Sabtu, 23 Oktober 2010

Awas Dengan Fanatisme Mazhab

Boleh saya katakan bahawa penangkapan Dr Asri (bekas Mufti Perlis) tidak berapa lama dulu menyerlah wujudnya satu lagi golongan yang bersifat fanatik mazhab yang selama ini berlindung di sebalik kuasa. Tetapi sebab kuasa berada di tangan mereka, mereka boleh bercakap apa sahaja bila di wawancara wartawan.

Saya kehairanan bila baca sebuah akhbar beberapa hari selepas penangkapan Dr Asri, seorang pegawai JAIS mengatakan bahawa penangkapan tersebut ada kaitannya dengan pemantauan akidah (saya ingin bertanya, akidah siapa yang sesat?)

Saya bukannya nak menyebelahi mana-mana pihak, tetapi tak payahlah fanatik sangat sampai nak tuduh Mazhab Mujassimah (memang saya tak nafikan ada wahabi yang fanatik yang menyesatkan ramai orang) tetapi kalau kita juga menyesatkan orang lain, kita juga fanatik. Adakah kita juga sesat? Wallhua’lam!

Pada pandangan saya yang jahil ini, kalau tidak setuju dengan orang yang tidak mahu takwil ayat Mutasyabihat, jangan difitnah ulama sehebat Ibn Taymiyyah. Kalau nak takwill, takwillah. Meskipun ada tempat tak perlu takwil.

Sedikit lagi, sebarang tajdid, walau atas kerangka usul fiqh Mazhab Syafie pun akan dituduh wahabi. Saya nampak pendekatan baru guru saya, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi sekarang ini lebih lunak untuk mengambil hati masyarakat Malaysia dengan memperkenalkan tajdid fiqh berasaskan kerangkan usul fiqh Mazhab Syafie. Cuma saya sendiri belum faham sepenuhnya macamana caranya hendak dilaksanakan.

Dalam kertas kerja beliau yang dibentang di Seminar Hukum Islam Semasa di Universiti Malaya suatu ketika dulu, nampaknya ia agak bertentangan dengan idea gagasan fiqh Malaysia dahulu yang lebih cenderung untuk menerima pakai pandangan semua mazhab. Mungkinkah sebab idea gagasan fiqh Malaysia itu sukar diterima oleh mufti-mufti dari golongan kuat berpegang mazhab menyebabkan beliau tukar tajid ikut kerangka Mazhab Syafie? Wallahua’alam.

Tetapi menurut kertas kerja beliau, apa yang perlu adalah proses ijtihad semua berasaskan kerangka usul fiqh Mazhab Syafie. Tidak dinafikan, kerangka usul fiqh aliran syaf’iyyah adalah agak konsisten kerana ia diasaskan secara deduktif, iaitu bermula dengan teori, kepada cabang mazhab. Tetapi mungkin hasilnya tetap sama dengan pendapat-pendapat mazhab yang ada selain Mazhab Syafie.

Itu salah satu contoh tajdid fiqh yang agak lunak berbanding cara Dr Asri yang kadang-kadang agak ‘kasar’. Seperti yang saya pernah baca dalam salah sebuah akhbar, katanya, Dr Asri menyifatkan pendapat yang menyamakan golongan kafir tidak boleh masuk masjid sama dengan wanita haid adalah pendapat ulama dahulu yang ‘tidak mantap’. Memanglah orang akan marah sebab ayatnya bunyinya kasar seolah-olah pandangan imam-iman Mazhab Syafie tidak mantap dari sudut analisisnya sedangkan mereka bertungkus-lumus membuat penyelidikan. Dari sudut itu saya sendiri tidak bersetuju juga dengan pandangan yang menyamakan golongan kafir tidak boleh masuk masjid tetapi bukan kerana pandangan itu tidak mantap, tetapi tidak sesuai untuk diamalkan di negara kita. Bahkan kalau ikut Imam Bukhari, wanita haid pun tidak dihalang masuk ke masjid.

(Kita pakai Mazhab Syafie tetapi dalam bab hadis rujuk Imam Bukhari. Kalau orang bawa pendapat Imam Bukhari pun dituduh wahabi, banyak pandangan Imam Bukhari yang tidak selari dengan Mazhab Syafie. Contohnya najis anjing, babi, kes-kes jenayah yang melibatkan wanita, kes bunuh orang murtad, hukum pegang Al-Quran bagi orang berhadas, hukum baca Al-Quran bagi wanita haid dan lain-lain lagi. Pelik juga kadang-kadang, bab hadis kita percaya kitab Bukhari paling sahih, tetapi tak nak terima hukum yang diistinbatkan oleh Imam Bukhari sendiri?)

Hakikatnya, pandangan semua ulama mujtahid adalah mantap dari sudut analisis dan sandarannya, tetapi kesesuaiannya mungkin perlu dikaji semula. Contoh kajian orang zaman dahulu adalah bergantung kepada realiti mereka. Jadi mungkin sesuai atau mungkin tidak sesuai.

Apa pun, tajdid yang kita inginkan akan sia-sia dengan wujudnya golongan yang sangat-sangat FANATIK yang tidak memberi peluang kepada keterbukaan idea dan peluang kepada golongan yang ingin kembali kepada Al-Quran dan hadis yang sahih.

Saya bukan wahabi untuk mempertahankan Ibn Taimiyyah tetapi jika kita tidak bersetuju, tak payahlah menyesatkan ulama dan membawa fitnah-fitnah yang tidak tepat. Sedangkan kita berada atas kapasiti GOLONGAN PENGAWAL AKIDAH ORANG!

Ambillah jalan tengah, jalan yang sederhana, bak dalam matan jawharah al-tauwhid.

وكل نص اوهم التشبيها = = اوله او فوض ورم تنزيها

Saya berharap guru-guru j-QAF tidak terpengaruh dengan idea-idea sempit golongan yang fanatik ini dan kembali kepada idea tawazun dan i’tidal, tidak ifrat dan tidak tafrit.

(Artikel ini cuma sekadar meluahkan rasa tidak puas hati terhadap apa yang berlaku dalam negara kita.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan