Isnin, 16 Ogos 2010

Nikmat Mampu Berbicara dan Menjelaskan

SMAHADZIR

SESUNGGUHNYA kenikmatan yang Allah s.w.t berikan kepada hamba-hambanya tidak terhitung dan tidak terhingga banyaknya. Dan termasuk salah satu nikmat agung yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada kita adalah nikmat mampu berbicara. Dengan kemampuan tersebut seseorang boleh mengutarakan keinginannya, mampu menyampaikan perkataan yang benar dan mampu beramar makruf dan nahi mungkar.

Orang yang tidak diberi nikmat berbicara, jelas dia tidak akan mampu melakukan hal di atas. Dia hanya boleh mengutarakan sesuatu dan memahamkan orang lain dengan isyarat atau dengan cara menuliskannya jika dia mampu menulis.

Allah s.w.t berfirman, yang bermaksud: ‘Dan Allah membuat (pula) perumpamaan dua orang lelaki, yang seorang bisu, tidak dapat berbuat sesuatu pun dan dia menjadi beban bagi penanggungnya, ke mana saja dia disuruh oleh penanggungnya itu dia tidak dapat mendatangkan suatu kebajikan pun. Samakah orang itu dengan orang yang menyuruh berbuat keadilan yang berada di atas jalan yang lurus?’ (surah An Nahl: 76)

Tentang tafsir ayat ini, ada yang mengatakan bahawasanya Allah s.w.t memberikan permisalan perbandingan antara diri-Nya dengan berhala yang disembah. Ada pula yang mengatakan bahawa Allah memberi permisalan antara orang kafir dan orang yang beriman.

Permisalan di atas secara jelas menerangkan bahawa seorang hamba bisu yang tidak mampu memberikan manfaat kepada orang lain. Pemiliknya pun tidak mampu mengambil manfaat ketika dia memerlukannya.

Allah s.w.t berfirman, yang bermaksud: ‘Demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya apa yang dijanjikan itu adalah benar-benar (akan terjadi) seperti perkataan yang kamu ucapkan.’ (surah Adz Dzariyat: 23)

Allah s.w.t bersumpah dengan diri-Nya mengenai kepastian akan kedatangan hari kebangkitan dan pembalasan bagi seluruh umat manusia, sebagaimana pastinya ucapan yang menjadi perwujudan dari orang yang berbicara.

Pada ayat tersebut Allah s.w.t memaparkan sebahagian kurnia-Nya yang berupa ucapan. Allah s.w.t berfirman, yang bermaksud: ‘Dia menciptakan manusia, dan mengajarinya berbicara.’ (surah Ar Rahman: 2-3)

AI-Hasan AI-Bashri menafsirkan bahawa al-bayan (penjelasan) adalah berbicara. Jadi, Allah s.w.t menyebutkan nikmat berbicara ini, kerana dengan berbicara manusia boleh mengutarakan apa yang diinginkannya. Allah s.w.t berfirman, yang bermaksud: ‘Bukankah Kami telah memberikan kepadanya dua buah mata, lidah dan dua buah bibir?’ (surah AI-Balad: 8-9)

Dalam kitab tafsirnya, Ibnu Katsir menjelaskan, firman Allah s.w.t tersebut (Bukankah Kami telah memberikan kepadanya dua buah mata), maksudnya dengan kedua mata tersebut dia mampu melihat (dan lidah), iaitu dengan lidahnya dia mampu berbicara; mampu mengungkapkan apa yang tersimpan dalam hatinya (dan kedua bibirnya), iaitu dengan kedua bibirnya dia dapat mengucapkan sebuah perkataan, atau memakan makanan; juga sebagai penghias wajah dan mulutnya.

Akan tetapi, kita tahu bahawa nikmat berbicara ini akan menjadi kenikmatan yang hakiki apabila digunakan untuk membicarakan hal-hal yang mendatangkan manfaat dan keselamatan. Dan sebaliknya apabila digunakan untuk perkara yang merosakkan, tentu hal itu akan menjadi musibah pemiliknya. Dalam keadaan seperti itu, lebih baik keadaannya bagi yang tidak diberi nikmat berbicara daripada seseorang yang diberikan nikmat tersebut tetapi menggunakan nikmat berbicara ini untuk perkara yang buruk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan