Ahad, 28 November 2010

Kereta Lembu

SMAHADZIR


Kereta lembu ialah sejenis pedati yang ditarik oleh lembu atau kerbau. Dahulunya, kereta lembu digunakan sebagai pengangkutan oleh orang-orang kaya di Melaka. Ciri-ciri yang membezakan kereta lembu Melaka ini dengan yang lain adalah bumbungnya yang berbentuk seperti tanduk lembu yang berwarna-warni. Selain dari kereta lembu yang digunakan di Melaka pada zaman Munsyi Abdullah dan sebelumnya itu terdapat juga keterangan mengenai kereta kerbau atau pedati kerbau. Pada kebiasaannya pedati ini digunakan di kawasan bandar dan persekitarannya sahaja bagi tujuan menarik barang-barang. Munsyi Abdullah ada menggambarkan pedati kerbau yang digunakan pada zamannya itu dengan menceritakan bahawa:

‘Maka dengan seketika itu juga diberinya perintah menyuruh bawa mayat itu, lalu dimasukkannya ke dalam pedati kerbau, maka disuruhnya canangkan berkeliling negeri...’

Kereta kerbau ini didapati masih digunakan sehingga ke pertengahan abad ke-20. Ia dimonopoli oleh orang Cina yang tinggal di bandar Melaka, bagi tujuan menarik barang-barang seperti papan, beras, batu-bata dan sebagainya di dalam lingkungan perbandaran sahaja. Di kawasan kampung-kampung di kalangan petani Melayu kereta ini tidak digunakan.


Pada asalnya sebelum wujudnya kereta-kereta yang beroda di kalangan masyarakat petani di kampung-kampung, mereka telah tahu menggunakan sejenis sistem pengangkutan yang dipanggil ‘bentang’. Kereta bentang ini tiada beroda dan ditarik oleh binatang seperti kerbau dan lembu. Penggunaan sistem pengangkutan ini bertujuan untuk faedah diri sendiri seperti menarik padi, kayu api dan barang lain yang berat-berat. Kenderaan ini biasanya dapat dilihat di sawah padi dan dusun terutama dalam tahun-tahun 1880-an. Sekarang ini kereta kerbau atau pedati kerbau tidak lagi digunakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan