistem imuniti tidak lemah dan tubuh tidak diserang penyakit. Bekam adalah satu cara yang amat berkesan untuk mengatasi masalah ini, malah proses penyembuhan penyakit dapat dipercepatkan jika disinergikan dengan herba-herba yang bersifat alami. Berbekam dalam keadaan perut kosong adalah ubat, tetapi menjadi penyakit jika dilakukan dalam keadaan perut penuh. Allah s.w.t mewajibkan kita umat Islam untuk berpuasa dalam setahun selama sebulan dalam bulan ramadhan untuk menyucikan rohani, maka wajarlah umat ini untuk kembali mengamalkan sunnah berbekam sebulan sekali bagi membersihkan jasmani.

Bekam adalah nama lain dari al-hijamah (Arab), cupping (Inggeris), ba guan (China). Istilah bekam berasal dari bahasa Melayu (yang diadaptasi juga dalam Bahasa Indonesia), yang bererti melepas (membuang) darah kotor (toksin) atau angin dari badan. Dari Ibnu Umar, r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Tidaklah aku melalui satu dari langit-langit yang ada melainkan para Malaikat mengatakan, ‘Hai Muhammad, perintahkan umatmu untuk berbekam, kerana sebaik-baik sarana yang kalian pergunakan untuk berubat adalah bekam, al-kist (cendana india) dan syuniz (jintan hitam)’.

Menggambarkan pentingnya bekam, ulama terkemuka dari Kaherah, Syekh Muhammad Yusuf Qardhawi menyatakan, ‘Kalau suatu negara kefakiman ahli bekam, nescaya kebinasaan mengancam, yang bererti pula mereka menyerahkan dirinya kepada kebinasaan. Padahal Tuhan yang menurunkan penyakit, Dia juga menurunkan ubatnya dan Ia membimbing umat manusia untuk menggunakan ubat tersebut’.

Dalam ilmu kedoktoran Islam, bekam tidak boleh sembarang dilakukan. Bekam hanya boleh dilakukan pada pembekuan atau penyumbatan dalam pembuluh darah, kerana fungsi bekam yang sesungguhnya adalah untuk mengeluarkan darah kotor dari dalam tubuh. Bekam merupakan pengubatan yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. Dari Ibnu Abbas r.a. Rasulullah bersabda: ‘Kesembuhan (ubat) itu ada pada tiga hal; dengan minum madu, pisau hijamah (bekam), dan dengan besi panas. Dan aku melarang ummatku dengan besi panas.’ (Hadis Bukhori).

Madu menjadi dasar dari ubat-ubatan herba, bekam menjadi dasar kepada pembedahan, sedangkan besi panas (api) menjadi dasar kepada pengubatan melalui laser. Hadis yang diriwayatkan oleh Tarmidzi menyatakan, bahawa Rasulullah s.a.w mengarahkan pengikut-pengikutnya menggunakan bekam sebagai kaedah pengubatan penyakit. Baginda memuji orang yang berbekam, ‘Dia membuang darah yang kotor, meringankan tubuh serta menajamkan penglihatan.’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan