SMAHADZIR
KITA perlu membahas persoalan ini kerana beberapa alasan. Di antara alasan tersebut adalah apa yang kita saksikan dalam kehidupan sebahagian wanita muslimah pada zaman ini. Kehidupan dengan segala bentuk ‘keanehannya’. Dalam beberapa hal begitu serius, tetapi dalam hal-hal yang lain sangat kurang dan jauh dari nilai-nilai agama.
Sebagai contoh, kita boleh menyaksikan seorang wanita muslimah yang solehah, melaksanakan syiar-syiar Islam. Namun, tidak menghiraukan kesihatan dan kebersihan mulut dan dirinya. Tidak peduli dengan kesihatan dan aroma yang keluar dari mulut atau tubuhnya. Atau sebaliknya, begitu besar perhatiannya terhadap kesihatan dan kebersihan dirinya tetapi melalaikan ibadah dan pelaksanaan syiar-syiar Islam.
Contoh lain, kita dapati ada seorang muslimah mencurahkan perhatiannya pada ibadah tetapi tidak memiliki pandangan yang benar tentang Islam yang menyeluruh, ‘bagaimana Islam menyikapi alam, kehidupan dan manusia.’
Ada yang semangat belajar Islamnya baik. Rajin menghadiri majlis-majlis ilmu, tetapi tidak menjaga lisannya dari ghibah (menggunjing) dan namimah (mengadu domba). Ada yang hubungan peribadinya dengan Allah s.w.t baik, tetapi tidak menjaga hubungan baik dengan jiran tetangga dan teman-temannya. Ada yang hubungannya dengan teman-teman dan jiran tetangganya baik tetapi tidak melaksanakan dengan baik hak-hak orang tua. Kurang - kalau tidak dikatakan sama sekali tidak - mereka dalam berbakti kepada kedua orang tuanya.
Ada yang berbakti kepada kedua orang tuanya tetapi tidak memenuhi hak-hak suaminya. Tampil dengan dandanan indah sewaktu menghadiri pertemuan-pertemuan dengan para wanita tetapi tidak pernah memperbaiki penampilannya di depan suaminya. Ada yang berbakti kepada suaminya tetapi tidak membantu suaminya untuk berbakti kepada kedua orang tuanya. Atau tidak menyokong suaminya untuk berbuat kebajikan, bertakwa dan beramal soleh.
Ada yang berbakti kepada suaminya tetapi kurang memperhatikan pembinaan dan pembentukan keperibadian anak-anaknya. Kurang mempratikkan perkembangan kejiwaaan dan akal mereka. Kurang memperhatikan lingkungan sekitarnya yang memberikan pengaruh kepada putera-puterinya.
Ada yang memperhatikan itu semua terapi kurang silaturahimnya dengan saudara-saudaranya. Ada yang silaturahim terhadap keluarganya baik, tetapi hubungannya dengan lingkungan sekitarnya tidak baik. Sibuk dengan urusan peribadinya. Tidak peduli dengan persoalan kaum muslimin dan muslimat.
Ada yang memperhatikan persoalan peribadi dan umat Islam tetapi kurang memperhatikan pengembangan pengetahuannya. Tidak menambah pengetahuannya dengan belajar dan terus membaca. Ada yang sibuk dengan belajar tetapi mengabaikan urusan rumah tangga, putera-puterinya dan suaminya.
Kalau kita merasa hairan dari ini semua, kehairanan kita akan bertambah ketika kita mengetahui bahawa itu semua muncul dari para wanita muslimah yang memiliki tingkat kesedaran yang cukup baik terhadap agama ini. Dari para wanita muslimah yang tumbuh dalam lingkungan Islam dan memiliki bekal pengetahuan agama yang tidak sedikit!
Ini kadang-kadang disebabkan tidak peduli atau tidak memiki pandangan yang utuh yang telah diajarkan Islam. Pandangan yang menyeluruh tentang manusia, kehidupan, dan alam sekelilingnya. Pandangan yang mendorong seseorang untuk melihat segala sesuatu dengan seimbang. Tidak memprioritikan satu aspek dengan mengorbankan aspek lain.
Orang yang memperhatikan dengan cermat ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis akan mendapati begitu banyaknya dalil yang menjelaskan perilaku yang seharusnya dimiliki wanita muslimah dalam hubungannya dengan Rabbnya, pembentukan peribadinya dan hubungannya dengan orang lain. Tatanan hidup yang mengatur segala sesuatu dari yang besar sehingga yang kecil. Semua nas tersebut akan memberikan rambu-rambu yang menghantarkan pada kehidupan yang terarah dan seimbang. Kehidupan yang menjamin kebahagiaan, kejayaan di dunia dan dan keberuntungan yang sangat besar di hari kemudian.
Semua ini yang telah digariskan oleh Islam dalam Al-Quran dan sunnah akan menghantarkan seorang wanita muslimah mendapat keperibadiannya yang asli. Keperibadian yang sejalan dengan fitrahnya. Sehingga melahirkan wanita muslimah yang unggul, mulia dan istimewa dalam perasaan, pemikiran, perilaku dan hubungannya.
Mencapai tingkat tersebut sangatlah penting bagi kehidupan umat manusia secara umum kerana wanita memiliki pengaruh yang sangat besar bagi kehidupan generasi mendatang, mencetak para pejuang, menanamkan nilai-nilai, menghiasi kehidupan dengan cinta, kasih sayang dan keindahan serta memenuhi rumah tangga dengan rasa aman, tenang, tenteram dan damai.
Wanita muslimah adalah satu-satunya wanita yang sanggup menerangi dunia wanita moden yang telah jenuh dengan filsafat materialisme dan pola hidup jahiliyah yang mendominasi kehidupan masa kini. Hal itu dengan mengenalkan dirinya, menghadapkan dirinya pada sumber permikiran yang murni untuk kemudian menata kembali keperibadiannya yang asli iaitu keperibadian yang telah dibentuk oleh Al-Quran dan As Sunnah.
Mudah-mudahan Allah s.w.t memberikan taufik pada kita semua untuk istiqamah dalam agama yang telah dibawa Rasul-Nya s.a.w.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan